Monday, March 29, 2010

AGM Persatuan Siam Kedah berjaya diadakan.

Mesyuarat Agung Tahunan PSK bagi kali ke 2 Tahun 2009 berjaya diadakan di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26 Mac 2010 jam 2.00 petang. Kehadiran ahli agak berkurangan berbanding dengan AGM yang lalu tetapi cukup korum. Ini kerana terdapat beberapa faktor antaranya:

1. Faktor pertama, kesesuaian tarikh mesyuarat AGM

Tarikh tersebut bersamaan dengan beberapa majlis lain yang dianjurkan oleh masyarakat kita antaranya Majlis di kubur (Cheng Beng), majlis perkahwinan dan sebagainya. Tarikh mesyuarat agung tidak dapat dielakkan sebab berdasarkan perlembagaan ia terpaksa diadakan sebelum 30 Mac setiap tahun. Maka pihak kami tidak dapat menunda lagi tarikh tersebut setelah sekali tunda iaitu dari 19 Mac kepada 26 Mac.

2. Faktor ke 2, mungkin kerana ketiadaan para VVIP merasmikan AGM tersebut.

Kebanyakkan ahli politik berminat hadir ke majlis yang dihadiri oleh VVIP sahaja. Kebanyakkan ahli-ahli PSK adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik dalam masyarakat Siam. Pihak kami tidak menjemput para VVIP untuk merasmikan AGM tersebut kerana pihak kami ingin menjaga perasaan ahli-ahli PSK yang berlainan fahaman politik. Pihak kami ingin melihat perpaduan wujud dalam masyarakat Siam Kedah tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur politik. Biarlah ahli yang hadir itu, ikhlas hadir dengan tujuan ingin bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat Siam, bukannya hadir kerana ingin menunjuk muka kepada para VVIP.

3. Faktor terakhir ialah AGM tahun ini tiada pemilihan Ahli Jawatankuasa baru PSK.

Mengikut perlembagaan PSK, pemilihan Jawatankuasa PSK akan dilakukan 2 tahun sekali. Tempoh jawatankuasa sekarang akan tamat pada tahun hadapan. Oleh itu, pemilihan tersebut hanya dapat dilakukan pada AGM akan datang. Walau bagaimana pun, AGM kali ini memilih seorang AJK baru iaitu Cikgu Gian bagi menggantikan seorang AJK yang tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut. Mengikut perlembagaan PSK fasal 8.8 sekiranya mana-mana AJK tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut tanpa sebab akan dianggap telah meletakkan jawatan.

Manakala seorang lagi AJK lantikan juga tidak hadir 3 kali berturut-turut, Pengerusi mengambil keputusan melantik En. Camrat (Pengerusi JKKKP Kg. Huma, Jitra) untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini bermakna pihak PSK telah melantik 2 orang AJK baru yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan.

Beberapa usul telah diluluskan dalam AGM tersebut antaranya berkaitan tanah, sijil pertanian orang2 Siam, masalah pelajar IPTA, kerjasama dengan institusi keagamaan dan usul penubuhan koperasi. Beberapa pindaan perlembagaan PSK diluluskan bagi memantapkan lagi PSK antaranya ialah menambahkan yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM100 bagi memudahkan ahli2 PSK yang berada jauh membayar yuran dan pindaan logo baru PSK.

Pihak PSK juga buat pertama kali memperkenalkan baju korporatnya dalam AGM tersebut bagi menampilkan imej PSK di kalangan umum. Semoga PSK menjadi saluran baru bagi mewakili masyarakat Siam Kedah.

Sunday, March 28, 2010

Tarian Tradisional Siam diciplak ala Gagasan 1Malaysia.


Saya selaku pemimpin dalam persatuan kebudayaan Siam berasa amat kecewa sekali apabila tarian Siam diciplak untuk kepentingan pihak tertentu. Banyak majlis rasmi kerajaan di negeri Kedah, saya dapati ada persembahan tarian pelbagai kaum antaranya tarian Melayu, Cina, India dan Siam.

Persembahan semua kaum amat sesuai sekali dengan konsep yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu Gagasan 1Malaysia bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia pelbagai kaum. Setiap program kerajaan yang dianjurkan haruslah melibatkan semua kaum. Semua kaum tidak diabaikan dan diberi peluang samarata. Inilah yang difahamkan tentang Gagasan 1Malaysia pada pemahaman saya.

Saya amat kecewa sekali apabila mendapat tahu perkara sebenarnya disebalik lakonan persembahan tarian pelbagai kaum. Sebenarnya hanya satu kaum sahaja memonopoli tarian tersebut. Bukannya semua kaum terlibat walaupun tarian tersebut merangkumi pelbagai kaum. Saya sokong konsep 1Malaysia tetapi tidak setuju dengan cara pelaksanaannya yang mengabaikan kaum minoriti terutamanya dalam aktiviti kebudayaan.

Pada 13 Mac lepas, saya menghadiri satu Majlis Dialog NGO-NGO kebudayaan seluruh Kedah yang dianjurkan oleh satu badan kerajaan. Saya selaku pengerusi sebuah NGO yang mewakili kebudayaan masyarakat Siam membangkit isu ini dalam majlis dialog tersebut dengan hasrat memohon jasa baik pihak kerajaan membenarkan kaum Siam sendiri membuat persembahan tarian Siam di majlis-majlis rasmi kerajaan. Supaya ketulinan dan keaslian tarian tradisional Siam dapat dipelihara. Kaum lain tidak akan memahami budaya kaum Siam melebihi kaum Siam sendiri.

Akhirnya saya dimarahi oleh pihak penganjur di hadapan pemimpin-pemimpin NGO Kebudayaan yang lain. Inilah nasib kaum minoriti yang diabaikan walaupun kerajaan tegas tidak akan meminggirkan mana-mana kaum minoriti dengan kempen Konsep 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Teguran saya kepada mana-mana badan kerajaan yang menganjurkan majlis dialog, sekiranya pihak tuan/puan belum bersedia untuk mendengar pandangan dan luahan daripada pihak lain, maka pihak tuan/puan tidak wajar menganjurkan majlis dialog. Dalam majlis dialog kita harus memberi peluang semua pihak mengemukakan pandangan untuk kita selesaikan bersama.

Pada 23 Mac 2010, saya juga telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis yang dianggotai NGO-NGO kebudayaan, saya amat terkejut apabila Setiausahanya mencadangkan usul untuk dibawa ke AGM Majlis tersebut supaya kebudayaan Siam diberi peluang kepada orang-orang Siam sendiri melaksanakannya. Cadangan ini pula dipersetujui semua pemimpin-pemimpin NGO kebudayaan yang bernaung di bawahnya.

Saya amat gembira sekali, rupa-rupanya kaum minoriti seperti kaum Siam belum lagi diabaikan oleh kaum majoriti. Mungkin isu ini wujud akibat pihak tertentu sahaja yang menciplak kebudayaan kaum lain untuk kepentingan mereka.

Monday, March 8, 2010

Notis Mesyuarat Agung Tahunan PSK Bagi Tahun 2009.


Persatuan Siam Kedah (PSK) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Tahun 2009 di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26 Mac 2010 mulai jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Majlis tersebut dimulakan dengan program gathering bersama keluarga ahli-ahli PSK. Pengisian program ialah mengadakan majlis Sangghadana dan gotong-royong menyediakan makanan tengahari kepada para Sami. Diminta semua ahli PSK membawa makanan masing-masing daripada rumah. Pastikan jam 10.00 pagi, sampai ke Wat Padang Peliang.

Manakala Mesyuarat Agung Tahunan PSK Bagi Tahun 2009 akan dimulakan pada jam 2.00 petang - 5.00 petang. Semua ahli PSK dijemput hadir beramai-ramai. Sesiapa yang ingin menjadi ahli PSK juga dijemput hadir. Borang keahlian PSK akan disediakan.