Tuesday, March 31, 2009

Persembahan Menora di Kg. Padang Sekawan.

Saya selaku Pengerusi PEKEMAS telah dipertanggungjawabkan oleh pihak atasan untuk mengadakan Persembahan MENORA di dewan orang ramai Kg. Padang Sekawan, Bukit Selambau.

Saya telah berjumpa dengan beberapa orang Jawatankuasa Kampung tersebut untuk perbincangan persiapan. Majlis tersebut akan diadakan pada 5.4.2009 jam 8.00 malam. Penganjuran majlis tersebut adalah hasil permohonan penduduk kampung yang menyatakan ingin menyaksikan persembahan Menora.

Maka saya berbisik dengan Kekkwa dan pihak Kekkwa meluluskan sejumlah peruntukan untuk majlis tersebut. Antara pengisian program ialah sesi dialog masyarakat Siam dengan Jawatankuasa PSK dan PEKEMAS, penyampaian anugerah pelajar cemerlang dalam exam baru-baru ini khasnya pelajar dari DUN Bukit Selambau sahaja, kenduri kampung dan seterusnya persembahan MENORA.

Diharap semua masyarakat Siam yang berada berdekatan dengan tempat majlis diadakan dapat hadir beramai-ramai.

Sunday, March 29, 2009

Pertandingan 15 penjuru di Bukit Selambau.

SUNGAI PETANI 29 Mac - Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau mencatatkan sejarah negara apabila menyaksikan buat pertama kali berlakunya pertandingan 15 penjuru.

Senarai calon yang menyerahkan borang bermula pukul 9 pagi dan kini dipamerkan untuk tujuan bantahan di pusat penamaan calon Sekolah Menengah Teknik 1 Sungai Petani ialah:

Susunan mengikut nombor yang dicetak di atas kertas undi:
1. R. Loganathan (Bebas) - Lambang Kelapa Sawit
2. Tan Hock Huat (Bebas) - Lambang Kunci
3. Radzi Md. lazim (Bebas) - Lambang Kerusi
4. S. Manikumar (PKR) - Lambang PKR
5. Mohd. Fazil Abd. Wahab (Bebas) - Lambang Kepala Harimau
6. Abdul Rahim Abu (Bebas) - Lambang Jam Loceng
7. L. Sarala (Bebas) - Lambang Basikal
8. Datuk S. Ganesan (BN) - Lambang Dacing
9. A. Jayagopal (Bebas) - Lambang Payung
10. S. Moganakumar (Bebas) - Lambang Buku
11. Khamis Awang (Bebas) - Lambang Ayam Jantan
12. Husaini Yaakob (Bebas) - Lambang Bas
13. M. Venason (Bebas) - Lambang Ikan
14. Mejar (B) Anuar Abd. Hamid (Bebas) - Lambang Telefon
15. T. Chandrarajan (Bebas) - Lambang Kapal Terbang

Pilihanraya Kecil DUN Bukit Selambau catat sejarah.

Pemimpin pembangkang dan kerajaan bersua muka bagi berbincang sesuatu mengenai tindakan mengawal penyokong masing-masing supaya tiada perkara buruk berlaku sepanjang kempen pilihanraya.
Pilihan raya DUN Bukit Selambau catat sejarah baru apabila seramai 15 calon masuk bertanding selepas diterima oleh SPR untuk bertanding. Tarikh pembuangan undi akan diadakan pada 7 April 2009.

Pagi tadi saya bertolak dari Kg. Thai Pegang, Baling pada jam 5.00 pagi ke Kg. Padang Pusing untuk menghantar anak ke sekolah. Pada jam 7.10 pagi, saya bertolak ke Pusat Penamaan Calon di Sg. Petani. Pada jam 7.50 pagi saya sampai, keadaan masa tu agak jem dengan kenderaan dari luar. Oleh kerana saya ada pass SPR maka saya mudah masuk ke kawasan tersebut dengan bantuan polis.

Pemerhatian saya, para penyokong pembangkang agak agresif manakala penyokong BN agak cool. Ada yang bawa gendang Cina, ada yang bawa gendang India dan ada yang bawa kompang untuk mengiringi calon mereka. Cuma gendang panjang Siam sahaja tidak kelihatan sebab calon bebas dari masyarakat Siam Kedah masih belum bersedia.

Pengerusi SPR agak tidak puashati kerana membawa sebarang alat muzik menyalahi undang-undang SPR. Walau bagaimana pun, tiada seorang pun calon yang ditolak. SPR terpaksa mencetak kertas undi sebesar A3 untuk kali ini. Maka pengundi di sini mempunyai banyak pilihan untuk memilih siapa bakal wakil rakyat mereka.
Calon BN - Datuk S. Ganesan dari parti MIC.

Calon Pembangkang - En. Manikumar dari PKR

Calon pilihanraya N25 DUN Bukit Selambau beratur untuk masuk ke dewan penamaan calon.

YB. Datuk Seri Hishamuddin Hussein merupakan Pengerusi Jentera Kempen BN di DUN Bukit Selambau.

Para penyokong PKR agak agresif.

Pasukan polis sentiasa berjaga-jaga bagi mengawal keadaan supaya keselamatan orang ramai terjamin.

Friday, March 27, 2009

Pingat lama Raja Taksin di Bukit Selambau.



Sila lihat baik-baik pingat ini. Pingat ini disimpan oleh salah seorang warisnya di Bukit Selambau. Pingat ini diwarisi sejak moyangnya lagi. Mungkin pingat ini mempunyai kaitan dengan moyangnya.
Pingat di atas adalah gambar Raja Taksin merupakan Raja pertama Thailand. Ada tulisan China, mungkin Raja Taksin keturunan China.
Gambar di bawa ada tertera tarikh tahun 2323 (kalender Thailand) sekitar tahun 1780. Nama tertera di bawah ialah Phra Chau Krung Thon.
Sesiapa yang tahu tentang pingat ini? Harap syer sikit pengetahuan.
Sebentar tadi semasa saya bertugas di Pekan Bukit Selambau, saya ditunjukkan pingat ini oleh pemiliknya. Menurutnya pingat ini diwarisi sejak turun temurun oleh nenek moyang beliau. Hanya anak sulung dalam keturunan beliau sahaja boleh simpan pingat ini.

Monday, March 23, 2009

Anjur program anugerah pelajar cemerlang akan dibatalkan pendaftaran persatuan.

Semasa AGM Persatuan Siam Kedah (PSK) di Wat Padang Peliang pada 13.3.2009 lepas, YB Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid, bekas MB Kedah mencadangkan PSK anjurkan Program Anugerah Pelajar Siam Cemerlang 2009 di Bukit Selambau. UMNO Bahagian Padang Terap akan sponsor semua perbelanjaan tersebut.

Saya dah hubungi pemimpin Kg. Padang Sekawan, Bukit Selambau untuk mendapatkan kerjasama menggunakan dewan orang ramai dan juga bantuan orang-orang kampung.

Hari ini semasa saya membuat lawatan ke rumah beliau bersama-sama 4 orang lagi pegawai, beliau memaklumkan kepada saya bahawa program anugerah pelajar cemerlang tak boleh dilaksanakan. Beliau dah bermesyuarat dengan orang-orang kampung dan berpendapat sekiranya kita anjurkan program tersebut pihak ROS akan membatalkan pendaftaran Persatuan. Mungkin beliau maksudkan Persatuan Siam Kedah akan dibatalkan pendaftaran jika anjurkan program tersebut semasa kempen pilihanraya kecil di DUN Bukit Selambau.

Saya jawab, ROS tak akan batalkan mana-mana NGO yang menganjurkan program yang mendatangkan kebaikan kepada ahlinya. Ini mungkin ada sebab lain. Beliau memaklumkan bahawa semua permasalahan masyarakat Siam di kampung tersebut perlu rujuk kepada Persatuan Siam di sini.

Barulah saya faham, inilah punca sebenar. Tapi tak mengapa, kita boleh anjur di tempat lain lagi. Tak semestinya di Bukit Selambau. Asalkan ada bajet. Kita akan terus cari jalan penyelesaian di atas permasalahan yang wujud demi untuk memperjuangkan kemajuan khonthai.

Pengundi Siam DUN Bukit Selambau masih setia kepada BN.

Pengundi-pengundi Siam di DUN Bukit Selambau adalah seramai 329 orang, majoritinya masih setia kepada parti BN. Hanya segelintir sahaja yang agak emosi dan tidak sehaluan dengan pemimpin kampung lalu menyokong pembangkang.

Terdapat beberapa perkampungan Siam di sini antaranya ialah:-
1. Kg. Kuala Cepir (Bang Pia) - 7 keluarga
2. Kg. Perak - 15 keluarga
3. Kg. Sungkup (Klong Kop) - 3 keluarga
4. Kg. Padang Sekawan (Dangwan) - 26 keluarga
5. Pekan Bukit Selambau (Klong Chang) - 31 keluarga dan
6. Kg. Tanah Lincin (Seluang) - 48 keluarga
7. Lain-lain tempat seperti taman dan bandar sg. petani - 30 keluarga

Jumlah masyarakat Siam di kawasan ini sebanyak 118 keluarga sekitar lebih kurang 650 orang. Saya harap masyarakat Siam terus berpendirian dalam bidang politik demi untuk kemajuan bangsa Siam di DUN Bukit Selambau dalam arus pembangunan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan ialah masalah asas seperti:-
1. Jalan minitar di Kg. Padang Sekawan,
2. Lampu jalan di Wat Samagghiratanaram, Bukit Selambau,
3. Masalah Kad Pengenalan Merah,
4. Masalah Status Bumiputera masih samar,
5. Masalah Sijil Pertanian Orang-orang Siam,
6. Masalah pilih kasih dalam kepimpinan JKKKP, masyarakat Siam diabaikan.

Pemimpin kita masih ligat..

Sejak kebelakangan ini saya jarang melayari internet kerana sibuk dengan tugas-tugas khas di DUN Bukit Selambau sejak 16.3.2009 hingga 8.4.2009. Hari ini saya terpaksa ke Bandar Sungai Petani untuk ke Cyber Cafe melayari blog saya dan seterusnya meluahkan apa yang terpendam dalam hati saya selama ini. Bila isu ini diungkit kembali oleh kawan-kawan semasa berjumpa di Bukit Selambau.

Hari ini saya singgah makan di sebuah kedai makan di Pekan Bukit Selambau dan saya bertemu dengan salah seorang pemimpin parti GERAKAN Kg. Olak Madu dan seorang ahli PSK. Dalam sembang-sembang, banyak juga isu yang kami bincangkan antaranya ialah berkaitan ramai orang Kg. Olak Madu benci kepada saya dan juga isu ambil kesempatan program Pesta Songkran di Wat Padang Pusing pada 10 dan 11 April depan.

Oklah, saya cerita isu pertama dulu... Pemimpin tersebut memaklumkan kepada saya ramai org di Olak Madu benci kepada saya. Tak boleh sebut nama saya pasti ada yang melenting. Tapi bila jumpa saya, mereka nampak cukup baik dengan saya. Saya jawab, saya tahu cuma buat tak tahu je. Kes ini bermula sejak PBTM menganjurkan seminar di Wat Olak Madu pada tahun 2004 lagi.

Duit PBTM keluar sebanyak RM10,000 untuk program tersebut. Jika tak cukup, PBTM akan cover lagi. Saya terpaksa tinggalkan anak bini dan berkampung di Wat Olak Madu. Tapi sayangnya, bukan tujuan anjurkan seminar yang mereka harapkan. Ada yang cuba berusaha mengeringkan kantung PBTM dan menjahanamkan PBTM. Saya selaku Presiden PBTM dilihat sebagai seekor anjing kurap walaupun sanggup tidur dalam kereta semasa berada di wat Olak Madu hanya kerana nak menjayakan program tersebut. Mereka tidak nampak tambahan pula mereka mengagung-agungkan senator mereka walaupun sesen pun tak hulur.

Mereka jemput pemimpin mereka berucap dan menghentam saya selaku Presiden PBTM yg menganjurkan program tersebut. Boleh katakan mereka tikam saya selaku Presiden PBTM di atas pentas PBTM. Selepas itu, ada pula yang sanggup pergi hasut orang-orang Siam Baling mengatakan saya tak guna, saya makan duit persatuan, saya ambil duit persatuan pergi buat banglo besar-besar. Maklumlah saya adalah Penolong Setiausaha PSM Caw. Baling dan Presiden PBTM. Mereka hasut orang Siam rata-rata di seluruh Kedah. Mereka nak semua orang Siam Kedah benci kepada saya dan mudahlah mereka singkir saya dari PSM dan menjahanamkan PBTM. Walaupun saya dah berusaha sedaya upaya membantu mereka menjayakan seminar di kampung mereka, akhirnya saya dibalas sebegini rupa. Walaupun mereka berjaya menlenyapkan PBTM dgn menubuh PBSM untuk menjadi hak mutlak mereka. Saya tak kisah,, saya akan terus berjuang dalam PSK dan PEKEMAS yang baru saya tubuh menggantikan PBTM untuk pembangunan khonthai Kedah.

Dalam kes ke 2 pula, member saya ahli PSK Bukit Selambau memaklumkan kepada saya bahawa ada SMS meminta mereka kutip nama pelajar Siam yg mendapat result exam cemerlang baru-baru ini. Katanya ada pihak nak beri anugerah pelajar cemerlang di Wat Padang Pusing sempena Program Pesta Songkran pada 11 dan 12 April depan. Mereka tanya saya betul ke? Maklumlah saya org Padang Pusing.

Saya jawab, setahu saya program anugerah pelajar cemerlang tak ada dalam perancangan. Pesta Songkran yang dianjurkan di Wat Padang Pusing pada 11 dan 12 April ini adalah anjuran Kelab Penyokong PAS Daerah Pendang dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan Konsul Thailand di Penang dengan peruntukan RM25,000.00. Semasa konsul Thailand datang ke wat Padang Pusing pada 19 Mac lepas, saya hadir dalam perjumpaan tersebut. Tak bangkit pun soal bagi anugerah pelajar cemerlang.

Pada pendapat saya, mesti pemimpin kita nak ambil kesempatan politik mereka dalam program yang dianjurkan oleh orang lain. Dalam kes ini, saya tak berasa hairan langsung. Sebab program seminar PBTM pada tahun 2002, 2003 dan 2004 mereka juga pernah ambil kesempatan walaupun mereka cukup benci kepada saya tetapi datang juga dalam program saya tanpa dijemput.

Tahun 2002, Seminar di Baling anjuran Ruamthai + PBTM.. Senator ke1 dan Senator ke2 mai dan berucap. VVIP masa tu EXCO Kerajaan Negeri Kedah hadir mewakili MB Kedah.

Tahun 2003, Seminar di Baling anjuran PBTM.. senator ke2 hadir,, VVIP masa tu MB Kedah.. Berlakon seakan-akan dia tuan rumah pi sambut MB Kedah. Di atas pentas pula dia duduk dekat MB Kedah selaku dia pengerusi penganjur.

Tahun 2004, seminar di Olak Madu anjuran PBTM sekali lagi senator ke2 datang atas jemputan org kuatnya di kg tersebut. Berucap hentam saya di atas pentas seperti saya kata tadi depan-depan Than Phrakhru Udomdhamma Patibhano, Wat Uttamaram, Kelantan. Kalau tak percaya, tanya beliau.

Tahun 2005, seminar di Guar Musang, Perlis.... dia tak ada peluang tapi dia juga berusaha untuk menghalang. Berpakat dgn alajji bawa lari semua ketua Phra bermesyuarat di penang.

Dalam hati saya, mengatakan biarkanlah DIA... Kita tengok sampai bila dia nak mengambil kesempatan di atas usaha orang lain.

Tuesday, March 17, 2009

Dua bukit satu batang menjadi rebutan.

DUN Bukit Selambau, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Batang Ai menjadi rebutan dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan serentak pada 7 April ini. Tarikh penamaan calon pada 29 Mac 2009 selepas Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO di KL. Ini bermakna 2 bukit 1 batang menjadi rebutan antara BN dan PR serta mungkin dikacau oleh calon BEBAS.

Sejak semalam saya telah diarah untuk melaporkan diri di kawasan DUN Bukit Selambau. Untuk tugas-tugas khas pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, yang mana jabatan saya terlibat secara langsung setiap kali adanya pilihanraya sejak ditubuhkan kira-kira 60 tahun yg lepas. Saya ditugaskan di DUN Bukit Selambau sehingga 8 April 2009.

Walaupun pengundi di kalangan masyarakat Siam tidak ramai iaitu sekitar 300 pengundi, semua pihak perlu beri perhatian kerana setiap undi ada nilainya. Jika dulu BN sangat kukuh, majoriti pengundi yang mengundi BN agak besar berbanding pembangkang tetapi sekarang peluangnya agak tipis iaitu 50:50. Maka undi daripada pengundi atas pagar atau pengundi daripada kaum minoriti seperti kaum Siam amat-amat diperlukan.

Sejak 52 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, maka sekarang masyarakat Siam mula mendapat perhatian. Tetapi apa yang menyedihkan saya ialah semasa senang masyarakat Siam diketepikan. Bila terdesak, barulah mereka hargai sumbangan masyarakat Siam terhadap kerajaan. Inilah nasib kaum minoriti di Malaysia. Walau bagaimana pun, majoriti masyarakat Siam tetap setia kepada parti kerajaan dari dulu sampai sekarang.

Sunday, March 15, 2009

Calon Bukit Selambau dalam PR Kecil pada 7 April ini.

Pada 14.3.2009, Sdr. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK, Sdr. Manit a/l See Nam, Setiausaha PSK dan Sdr. Tang a/l Edam, Bendahari PSK menghadiri Majlis Pengumuman Calon BN di Pilihanraya Kecil Bukit Selambau di Sungai Petani oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri sedang berucap dan seterusnya mengumumkan calon BN dari MIC untuk pilihanraya kecil Bukit Selambau ekoran perletakan jawatan V. Arumugam.
Calon BN dari MIC iaitu Datuk S. Ganesan telah diperkenalkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.
YANG MANA SATU CALON.. Datuk S. Ganesan, calon BN dari MIC bersama Sdr. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi Persatuan Siam Kedah.

Pemimpin Tertinggi PSK melawat Ketua Sami Wat Lampam di Hospital Sultanah Bahiyah.

Pada 14.3.2009, Sdr. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK, Sdr. Manit a/l See Nam, Setiausaha PSK dan Sdr. Tang a/l Edam, Bendahari PSK melawat Phrakhru Sopolkitcathorn, Ketua Sami Daerah Padang Terap merangkap Ketua Sami Wat Lampam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Beliau berumur 81 tahun dan 60 phansa sedang jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital tersebut sejak sebulan lalu. Beliau berada di wad 27 bilik 23, harap semua anak murid dapat melapangkan masa melawat beliau. Keadaan beliau agak uzur dan lemah.

Mahdzir Khalid Merasmikan AGM Persatuan Siam Kedah.

Pada 13.3.2009, YB Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid ADUN Pedu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Kali Pertama Tahun 2008 Persatuan Siam Kedah (PSK) di dewan Wat Thepsuwannaram, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah. Turut hadir ialah YB Puan Suraya Bt Yaacob, ADUN Sungai Tiang dan YB Mohd. Rawi Abdul Hamid, ADUN Air Hangat, Langkawi.

Dari kiri ialah YB Pn. Suraya Bt. Yaacob, ADUN Sg. Tiang, Sdr. Bun Yin a/l Ai An, YB. Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid, ADUN Pedu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan BN Negeri Kedah dan Ven. Phrakhru Suwanthammaphitak, Ketua Sami Daerah Sik merangkap Ketua Sami Wat Thepsuwannaram hadir ke majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Kali Pertama PSK di Wat Thepsuwannaram pada 13.3.2009.

Sdr. Manit a/l See Nam selaku Setiausaha PSK dan Pengerusi PEKEMAS sedang mengacarakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PSK Bagi Kali Pertama Tahun 2008 di Wat Thepsuwannaram pada 13.3.2009.

Sdr. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK sedang menyampaikan ucapan alu-aluan. Beliau menekankan tentang permasalahan masyarakat Siam di negeri Kedah dan memohon perhatian daripada kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengatasinya. Skrip ucapan tersebut telah dipersetujui oleh semua ahli jawatankuasa PSK.

YB Puan Suraya Bt Yaacob, ADUN Sg. Tiang sedang menyampaikan ucapan beliau di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PSK. Beliau berjanji akan membantu masyarakat Siam negeri Kedah terutamanya di kawasan beliau iaitu DUN Sungai Tiang, daerah Pendang melalui PSK.

YB Mohd. Rawi Bin Abdul Hamid, ADUN Air Hangat, Langkawi sedang menyampaikan ucapan. Beliau menawarkan diri menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah sekiranya BN dapat merampas balik kerajaan Negeri Kedah pada pilihanraya akan datang. Beliau berucap dalam bahasa Siam.

YB. Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid, ADUN Pedu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berjanji akan membantu masyarakat Siam Negeri Kedah. Beliau juga berasa sedih kerana peruntukan yang diberi sebelum ini berjumlah beratus-ratus ribu RM tidak sampai kepada masyarakat Siam di peringkat bawahan terutama sekali di kawasan beliau sendiri di DUN Pedu. Beliau berjanji akan membantu masyarakat Siam melalui PSK. Beliau berharap agar pemimpin PSK sentiasa bekerja berhampiran beliau, berbincang dan membuat kertas kerja permohonan untuk masyarakat Siam. Beliau akan membawa pemimpin PSK untuk berjumpa Menteri yang berkaitan di peringkat persekutuan untuk berunding mengatasi permasalahan masyarakat Siam di Kedah. Beliau juga akan melantik seorang Pegawai Perhubungan di kalangan pemimpin PSK sebagai penghubung antara masyarakat Siam di negeri Kedah dengan kerajaan BN.


Dari kiri wartawan BH, YB Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid, Sdr. Manit a/l See Nam dan Sdr. Bun Yin a/l Ai An sedang diinterview oleh wartawan.

YB Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid sedang beramah mesra dengan pengerusi-pengerusi JKKKP dan ahli-ahli PSK.

Ahli-ahli PSK sedang mendengar ucapan daripada para VVIP yang dijemput. Dari kiri YB Mohd. Rawi Abdul Hamid, ADUN Air Hangat, Langkawi, Sdr. Reang, Pengerusi Penyelaras Masyarakat Siam Pendang dan wartawan BH.

Sdr. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK sedang berbincang sesuatu dengan YB Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid semasa mereka sedang menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh PSK.

Thursday, March 12, 2009

Siapa jemput YAB Menteri Besar Kedah?

Tadi salah seorang pemimpin PSK menghubungi saya mengatakan pihak YB Datuk Seri Mahdzir Khalid keliru kenapa jemput YAB Menteri Besar Kedah ke Mesyuarat Agung Tahunan PSK di Wat Padang Peliang pada 13.3.2009 ini. Sedangkan PSK jemput mereka hadir untuk merasmikannya.

Beliau memaklumkan bahawa ada ahli PSK pergi jemput YAB Menteri Besar Kedah untuk ke majlis tersebut.

Saya memaklumkan bahawa saya dan pengerusi PSK tidak tahu hal ini. Kami hanya menjemput YB Datuk Seri Mahdzir Khalid dan YB Suraya Yaacob sahaja. Ini mungkin sabatoj daripada pihak yang tidak setuju dengan penubuhan PSK.

Walaupun PSK mempunyai keahlian dari ahli UMNO dan Kelab Penyokong PAS, kata putus masih perlu persetujuan Pengerusi. Apa-apa tindakan bagi pihak PSK perlu rujuk kepada Pengerusi PSK terlebih dahulu. Bukannya sebagai ahli PSK, anda berhak membuat keputusan dengan membelakangkan pengerusi.

Pada pandangan kami sekiranya kedua-dua YB ini tidak datang ke Mesyuarat Agung Tahunan PSK bermakna mereka tidak lagi mengambil berat hal ehwal masyarakat Siam Kedah. Kemungkinan besar tahun hadapan kami jemput YAB Menteri Besar Kedah untuk hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PSK.

Bagaimana cara penyelesaian yg bagus?

Duit peruntukan Kerajaan Negeri Kedah untuk pelaksanaan Pesta Loy Krathong 2008 telah dimasukkan ke dalam akaun PEKEMAS. Saya selaku pengerusi PEKEMAS telah menandatangani surat penerimaan cek sebagai pemegang amanah sahaja. Duit tersebut hanya boleh dibelanja setelah Ketua Sami Kedah/Perlis dengan YB V. Arumugam (dah letak jawatan) mendapat kata sepakat.

Tetapi sekarang V. Arumugam dah meletakkan jawatan sebagai EXCO dan juga ADUN Bukit Selambau. Maka perbincangan antara Ketua Sami Kedah/Perlis dengan V. Arumugam bagi pihak EXCO Kerajaan Negeri Kedah tidak mungkin terjadi. Maka peruntukan tersebut tidak boleh dibelanjakan oleh mana-mana pihak mengikut surat yang saya tandatangani untuk mengikat saya oleh pihak kerajaan negeri.

Sepatutnya peruntukan pesta kebudayaan iaitu Pesta Loy Krathong haruslah diuruskan oleh persatuan kebudayaan seperti PEKEMAS. Kenapa mengaitkan Sami dengan soal kebudayaan? Bukankah sami hanya berkaitan dengan keagamaan?

Peruntukan tersebut masih boleh digunakan dengan keputusan Mesyuarat Agung PEKEMAS sebab ia dah dimasukkan ke dalam akaun PEKEMAS. Dalam perlembagaan PEKEMAS yang didaftar dengan ROS, mesyuarat Agung merupakan kuasa tertinggi dalam menentukan keputusan PEKEMAS bagi menentukan peruntukan tersebut.

Saya dah berbincang dengan beberapa orang Sami untuk mengurus duit ini dan akan mengadap Ketua Sami Kedah/Perlis memohon kebenaran untuk menggunakan peruntukan ini demi membangunkan masyarakat siam di negeri Kedah.

Harap para sami yang giat berpolitik, jangan menggunakan isu ini untuk memporakperandakan masyarakat Siam.

Habuan untuk pemimpin.

Semalam selepas balik dari pejabat, saya terus ke Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam untuk melihat ahli-ahli PEKEMAS berlatih gendang Menora. Inilah rutin saya hari-hari bila ada kelapangan.


Hinggakan anak ke 2 saya yang kurang sempurna ditinggalkan di Padang Pusing mencari saya sehingga berada ditengah-tengah jalan raya besar tanpa disedari emaknya. Dia tak hirau sesiapa walaupun lori datang, dia kaku di tengah-tengah line putih tak bergerak walaupun lori membunyikan hon. Sehingga ada orang kampung yang nampak, penik terus pergi tahan lori supaya berhenti. Mereka ajak anak saya balik dia tak mahu kecuali emak dan bapanya sahaja boleh pujuk dia. Tujuan utamanya hanya mencari bapanya.

Semasa di Pusat Kebudayaan, saya telah dimaklumkan oleh seorang ahli PEKEMAS berkaitan AGM PSK yang akan diadakan pada 13.3.2009 di Wat Padang Peliang, katanya.. ada orang cakap tujuan kami tubuh PSK adalah untuk kepentingan diri sendiri. Beliau tanya saya kenal tak orang itu.

Saya jawab kenal sebab dia merupakan seorang pegawai kanan dalam syarikat Telekomunikasi terkemuka. Sebelum ini dia pernah bertugas di Taiping dan Penang dan tumpang tidur dan makan nasi wat tapi tak pernah sumbang apa-apa kepada sangkhom.

Saya maklumkan kepada ahli saya bahawa penubuhan PSK umpama kita menebas hutan. Orang yang mula-mula menebas akan menghadapi bermacam-macam risiko seperti dimakan harimau, dipatuk ular, pijak duri, demam panas, dirasuk hantu dan sebagainya. Selepas tebas, barulah kita tanam. Lepas tanam kita akan menjaga, membaja dan sebagainya sehinggalah mengeluarkan hasil.

Bila dah keluar hasil maka kita nikmati hasil itu bersama. Jika orang yang mula-mula tebas tu menikmati hasilnya adakah ia wajar dikatakan untuk kepentingan diri sendiri. Itupun kalau mereka sempat. Kalau tak sempat maka hasil itu akan dinikmati oleh anak cucu kita dan seterusnya generasi akan datang. Adakah hasil itu kita beri kepada mereka yang cuba menghalang kita tebas dulu? Adakah kita beri hasil itu kepada mereka yang peluk tubuh tanpa melakukan apa-apa?

Jawapannya tidak, kita harus utamakan ahli kita dulu. Biarlah apa orang kata tujuan penubuhan PSK seperti kita tebas hutan untuk keselesaan di kemudian hari. Persoalan saya, bagaimana pula dikatakan untuk kepentingan umum? Bila kita tak ada NGO seperti PSK, bagaimana pula kita boleh berunding dengan kerajaan.

Tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkan merupakan habuan untuk seseorang pemimpin. Sesiapa yang ingin menjadi pemimpin maka habuan ini tetap akan diberi walaupun kita tidak minta. Bersabarlah, bila kita mati nanti maka sumbangan kita akan dinilai jika kita ikhlas untuk membantu masyarakat. Nasihat dari Than Phem, semasa era kita, kita harus lakukan yang terbaik untuk masyarakat Siam. Era seterusnya biarlah generasi baru kita yang menentukannya pulak.

Tuesday, March 10, 2009

Bukan senang nak menyatupadukan masyarakat Siam yang berbeza ideologi politik..

Keahlian PSK terdiri daripada ahli-ahli UMNO dan Kelab Penyokong PAS. PSK adalah salah satu NGO yang bertujuan untuk memaju dan menyatupadukan masyarakat Siam yang berpecah belah akibat perbezaan fahaman politik. Kami boleh duduk bersama untuk mesyuarat dan melakukan aktiviti kemasyarakatan. Ini menampakkan bahawa ada potensi untuk kita bersatu dan bersuara dengan satu nada mewakili masyarakat Siam melalui PSK tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa PSK kali pertama telah memutuskan untuk mengadakan AGM buat kali pertama pada 13.3.2009 di Wat Padang Peliang. Saya selaku Pen. Setiausaha yang memainkan peranan dari mula hingga akhir dalam proses penubuhan PSK telah berjumpa dengan Ketua Sami Wat Padang Peliang untuk maklumkan tentang AGM tersebut. Saya juga telah menulis surat jemputan kepada YB Datuk Seri Mahdzir Khalid dan YB Suraya Yaacob dengan persetujuan Pengerusi PSK. Akhirnya kedua-dua YB tersebut dapat hadir, walaupun pada mulanya YB Datuk Seri Mahdzir Khalid dimaklumkan tidak dapat hadir.

Saya juga telah maklumkan kepada Ketua Sami wat tentang kehadiran VVIP tersebut. Saya meluahkan rasa bimbang saya kepada beliau tentang penerimaan Pengerusi MKK Padang Peliang terhadap kehadiran VVIP tersebut. Ketua Sami Wat minta saya berterus-terang dengan beliau terlebih dahulu. Apa pandangannya terhadap kehadiran VVIP kita bincang kemudian.

Dua hari lepas saya bersama kawan-kawan telah pergi berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras masyarakat Siam Pendang. Beliau tegaskan kepada saya, macam mana pun kena jemput Ketua UMNO bahagian Pendang sebab saya belum jemput kerana khuatir akan wujud masalah. Bila dengar ungkapan itu, saya terduduk tak terkata. Setahu saya, Pengerusi MKK Padang Peliang (bekas Ketua UMNO Caw) dengan Ketua UMNO Bahagian pernah bertikam lidah. Ketua UMNO Bahagian juga baru-baru ini tidak melantik Ketua UMNO Cawangan Kg. Cina sebagai JKKKP tetapi lantik orang lain.

Dengan perasaan tanggungjawab, semalam saya beranikan diri memaklumkan kepada Pengerusi MKK Padang Peliang tentang kehadiran VVIP dan juga cadangan nak jemput Ketua UMNO Bahagian. Beliau melenting dan macam-macam beliau membebel dengan saya. Saya seolah-olah dalam keadaan tersepit. Umpama luah mati pak telan mati mak. Bukan senang, nak menyatupadukan masyarakat Siam. Ramai orang menulis dalam internet terutama melalui forum PEKEMAS rata-ratanya nakkan masyarakat Siam bersatu tetapi berapa orang sangat yang berusaha ke arah itu.

Tambahan pula, ada pihak menghubungi Ketua Sami Wat agar jangan beri kerjasama kepada PSK. Ini merupakan satu lagi cabaran untuk kami berusaha membina satu lagi bangunan untuk masyarakat Siam berhimpun. Sebelum ini kami berjaya membina Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam yang akan dijadikan pejabat PSK dan PEKEMAS setelah berlakunya peristiwa di salah satu wat di daerah Sik suatu ketika dulu. Di mana pihak kami pernah meminta kebenaran pihak ketua sami wat menggunakan dewan wat untuk bermesyuarat. Ketua sami wat tersebut dihubungi seseorang alajji melarang jangan memberi kerjasama kepada pihak kami. Semasa kami sampai, seolah-olah wat tersebut tidak berpenghuni. Kami terpaksa teruskan mesyuarat di kawasan wat tersebut setelah kami bergotong-royong membersihkan sekolah bahasa Thai dalam wat tersebut. Tragedi ini seperti apa yang berlaku di DUN Perak baru-baru ini, apabila terpaksa bersidang di bawah pokok.

Sunday, March 8, 2009

YB Mahdzir Khalid dan YB Suraya Yaakob sudi hadir.

YB Datuk Seri Mahdzir Bin Khalid, ADUN Pedu dan YB Suraya Bt Yaacob ADUN Sg. Tiang bersetuju hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PSK bagi kali pertama tahun 2008 di Dewan Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 13 Mac 2009 mulai jam 2.30 petang.

Dengan kehadiran 2 orang wakil rakyat tersebut membuktikan bahawa PSK mula mendapat tempat dalam arena politik di negeri Kedah untuk memperjuangkan kemajuan masyarakat Siam. Kehadiran mereka juga sebagai satu detik permulaan yang bagus kepada PSK sejak penubuhannya pada 7 Okt 2008 yang lalu.

Masyarakat Siam negeri Kedah amat mengalu-alukan kehadiran YB sebagai suntikan semangat untuk kami mencurah bakti kepada masyarakat Siam di negeri Kedah.

Wednesday, March 4, 2009

Notis Mesyuarat Agung Tahunan PSK Bagi Kali Pertama Tahun 2008.

Dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas, sukacitanya dimaklumkan bahawa PSK akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan mengikut Fasal 7 Undang-undang Tubuh Persatuan seperti berikut:

Tarikh: 13 Mac 2009 (Jumaat)
Masa: mulai jam 2.30 petang
Tempat: Dewan Wat Thepsuwannaram, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah.

Agenda Mesyuarat:
1. Ucapan Pengerusi PSK
2. Ucapan Perasmian oleh VVIP (jika ada)
3. Pengesahan Minit Mesyuarat Agung Penaja
4. Perbentangan Laporan Aktiviti Tahunan Bagi Tahun 2008
5. Perbentangan Laporan Kewangan Tahunan Bagi Tahun 2008
6. Pemilihan Jawatankuasa PSK Bagi Penggal 2009/2010
7. Bahas USUL (jika ada)
8. Pindaan Perlembagaan (jika ada)
9. Ucapan Penangguhan

Semua ahli PSK dijemput hadir untuk menyuarakan pandangan untuk kepentingan masyarakat Siam melalui saluran yang sah. Manakala bukan ahli PSK boleh hadir sebagai PEMERHATI sahaja.

Sekian, terima kasih.

Masyarakat Siam Kedah mahukan pemimpinnya bertaraf EXCO.

Hari ini, Persatuan Siam Kedah (PSK) menghantar surat kepada YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak, Menteri Besar Kedah Darul Aman mencadangkan perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah setaraf EXCO daripada pemimpin masyarakat Siam negeri Kedah. Pemilihan pemimpin tersebut hendaklah dilakukan melalui PSK.

Sebelum ini, kerajaan BN melantik YB Dato' Fong Chok Gin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah. Selepas itu, kerajaan PR pula melantik YB V. Arumugam sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Rata-rata masyarakat Siam di negeri Kedah bersetuju dan mengalu-alukan pengujudan jawatankuasa tersebut bagi menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat Siam di negeri Kedah. Tetapi kami tidak setuju EXCO-EXCO tersebut dilantik bagi menjaga kebajikan masyarakat kami. Pemimpin masyarakat kami juga berkemampuan untuk memimpin masyarakat kami sendiri di negeri Kedah jika dilantik.

EXCO yang lepas, tidak memahami kehendak masyarakat Siam. Mereka juga tidak memahami tentang permasalahan yang wujud dalam masyarakat Siam. Kami juga tidak pasti samada permasalahan yang wujud dalam masyarakat Siam di bawa untuk pengetahuan pihak atasan. Lebih menyedihkan lagi, bila kami mendapat tahu peruntukan beratus-ratus ribu RM yang diperuntukan oleh kerajaan sebelum ini tidak sampai kepada masyarakat Siam Kedah.

Bagaimanakah mereka boleh mewakili Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Kedah untuk menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat kami di negeri Kedah?

Oleh itu, pihak kami menyeru kepada Kerajaan Negeri Kedah supaya dapat melantik salah seorang daripada pemimpin PSK untuk mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Negeri Kedah setaraf EXCO.

Monday, March 2, 2009

Gambar kenangan Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam

Para tetamu antaranya ialah En. Thap Nakorn-In (Pusat Kebudayaan ASEAN, Betong, Thailand), En. Bun Yin Ai AN (Pengerusi Persatuan Siam Kedah), En. Siri Neng Buah (Pengarah Bahagian, Jabatan Warisan Negara), En. Osman Jamil (Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah), Wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand dan barisan jawatankuasa PEKEMAS bergambar kenang-kenangan di hadapan Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.



Para tetamu menikmati jamuan makan tengahari selepas para sami selesai menikmati jamuan makan tengahari. Antara masakan popular masyarakat Siam ialah Kheng Khilek.


Para sami menikmati jamuan makan tengahari di kawasan anjung Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.

Ven. Phra Visutthasillakhun, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis memberi restu dengan merenjis air jampi (Phrom Nammont) setelah selesai upacara penyerahan Sert Menora oleh En. Siri Neng Buah, wakil Jabatan Warisan Negara kepada En. Isin a/l Ayong (Menora Chai) selaku Ketua Menora.



En. Siri Neng Buah, Pengarah Bahagian, Jabatan Warisan Negara mewakili Pesuruhjaya Warisan Negara menyempurnakan simbolik penyerahan pakaian menora yang disumbangkan oleh Jabatan Warisan Negara sebanyak RM25,000.00 kepada wakil PEKEMAS.


En. Osman Jamil, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah menerima cenderamata dari wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand bagi pihak Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.

Para Sami menjalankan upacara keagamaan sebagai tanda perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam d/a Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 28.2.2009.

Ven. Phrakhru Suwandhammaphitak, Ketua Sami Daerah Sik turut serta dalam upacara perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam.


Orang kampung bergotong-royong menyediakan makanan dalam Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam d/a Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 28.2.2009.


Kehadiran En. Siri Neng Buah ke Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam. Beliau bersalaman dengan wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand dan diperhatikan oleh En. Uam, bekas Pengerusi JKKK Kg. Titi Akar dan En. Bun Yin, Pengerusi Persatuan Siam Kedah.

Sunday, March 1, 2009

Pengundi Siam tiada masalah di DUN Bukit Selambau.

Pagi ini saya menghadiri mesyuarat khas persiapan pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau. Setiap Ketua Daerah Mengundi diminta membentangkan hasil tugas masing-masing mengenai kedudukan kecenderongan pengundi dan isu-isu di kawasan yang dipertanggungjawabkan. Saya dikhaskan kawasan estet di Bukit Rusa.

Ada member saya Melayu dikhaskan di kawasan masyarakat Siam iaitu Pekan Bukit Selambau, Kuala Sin, Kg. Sungkup, Kg. Padang Sekawan dan Kg. Tanah Lincin. Beliau melaporkan bahawa masyarakat Siam di kawasan tersebut tiada masalah.

Saya tak berapa pasti lalu memberi pandangan mengatakan tak logik masyarakat Siam tiada masalah. Bukannya saya tak percaya kawan cuma mungkin orang-orang Siam sendiri tidak mahu berterus terang bila ditemuramah oleh bangsa lain. Akhirnya saya diminta untuk meninjau kawasan masyarakat Siam.

Saya pergi ke pekan Bukit Selambau jumpa kawan lama. Dia jawab masalah ada tapi dia perlu kumpulkan orang dulu dan berbincang dengan saya secara berkumpulan dan membuat temujanji esok jumpa di Wat Bukit Selambau.

Seterusnya saya pergi jumpa En. E Nudeng a/l Edin, Pengerusi JKKKP Kg. Padang Sekawan dan En. Bau, Pengerusi PSM caw. Bukit Selambau di Kg. Sungkup. Antara isu yang saya perolehi:
1. Masalah kemudahan asas seperti minitar - dah lama mohon tapi tak pernah dapat.
2. Masalah Sijil Pertanian Orang2 Siam - untuk memohon tanah rizab Melayu.
3. Masalah boleh jual tanah tapi tak boleh beli - tanah masyarakat Siam semakin berkurangan.
4. Masalah status Bumiputera - masih tak jelas sebab bila memohon hak bumiputera, ditolak.
5. Wakil masyarakat Siam yang tak sesuai untuk membela masyarakat Siam - sebelum ini Cina (Fong Chok Gin) dan India (Arumugam).
6. Masalah peruntukan sekolah bahasa Thai di wat.

Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam telah dirasmikan dgn jayanya.

Kelmarin, Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam, d/a Kampung Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah telah dirasmikan dengan jayanya.

Seramai lebih kurang 100 orang pemimpin masyarakat Siam dan penduduk setempat hadir ke majlis tersebut. Majlis tersebut dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong menyediakan makanan untuk 150 orang tetamu. Antara menunya ialah Kheng Khilek, Mhu masak kicap, sayur kobis, ikan goreng, namchup phaknok (ulam) dan tapai sebagai pencuci mulut. Ada juga orang kampung membawa makanan sendiri dari rumah.

Pada jam 10.30 pagi, para sami memulakan upacara Charen Phraphutthamont (Suat Mont) diketuai Ven. Phra Visutthasillakhun, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis, Ven. Phrakhru Suwanthammaphitak, Ketua Sami Daerah Sik, Ven. Phrakhru Dhammabal Phem, Pemangku Ketua Sami Wat Suwannaram bersama 5 orang lagi sami wat Suwannaram dan Wat Visutthipradittharam.

Seterusnya ucapan saya selaku Pengerusi PEKEMAS, ucapan Mr. Thap, wakil Pusat Kebudayaan ASEAN, ucapan En. Siri Neng Buah, Pengarah Bahagian Warisan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan ucapan terakhir En. Osman Jamil, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.

Wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan kepada Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam. Akhir sekali En. Siri Neng Buah mewakili Jabatan Warisan Malaysia menyampaikan pakaian Menora kepada En. Chai selaku Ketua Menora PEKEMAS sebagai simbolik penyerahan peralatan Menora yang disumbangkan oleh pihak kerajaan kepada PEKEMAS. En. Siri Neng Buah juga memaklumkan bahawa Menora telah diwartakan oleh Kerajaan Malaysia sebagai warisan negara pada 13 November 2008.

Majlis selesai pada jam 1.00 petang setelah para tetamu menikmati jamuan makan tengahari ala kampung. Saya bagi pihak PEKEMAS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis perasmian tersebut.