Tuesday, January 26, 2010

Menteri melawat Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Datuk Seri Utama Mohd. Rais Yatim akan melawat Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam di Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 8.2.2010 jam 5.00 petang.

Sebelah pagi YB Menteri menghadiri program Jabatan Arkib Negeri Kedah. Seterusnya beliau menghadiri program "Sepakat Bestari" di Charok Kudung, Pendang pada jam 2.00 petang.

YB Menteri berhasrat ingin berjumpa dan berbual dengan masyarakat Siam secara bersantai. Tidak terlalu formal. Oleh itu, saya bercadang menjemput YB Menteri ke Pusat Kebudayaan masyarakat Siam dalam program "Singgah Sebentar" sambil makan buah-buahan.

Saya selaku Pengerusi Pekemas akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai perkara ini bersama-sama semua pengerusi JKKKP daerah Pendang pada 29.1.2010 (Jumaat) jam 3.00 petang ini.

EDIT pada 27.1.2010
Ekoran lawatan ke lokasi program oleh Jawatankuasa Induk Persiapan Lawatan Menteri, mereka mencadangkan mengadakan program tersebut di Wat Dangpleng sebab di Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam kawasannya sempit dan tiada tempat letak kereta.

Monday, January 25, 2010

Kunjungan hormat MB Kelantan.


Pada 1 & 2 Februari 2010, Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKN) yang diketuai Presidennya iaitu YB Dr. Hamdan, EXCO Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman akan membuat rombongan melawat Negeri Kelantan.

Rombongan MKN bertolak pada 1.2.2010 jam 9.00 pagi dan menginap di Hotel Raudah, Kota Bharu. Makan malam disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada 2.2.2010, jam 9.00 pagi, rombongan MKN akan mengunjungi pejabat YB EXCO Kebudayaan Negeri Kelantan dan seterusnya membuat kunjungan hormat kepada YAB Menteri Besar Kelantan.

Turut serta dalam rombongan MKN ialah 22 orang ahli Majlis MKN dan turut serta ialah 4 orang ADUN negeri Kedah Darul Aman. Saya selaku Pengerusi Pekemas akan mengikuti rombongan tersebut selaku ahli majlis MKN. Ini adalah aktiviti kebudayaan dan tiada kaitan dengan unsur politik.

Tuesday, January 19, 2010

Kenapa PSK sunyi ye?


Semalam ada seorang kawan berketurunan Siam yang juga merupakan seorang pegawai polis dari cawangan SB dari IPK Alor Setar menghubungi saya. Beliau bertanya khabar dan tanya saya tentang perkembangan terkini dalam politik masyarakat Siam kita di Kedah.

Antara pertanyaannya ialah kenapa PSK sunyi je, tak buat apa-apa aktiviti ke? Pada pandangan saya, bukan hanya dia seorang sahaja yang beranggapan begitu. Mungkin ramai lagi masyarakat Siam kita tidak tahu tentang perkembangan PSK. Mungkin ada yang tahu tapi buat-buat tak tahu dan ada juga yang langsung tak ambil tahu.

Kepada mereka yang tak mahu ambil tahu, saya tak kisah sangat. Mungkin suatu hari nanti apabila masalah sampai ke batang hidung diaorang maka masa itulah mula nak fikir untuk minta pertolongan daripada PSK. Untuk berhubung dengan agensi tertentu seperti agensi kerajaan, suara daripada NGO lebih didengari daripada suara individu.

Kepada mereka yang masih ingin mengikuti perkembangan PSK dan ingin mengambil tahu, saya dengan rela hatinya ingin memberi sedikit penjelasan.

Sebenarnya PSK masih aktif seperti biasa. Pihak kami masih mengadakan mesyuarat bagi membincangkan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat kita. Keberkesanan PSK bukannya terletak kepada pelaksanaan aktiviti seperti Pesta Songkran atau Pesta Loy Krathong sahaja. Kedua-dua pesta ini, walaupun tanpa PSK masyarakat Siam tetap akan anjurkan di kebanyakkan perkampungan Siam.

Kerberkesanan PSK sebenarnya ialah cuba mengatasi permasalahan yang berlaku dalam masyarakat Siam seperti masalah tanah, masalah kubur, masalah wat, masalah kebajikan dan sebagainya. Sekiranya pihak PSK mendapat aduan daripada mana-mana Ketua Kampung maka pihak PSK akan menghulurkan bantuan. Pihak PSK akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan setiap aduan tentang permasalahan yang wujud dalam masyarakat Siam.

Sekiranya pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat kampung tidak mengambil inisiatif untuk membantu anak kampungnya sendiri maka PSK tidak terdaya untuk membantu mereka. Tanpa jemputan PSK tidak akan masuk campur dalam urusan pentadbiran di setiap kampung. Pihak PSK akan cuba atasi masalah orang kampung yang di luar kemampuan ketua kampung untuk atasinya.

Harap fahami situasi PSK sebagai suara masyarakat Siam Kedah. Kami akan bersuara apabila perlu. Orang yang cakap pandai tak semestinya mampu mengatasi masalah orang2 kampung. Orang yang cuba membantu tak semestinya semua masalah dapati diatasi.

Tuesday, January 12, 2010

Penubuhan Pekemas dan PSK untuk membangunkan masyarakat Siam Kedah.

Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (Pekemas) ditubuhkan pada 5 Mei 2008. Tujuan penubuhannya adalah ingin membantu memelihara kebudayaan kita di Malaysia. Pekemas juga menjadi wakil kebudayaan kita dengan agensi2 lain seperti Majlis Kebudayaan Negeri Kedah dan Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah.

Aktiviti berkaitan kebudayaan Siam, Pekemas akan dijadikan medium oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan persekutuan untuk dirujuk dan mohon kerjasama. Berbagai-bagai aktiviti telah dilaksanakan bersama antara pekemas dengan pelbagai agensi. Kebanyakan bekas pemimpin PBTM berada dalam jawatankuasa Pekemas setelah PBTM tidak didaftar semula dengan KBS.

Persatuan Siam Kedah atau Kedah Siamese Association (PSK) ditubuhkan pada 7 Oktober 2008. Tujuan asal penubuhannya adalah sebagai saluran alternatif untuk membangunkan masyarakat Siam negeri Kedah. Sebelum ini masyarakat Siam negeri Kedah menubuhkan Kedah/Perlis Siamese Association. Persatuan tersebut telah dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1997.

Ada sumber mengatakan Datuk Charern Intachat selaku senator meminta semua NGO dalam masyarakat Siam dibubarkan dan hanya bernaung di bawah PSM sahaja setelah PSM ditubuhkan pada 1996.

Ada sumber mengatakan ada pemimpin Kedah/Perlis Siamese Association tidak puashati dengan perlantikan Datuk Charern sebagai senator lalu mengabaikan persatuan tersebut sehingga tidak menghantar sebarang laporan tahunan kepada pihak ROS.

Selepas itu, masyarakat Siam negeri Kedah tidak mempunyai NGO untuk mewakili mereka di peringkat negeri Kedah. Hanya ada PSM yang merupakan NGO di peringkat kebangsaan yang tidak mempunyai cawangan di peringkat negeri Kedah. Cuma ada cawangan di peringkat daerah dan kampung. Ada satu cawangan namanya Cawangan Kedah Selatan tetapi hanya merangkumi beberapa kampung di kawasan selatan Kedah sahaja.

Sukar untuk pihak kerajaan negeri Kedah berurusan dengan masyarakat Siam negeri Kedah secara lebih menyeluruh. Oleh itu, atas usaha beberapa orang veteran maka tertubuhnya PSK bagi menggantikan Kedah/Perlis Siamese Association. Sebelum ini, saya pernah cuba tubuh PSK iaitu pada tahun 2004 tetapi mendapat halangan daripada pihak atasan. Kami tidak putus asa, akhirnya berjaya ditubuhkan pada 7 Oktober 2008.

Saya harap Pekemas dan PSK tidak dipersalahkan sekiranya PSM dibubarkan di atas kelalaian mereka sendiri yang tidak bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai pemimpin.

Monday, January 11, 2010

Teruslah berjuang untuk remaja Siam di Malaysia.


Saya amat kagum dengan perkembangan terbaru golongan Alumni Ruamthai. Pada 12 & 13 Dec 2009 yang lepas mereka telah mengadakan Perjumpaan Alumni Ruamthai ke 3 di Wat Chetawan, Petaling Jaya. Turut hadir ialah Than Bun dan juga Than Phiang daripada Kelantan.

Saya amat sanjung kesungguhan Than Bun dan Than Phiang menjadi tulang belakang kepada pergerakan Ruamthai hampir 20 tahun. Saya rasa tiada orang yang bergelar Bhikkhu seperti beliau yang sanggup berkorban demi untuk membantu dan memimpin anak-anak Siam kita pada hari ini.

Kebanyakan golongan bhikkhu hari ini lebih fokus kepada projek mencari duit dan juga pangkat. Tiada siapa yang sanggup berkorban untuk membangunkan modal insan di kalangan remaja Siam kita pada hari ini.

Saya berharap agar mereka yang terlibat dengan kerja-kerja sosial ini terus berjuang. Pentingkanlah kualiti dan jangan goyah dengan kuantiti yang kecil. Jangan mudah putus asa bila menghadapi masalah. Terus bangkit berjuang walaupun jatuh. Saya percaya suatu hari nanti orang buta pun akan nampak hasil usaha anda.

Walaupun saya juga pernah jadi Setiausaha Seminar Ruamthai, saya tak dapat hadir kerana ada komitmen lain. Saya akan sentiasa bersama-sama dengan masyarakat Siam tetapi dalam landasan yang berbeza dan lebih mencabar. Saya berharap agar kita akan bergabung suatu hari nanti walaupun kita berada dalam landasan yang berbeza. Tetapi perjuangan kita tetap sama.

Saturday, January 9, 2010

Jemputan Ke Program Gathering Ahli Forumer Pekemas.


Saya selaku Webmaster Forum Pekemas dan blogger JST menjemput semua blogger dan pengunjung blog JST serta ahli forum Pekemas ke Program Gathering Ahli Forumer Pekemas seperti berikut:

Tarikh: 13.2.2010 (Sabtu)
Masa: Mulai 8.00 malam
Tempat: Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam, Kg. Wat Padang Peliang.

Dijemput semua hadir beramai-ramai. Kami juga sediakan set karaoke untuk anda semua berhibur. Member2 dari Perlis juga berjanji akan datang join dgn kami.

Thursday, January 7, 2010

Kecewa PSM tak buat AGM selagi tak dapat jawatan Senator.

Sebentar tadi seorang veteran PSM telah menghubungi saya. Beliau mengeluh mengenai masa depan PSM. Dia minta tolong saya, sebarkan luahan beliau melalui internet. Beliau bernama Puan Giam a/p Eam, bekas Pengerusi JKKKP Kg. Chong, Sik, Kedah.

Baru-baru ni, beliau menghadiri mesyuarat AGM PSM cawangan Sik. Beliau amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa PSM Pusat tidak akan mengadakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan bagi tahun 2008 selagi PM tidak melantik senator di kalangan calon yang diserahkan oleh PSM.

Puan Giam berkata, "jawatan Senator tiada kaitan dengan PSM. Beliau semasa memegang jawatan AJK UMNO Bahagian Sik dan juga Ahli Majlis Daerah Sik pada 1995 telah membuat usul memohon jawatan Senator kepada kerajaan mewakili masyarakat Siam di Dewan Negara. Tiada kaitan langsung dengan PSM. PSM pun wujud selepas kerajaan melantik Datuk Charern Intachat sebagai senator bagi mewakili masyarakat Siam.".

Tambah beliau lagi, jawatan Senator adalah atas usaha pemimpin-pemimpin UMNO bagi membantu kerajaan dengan menarik sokongan masyarakat Siam terhadap BN. PSM wujud selepas jawatan Senator dilantik untuk mewakili masyarakat Siam di Parlimen. Penubuhan PSM pula adalah untuk membangunkan masyarakat Siam Malaysia dan membantu senator ketika itu untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil masyarakat Siam".

Puan Giam amat sedih sejak 2 orang Senator Siam telah dilantik. Tiada langsung perkembangan dalam masyarakat Siam yang dapat dibanggakan. Masalah sekecil seperti status bangsa (siam atau Thai) pun tidak dapat diatasi. Ditambah pula, cuba memecahbelahkan masyarakat Siam dan sekarang cuba melibatkan golongan sami pula dalam kancah politik kotor.

Tindakan pemimpin PSM tidak mengadakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan PSM kerana jawatan senator tidak dilantik adalah tidak wajar. Dalam pemilihan jawatankuasa baru peringkat PSM cawangan Sik, beliau minta supaya jawatankuasa lama kekal untuk memperbaiki kesilapan mereka. Kata beliau lagi, "Jangan serah rumah buruk untuk orang lain. Baiki dulu rumah tu, barulah serah kepada orang lain".

Inilah luahan salah seorang veteran pemimpin masyarakat Siam yang dianggap seorang aktivis masyarakat Siam pada zaman 70-an hingga sekarang. Pernah menjadi ketua kampung lebih daripada 20 tahun. Pernah menganggotai Jawatankuasa UMNO Bahagian Sik dan beberapa lagi jawatan dalam politik.

Harap para pemimpin PSM sedar kesilapan mereka yang boleh menghancurkan harapan bangsa terhadap PSM. Akhir sekali, beliau meminta saya meletakkan nombor telefon beliau sekiranya ada sesiapa yang tidak puashati terhadap keluhan beliau ini. Hubungilah beliau di talian 019-4784857.

Tuesday, January 5, 2010

Betul ke Mr. Opat akan dilantik sebagai senator mewakili masyarakat Siam Malaysia di Parlimen?


Saya mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai mengatakan PM akan mengumumkan perlantikan senator ke 3 bagi mewakili masyarakat Siam di Malaysia.

Senator pertama mewakili masyarakat Siam Malaysia di Dewan Negara ialah Dato' Charern Intachat yang dilantik pada 1996. Manakala senator ke 2 mewakili masyarakat Siam di Dewan Negara ialah Datuk Siw Chun a/p Eam dilantik pada tahun 2003.

Saya mendengar khabar mengatakan Senator ke 3 ni bukannya daripada calon-calon yang telah dikemukakan kepada pejabat PM daripada beberapa persatuan yang mewakili masyarakat Siam Malaysia antaranya PSM, PMSK, PESILA atau JKKKP.

Saya juga terkejut apabila mendapat tahu calonnya adalah berasal dari kampung isteri saya. Rumahnya juga tidak jauh daripada rumah saya iaitu Datuk Muhamad Ikmal Opat Bin Abdullah berasal dari Kg. Thai Pegang, Baling, Kedah. Beliau telah memeluk agama Islam dan merupakan Pengarah Urusan Syarikat Widad Agrofarm Sdn. Bhd, pejabatnya di Jalan Stadium, Alor Setar berhampiran Wat Nikhodharam.

Saya pun tak pasti, institusi manakah yang mencalonkan beliau mewakili masyarakat Siam Malaysia di Dewan Negara. Walau bagaimana pun, saya hormati keputusan PM sekiranya betul Datuk Opat dipilih sebagai senator bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen.

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk.

Monday, January 4, 2010

PSM dah tak bermaya.


Hari ni merupakan hari ke 4 dalam tahun baru 2010. Tapi sayangnya PSM sampai sekarang belum adakan Mesyuarat Agung lagi bagi tahun 2008 dan ditambah pula dengan tahun 2009. Boleh ke kita adakan serentak AGM tahun 2008 dan tahun 2009 pada tahun ini?

Nampak seakan-akan PSM dah tak ada undang-undang tubuh persatuan. Kalau ada, mesti mereka akan ikut dan patuhinya. Kalaulah pemimpin sendiri tidak ikut perlembagaan macam mana anak buahnya nak ikut pemimpin.

Mereka sentiasa laungkan PSM mewakili masyarakat Siam seluruh Malaysia. Kenapa perkara sekecil seperti ini sukar bagi pemimpin kita untuk lakukannya? Bagaimana nak lakukan perkara yang besar untuk masyarakat Siam sedangkan perkara kecil pun dah tak mampu.

PSM ibarat bas buruk yang tak mampu untuk bergerak lagi bagi membawa penumpangnya ke destinasi yang ditujui. Ramai penumpang dah turun mencari kenderaan lain. Inilah nasib apabila suara akar umbi kita abaikan.

Saya juga sayang pada PSM tapi apakan daya untuk saya membantu sekiranya orang ramai dah muak dengannya.