Wednesday, September 14, 2011

Siri 1: Pengalaman Kerjaya Dalam Sektor Awam.

Pada 15 Disember 1993, saya telah melaporkan diri di Penjara Taiping sebagai Pegawai Penjara KX12. Saya terkejut apabila terlihat seorang pegawai yang saya kenali dan sekampung dengan saya semasa saya lapor diri iaitu Tuan Ong Chiang, Penolong Penguasa Penjara (sekarang Pengarah di Perak). Beliau jugalah yang melatih saya tentang subjek undang-undang penjara dan juga latihan kawad selama 2 minggu di Penjara Taiping sebelum dibenarkan bertugas dalam Penjara Taiping.

Sebelum ini bermacam-macam cerita saya dengar mengenai suasana di dalam penjara. Pertama kali masuk kawasan Penjara Taiping, perasaan takut dan perasaan ingin tahu bercampur-aduk. Akhirnya saya dapat juga merasai dan mengamati sendiri suasana di dalam penjara. Kawan2 yang sama2 bertugas dengan saya menganggap saya anak saudara Tuan Ong yang dimaklumkan oleh Tuan Ong Chiang sendiri kepada mereka. Mereka menghormati saya sama seperti menghormati Tuan Ong.

Saya menginap di berek bujang depan penjara. Apabila ada masa lapang saya akan pergi melepak di Wat Phothiyaram, Taiping. Pada ketika itu Phrakhru Thammabal Phem jadi Ketua Sami.

Pada 14 Julai 1994, saya telah diarah untuk menjalani latihan asas sebagai pegawai penjara di Pusat Latihan Penjara (Pulapel), Jalan Assam Kumbang, Taiping selama 3 bulan. Pengalaman dalam Pulapel, saya pernah lari keluar dari Pulapel dan tidur di Wat Taiping. Saya dapat ditangkap dan didenda dengan kawad basah oleh kem komanden. Cukup letih dan seksa sekali, sukar utk saya ceritakan.

Pengalaman yang amat bermakna bagi saya ialah saya berpeluang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 1994 mewakili Jabatan Penjara Malaysia di dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1994. Pada 14 September 1994, selepas tamat latihan saya ditempatkan di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Sebelum saya berhenti bekerja sebagai Pegawai Penjara KX12, saya berpeluang melawat Penjara Sungai Buluh yang baru dibina dan dilengkapi peralatan yang canggih.

Pada 24 Julai 1995, saya melaporkan diri sebagai Pembantu Penerangan di ibupejabat, Jabatan Penerangan Malaysia di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. Saya ditempatkan di Cawangan Perancangan dan Strategik, Bahagian Perkhidmatan Luar, Sivik dan Masyarakat (PLSM). Pengarah ketika itu ialah En. Yu Am Ping dan pegawai cawangan ialah Puan Mahani Yusoff. Saya telah menjalani latihan asas di IKIP, Pahang selama 2 minggu dibawah seliaan oleh Tuan Hj. Ibrahim Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Latihan (sekarang Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia).

Pada 16 Jun 1996, saya bertukar ke Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang dan ditempatkan di Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut. Pada 16 Mei 2005 saya ditukarkan ke Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu, Perak. Pada 1 Ogos 2008, saya dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Jabatan Penerangan Negeri Kedah di Cawangan GSPI sehingga sekarang.

No comments:

Post a Comment