Monday, March 29, 2010

AGM Persatuan Siam Kedah berjaya diadakan.

Mesyuarat Agung Tahunan PSK bagi kali ke 2 Tahun 2009 berjaya diadakan di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26 Mac 2010 jam 2.00 petang. Kehadiran ahli agak berkurangan berbanding dengan AGM yang lalu tetapi cukup korum. Ini kerana terdapat beberapa faktor antaranya:

1. Faktor pertama, kesesuaian tarikh mesyuarat AGM

Tarikh tersebut bersamaan dengan beberapa majlis lain yang dianjurkan oleh masyarakat kita antaranya Majlis di kubur (Cheng Beng), majlis perkahwinan dan sebagainya. Tarikh mesyuarat agung tidak dapat dielakkan sebab berdasarkan perlembagaan ia terpaksa diadakan sebelum 30 Mac setiap tahun. Maka pihak kami tidak dapat menunda lagi tarikh tersebut setelah sekali tunda iaitu dari 19 Mac kepada 26 Mac.

2. Faktor ke 2, mungkin kerana ketiadaan para VVIP merasmikan AGM tersebut.

Kebanyakkan ahli politik berminat hadir ke majlis yang dihadiri oleh VVIP sahaja. Kebanyakkan ahli-ahli PSK adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik dalam masyarakat Siam. Pihak kami tidak menjemput para VVIP untuk merasmikan AGM tersebut kerana pihak kami ingin menjaga perasaan ahli-ahli PSK yang berlainan fahaman politik. Pihak kami ingin melihat perpaduan wujud dalam masyarakat Siam Kedah tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur politik. Biarlah ahli yang hadir itu, ikhlas hadir dengan tujuan ingin bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat Siam, bukannya hadir kerana ingin menunjuk muka kepada para VVIP.

3. Faktor terakhir ialah AGM tahun ini tiada pemilihan Ahli Jawatankuasa baru PSK.

Mengikut perlembagaan PSK, pemilihan Jawatankuasa PSK akan dilakukan 2 tahun sekali. Tempoh jawatankuasa sekarang akan tamat pada tahun hadapan. Oleh itu, pemilihan tersebut hanya dapat dilakukan pada AGM akan datang. Walau bagaimana pun, AGM kali ini memilih seorang AJK baru iaitu Cikgu Gian bagi menggantikan seorang AJK yang tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut. Mengikut perlembagaan PSK fasal 8.8 sekiranya mana-mana AJK tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut tanpa sebab akan dianggap telah meletakkan jawatan.

Manakala seorang lagi AJK lantikan juga tidak hadir 3 kali berturut-turut, Pengerusi mengambil keputusan melantik En. Camrat (Pengerusi JKKKP Kg. Huma, Jitra) untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini bermakna pihak PSK telah melantik 2 orang AJK baru yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan.

Beberapa usul telah diluluskan dalam AGM tersebut antaranya berkaitan tanah, sijil pertanian orang2 Siam, masalah pelajar IPTA, kerjasama dengan institusi keagamaan dan usul penubuhan koperasi. Beberapa pindaan perlembagaan PSK diluluskan bagi memantapkan lagi PSK antaranya ialah menambahkan yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM100 bagi memudahkan ahli2 PSK yang berada jauh membayar yuran dan pindaan logo baru PSK.

Pihak PSK juga buat pertama kali memperkenalkan baju korporatnya dalam AGM tersebut bagi menampilkan imej PSK di kalangan umum. Semoga PSK menjadi saluran baru bagi mewakili masyarakat Siam Kedah.

No comments:

Post a Comment