Tuesday, October 19, 2010

Imbas kembali sejenak..

Persatuan Siam Kedah (PSK) telah ditubuhkan pada 7 Okt 2008 di Wat Thepsuwannaram, Kg. Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah. Tujuan penubuhannya adalah kerana majoriti veteran Siam Kedah berpendapat bahawa masyarakat Siam Kedah tidak ada NGO yang mewakili kaum Siam Kedah dengan pihak kerajaan negeri. Di mana sebelum ini, kita ada Persatuan Siam Kedah/Perlis yang telah dibubarkan pada 1997 selepas penubuhan Persatuan Siam Malaysia (PSM). Presiden PSM ketika itu, mahukan masyarakat Siam bersatu di bawah satu payung iaitu PSM. Semua persatuan Siam yang lain dinasihatkan untuk dibubarkan.

Oleh kerana pihak PSM tidak mempunyai cawangan di peringkat negeri kedah dan hanya mempunyai cawangan di peringkat kampung sahaja maka ia tidak merangkumi keseluruhan masyarakat Siam Kedah. Bila berlaku permasalahan di kalangan masyarakat Siam Kedah, agak sukar untuk masyarakat Siam Kedah berurusan dengan pihak kerajaan terutamanya kerajaan negeri Kedah. Maka wajarlah PSK ditubuhkan semula ataupun boleh dikatakan menghidupkan semula Persatuan Siam Kedah/Perlis yang telah dibubarkan dan kebanyakkan bekas pemimpinnya telah menyertai PSK.

Hasil perjuangan PSK yang pertama ialah mewujudkan "Gerakan Menyelamatkan Tan Hui Ming" yang telah diculik oleh warga Myanmar dan di bawa melepasi sempadan 3 buah negara. Ramai orang pandang sinis dgn hasrat PSK. Ramai org kata PSK lebih sudu dari kuah. Akhirnya tanpa disangka, perjuangan tersebut berjaya dan adik Tan Hui Ming telah diterbangkan balik dari luar negara ke pangkuan keluarga. Tetapi orang kita mudah lupa. Seperti kawan saya kata, "buat baik kepada masyarakat, tak lama mereka akan lupa".

PSK juga berusaha untuk menganggotai Jawatankuasa yang diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi mewakili masyarakat Siam Kedah tetapi mendapat halangan yang hebat daripada pihak tertentu. Mereka berusaha agar PSK tidak dapat bergerak dengan lebih aktif di Kedah. Pihak PSK tidak kisah sebab kebanyakkan ahli jawatankuasanya daripada ahli UMNO. Suatu hari nanti pasti PSK dapat berdiri dengan gagah di negeri Kedah.

Pada 16 Okt 2010 setelah genap 2 tahun penubuhan PSK maka PSK telah berjaya menubuhkan Koperasi Kaum Siam Kedah Berhad (KKSKB) di bawah Biro Ekonomi yang diketuai En. Ai Cha Ran, seorang peguam. Beliau berpendapat sekiranya PSK tidak mempunyai kekuatan kewangan maka sukar untuk PSK bergerak. Untuk membela dan menjaga kebajikan ahli-ahli PSK maka kita mesti menceburi diri dalam dunia perniagaan maka dicadangkan penubuhan sebuah koperasi.

Penubuhan koperasi ini juga mendapat tentangan pihak tertentu. Tetapi dengan nekad untuk merealisasikan mandat jawatankuasa PSK maka akhirnya penubuhan koperasi tersebut telah mendapat kejayaan. PSK akan dijadikan saluran politik dan sosial manakala KKSKB akan dijadikan saluran ekonomi.