Sunday, November 11, 2012

Wat Chindaram, simpan sejarah tersendiri.



Wat tertua di Malaysia dibangunkan semula


Wat Siam Chindaram atau lebih dikenali Wat Thanara terletak di Kampung Senara yang merupakan salah satu wat tertua di Malaysia dan dianggarkan berusia melebihi 200 tahun.

Wat ini dipercayai mula dibina pada awal Abad ke – 19. Ia begitu terkenal ketika masyarakat Siam menggelar negeri ini sebagai Saiburi walaupun tiada fakta atau bukti kukuh menunjukkan bila tarikh sebenar pembinaannya.

Than Sen merupakan pengasas dan ketua sami pertama berasal dari Tanah Besar China, namun selepas kematiannya, wat tersebut diambil alih Luang Phor Samukmark,  Acharn Lai dan diikuti Acharn Phet.

Pengerusi wat terbabit, Eiyu Din Loi, 67, berkata, tujuh tahun selepas zaman darurat, wat ini terpaksa ditinggalkan kerana keadaan huru-hara sehingga pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk dan menyediakan penempatan semula atas faktor keselamatan.

Menurutnya, ketika itu penduduk di kalangan masyarakat Siam terpaksa dipindahkan ke penempatan baru di Kampung Nangka Siam, manakala penduduk Melayu dipindahkan ke Kampung Lubuk Batu dan Kubur Panjang.

“Lebih 50 tahun wat kosong dan tidak digunakan sehingga dipenuhi semak. Penduduk di kalangan masyarakat Siam sekitar terpaksa menggunakan wat Siam di kawasan luar seperti di Kampung Nangka Siam dan Kampung China.

“Pangkalan yang digunakan pada masa dahulu masih lagi terdapat di tepi sungai dalam kawasan wat ini menyebabkan sejarah mengenai di sini sentiasa diingati dan disebarkan kepada anak-anak muda di kawasan sekitar”, katanya.

Hubungan masyarakat Melayu, Siam rapat

Hubungan masyarakat Siam dan Melayu di kawasan itu sangat rapat dari dahulu sehingga kini dan turut diakui seorang penduduk, Ismail Mahmud, 84, yang pernah merasai kehidupan pada zaman tersebut bersama-sama masyarakat Siam.

Menurutnya, orang Melayu turut ke wat tersebut bagi menjayakan perayaan seperti wayang kulit, dikir dan banyak lagi.

“Jumlah masyarakat Siam dan Melayu yang hadir ke wat itu  sama banyak memandangkan hubungan ketua sami dengan penduduk Melayu di kawasan sekitar sangat baik.

“Sami juga sentiasa memberi buah-buahan kepada penduduk Melayu di situ menyebabkan hubungan antara dua kaum itu menjadi rapat sehingga semua orang Melayu di sini fasih berkomunikasi dalam bahasa Thai dari semua peringkat umur sehingga kini,” katanya.

Ismail berkata, pada masa dahulu penduduk Melayu di kawasan ini tidak fasih berbahasa Melayu sehingga terpaksa belajar di kelas dewasa yang disediakan.

“Ketiadaan wat di Kampung Senara menyebabkan masyarakat setempat di kawasan itu berselerak kerana tidak boleh berkumpul di satu kawasan untuk mengadakan majlis atau perjumpaan,” katanya.

Kerja baik pulih bermula

Disebabkan wat menjadi keperluan masyarakat Siam di kawasan itu untuk menjalankan upacara keagamaan mereka, pada 20 Julai 2003 dua sami hadir untuk menetap di wat tersebut dan ahli jawatankuasa wat bersetuju membuat pembukaan semula secara rasmi dengan membaiki dan membangunkan semula wat, diketuai Prak Sanggarak Nu dan beberapa sami lain.

Eiyu berkata, kerja-kerja membaik pulih ubosoth (bangunan agama), membina kutik (penempatan sami), dewan makan, dewan pengajian bahasa Thai, bilik air, tembok dan pagar serta lain-lain yang dilakukan secara berperingkat.

“Ketika pada zaman darurat, wat ini mempunyai beberapa bangunan seperti bangunan agama, penempatan sami dan dapur, namun semua bangunan itu roboh akibat tidak digunakan kecuali bangunan agama.

“Terdapat dua rumah kecil berdekatan ‘Ubosoth’ di mana tempat itu dijadikan tempat menyimpan abu mayat pemimpin wat ini yang masih kekal sehingga hari ini,” katanya.

Katanya, wat ini mencapai kemajuan secara berperingkat untuk dibangunkan semula hasil sumbangan orang ramai dari kalangan agama Buddha setempat dan penduduk luar dan kini wat ini sedang dalam pembinaan membina sebuah bangunan baru yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Pernah jadi pusat persinggahan

Menurutnya, sejarah mengenai wat ini sentiasa diingati penduduk setempat apabila Wat Chindaram pernah menjadi pusat persinggahan perdagangan dan pengangkutan penduduk dari pedalaman ke pusat bandar Alor Setar.

Katanya, wat itu dijadikan sebagai pangkalan orang ramai yang menggunakan jalan air utama untuk membawa barang-barang perniagaan ke bandar menyebabkan keadaan di pangkalan begitu sesak apabila seluruh penduduk kawasan Pendang berkumpul.

“Berdekatan dengan wat ini juga terdapat beberapa kedai runcit dan sebuah balai polis untuk penduduk setempat berurusan,” katanya.


Penduduk berada di pangkalan sambil menunjukkan jalan air yang digunakan masyarakat dahulu.


 Antara bangunan yang ada di Wat Thanara suatu ketika dahulu.


 Ismail Bin Mahmud, salah seorang penduduk di sekitar wat.


Sebahagian bangunan lama yang masih ada di kawasan wat.



Sumber: Berita Harian, Ahad, 11 Nov 2012

Monday, November 5, 2012

Ibu hilang lepas keluar jemput kenduri.

 
PENDANG - Seorang anak perempuan merayu ibunya yang menghilangkan diri dengan alasan mahu menjemput tetamu menghadiri kenduri sejak lebih seminggu lalu agar pulang ke pangkuan keluarga kerana bimbang keselamatan dirinya.

Anak keempat daripada lima beradik, Enai Prom, 29 dari Kampung Wat Padang Peliang, di sini berkata, ibunya, Kiang Din Nin, 53, tidak pulang ke rumah selepas keluar jam 8 pagi pada 26 Oktober lalu.

Menurutnya, ibunya yang memakai seluar hitam dan baju berwarna ungu sebelum ini tidak pernah meninggalkan rumah dalam tempoh lama walaupun pergi ke tempat jauh.

Kami bimbang keselamatan ibu yang tidak dapat dikesan sejak hilang dan harap ibu pulang ke rumah secepat mungkin dengan selamat. - di sambung....//

Sumber: Metro, 5 Nov 2012.

Sunday, November 4, 2012

Pekemas setanding dengan NGO lain di Kedah.

Pada 2 November 2012, 3 orang wakil daripada Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (Pekemas) telah menghadiri Majlis Dialog NGO-NGO Kebudayaan bersama Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah di Taman Budaya, Pumpong, Alor Setar, Kedah.

Antara motif perjumpaan ialah untuk perbincangan ke arah pembangunan bidang kebudayaan pelbagai kaum di negeri Kedah. Disamping itu, dapat berkenalan dengan penggiat-penggiat seni seluruh negeri Kedah bersama pengarah baru Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah.

Pekemas merupakan persatuan tunggal mewakili kaum Siam Kedah dalam bidang kebudayaan. Dan berasa bangga apabila Tuan Pengarah Kebudayaan yang baru memberi jaminan akan sentiasa membantu dalam perlaksanaan aktiviti Pekemas.

Dalam Bajet 2013, PM telah mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk pembangunan kebudayaan. Tuan Pengarah akan maklumkan kemudian, bagaimanakah cara pengagihannya kepada NGO-NGO Kebudayaan di negeri Kedah.

Tuesday, October 30, 2012

Ibu hilang selepas jemput tetamu upacara keagamaan




PENDANG – “kami bimbang keselamatan ibu”, itulah luahan hati anak-anak dan suami kepada Kiang Din Nin, 53, dari kampung Wat Padang Peliang dekat sini, yang dikatakan tidak pulang ke rumah sejak 26 Oktober lalu.

Kiang Din Nin tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 8 pagi untuk menjemput penduduk kampung menghadiri majlis upacara sembahyang nenek moyang yang dijangka akan diadakan pada 9 November nanti.

Suaminya, Prom Iban, 58, berkata, dia terkejut apabila isterinya tidak pulang selepas keluar menaiki motosikal seorang diri dengan memakai seluar bersama kemeja T berwarna ungu.

“Ketika dia (isteri) keluar, saya berada di kebun dan anak bongsu memberitahu ibu tidak pulang lagi selepas memberitahu ingin pergi menjemput tetamu sekitar kampung ini untuk menghadiri majlis itu nanti.

“Saya hairan isteri tidak pulang sudah beberapa hari memandangkan tidak berlaku apa-apa pergaduhan antara saya atau anak namun sikap isteri berubah kerana dikatakan runcing memikirkan persediaan majlis terbabit sehingga tidak dapat tidur beberapa hari sebelum dilaporkan hilang”, katanya kepada Sinar Harian.

Prom berkata, dia dan anak-anaknya bimbang keselamatan isterinya yang ada menghadapi masalah mental namun penyakit itu tidak serius dan akan menyerang kadangkala sahaja.

Anaknya, Inai Prom, 29, berkata, dia dan penduduk kampung berusaha mencari ibunya di merata kawasan termasuk sekitar namun tidak berjaya.

Katanya, dia bimbang ibunya masih tidak pulang kerana majlis yang akan diadakan itu semakin hampir tetapi persiapan belum disediakan lagi.

Inai berkata, setiap hari mereka sekeluarga termasuk saudara mara berusaha mencari ibu sehingga buntu dan turut merujuk perkara ini kepada cara tradisional namun tidak berjaya.

Menurutnya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Tiang.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 019-3073221, 013-3896593 atau 019-5080556

Sumber: Sinar Harian 30 Okt 2012

Monday, October 29, 2012

Wanita Siam Padang Peliang hilang dari rumah.


Ini gambar Na Prik, Kg Padang Peliang , Pendang, Kedah yang hilang sejak hari Jumaat 26 Okt 2012. Pada mulanya dia nak pi beritahu adik beradik tentang Program Tayai dirumahnya pada 9 Nov 2012. Sampai hari ini beliau belum pulang ke rumah. Harap sesiapa yang mengenali Na Prik dan terjumpa dgn beliau, sila menghubungi ahli keluarga beliau secepat mungkin. Semasa keluar dari rumah beliau bawa duit RM30 dgn menunggang motor honda wave KCV 9305. Hubungi no hp: 019-3073221, 013-3896593 atau 019-5080556

Thursday, October 18, 2012

Kubur Siam Baling diceroboh.


Baru-baru ini kubur kaum Siam di Baling diceroboh oleh para penagih dadah untuk mendapatkan duit syiling yang dimasukkan ke dalam balang bersama tulang. Rasanya kaum Siam sendiri tidak melakukan perkara sehina begini sebab kaum Siam menghormati mereka yang telah meninggal dunia.

Kenapa keadaan jadi begini? Adakah di Malaysia ni kekurangan peluang pekerjaan sehingga sanggup mengambil jalan mudah utk mendapatkan wang. Sampai kawasan kubur pun tak dikecualikan daripada angkara puak penagih ini.

Sunday, October 14, 2012

Tanah Lot Kediaman telah diluluskan tetapi dimana lokasinya.

Ini dokumen kerajaan melalui Pejabat Tanah Daerah Baling yang dipegang oleh para peneroka mengenai kelulusan tanah lot kediaman kepada setiap peneroka ekoran tanah usaha mereka telah diambil oleh kerajaan untuk Projek Penyusunan Semula Pekan Baling pada 1986.

Pada 4 Mei 1986, kerajaan melalui sepucuk surat meluluskan tanah lot kediaman untuk semua pengusaha. Mereka juga telah melakukan cabutan undi untuk menentukan nombor lot masing-masing. Dalam surat itu, menyatakan bahawa kerajaan akan serahkan lot kediaman tersebut setelah siapnya penyediaan tapak yang sedang berjalan.

Rasanya pelik sungguh, selepas 25 tahun tapak yang dikatakan sedang disediakan itu masih belum dapat diserahkan kepada para peneroka.


Wednesday, October 10, 2012

PSK menganjurkan Perhimpunan Aman isu tanah Charok Nau, Baling.

Pada 23 Jun 2012, satu mandat telah diperolehi dalam Mesyuarat Jawatankuasa PSK di Kuala Nerang bahawa PSK akan membantu masyarakat Siam Baling bagi menguruskan isu tanah Charuk Nau, Baling.

Pada 5 Oktober 2012, lebih kurang 70 orang peneroka Siam Baling berbincang di Wat Phrasrimahapho, Kg. Simpang Empat, Baling dan bersetuju melantik PSK sebagai wakil kepada  mereka menguruskan tuntutan tanah lot kediaman yang telah diluluskan daripada kerajaan.

Pada 6 Oktober 2012, PSK mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi membincangkan bentuk tindakan yang akan diambil bagi membantu 82 peneroka antaranya 71 orang adalah kaum Siam dan 11 orang adalah kaum Melayu. Akhirnya mesyuarat memutuskan mengadakan Perhimpunan Aman di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Baling, Kedah.

Kenapa diadakan Perhimpunan Aman?

Sebab sejak tahun 1986, para peneroka telah berusaha untuk menuntut hak mereka daripada pelbagai pihak tetapi tidak diendahkan oleh pihak berkenaan. Maka dengan tindakan bersuara secara terbuka akan dapat menyampaikan keluhan rakyat bawahan ke peringkat atasan dengan lebih cepat lagi. Agar mereka mengambil perhatian segera bagi mengatasi masalah ini.

Pada 8 Oktober 2012, PSK mengadakan Perhimpunan Aman di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Baling yang disertai seramai lebih kurang 100 orang peneroka yang terlibat dan waris-waris kepada peneroka yang telah meninggal dunia.

Apa masalah sebenarnya?

Masalahnya ialah pihak kerajaan telah meluluskan satu lot kediaman untuk setiap orang peneroka seramai 82 orang bagi menggantikan tanah mereka diambil oleh kerajaan untuk penyusunan semula Pekan Baling. Sejak 1986 lalu, pengundian nombor lot telah dicabut oleh peneroka-peneroka untuk mengenal pasti lot tanah masing-masing tetapi sampai sekarang lokasi lot tanah kediaman tersebut tidak diketahui. Oleh itu, para peneroka telah bangkit semula untuk menuntut hak mereka selaras pelancaran Tema Hari Kebangsaan 2012, "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".












Bekas tentera rayu bantuan kos bedah tulang belakang


Wartawan Sinar Harian
5 Oktober 2012
Bekas tentera rayu bantuan kos bedah tulang belakang
Ishak Mat (kiri) melawat Som Chai yang terlantar sakit.

BALING - Seorang bekas tentera memerlukan sekurang-kurangnya RM12,000 untuk menampung kos pembedahan tulang belakangnya yang rosak sejak enam bulan lalu.

Som Chai Iprot, 46, dari Kampung Sirako Mukim Pulai hanya terlantar apabila tidak mampu melakukan sebarang pergerakan disebabkan masalah tulang belakangnya itu.

Menurutnya, doktor mengesahkan terdapat beberapa bahagian tulang belakangnya rosak dan dan perlu dirawat menggunakan kaedah pembedahan.

“Pembedahan itu melibatkan kos ribuan ringgit. Saya tidak mampu mencari wang sebanyak itu. Wang pencen saya hanya untuk keperluan harian dan kos ubatan,” katanya ketika menerima lawatan Penyelaras Dun Kupang, Ishak Mat.

Som Shai yang tidak mempunyai anak itu kini dibantu oleh abangnya, Soong Pong, 47, bagi  menguruskan kehidupannya.

Menurutnya, dia hanya bergantung kepada abangnya untuk menguruskan kehidupan termasuk membersihkan diri.

“Sekiranya saya ingin ke tandas, abang yang akan pimpin saya. Saya tidak selesa menggunakan lampin, jadi saya terpaksa kuatkan semangat dengan bantuan abang untuk uruskan hidup,” katanya.

Som Chai yang pernah bertugas di Kem Tentera Pengkalan Hulu bertugas selama 21 tahun dalam bidang ketenteraan sebelum berhadapan masalah itu.

“Saya tidak pernah terjatuh, masalah ini datang secara tiba-tiba. Pada awalnya, badan saya berasa lemah sehinggalah tidak mampu melakukan pergerakan berat,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak mendaftarkan namanya dalam persatuan bekas perajurit kerana tidak mendapat maklumat lengkap mengenai persatuan itu.

“Saya tidak tahu dengan siapa saya perlu jumpa. Saya tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai persatuan itu di sini,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank abangnya, Soong Pong Iprot  iaitu 102046003671 atau hubunginya ditalian 019-5666411.

Monday, September 10, 2012

Tak salah kita membantu.

Pada 8 September 2012, aku dan beberapa orang AJK Pekemas telah hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pendang di Kompleks UMNO Bukit Mak Inson.

Ada pemimpin Siam memaklumkan kepada pihak atasan mengatakan aku dan kawan-kawan merupakan penyokong kepada parti pembangkang.

Aku ni orang Siam maka aku sesuai cakap berkaitan masyarakat Siam. Tidak sesuai aku cakap tentang masyarakat lain, nanti orang kata masuk campur hal orang pula.

Mana-mana pihak yang tampil membantu masyarakat aku, akan aku sokong. Tak kiralah pihak itu daripada kerajaan Persekutuan atau pun kerajaan negeri. Dari pihak kerajaan atau pihak pembangkang. Orang nak bantu, apa salahnya.

Tujuan aku berpolitik di peringkat bawahan ialah ingin membantu masyarakat. Kalau ada pihak tampil membantu, kira oklah. Tujuan mereka yang berpolitik di peringkat atasan entah apa motif mereka, sehingga cuba menjejaskan periuk nasi orang apabila ada orang tak serasi dan tak sependapat dengan mereka.

Kalaulah penglibatan aku dalam UMNO tidak dapat untuk aku membantu masyarakat maka tidak gunanya aku terus kekal dalam UMNO. Buat masa sekarang UMNO masih relevan lagi sebagai tulang belakang utk masyarakat Siam bergantung dari segi pembangunan.

Aku berharap agar PM dapat menilai semula jawatan Senator kepada masyarakat Siam. Lantiklah mereka yang mendapat restu daripada masyarakat bagi mewakili masyarakat. Jangan lantik pemimpin yang masuk melalui pintu belakang.

Monday, June 18, 2012

Ramai mencurah bakti hanya segelintir dapat habuan.

Aku rasa sangat bahaya untuk menulis sebarang artikel pada saat-saat genting menjelang PRU13. Bermacam-macam tanggapan akan dibuat oleh pelbagai pihak mengikut citarasa kiblat mereka kepada mana-mana pihak politik.

Mereka boleh mencari kesalahan atau boleh memuji hasil penulisan aku mengikut kiblat sokongan mereka kepada mana-mana parti politik. Jika mereka berkuasa maka risiko kepada aku amat besar berbanding mereka yang tidak berkuasa dalam arena politik maka rendahlah risiko yang akan aku hadapi.

Apakah yang aku dapat drp penulisan aku ini? Rasanya tidak mendapat apa-apa habuan kecuali mala petaka yang sedang menanti. Kenapakah aku terus menulis? Jika aku tak menulis, siapakah yang akan mengetengahkan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh kaum minoriti Siam di Kedah. Kebanyakkan ahli politik Siam bertindak demi memenuhi kantung sendiri sahaja.

Mereka lebih suka menjaga pemimpin berbanding menjaga kebajikan kaum sendiri. Inilah realiti dunia masa kini yang kian mencabar.

Baru-baru ini kerajaan memberi peruntukan kepada Kg. Titi Akar, Kg. Tok Set dan Jitra. Masing2 mendapat RM500k (Sekolah Bahasa Siam), RM400k (Bina bangunan tambahan) dan RM300k (tempat pembakaran mayat). Para ketua sami Siam pula, masing-masing mendapat RM9k setiap seorang sebanyak 48 orang seluruh Kedah.

Berapakah yang telah diberi kerajaan kepada pengundi Siam Kedah? Kerajaan hanya memberi peruntukan RM1.2juta kepada 3 buah kampung Siam sahaja sedangkan seluruh Kedah ada 48 buah perkampungan Siam. Kerajaan hanya beri peruntukan RM432k kepada semua Ketua Sami Siam seluruh Kedah sedangkan pengundi-pengundi Siam Kedah yang berada bawah Persatuan Siam Kedah (PSK) tidak mendapat apa-apa peruntukan.

Bagaimanakah PSK memainkan peranan membantu kerajaan tanpa sebarang peruntukan? Adakah dengan mengumumkan, kaum Siam adalah Bumiputera dapat menyelesaikan semua masalah yang wujud? Tepuk dada tanya selera.

Sunday, May 27, 2012

Tahniah Jawatankuasa baru PSK 2012/2014.

PSK telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi kali ke 4 di Pendang Lake Resort, Pendang, Kedah pada 26 Mei 2012. Saya merakamkan tahniah kepada semua barisan Jawatankuasa baru PSK yang dipilih untuk penggal 2012/2014.

Pada pandangan saya, barisan jawatankuasa baru PSK ini cukup mantap. Harap mereka dapat bekerjasama berjuang dalam satu kumpulan bagi membela masyarakat Siam di negeri Kedah. Saya selaku bekas Setiausaha akan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya kepada barisan jawatankuasa PSK yang baru ini.

Antara mereka yang menerajui PSK ialah:
Pengerusi: En. Nop nai Samrong (Bekas Ketua Jabatan Narkotik, PDRM Penang)
Timbalan Pengerusi: En. Ai Cha Ran (Peguam)
Setiausaha: En. Tang (Pegawai Khas ADUN Pedu)
Pen. Setiausaha: En. Charen (Pekerja Swasta)
Bendahari: En. Po Chew (Pegawai JASA) dan
9 orang lagi AJK dipilih.

Monday, April 16, 2012

Calon Siam akan bertanding dalam PRU13.

Khabar angin mengatakan terdapat calon keturunan Siam akan bertanding dalam PRU13 di DUN Sungai Tiang dan DUN Pedu atas tiket Parti KITA. En. Chareon seorang ahli perniagaan akan diturunkan di DUN Sg. Tiang manakala En. Samransak, Pemain bola sepak Kedah akan bertanding di DUN Pedu.

Persoalan di sini kenapakah mereka tampil untuk bertanding dalam PRU13 sedangkan peluang untuk menang agak tipis? Mungkinkah generasi muda sekarang sudah matang dan mencuba nasib untuk membela masyarakat.

Saya lebih suka fokus kepada skop masyarakat Siam. Adakah selama ini kerajaan pinggirkan orang Siam? Adakah kerajaan melantik seorang senator di Parlimen tidak menepati kehendak masyarakat Siam? Adakah dengan kehadiran PM berjumpa dengan masyarakat Siam dan mengumumkan status Bumiputera Siam serta meluluskan sejumlah peruntukan untuk pembangunan Sekolah Bahasa Siam masih tidak memuaskan hati kaum Siam? Adakah kaum Siam masih kecewa dengan karenah birokrasi untuk mendapatkan Sijil Pertanian Org-org Siam yang tiada tanda-tanda dapat diselesaikan?

Bermacam-macam persoalan berlegar-legar di atas kepala saya, tentang kenapa dan mengapa keadaan ini berlaku. Saya dapat rasakan PRU kali ini akan menjadi medan pertempuran yang paling dahsyat yang pernah dilalui. Duit dan projek yang ditaburkan tidak boleh lagi mempengaruhi pemikiran orang muda generasi Y.

Apa pun, biarlah sistem demokrasi di Malaysia bertumbuh subur tanpa mewujudkan keadaan huru hara. Setiap pertandingan pasti ada kalah dan menang. Pihak yang kalah harus terima kekalahan dengan hati terbuka manakala pihak yang menang harus mentadbir negara secara adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia berdasarkan Perlembagaan yang telah ditetapkan.

Sunday, April 15, 2012

Pesta Songkran tidak wajar diharamkan.

Pesta Songkran merupakan pesta sambutan tahun baru bagi masyarakat Siam. Pada tahun ini, jatuh pada 7 April 2012 bersamaan Rem 1 kham dean 5 mengikuti kalender Siam. Pada tarikh 13 April 2012 adalah tarikh yang telah diselaraskan setiap tahun masyarakat Siam akan menyambut Pesta Songkran. Lazimnya pesta ini akan disambut dalam tempoh 15 hari iaitu mulai 7 April 2012 hingga 22 April 2012.

Aktiviti pertama masyarakat Siam sempena sambutan tahun baru ialah mengadakan sembahyang kubur bagi menghormati sanak saudara yang telah meninggal dunia. Dengan mengadakan aktiviti thambun atau pemberian dana kepada sami dipercayai hasil pahala akan dapat dinikmati oleh sanak saudara yang telah mati di alam yang lain.

Aktiviti seterusnya ialah upacara Takbart atau menyediakan makanan kepada sami adalah satu tanggungjawab penganut agama Buddha untuk memelihara perkembangan agama Buddha di kalangan penganut agama Buddha. Upacara ini tiada kaitan dengan Pesta Songkran tapi masyarakat Siam sentiasa mengamalkan aktiviti ini dari semasa ke semasa sebagai tanggungjawab seorang penganut agama Buddha untuk menyediakan makanan kepada para sami. Sempena Pesta Songkran aktiviti Takbart turut diadakan.

Aktiviti seterusnya ialah Loy Phe (hanyutkan rakit) iaitu bertujuan untuk menghapuskan dosa. Masyarakat Siam akan potong kuku, rambut berserta dengan sekeping kertas yang ditulis tentang niat kita sempena Pesta Songkran dan dihanyutkan ke dalam sungai. Ada yang melepaskan burung atau ikan sebagai tanda menghapuskan dosa.

Aktiviti seterusnya ialah memandikan patung Buddha, Sami-sami dan orang-orang tua. Sebagai tanda hormat kepada mereka dengan menyucikan diri mereka dengan air bersih. Seterusnya disediakan pakaian baru untuk mereka. Golongan muda akan memohon ampun dan maaf daripada orang-orang tua di atas kesalahan yang telah dilakukan. Sekiranya aktiviti ini dilakukan secara bersama di kawasan wat maka patung Buddha dan sami juga turut dimandikan dan sebaliknya jika dilakukan di rumah masing2 maka sekadar memandikan orang tua-tua yang berada di rumah kita sahaja.

Aktiviti terakhir ialah menganjurkan aktiviti sukan, hiburan dan seterusnya pesta air. Pengunjung-pengunjung daripada bangsa-bangsa lain juga dijemput untuk serta meraikan pesta ini dengan simbahan air dan di sapu bedak wangi.

Pesta Songkran merupakan aktiviti kebudayaan Siam bukannya aktiviti keagamaan. Masyarakat Siam akan melibatkan pesta ini dengan ritual agama Buddha hanya di kalangan penganut agama Buddha sahaja. Lazimnya masyarakat Siam yang beragama Buddha tidak boleh meminggirkan institusi keagamaan seperti wat dan sami dalam semua aktiviti kebudayaan dan adat resam.

Sekiranya terdapat tetamu yang beragama lain turut serta untuk meraikan Pesta Songkran ini, masyarakat Siam akan mengetepikan ritual agama Buddha demi untuk menjaga sensitiviti kaum di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

Tindakan Majlis fatwa Negeri Perlis mengharamkan umat Islam meraikan Pesta Songkran pada Ogos tahun lepas dan disiarkan akhbar Berita Harian pada 11 April 2012 adalah amat tidak wajar. Walaupun mereka tidak menghalang masyarakat Siam menyambut Pesta Songkran tetapi fatwa tersebut merupakan benteng perpaduan di kalangan masyarakat Siam dan masyarakat Melayu di negeri tersebut. Sedikit sebanyak ia akan menjejaskan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Tuesday, March 13, 2012

Aku Bumiputera Atau Najib Razak Yang Bersandiwara?

Posted on by Prasert E.C.

Di hadapan ribuan masyarakat Siam, di bumi Kedah, tanah kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang pertama, berdarah Siam, Tunku Abdul Rahman Putra, Datuk Seri Najib Razak, memperakukan bahawa kaum Siam ialah Bumiputera. Oleh itu, kaum Siam akan terus dibela seperti kaum Bumiputera lain. Beliau berkata kerajaan memberi jaminan akan memastikan masyarakat Siam mendapat apa saja kemudahan seperti diperuntukkan kepada golongan Bumiputera dan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pengumuman Perdana ini dilakukan di Karnival Kasih Perdana Menteri Bersama Masyarakat Siam di Kampung Tok Set, Kedah.

Pengakuan Najib ini mencetuskan pelbagai reaksi. Bagi orang Siam yang optimis dengan usaha YB Senator Boon Som, menyambutnya dengan gembira, melompat-lomp Bagi mereka yang tidak sealiran dengan Boon Som menyambutnya dengan sinis kerana ini bukan kali pertama Siam dikatakan Bumiputera oleh orang besar negara.

Beberapa rakan Facebook Perdana Menteri, terutama yang bukan Melayu berasa kurang senang. Mereka seperti cemburu. Mereka mendakwa adakah kerana kedatangan mereka sedikit lambat daripada orang Siam lantas tidak layak menerima taraf Bumiputera?

Mereka datang lambat atau cepat tidak timbul Ini bukan persoalannya. Persoalannya ialah kaum Siam bukan pendatang. Saya tidak gemar menggunakan istilah pendatang kepada mana-mana kaum. Jauh sekali melabelkan sesiapa sebagai pendatang. Semua orang ialah pendatang – dari alam ghaib datang ke dunia, kemudian akan kembali ke alam ghaib lagi. Namun, apabila soal kedatangan dikaitkan dengan kaum Siam, saya tidak boleh berdiam diri. Saya perlu memberi penjelasan kepada mereka yang kurang jels. Orang kurang jelas umpama tinggal di gua gelap.

Kaum Siam ialah golongan peneroka. Mereka meneroka bersama kaum Melayu – menebas dan menebang hutan belantara untuk membina kehidupan. Pergi ke perkampungan orang Siam dan perhatikan rumah, sawah, pokok dan sungai sama dengan masyarakat Melayu. Budaya dan adat resam pun tidak jauh berbeza. Perbezaan yang ketara cuma agama. Sekiranya benteng agama diruntuhkan, sukar untuk membezakan orang Siam daripada orang Melayu. Malahan, terdapat pakar budaya mengatakan bahawa orang Siam serumpun dengan orang Melayu. Berdasarkan persamaan ini, jika orang Siam pendatang, Melayu pun pendatang.

Namun, hakikatnya Melayu itu bukan pendatang. Melayu itu peneroka. Peneroka ialah pembuka tanah. Orang pertama atau generasi pertama yang membuka tanah hutan belantara.

Orang bilang berlaku penghijrahan di Asia Tenggara termasuk bumi yang dinamakan Malaysia ini. Dahulu bumi ini termasuk di dalam bumi bertuah yang digelar Suvanabhumi, atau bumi syurga. Pokoknya, ramai Melayu berasal dari Indonesia. Siam berasal dari Negara Siam. Ini tidak dinafikan. Menurut tokoh budaya, penghijrahan yang berlaku di dalam Nusantara tidak dianggap sebagai pendatang. Nusantara sebahagian daripada Suvanabhumi? Maka, Siam, biarpun ada yang berasal daripada Negara Siam (Thailand sekarang) bukan pendatang.

Najib berkata pengisytiharan bahawa kaum Siam adalah golongan Bumiputera telah dibuat sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra lagi. Betulkah begitu? Jika betul, bersyukurlah kerana kaum Siam telah diterima sebagai Bumiputera sejak kemerdekaan lagi. Persoalannya, kenapa kaum Siam tidak pernah menikmati “keistimewaan” sebagai Bumiputera? Atau Tunku cuma mengisytiharkan kaum Siam Bumiputera yang tidak layak menikmati hak-hak Bumiputera? Saya kurang pasti adakah pada zaman Tunku, orang Siam pernah menikmati hak-hak tersebut.

Jika kaum Siam telah lama diisytiharkan sebagai Bumiputera, kenapa baru sekarang persoalan ini timbul? Kenapa Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, ayahanda Datuk Seri Najib tidak pernah menyebut perkara ini? Beliau tidak tahu? Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, ayahanda Datuk Seri Hishammudin, Menteri Dalam Negeri juga tidak pernah menyentuh perihal Siam Bumiputera? Atau kedua-dua Perdana Menteri itu terlupa atau terlepas pandang kaum minoriti Siam?

Cuma pada zaman Tun Mahathir Mohamad, kaum Siam dilayan lebih dekat dengan Bumiputera. Mungkin Tun orang Kedah. Beliau pernah bergaul dengan Siam Kedah. ASB dibukan kepada orang Siam. Senator juga diberi kepada orang Siam. banyak lagi kemudahan lain yang dinikmati orang Siam pada zaman Tun Mahathir. Dan pada zaman ini jugalah ramai anak-anak Siam masuk IPTA. Orang kata Tun buka pintu universiti seluar-luasnya kepada anak-anak Siam kerana beliau sedar hanya pendidikan tinggi mampu mengeluarkan masyarakat minoriti Siam daripada belenggu kemiskinan.

Pada era Tun Abdullah Badawi, masyarakat Siam seperti hilang daripada pandangan. Mungkin kerana PRU 2004 memberi kemenangan besar kepada Umno-BN. Mungkin juga kerana beliau terlalu sibuk dengan Islam Hadhari. Atau sibuk dengan Khairy Jamaluddin yang gemar menghunus keris.

Najib Razak membawa harapan baru. RM200 ribu diberi kepada Siam kelantan. RM500 ribu dijanjikan kepada Siam Kedah.

Peliknya – ini yang bikin saya garu kepala lutut – jikalau Najib Razak tahu bahawa kaum Siam diisytiharkan Bumiputera sejak zaman Tuanku lagi, kenapa baru beberahari ini sahaja beliau membuka mulut? Sebelum ini beliau pernah bersama masyarakat Siam Kelantan tetapi tidak menyebut hal ini. Adakah kerana desakan kuat masyarakat Siam memaksa beliau membuka mulut? Beliau berkata permintaan masyarakat Siam untuk menjelaskan kedudukan mereka sebagai Bumiputera, bukanlah tuntutan yang tidak munasabah.

Dan yang lebih pelik lagi, sewaktu beliau jadi Menteri Pendidikan, sahabat saya pernah berjumpa beliau minta kelonggaran pelajar Siam masuk IPTA (termasuk UITM). Beliau berkata Siam bukan Bumiputera. Tiada dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Siam ialah Bumiputera. Sahabat saya itu beritahu saya bahawa Siam mungkin menghadapi zaman kelam jika Najib Razak jadi Perdana Menteri kerana anak kelahiran Pahang itu “tidak kenal” orang Siam. Mujurlah sangkaan itu tidak benar.

Setelah jadi Perdana Menteri, Najib Razak menjadi seperti orang hilang ingatan yang teringat kembali bahawa Tuanku Abdul Rahman pernah membuat pengisytiharan Siam ialah Bumiputera. Bila dan di mana tidak perlu dipersoalkan. Mungkin sebab itu jugalah beliau lantik sahabat saya itu ke jawatan Senator. Satu kejutan yang sukar diterima terutama calon-calon Senator lain. Pemimpin wanita segera telefon Nazri Aziz membuat bantahan kerana merajuk. Serba salah Nazri Aziz dibuatnya.

Perubahan Najib Razak – daripada Siam bukan Bumiputera sewaktu jadi Menteri Pendidikan kepada Siam Bumiputera selepas jadi Perdana Menteri umpama Misteri Nusantara di TV3. Anda percaya Misteri Nusantara itu benar?

Mari kita sorok sedikit politik Umno-BN selepas Tsunami 2008. BN sedar bahawa masyarakat di Semenanjung Malaysia telah menolak mereka. BN mengekalkan kuasa kerana Sabah dan Sarawak. Jika diambil kira jumlah pengundi, Pakatan Rakyat jauh lebih ramai. Namun, jumlah pengundi di kawasan yang di menangi PR sangat ramai, sedangkan pengundi di kawasan yang dimenangi BN sedikit. Kerajaan akan memecahkan kawasan majoriti penyokong BN kepada beberapa kawasan yang lebih kecil. Jadi, kawsaan Parlimen yang menyokong kerajaan semakin bertambah. Sedangkan kawasan pro pembangkang kekal sama; tidak dipecah-pecahkan biarpun jumlah pengundi ramai. Ini dasar “pecah dan perintah” BN yang diwarisi British.

Kerana majoriti pengundi Semenanjung Malaysia menolak BN, maka Bn terpaksa mencari jalan untuk menarik balik sokongan supaya kuasa kekal di tangan mereka. Najib pernah berkata BN akan pertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir. Betapa pentingnya Putrajaya kepada BN. Oleh sebab itulah pelbagai cara digunakan untuk menarik sokongan rakyat – halal dan tidak halal. Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan Siam dijanjikan peruntukan. Walaupun tidak semua ditunaikan, sekurang-kurangnya mampu mendiamkan rakyat seketika.

Orang Siam sekarang lebih bijak. Mereka belum berpuas hati dengan peruntukan semata-mata. Mereka mahu masa depan lebih terjamin. Di bawah Senator baru, Siam diangkat namanya kepada Bumiputera Siam bersama beberapa permintaan yang masuk akal. BN merasakan permintaan tersebut harus ditunaikan sebelum PRU-13 kerana undi orang Siam menjadi penentu beberapa kawasan Parlimen/DUN di Kedah. Maka Najib pun mengisytiharkan Siam ialah Bumiputera sebagaimana yang dkehendaki masyarakat Siam. Sebelum ini ada Menteri membuat pengakuan yang sama tetapi orang Siam belum berpuas hati. Mereka mahu mendengar daripada mulut Perdana Menteri sendiri.

Maka tidak hairanlah sekiranya ada pihak mendakwa Perdana Menteri “bermain politik” dengan masyarakat Siam. Dalam politik, pemimpin tidak boleh menolak kehendak rakyat tanpa sebab yang munasabah. Buruk padahnya. Mengaku Siam Bumiputera tidak rugi apa-apa kepada BN. Siam tidak ramai. Peruntukan yang digunakan untuk “mengurus” pendatang asing tanpa izin jauh lebih banyak daripada menguruskan hak-hak Bumiputera masyarakat Siam.

Namun, sekadar pengisytiharan. Pelaksanaannya belum tahu. Jabatan kerajaan tidak akan melayan Siam sebagai Bumiputera selagi tiada arahan daripada Ketua Setiausaha Negara. Jadi, PM mesti mengarahkan KSN keluarkan pekeliling kepada semua jabatan kerajaan. Sudikah PM melakukannya? Jikalau tidak sudi, maka orang Siam akan menganggap PM sama seperti Menteri lain yang bersandiwara.

Copy daripada laman http://satumalaysia.wordpress.com/