Sunday, March 28, 2010

Tarian Tradisional Siam diciplak ala Gagasan 1Malaysia.


Saya selaku pemimpin dalam persatuan kebudayaan Siam berasa amat kecewa sekali apabila tarian Siam diciplak untuk kepentingan pihak tertentu. Banyak majlis rasmi kerajaan di negeri Kedah, saya dapati ada persembahan tarian pelbagai kaum antaranya tarian Melayu, Cina, India dan Siam.

Persembahan semua kaum amat sesuai sekali dengan konsep yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu Gagasan 1Malaysia bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia pelbagai kaum. Setiap program kerajaan yang dianjurkan haruslah melibatkan semua kaum. Semua kaum tidak diabaikan dan diberi peluang samarata. Inilah yang difahamkan tentang Gagasan 1Malaysia pada pemahaman saya.

Saya amat kecewa sekali apabila mendapat tahu perkara sebenarnya disebalik lakonan persembahan tarian pelbagai kaum. Sebenarnya hanya satu kaum sahaja memonopoli tarian tersebut. Bukannya semua kaum terlibat walaupun tarian tersebut merangkumi pelbagai kaum. Saya sokong konsep 1Malaysia tetapi tidak setuju dengan cara pelaksanaannya yang mengabaikan kaum minoriti terutamanya dalam aktiviti kebudayaan.

Pada 13 Mac lepas, saya menghadiri satu Majlis Dialog NGO-NGO kebudayaan seluruh Kedah yang dianjurkan oleh satu badan kerajaan. Saya selaku pengerusi sebuah NGO yang mewakili kebudayaan masyarakat Siam membangkit isu ini dalam majlis dialog tersebut dengan hasrat memohon jasa baik pihak kerajaan membenarkan kaum Siam sendiri membuat persembahan tarian Siam di majlis-majlis rasmi kerajaan. Supaya ketulinan dan keaslian tarian tradisional Siam dapat dipelihara. Kaum lain tidak akan memahami budaya kaum Siam melebihi kaum Siam sendiri.

Akhirnya saya dimarahi oleh pihak penganjur di hadapan pemimpin-pemimpin NGO Kebudayaan yang lain. Inilah nasib kaum minoriti yang diabaikan walaupun kerajaan tegas tidak akan meminggirkan mana-mana kaum minoriti dengan kempen Konsep 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Teguran saya kepada mana-mana badan kerajaan yang menganjurkan majlis dialog, sekiranya pihak tuan/puan belum bersedia untuk mendengar pandangan dan luahan daripada pihak lain, maka pihak tuan/puan tidak wajar menganjurkan majlis dialog. Dalam majlis dialog kita harus memberi peluang semua pihak mengemukakan pandangan untuk kita selesaikan bersama.

Pada 23 Mac 2010, saya juga telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis yang dianggotai NGO-NGO kebudayaan, saya amat terkejut apabila Setiausahanya mencadangkan usul untuk dibawa ke AGM Majlis tersebut supaya kebudayaan Siam diberi peluang kepada orang-orang Siam sendiri melaksanakannya. Cadangan ini pula dipersetujui semua pemimpin-pemimpin NGO kebudayaan yang bernaung di bawahnya.

Saya amat gembira sekali, rupa-rupanya kaum minoriti seperti kaum Siam belum lagi diabaikan oleh kaum majoriti. Mungkin isu ini wujud akibat pihak tertentu sahaja yang menciplak kebudayaan kaum lain untuk kepentingan mereka.

4 comments:

  1. Apa ni Manit? nanti kata di abai nanti kata tak di abai. tak fahamlah.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Pemimpin dlm sebuah badan kerajaan abaikan kebudayaan kami. Manakala gabungan NGO-NGO Kebudayaan di bawah satu MAJLIS menyokong dan membela kami.

    ReplyDelete
  4. Sawadee, manit

    Teruskan usaha murni kamu, demi kebudayaan, bangsa, agama dan negara

    ReplyDelete