Sunday, May 31, 2009

Serah sumbangan daripada Tabung Komuniti Forum Pekemas.

SUNGAI PETANI, 28 Mei 2009: Persatuan Siam Kedah (PSK) yang diwakili oleh Puan Giam a/p Aim, Ketua Biro Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita telah menyampaikan sumbangan daripada Komuniti Forum PEKEMAS kepada En. Sharin a/l Nai Yeen, 33 bapa kepada pesakit jantung berlubang.

Pada 25 Mei 2009, En. Nai Peroi, Pengerusi JKKKP Kampung Lengkuas menghubungi saya selaku Setiausaha PSK untuk mohon bantuan bagi meringankan keluarga pesakit jantung berlubang.

Saya telah menghubungi ramai para VVIP untuk mohon bantuan disamping itu juga saya memohon bantuan member-member media untuk memaparkan kes ini di dalam akhbar untuk merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai kos perubatan yang mencecah RM17,000.00 ketika itu.

Akhirnya berita penderitaan adik Yanakphart a/l Shirin disebarkan melalui Utusan Malaysia dan Sinar Harian pada 27 Mei 2009. Berita ini juga mendapat perhatian Ybhg Datul Abdul Azeez, Ketua UMNO Bahagian Baling. Beliau telah melapangkan masa melawat pesakit di hospital pada 28 Mei 2008. Beliau telah berjanji membiayai semua kos perubatan sehingga pesakit tersebut sembuh sepenuhnya.

Inilah hasil usaha PSK walaupun PSK kesempitan dari segi kewangan tetapi boleh membantu masyarakat Siam setakat yang mampu. Terima kasih kepada para penyumbang melalui Tabung Komuniti Forum PEKEMAS.




Wednesday, May 27, 2009

Wujud Tabung Kebajikan Komuniti Forum PEKEMAS.

Pada 26 Mei 2009: Saya telah melawat seorang budak Siam mengidap penyakit jantung berlubang di Hospital Metro, Sungai Petani bersama-sama Sdr. Opat wakil Utusan Malaysia. Sebelum ini, En. Nai Peroi, Pengerusi JKKKP Kg. Lengkuas menghubungi saya untuk mendapat bantuan. Saya dah hubungi ramai ahli VVIP tetapi malangnya mereka tak ambil kisah. Saya pun rancang panggil para media untuk membuat liputan... cuma Utusan dan Sinar Harian sahaja yang hadir.

Mungkin kerana tiada VVIP maka para media tak ambil berat masalah kebajikan masyarakat yang amat memerlukan bantuan. Walau bagaimana pun, selaku pemimpin masyarakat Siam saya perlu ikhtiar untuk membantu walaupun keluarga mangsa daripada keluarga miskin atau kaya.

Pada 27 Mei 2009: Saya bersama En. Bun Yin a/l Ai An, Pengerusi PSK melawat mangsa kebakaran di Kilang Tebu, Alor Setar. Ada 2 buah rumah daripada 9 buah rumah yang terlibat dalam kebakaran adalah rumah orang Siam.

Kami akan berusaha untuk mendapat bantuan daripada mana-mana pihak bagi membantu keluarga mangsa kebakaran tersebut. Saya harap tiada lagi masalah Siam terpinggir daripada arus pembangunan.

Biarlah orang anggap kami jahat atau dituduh cuba memecahbelah masyarakat Siam. Kami tidak putus asa dan akan terus mendampingi masyarakat Siam yang memerlukan bantuan.

OLEH ITU KITA WAJAR TUBUH TABUNG KEBAJIKAN BAGI MEMBANTU MASYARAKAT SIAM YANG AMAT MEMERLUKAN BANTUAN. TABUNG KEBAJIKAN KOMUNITI FORUM PEKEMAS TELAH DIWUJUDKAN BERDASARKAN KES.


Sunday, May 24, 2009

Orang Siam mencatat sejarah bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti.

PENANTI 24 May - Penamaan calon Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Penanti telah diadakan di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam pada 23 Mei 2009 dan hari pembuangan undi pada 31 Mei 2009.

Seramai 5 orang telah menyerahkan borang pencalonan sebagai calon dalam pilihanraya kecil tersebut. Seorang calon telah ditolak pencalonannya oleh SPR kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Antara calon yang bertanding ialah 1. En. Mansur Othman, 56 (PKR), 2. En. Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 (Bebas - Wau), 3. Pn. Aminah Binti Abdullah, 56 (Bebas - Kunci), 4. Kamarul Ramizu Bin Idris, 42 (Bebas - Payung). Calon yang ditolak pencalonan oleh SPR ialah En. Mohd. Saberi Bin Othman.

Pilihanraya kecil DUN Penanti mencatat sejarah negara apabila menyaksikan buat pertama kalinya calon berketurunan Siam warga Malaysia menyertai dalam pilihanraya. En. Nai Khan Ari a/l Nai Keow merupakan seorang Pengurus Kilang dan berasal dari Kg. Telok Wang. Beliau telah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak.

Beliau memilih lambang wau bulan kerana melihat pendekatan warisan, kebudayaan dan kemasyarakatan. Objektif beliau ialah untuk membangunkan masyarakat setempat selaras dengan slogannya "Beri saya peluang berkhidmat untuk DUN Penanti". Pencalonan beliau dicadang oleh En. Boon Srisawang a/l Nai Choy dan disokong oleh Pn. Nah Lee a/p Boon Yoo.

Sebelum ini beliau merupakan seorang ahli parti GERAKAN. Beliau telah meletakkan jawatan sebagai ahli parti GERAKAN untuk bertanding dalam pilihanraya kecil sebagai calon bebas. Apabila diajukan soalan oleh wartawan, adakah beliau ditaja oleh mana-mana pihak. Beliau menjawab beliau tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak. Beliau menggunakan duit sendiri untuk bertanding sebagai calon bebas.

Monday, May 18, 2009

Menteri Pertahanan melawat masyarakat Siam di Kg. Telok Wang.

Kelmarin, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah melawat masyarakat Siam Kg. Telok Wang, Ara Kuda, Butterworth. Kampung ini merupakan satu-satunya kampung Siam yang terletak di dalam kawasan DUN Penanti.

Beliau hadir bagi melancarkan bekalan air paip kepada masyarakat Siam kampung tersebut. Masalah ini telah dibangkitkan oleh masyarakat Siam semasa pilihanraya kecil KAPAR Permatang Pauh tahun lepas.

Kampung ini adalah kubu kuat BN dan merupakan Daerah Mengundi yang sentiasa dimenangi oleh BN. Oleh itu, kawasan ini harus dijaga oleh pemimpin-pemimpin BN supaya mereka tidak beralih angin.

Saya hanya baru terima surat arahan bertugas tetapi masih belum lagi galas beg.

Pengunjung melebihi 10,000 orang dalam tempoh 5 bulan.

Saya mula wujud blog ini pada 22.12.2008 bagi mengasingkan isu-isu kritikal daripada FORUM PEKEMAS. Saya tak mahu artikel yang saya tulis memberi kesan buruk kepada Persatuan Siam Kedah (PSK) dan Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (PEKEMAS). Saya harap penulisan artikel dalam blog ini merupakan inisiatif saya sendiri secara individu. Saya sedia bertanggungjawab di atas segala permasalahan yang mungkin wujud ekoran daripada penulisan saya dalam blog ini.

Tak disangka-sangka, jumlah pengunjung telah melebihi 10,000 orang dalam tempoh 5 bulan saya mewujudkan blog ini. Ini menunjukkan bahawa dunia sekarang betul-betul tiada sempadan dalam era teknologi maklumat. Kita tak perlu lagi bergantung kepada media perdana seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan sebagainya untuk mempromosikan kegiatan dan pandangan masyarakat kita kepada umum. Kita boleh melakukan sendiri dengan mewujudkan blog-blog bagi memperkenalkan masyarakat Siam kita di Malaysia untuk pengetahuan umum.

Sunday, May 17, 2009

Tugas Khas Pilihanraya Kecil DUN Penanti.

Sebentar tadi saya baru terima surat arahan daripada pihak atasan di KL. Setiba di pejabat setelah keluar makan tengahari, kawan saya telah menyerahkan surat arahan daripada KL kepada saya. Apabila diteliti betul-betul, rupa-rupanya surat arahan untuk Tugas-tugas Khas di Pilihanraya Kecil DUN Penanti bermula pada 19 Mei 2009 hingga 31 Mei 2009.

Maknanya saya ada peluang lagilah untuk bermesra dengan masyarakat Siam Kampung Telok Wang. Kampung Telok Wang terdapat satu wat siam iaitu Wat Rajaphohong. Kampung tersebut merupakan sebuah perkampungan Siam tunggal di DUN Penanti.

Walau bagaimana pun, arahan ini berkuatkuasa setelah BN mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti. Saya akan tunggu pengumuman BN esok, samada bertanding atau tidak. Sekiranya bertanding, saya kena lapor diri pada 19 Mei 2009. Sekiranya BN tak bertanding maka saya tak akan pergi... Pendirian saya ialah tetap sokong kerajaan yang memerintah.

Thursday, May 14, 2009

Selamat Menyambut Hari Belia Negara 2009

Esok 15 Mei 2009 merupakan Hari Belia Negara 2009 dan akan disambut di Ayer Keroh, Melaka. Dijangka dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Setiap tahun saya akan membawa satu kontinjen belia Thai seramai 40 orang ke Perhimpunan Belia Negara setiap tahun selaku Presiden PBTM.

Sekarang PBTM tidak didaftar semula mengikut Akta Pendaftaran dan Pembangunan Belia 2007 dan pihak PSM telah menubuh PBSM. Saya tak pasti samaada kontinjen belia Siam Malaysia menyertai perhimpunan tersebut atau tidak. Harap-harap belia Siam Malaysia dapat sertai perhimpunan tersebut.

Tuesday, May 5, 2009

Aktiviti Bulan 6, Khummo Tayai.

Setiap tahun pada bulan 6 mengikut kalender lunar Thai iaitu di antara bulan April dan Mei, masyarakat Siam akan mengadakan Menora Rongkru (Kummo), Tayai dan Silat Rongkru. Aktiviti ini berkaitan roh-roh tok nenek kita yang telah lama meninggal dunia. Roh-roh tersebut akan menjadikan salah seorang cucu cicitnya sebagai song (perantaraan) untuk berkomunikasi dengan cucu cicit generasi keturunannya.

Roh tersebut dikenali sebagai Khummo yg darjatnya lebih tinggi sikit daripada hantu dan berada di bawah saksit dan thep, menurut kata menora Chai.
Persembahan Menora Rongkru di Kg. Dondang, Pendang, Kedah pada 24 - 27 April 2009. Menora Chai merupakan ketua kumpulan Menora Rongkru Kg. Wat Padang Peliang sedang mengetuai persembahan tersebut.
Menora Chai (memakai selendang merah) sedang duduk ditempat ketua Menora Rongkru iaitu di tengah-tengah pentas di sebelah atas sedang mengawal para khummo yang hadir pada malam tersebut. Orang yang duduk di hadapannya adalah song yang telah dirasuk oleh roh-roh Khummo.
Menora Chai dalam upacara memanggil roh-roh Khummo untuk hadir ke upacara tersebut dan diringi dengan musik Menora.


Ini pula ialah Silat Rongkru. Upacara ini diadakan di rumah Tok Bomoh Ruai, Kg. Kura, Sik, Kedah pada 30 April 2009. Khummo silat nak mencari song baru maka anak gadis Tok bomoh Ruai dipilih untuk menjadi song. Tetapi Khummo silat memilih orang lain, akhirnya Sdr. Boon drp Padang Pusing menjadi song baru.
Lelaki baju biru tu merupakan song khummo silat belah datuk bomoh Ruai yang datang membantu khummo silat sebelah nenek bomoh Ruai untuk mendapat song baru.
Khummo silat telah mendapat song baru tetapi bukan anak gadis bomoh Ruai. Song baru yang dicari mestilah di kalangan keturunan bomoh Ruai sahaja termasuk saya. Baju putih sedang pegang lilin di sebelah kiri sekali tu ialah bomoh Ruai. Beliau juga merupakan song kepada Khummo Thuad Khiaw yang selalu mengikutinya menjadi bomoh. Khummo Thuad khiaw akan membantu bomoh Ruai bila berdepan dengan tempat keras semasa berlawan dengan hantu jahat.
Baju putih yang duduk disebelah hujung adalah Song Thep (Dewa) yang juga dijemput untuk datang membantu. Song tu merupakan anak kepada kakak bomoh Ruai.

Khummo silat yg baru mendapat song sedang membuka gelanggang silat.