Thursday, September 30, 2010

Mengundur secara terhormat utk mengukuhkan perpaduan masy, Siam Kedah.


Hanya tinggal 2 bulan lagi saya memegang jawatan sebagai Setiausaha PSK bagi penggal 2009/2010. Saya rasa dalam tempoh 2 tahun sudah cukup untuk saya mencurah bakti kepada masyarakat Siam Kedah sehingga berjaya menghidupkan semula persatuan yang dibubarkan sejak 1997.

Saya tidak mahu dituduh sebagai gila nama atau gila glamour dalam aktiviti kemasyarakatan. Sebelum ini, saya dah meluahkan pandangan saya ingin memberi peluang kepada orang lain untuk menerajui PSK. Saya akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada kepimpinan baru PSK.

Agar PSK dapat bergerak aktif sekali lagi. Di samping itu juga, PSK dapat menyatupadukan semula masyarakat Siam di negeri Kedah. Langkah2 untuk mengadakan kunjungan hormati kepada pihak atasan golongan sami adalah tindakan yang positif ke arah perpaduan kaum Siam di Kedah.

Saya akan sediakan laporan terakhir PSK menjelang Mesyuarat Agung Tahunan yang akan diadakan sebelum akhir April 2011 sebelum saya mengundur diri. Biarlah ahli-ahli PSK memilih satu barisan jawatankuasa yang baru, yang lebih berketerampilan dan berkemampuan untuk mewakili masyarakat Siam dalam semua bidang pembangunan.

Saya dah puashati dengan pencapaian dalam tempoh 2 tahun pertama penubuhan PSK. Harapan saya agar tahun2 seterusnya PSK akan lebih cemerlang lagi.

Tuesday, September 21, 2010

Eratkan perhubungan antara kaum yang berbeza anutan agama.




Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah dan Kelantan telah mendahului perlaksanaan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Masyarakat Siam negeri Kedah dan Kelantan tentu berasa bangga diatas pendekatan yang diambil oleh kepimpinan kerajaan negeri Kedah dan Kelantan menjemput para sami Siam ke Majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Hari Raya Puasa sebagai satu penghormatan kepada masyarakat Siam dan demi untuk mengeratkan perhubungan antara kaum yang berbeza anutan agama.

Para sami pula mempunyai beberapa peraturan yang perlu dipatuhi sebelum menerima sebarang jemputan. Sekiranya para pemimpin di peringkat kerajaan negeri betul2 prihatin dan ingin melihat semua pemimpin agama dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah maka halangan2 yang ada mudah saja dapat diatasi.

Pihak kerajaan negeri Kedah telah menjemput semua sami Siam Kedah ke Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Puasa pada 15 September 2010 manakala pihak kerajaan negeri Kelantan menjemput semua sami Siam Kelantan ke Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Puasa pada 19 September 2010.

Aktiviti sebegini seharusnya wajar diteruskan lagi di masa akan datang.

Monday, September 13, 2010

Jawatankuasa PSK mengunjungi Ketua Sami Kedah/Perlis.





Pada 11 September 2010, Jawatankuasa PSK telah mengunjungi Than Chau Khun Phraraj Thammathada, Ketua Sami Kedah/Perlis merangkap Pengerusi Persatuan Sami Siam Malaysia di Wat Thepbandit, Kg. Paya Mak Inson, Pendang, Kedah.

Barisan Jawatankuasa PSK diketuai oleh En. Nop Nai Samrong, Timbalan Pengerusi PSK mengadakan kunjungan hormat sambil mengadakan Majlis Sanggadana bertujuan mengeratkan perhubungan antara PSK dan Khanaksong Kedah/Perlis (Institusi Agama Buddha).

Dalam perjumpaan tersebut, satu sesi dialog diadakan di antara Ketua Sami Kedah/Perlis dengan barisan Jawatankuasa PSK. Than Chau Khun (Ketua Sami Kedah/Perlis) melahirkan perasaan bimbang terhadap apa yang berlaku terhadap beberapa wat Siam di Malaysia. Beliau amat mengharapkan kerjasama semua NGO yang diwujudkan dalam masyarakat untuk tampil membantu.

En. Nop Nai Samrong menjelaskan tentang penubuhan PSK bukannya ingin bersaing dengan sesiapa. PSK adalah NGO peringkat negeri yang akan mewakili masyarakat Siam di negeri Kedah sahaja. Sementara isu masyarakat Siam di peringkat yang lebih besar haruslah diberi tanggungjawab kepada NGO yang lebih besar.

En. Phiang menjelaskan bahawa beliau selaku Ketua Biro Agama PSK akan sentiasa menyanjungi khanaksong. PSK tanpa kerjasama dengan khanaksong, ia tak bermakna sebab masyarakat Siam sudah sebati dan menyanjung tinggi khanaksong tanpa boleh dipertikaikan lagi.

Saya selaku Setiausaha PSK menerangkan aktiviti2 yang telah dilaksanakan oleh PSK yang tidak langsung menunjukkan bahawa kita bermasalah dengan mana2 NGO lain. Tujuan utama ialah berkhidmat dan mewakili masyarakat Siam Kedah dalam arus pembangunan yang diabaikan selama ini.

En. Edin Chok pula menerangkan bahawa penubuhan PSK adalah lanjutan daripada Persatuan Siam Kedah/Perlis yang dibubarkan setelah masyarakat Siam diberi jawatan Senator pada 1997 atas kehendak pemimpin NGO peringkat kebangsaan. Seterusnya beliau mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras Masyarakat Siam Pendang dan akhirnya PSK dihidupkan semula oleh generasi baru. Beliau selaku bekas pengerusi akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada generasi muda.

Than Chau Khun memaklumkan bahawa beliau tiada masalah dengan penubuhan PSK. Katanya lagi, kebanyakkan ketua2 sami tidak pandai dalam bidang politik. Beliau berharap agar PSK dapat memainkan peranan mewakili masyarakat Siam dalam bidang politik agar masyarakat kita terbela. Khanaksong dan PSK haruslah bersatu dan berganding bahu membangunkan masyarakat Siam Kedah.

PSK telah melantik En. Phiang selaku Ketua Biro Agama sebagai wakil PSK utk berbincang dengan Than Chau Khun dalam hal ini. Semoga masyarakat Siam Kedah akan bersatu kembali untuk menunjukkan kekuatan sebelum PRU13.