Thursday, September 8, 2011

Latar belakang masyarakat Siam Malaysia.

Masyarakat Siam Malaysia kebanyakannya menetap di kawasan utara Semenanjung Malaysia iaitu di Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan sebahagian kecilnya di negeri Terengganu. Masyarakat Siam dianggarkan berjumlah 60,000 (Bernama, 16 Disember 2008) masih belum mempunyai sebuah parti politik. Sebahagian besar daripada jumlah masyarakat Siam Kedah menetap di kedah iaitu berjumlah 30,000 orang (The Star, 25 April 2008) ,13000 orang di Kelantan ( Harakah, 4 Mei 2008), 6000 di Perlis dan 2000( Utusan Malaysia, 2 Disember 2008) di Perak.

Hampir kesemua Masyarakat Siam Malaysia menganuti ajaran agama Buddha, sama seperti masyarakat Thai di Thailand. Tempat beribadat mereka dikenali sebagai wat. Kebiasaannya, wat akan dijadikan tempat untuk masyarakat Siam bersembahyang ketika wan phrak (hari suci dalam agama Buddha). Di samping itu, masyarakat Siam di Malaysia akan mengunjungi wat ketika diadakan upacara buat phrak (masuk sami), pesta Songkran (tahun baru Siam) dan sebagainya lagi. Institusi wat juga berperanan sebagai institusi pendidikan agama Buddha yang menawarkan pendidikan dalam bahasa Ibunda masyarakat Siam, iaitu phasa Thai (Bahasa Thai) bermula dari peringkat anuban (pra-sekolah), pho 1- 3 ( peringkat tahun 1 hingga 3), peringkat ketiga dikenali sebagai nak tham tri, peringkat keempat dikenali sebagai nak tham tho dan peringkat kelima dikenali sebagai nak tham eak. Setelah seseorang anak siam berjaya lulus dalam peperiksaan bahasa Thai, mereka akan dianugerahkan dengan Sijil Dhammaseksa sebagai tanda bahawa seseorang Siam telah mendalami ajaran Buddha sepenuhnya.

Faktor penempatan masyarakat Siam di Malaysia di kawasan pedalaman dikatakan menjadi faktor utama yang menyebabkan mereka terpinggir dari arus permodenan berbanding dengan masyarakat Portugis di Melaka. Berbeza dengan masyarakat Siam Malaysia, masyarakat Portugis menetap di kawasan bandar iaitu di kawasan Ujong Pasir, di Melaka. Meskipun jumlah masyarakat Portugis di Malaysia lebih sedikit berbanding masyarakat Siam, penempatan mereka yang terletak di kawasan bandar mendedahkan mereka kepada sistem pendidikan, dan perniagaan. Melalui penglibatan mereka dalam bidang pendidikan dan perniagaan, masyarakat ini berpeluang untuk mencapai kesejahteraan hidup yang lebih baik daripada masyarakat Siam Malaysia yang menetap di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia. Dalam bidang perniagaan, Datuk Tony Fernandas merupakan tokoh korporat masyarakat Portugis yang terkenla di seluruh Malaysia. Malah dalam bidang perkhidmatan sekalipun, jumlah masyarakat Portugis yang bergelar golongan profesional adalah lebih ramai berbanding dengan masyarakat Siam Malaysia.

Bagaimanapun, masyarakat Siam di Malaysia pada hari ini telah mengalami penghijrahan dari segi pemikiran. Mereka sudah mula memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka, dan melibatkan diri dalam bidang perkhidmatan dan perniagaan. Dalam bidang sosial, sudah ada masyarakat Siam yang telah dilantik menjadi senator, profesor, dan banyak lagi. Kebanyakan mereka adalah berasal dari keluarga Siam yang menetap di kawasan luar bandar. Namun, beliau berpendapat, pendidikanlah yang telah membawa perubahan kepada masyarakat Siam pada hari ini.

Selama ini, masyarakat Siam terkenal sebagai penyokong setia kepada pucuk pimpinan kerajaan yang diterajui oleh Kerajaan Barisan Nasional. Sebagai membalas kesetiaan masyarakat Siam terhadap kerajaan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohammad menjelaskan bahawa seorang perwakilan bagi mewakili masyarakat minoriti Siam akan dilantik untuk membolehkan segala kebajikan masyarakat minoriti ini terjamin.

Bagi mengotakan janji tersebut, beliau telah mengumumkan perlantikan bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah, Charen Intachat ( kini Dato’ Charen) sebagai Senator masyarakat Siam pertama selepas 33 tahun penubuhan negara Malaysia. Pengumuman tersebut telah diumumkan semasa beliau mengadakan perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin dan masyarakat Siam dari seluruh Malaysia di Wat Visutthipradittharam, Kampung Titi Akar pada 4 Januari 1996. Perlantikan Charen Intachat sebagai senator pertama masyarakat Siam Malaysia merupakan satu penghormatan yang tidak ternilai harganya kerana perjuangan mereka selama ini untuk meminta agar pihak kerajaan melantik seorang wakil bagi mewakili masyarakat Siam di seluruh Malaysia telah tercapai.

No comments:

Post a Comment