Tuesday, January 22, 2013

PERJANJIAN INGGERIS – SIAM 1909


Perjanjian Inggeris-Siam 1909, dikenali juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909, ialah perjanjian antara United Kingdom dan Thailand pada 1909. Perjanjian ini ditandatangani di Istana Raja Siam di Bangkok pada 10 Mac 1909 dan diratifikasikan pada 9 Julai 1909. Kajayaan perjanjian ini sebenarnya diusahakan dan dimulakan bersungguh-sungguh oleh Edward Henry Strobel Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri Kerajaan Siam[1]. Beliau mendapati beberapa perjanjian yang dimeterai bersama Britain sebelum dia bertugas pada tahun 1906 di Siam merugikan Siam terutamanya hal ehwal perdagangan dua hala dan keistimewaan lain seperti dalam Bowring (1855) dan Perjanjian Rahsia (1897).

Oleh itu, beliau telah menyatakan kepada W.D Beckett seorang pegawai pejabat kedutaan British di Bangkok pada tahun 1907 akan hasratnya untuk menyeimbangkan kedudukan hubungan perdagangan dan memansuhkan hak keistimewaan Britain di Siam dengan kesediaanya memujuk Raja Chulalongkorn menyerahkan negeri-negeri Melayu Utara seperti Kedah, Terangganu dan Kelantan sahaja kepada Britain sebagai ganjaran[2]. Tawaran itu mendapat reaksi positif daripada Ralph Paget, Duta Britain ke Siam serta Sir John Anderson, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat apabila Strobel menulis cadangan itu secara bertulis seperti berikut:

The Progress of Siam has been such of late years that i think the time has arrived when this goverment may look forward to more control over its own affairs and to less interference from without. To obtain such control is, my opinion well worth sacrificeof territory over which the Goverment does not excercise effective control and about which questions of difficulty may arise. ''In pursuance, therefore, of such policy of which the late Treaty with France is an example, I should be willing to propose to the Siamese Government the cession to Great Britain of the states of Kelantan, Trengganu, and Kedah, provided that the British Government would be willing to make the following concessions 1. The abrogation of the Secret Agreement of 1897; 2. The giving up of exterritoriality, at least to the extent which has been yield by France by the Treaty of the 23rd March this year.'[3]

LATAR BELAKANG PERJANJIAN

Sebaik sahaja menerima surat Strobel, Paget telah memaklumkannya kepada Sir Edward Grey, Setiausaha bagi Urusan Luar Negara British. Paget menganggap cadangan Strobel itu sebagai "unlikely to present much difficulty".[4] Selain dari Kedah, Kelantan dan Terengganu, Paget mencadangkan kepada British menimbangkan juga negeri Perlis, Setul (sekarang Satun) dan Reman yang merupakan sebahagian daripada Negeri-Negeri Melayu yang tertakluk di bawah Perjanjian Rahsia (1897) berdasarkan alasan seperti

"if then these States become British possessions, and, in addition, an Agreement can be made of a pure political nature to preclude any inconvenience acquisition of territory by a foreign power in the remaining of the peninsula, the advantage of the bargain would appear to be entirely on our side. It is possible of course that when the supervision exercised by His Majesty's Goverment on the grant of Concessions is removed, foreign enterprise in the Siamese Malay States may to some extent increase, but the probability of this becoming a danger appears to me altogether remote. There would be no objection, in the event of this coversation being abrogated, to the substituition of the another instrumnet of a pure political nature to preclude the acquisition by foreign powers of any harbour, strategical position, or coaling station, and containing possibly by a clause similiar to Article VII of the Franco-Siamese Treaty".[5]

Usaha keras Strobel ini bermula apabila beliau menyampaikan hasrat tersebut kepada Putera Damrong Rajanubhab, Menteri Am Siam ketika itu yang memangku tugas Raja Siam ketika Raja Chulalongkorn mengadakan lawatan ke luar negera. Putera Damrong menentang keras cadangan menyerahkan negeri-negeri Melayu utara kepada Britain malah Strobel sendiri dimarahi oleh Putera Damrong kerana cuba menjejaskan keutuhan wilayah Siam. Putera Damrong juga tidak mahu jalan keretapi di Siam dibina oleh syarikat asing. Namun begitu, Strobel tidak kecewa dan putus asa. Sebaliknya beliau berazam akan memaklumkan hasrat itu kepada Raja Chulalongkorn apabila kembali dari lawatan ke luar negara. Apabila Raja Siam Pulang pada 23 November 1907, Strobel memaklumkan cadangan itu dan Raja Chulalongkorn hanya mahu menyerahkan Kelantan dan Terangganu sahaja kepada Britain. Strobel kembali memaklumkan kepada Ralph Paget akan persetujuan Raja Siam yang hanya mahu menyerahkan Kelantan dan Terangganu sahaja kerana "the remote states were a source of weakness, danger and annoyonce rather than profit. Kelantan and trengganu had never formed an integral part of Siam'.[6]

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa Raja Siam akan menimbangkan semula untuk menyerahkan Kedah. Semasa rundingan berjalan Ralph Paget memberitahu Strobel akan hasrat British yang turut ingin mendapatkan lebih wilayah siam seperti Patani,Perlis dan Setul (sekarang dikenali sebagai Satun) lebih dari apa yang ditawarkan oleh Strobel kerana berdasarkan wilayah itu kepunyaan Kerajaan Kedah dan mempunyai etnik Melayu, budaya dan kedudukan Geografi yang sama. Ralph Paget juga bertegas mahu Pulau Langkawi diserahkan kepada Britain. Strobel kembali menemui Raja Chulalongkorn dan memaklumkan kepada baginda dengan cara menyerahkan Kedah, Terengganu dan Kelantan sahaja pihak Britain akan mengkaji semula perjanjian lama yang merugikan Siam. Ketegasan Strobel ini sehingga beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai Penasihat Hal Ehwal Luar Siam dalam tempoh 90 hari sekiranya Raja Chulalongkorn tidak menaruh kepercayaan kepadanya. Sementara itu, Sir John Anderson Gabenor Negeri-Negeri Selat amat bersetuju Britain menguasai negeri-negeri Melayu Utara malah mahu menguasai Patani dan wilayah-wilayah lain hingga ke Segenting Kra. John Anderson menulis surat kepada Lord Elgin, Setiausaha Bagi Tanah Jajahan "I earnestly hope that, if it is impossible to obtain the whole area south of latitude 7, an effort will be made to secure Legeh and Rahman as well as the whole area south of three States. Perlis and Setul sould also be secured:they are dependencies of Kedah. Interest should, in view of the price of the Straits Loan, br fix at 4 percent but it would agree to 3 3/4 per cent if necessary to secure success of the negotiations".[7]

Tuntutan Paget ke atas Setul, Perlis dan Patani mendapat reaksi dingin daripada Strobel. sebaliknya, Strobel mengatakan kepada Ralph Paget, beliau tidak yakin Siam akan menyerahkan Patani kepada Britain kerana Siam mempunyai kepentingan di negeri itu berbanding negeri-Negeri Melayu Utara. Di samping itu, Strobel memaklumkan kepada Paget bahawa Raja Chulalongkorn hanya bersedia menyerahkan negeri yang ia tidak mepunyai kuasa kawalan.Strobel menegaskan dan menunjukkan kemarahannya dengan kerkata "that states was out of question, as the Siamese Government would...never consent its cession", beliau menambah bahawa "the Siamese Government had done a great deal there recently, and the control exercised there was of a different charecter to that attained in the other States...[8]

Akibat permintaan British itu Strobel telah menyatakan "if that is to be the game i think we had best abandon the negotiations at once. I am having sufficient difficulty with the King about Kedah that the three States i originally named".[9]

Kegagalan Britain mendapatkan Patani mengecewakan Paget, walau bagaimanapun, Paget tidak mahu menekan Siam kerana tidak mahu Siam membatalkan rundingan menyerahkan negeri-negeri Melayu Utara. Selain itu, Siam enggan serahkan Patani kerana British sendiri tidak mempunyai inisiatif menuntut wilayah itu. Menurut Chandran J, "alasan yang penting bagi ketinggalan Patani di dalam Perjanjian 1909 tidak boleh dinafikan adalah akibat kejayaan Siam pada tahun 1902 manakala mereka telah menawan Sultan Patani. Setelah peristiwa itu, British memang mengakui bahawa Patani lebih bergantung kepada Siam".[10]

Demi menyelamatkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terangganu, kepentingan Patani terpaksa dikorbankan. Berkenaan dengan Wilayah Setul, terdapat perbezaan pendapat antara Strobel dan British. Strobel berpendapat setul mempunyai hubungan rapat dengan Phukuet kerana 60 % penduduk di situ adalah orang Sam-Sam yang memeluk Islam, tetapi Frost (British Konsul di Kedah) membantah dan melaporkan satu laporan kepada Setiausaha Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat, Setul merupakan sebahagian dari Negeri Kedah dan tidak mempunyai hubungan dengan Phuket. Penduduk di Setul mengaku diri mereka Melayu dan bukannya orang Siam.[11]

Berhubung dengan Perlis dan Setul, Strobel berpendapat kedua-dua itu bukanlah merupakan sebahagian dari Kedah. Walaupun Gabenor kedua-dua negeri itu ditabalkan oleh Sultan Kedah tetapi pengesahannya dibuat oleh Raja Siam. Dari segi praktiknya, Perlis dapat dianggap sebahagian daripada Kedah tetapi berbeza dengan Setul kerana Setul..."separated from the States by a high range og mountains and is etnologically different...60 per cent of inhabitants being Sam Sam or Siamese who had embrace Mohammedanism (Sic :Islam".[12]

Oleh kerana itulah, Raja Chulalongkorn enggan melepaskan Setul kepada British. Selain itu, bagi mengelakkan tuntutan British ke atas Setul, pihak Siam telah melantik dua pegawai Siam sebagai Pegawai Kewangan dan Hakim pada Oktober 1907 dan juga menempatkan bot tempur sebagai usaha mengukuhkan kawalan Siam ke atas wilayah itu. pihak Siam juga telah meletakkan Setul di bawah arahan terus Pesuruhjaya Tinggi Phuket yang sebelum ini diletakkan di bawah Pesuruhajaya Tinggi Syburi iaitu Sultan Kedah sendiri[13].

Berikutan itu, Paget terpaksa mengakui British tidak akan menuntut serta melepaskan Setul dan menyatakan dalam suratnya kepada Grey "..Setul would not be of no great values to us, and although we might do doubt put forward a very good claim to its part of Kedah and secure it by insistence, I am inclined to think it would be more Politics to turn our claim to account by agreeing to renounce Setul if the Siamese Government will in its stead hand over to us the Lang-kawi Islands and that portion of Raman which comprise the watershed of the Perak River. Both these would constitute more velueable posessions to us than Setul. The Lang-kawi Islands furnish magnificent anchourages and such have been coveted by various foreign powers, whilst the lower part of Reman is rich in Tin".[14]

British lebih mementingkan kepentingan yang diperolehinya daripada menuntut wilayah sebenar kepunyaan Kedah apabila melepaskan wilayah Setul yang sebelum ini kepunyaan Kedah. Pada tahun 1908 Strobel meninggal dunia tetapi rundingan tersebut tetap diteruskan apabila tugas Stroble diambil alih oleh Westengard, pembantu Strobel. Perbincangan rasmi antara Paget dengan Westengard telah berlangsung pada 25 Januari 1908. Perbincangan itu telah meneliti perkara-perkara pokok mengenai asas perjanjian.[15]

Berkenaan tentang penyerahan wilayah, Paget telah mengemukakan hasrat British untuk mendapatkan Pulau Langkawi dan Legeh sungai Perak di wilayah Reman sebagai menggantikan Setul.Westengard memaklumkan, selepas berbincang dengan Raja Chulalongkorn dan Putera Damrong, bersetuju melepaskan "lower Raman" dan Pulau Langkawi tetapi dengan syarat British mesti bersetuju memberikan pinjaman kewangan bagi tujuan pembinaan jalan keretapi atas kadar 3 3/4 peratus.[16]

Paget agak keberatan akan tuntutan Siam itu.Walau bagamanapun, perbezaan pandangan itu tidak menghalang dan menyulitkan kedua-dua pihak. Beberapa draf perjanjian telah disiapkan meliputi soal penyerahan wilayah, pembatalan Kovension Rahsia 1897, Juridiksi dan Keretapi Semenanjung Siam telah dipinda kedua-dua pihak sebelum ditandatangani.[17]

PERJANJIAN

Melalui Perjanjian Bangkok 1909 itu, kerajaan Siam menyerahkan negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Ralph Paget Duta Britain di Siam Mewakili King Great Britain dan Ireland serta Putera Devawongse Varoprakar, Menteri Luar Kerajaan Siam ketika itu.

Butir-butir Perjanjian Bangkok 1909 adalah seperti berikut:-

1.Penyerahan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan pulau-pulau bersebelahan kepada Great Britain.

2.Tarikh penyerahan dalam tempoh tiga puluh hari selepas ratifikasi perjanjian.

3.Perlantikan Suruhanjaya Bercampur untuk persempadanan Inggeris-Siam.

4.Hutang awam wilayah yang diserahkan akan tetap dibayar kepada Kerajaan Siam.

5.Penghapusan bidang kuasa Konsul British di Siam.

6.Hak rakyat British di Siam terhadap harta, kediaman dan perjalanan, cukai, dll.

7.Pengesahan perjanjian lama .

8.Ratifikasi dalam tempoh empat bulan.

Teks diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.112. 2 Lihat Lampiran I (ed.).

Perjanjian Bangokok 1909 berkuatkuasa selepas 4 bulan dimeterai. Beberapa upacara penyerahan kawasan dilakukan, pada 15 Julai 1909 upacara penyerahan Kedah kepada British diadakan di Balai Besar, Alor Setar. Majlis tersebut dihadiri oleh Sultan Abdul Hamid, Tengku Mahmud serta Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Kedah, Williamson Penasihat Kewangan Siam mewakili Raja Siam, George Maxwell mewakili British. Semasa majlis penyerahan itu berlangsung, wakil Kerajaaan Siam, Williamson membawa utusan Raja Chulalongkorn yang mengatakan Raja Siam berasa sedih kerana setelah begitu lama hubungan erat telah wujud terpaksa diputuskan kerana perjanjian itu.Raja Siam berharap Kerajaan Kedah dapat mencapai kemakmuran buat masa akan datang dan Kedah mencapai kemakmuran di bawah naungan British.[18] Sementara itu,upacara penyerahan wilayah Reman (sekarang dikenali sebagai Hulu Perak) kepada Perak turut dilakukan. Antara pembesar dan wakil kerajaan yang menghadiri upacara tersebut adalah seperti berikut:-

Kerajaan Siam diwakili oleh Keluong Wan Husain, pembesar Siam di Betong.

Kerajaan British diwakili oleh Sir John Anderson (Gabenor Negeri-negeri Selat) yang berpusat di Singapura.

Kerajaan Perak diwakili oleh :

1.Wan Muhammad Isa, Orang Kaya Menteri

2.Wan Muhammad Salleh, Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja.

3.E.W. Birch, Residen British Perak.

4.A.S. Jelf MCS, Penolong Setiausaha kepada Residen British Perak.

5.H. Berkeley, Hakim Daerah Hulu Perak

6.G. Simpson, Merinyu Polis Kuala Kangsar

7.J.D. Kemp, Pengurus Rahman Hydrolic Tin Limited, Klian Intan/ Taiping.



KESAN PERJANJIAN 1909

kedua-dua pihak iaitu British dan Siam jelas mementingkan status dan keuntungan masing-masing dalam mewujudkan perjanjian ini. British dan Siam dalam menentukan sempadan baru ini hanya berdasarkan pentadbiran berbanding elemen penting seperti soal kebudayaan geografi etnik agama dan kriteria lain[19]. keengganan mereka ini menimbulkan masalah dan kesan berpanjangan kepada negeri-negeri Melayu bersekutu yang kini sebahagian dari Malaysia dan Wilayah Patani, Setul, Yala menjadi Wilayah Thailand.

Melihat kepada Protokol Sempadan itu jelas bahawa perjanjian itu bukan sahaja memindahkan Kelantan, Terangganu, Kedah dan Perlis kepada pemerintahan British tetapi jugak membuat penyesuaian besar kepada sempadan negeri yang sedia ada ketika itu. Perjanjian ini telah mengubah keluasan tanah-tanah negeri terbabit. Dapat dikatakan juga bahawa tujuan perubahan itu dibuat adalah bagi maksud untuk memindahkan seluruh lembah sungai kepada negeri-negeri tertentu.Umpamanya, penjuru sungai Reman di bawah kawalan Siam yang terletak dalam lembah sungai Perak telah diserahkan kepada Perak.

Walau bagaimanapun, pembuat sempadan gagal mengambilkira pertimbangan yang sama sehubung dengan negeri Kelantan-Patani sebaliknya Sungai Golok telah dijadikan sempadan antarabangsa. Kesannya Kelantan kehilangan wilayah tabal (sekarang dikenali Tak Bai) kerana wilayah ini telah ditukarkan dengan daerah Reman.Kesan seterusnya Negeri-Negeri Melayu Utara kehilangan beberapa Wilayah penting dan strategik seperti Kedah kehilangan Wilayah Sadaow, Setul, Pulau Terutau dan Pulau-Pulau sekitarnya. Perlis pula kehilangan wilayah Pujoh. Wilayah Pujoh terletak di sebelah utara Sungai Perlis adalah di bawah jagaan Penghulu mukim Kuala Perlis. Penghulu Kuala Perlis dan Pujoh terakhir ialah Penghulu Muhammad Said Bin Haji Awang yang turut ditugaskan bersama-sama Pegawai Suruhanjaya Sempadan yang dibentuk di bawah Artikel 3 Perjanjian Bangkok 1909.[20]

Kelantan kehilangan wilayah Tabal. Oleh kerana Perjanjian ini dibuat tanpa pengetahuan Sultan Negeri- Negeri Melayu Utara, sudah tentulah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Semasa majlis penyerahan itu berlangsung, Sultan Abdul hamid membuat bantahan kepada Williamson wakil kerajaan Siam. Menurut baginda, sempadan baru antara Kedah dan Siam harus ditentukan mengikut kriteria sempadan yang sedia ada. Putera Damrong sebelum itu telah memberitahu baginda akan sempadan baru antara Kedah dan Siam seperti mana yang terdapat dalam protokol sempadan Perjanjian Bangkok 1909.[21]

Baginda Sultan amat murka kepada Siam sehingga baginda pernah menyatakan tidak akan memaafkan pihak yang menjual negeri Kedah seperti menjual seekor kerbau.[22] Dalam surat baginda kepada Putera Damrong banginda menyataka kekecewaan kehilangan wilayah kedah tu.."There is one thing regarding which i ask for further consideration that is northern boundery. I ask be followed and that the farmer bondery be followed and that the Sadaow district and other district near Changloon an Terutau Islands remain in Kedah territory. If they are taken by Siam, kedah loses a large area of territory. Pelease instruct survey commisioner not to clear boundery lines until this matter is settle".[23].

Begitu juga reaksi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke IV baginda kecewa dengan British menyerahkan Wilayah Tabal kepada Siam yang dihuni kira-kira 15,000 orang Melayu. Apabila Tabal berada di bawah Siam sebilangan penduduk di situ berhijrah ke Kelantan.

RUJUKAN

1.↑ Sejarah penggarisan dan penetapan sempadan negeri-negeri Melayu Utara dengan Siam 1907-1912 oleh Nik Anuar Nik Mahmud dalam jurnal, Malaysia Dalam Sejarah Bil 22-1994, Persatuan Sejarah Malaysia

2.↑ surat Paget kepada Grey, 29 April 1907 FO 422/62

3.↑ surat Strobel kepada Paget, 1 Julai 1907, FO 422/61

4.↑ Surat Paget kepada Grey, 20 April 1907, FO 422/61

5.↑ ibid

6.↑ Thamsook Numnonda. 1996. The Anglo-Siamese Negotiations 1900-1909. University Of London (tidak diterbitkan)

7.↑ Anderson kepada Lord Elgin dalam Colonial Office kepada Foreign Office 6 Sept 1907, FO 422/61

8.↑ surat Backett kepada Paget 11 September 1907, FO 422/61

9.↑ Surat Paget kepada Cambell 28 Februari 1908, CO 273/343

10.↑ C Chandran,J "Perjanjian 1909 Antara Inggeris dengan Siam serta latar belakangnya

11.↑ surat Frost kepad High Commisioner 2 November 1907, FO 422/62

12.↑ surat Backett kepada Grey, 6 Disember 1907, FO 422/61

13.↑ surat Beckett kepada Grey FO 371/522 15 Disember 1907

14.↑ surat Paget kepada Grey, 1 Januari 1908, FO 422/61

15.↑ Memorandum by Mr Paget Respecting Conversation with Mr Westengard, 25 Januari 1908 dalam surat Paget kepada Grey 30 Januari 1908, FO 422/62

16.↑ ibid

17.↑ Nik Anuar Nik Mahmud (1994) Sejarah penggarisan dan penetapan sempadan Negeri-Negeri Melayu Utara dengan Siam 1907-1912 dalam Jurnal Malaysia dari segi sejarah. Persatuan Sejarah Malaysia. 1994.Kuala Lumpur

18.↑ Surat Putera Damrong kepada Sultan Kedah, 9 Julai 1909, CO 273/350

19.↑ Tan Siew Lan. 1992. Perjanjian Bangkok 10 Mac 1909:Reaksi dan Implikasinya Terhadap Negeri-Negeri Melayu Utara. UKM (tidak diterbitkan)

20.↑ Ahmad Ismail & Yazid Mat.1992. Perlis Indera Kayangan Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat:PPANP

21.↑ surat Putera Damrong kepada Sultan Kedah, 9 Julai 1909 High Commisioner Office 947/1909

22.↑ Thamsook Numnonda. 1966. The Anglo-Siamese Negotiations Regarding the Cession of Siamese Malay States 1907-1909 dlm Journal of Siam Sociesty. Bangkok

23.↑ surat Prince Damrong kepada Beckett, 28 Julai 1909, CO 273/353



Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Perjanjian_Inggeris-Siam_1909

Friday, January 18, 2013

Istilah Siam atau Thai: Kenapa mengelirukan kaum sendiri?

Mohon media guna istilah Siam secara tepat

SUNGAI PETANI 17 Jan 2013. - Masyarakat Siam di negara ini memohon kerjasama media agar menggunakan istilah keturunan itu secara lebih tepat dalam laporan berita terutamanya membabitkan kes-kes jenayah.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong berkata, sejak akhir-akhir ini pihak media cenderung mengaitkan masyarakat Siam sebagai penjenayah ataupun pelacur sedangkan pelaku dalam kes berkenaan sebenarnya ialah warganegara Thailand.

Katanya, penggunaan istilah secara tidak tepat itu secara langsung menjatuhkan imej dan menyinggung perasaan lebih 80,000 orang keturunan Siam di negara ini.

"Saya telah menerima banyak aduan dan bantahan daripada anggota masyarakat Siam berhubung penggunaan istilah Siam dalam laporan berita.

"Seringkali apabila ada rakyat Thailand ditahan, media massa gemar menggunakan istilah negatif seperti 'Pelacur Siam ditahan', 'Penari tiang Siam dicekup' dan sebagainya.

Artikel Penuh: Utusan Malaysia  http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130118/dn_21/Mohon-media-guna-istilah-Siam-secara-tepat#ixzz2IJFpiJfr

© Utusan Melayu (M) Bhd *******************************************************************************************
Sebelum saya pergi ke isu di atas, terlebih dahulu saya ingin tekankan sekali lagi bahawa "Thai" ialah nama bangsa dan "Siam" ialah nama negara. Negara Thailand dahulu dikenali sebagai Negara Siam @ Sayam. Majoriti penduduknya ialah kaum Thai @ Tai yang dikatakan berasal dari Pergunungan Attai, China. Kaum-kaum lain juga ada sebagai kaum minoriti, misalnya Kemboja, Laos, Mon, Cina, Melayu dan sebagainya.  

Oleh sebab kaum Thai majoriti, pada tahun 1939, P. Phibunsongkhram tukar nama Negara Siam kepada Negara Thai (Thailand). Beliau seorang ahli revolusi yang berjiwa Thai. Maka ciri-ciri Thai diangkat dan diterapkan ke dalam negara-bangsa Thailand. Maka penduduk Thailand yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan sendirinya dikenali bangsa Thai (rujuk: wikipedia Thailand)  

Maka dapat kita simpulkan bahawa istilah "Siam" merujuk kepada nama negara dan penduduk di Negara Siam. Istilah "Thai" merujuk kepada kaum Thai dan penduduk di Negara Thai (Thailand). Walaupun Negara Siam telah ditukar nama kepada Negara Thai, tetapi istilah "Siam" atau "Siamese" masih digunakan di Negara Thai, misalnya Siam Paragon, Siam Center Hotel, Siam Square, Museum of Siam, Siam Amulet dan lain-lain.  

Bagi orang Melayu di Malaysia, mereka juga masih memanggil Siam terhadap Negara Thai. Aku nak pergi Siam (Aku nak pergi Thailand), beras Siam (kenapa bukan beras Thailand?), pakaian Siam (pakaian dari Thailand), perempuan Siam (perempuan Thailand) dan sebagainya. Adakah penggunaan ini salah? Jawapannya tidak, istilah "Siam" memang hak milik Thailand kerana itu adalah nama negara mereka sebelum ditukar kepada Thailand.  

Manakala kita, masyarakat keturunan Thai di Malaysia memanggil Siam terhadap diri kita dalam bahasa Melayu sebagai "Siam" kerana kita datang ke Tanah Melayu sewaktu Thailand masih bernama Negara Siam (Sukhothai atau Ayuthaya). maksudnya kita datang dari Negara Siam sebab itulah kita panggil diri kita "Siam" atau "Siamese". Kita bercakap Thai, kita panggil diri kita khon Thai (Orang Thai). Apabila bercakap Melayu, kita panggil diri kita Siam. Apabila speaking, kita sebut Siamese. Sedangkan nama bangsa kita ialah Thai @ Tai. Ini jangan kita lupa.  

Seperti yang dijelaskan di atas, "Siam" ialah nama lama negara Thailand. Sekarang kita tinggal di Malaysia, jadi warganegara dan diterima kerajaan BN sebagai Bumiputera. Kita tiada apa-apa hubungan politik lagi dengan Thailand. Oleh itu, sewajarnya kita juga sudah tiada kena mengena lagi dengan "Siam" kerana itu ialah nama negara yang dikaitkan dengan asal-usul kita. Nama sesuatu kaum lazimnya dikaitkan dengan nama negara iaitu negara-bangsa.  

Kita rakyat Malaysia sepatutnya menggunakan nama "bangsa Malaysia" sebagaimana yang digunakan di negara-negara lain di dunia. Namun, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum masih tegar dengan semangat "perkaumannya" lantas nama kaum masih dikekalkan. Kita sepatutnya menggunakan nama "Thai Malaysia" kerana Thai ialah keturunan kaum kita dan Malaysia ialah negara tanah tumpah darah kita. Kita boleh panggil diri kita orang Siam kerana kita dikatakan datang dari Negara Siam. Seperti orang Cina dan India masih mengekalkan nama (negara) asal mereka.

Dan orang Thailand juga boleh panggil diri mereka Siam kerana Siam nama asal Thailand.

Oleh itu, wartawan tidak salah apabila panggil "perempuan Siam" bagi merujuk kepada perempuan Thailand. Orang yang keliru ialah kita. Kita bukan pemegang patent terhadap istilah "Siam". Maknanya istilah "Siam" bukan hak kita sahaja, tetapi hak orang Thailand juga. Bahkan orang Thailand lebih berhakke atas istilah "Siam" berbanding dengan kita yang tiada apa-apa kaitan politik lagi dengan negara Siam. (Negara Siam ketika itu ialah Sukhothai, Ayutthaya dan Thonburi yang sekarang ini sudah tiada kerana diambil alih oleh kerajaan Bangkok yang kemudian menukar nama kepada Thailand).

"Mohon media guna istilah Siam secara tepat" (Tajuk berita hari ini)

Saya bukan orang sejarah mahupun orang bahasa. Namun, saya rasa wartawan sudah menggunakan istilah Siam dengan tepat kerana "Siam" ialah nama negara Thailand pada zaman Kerajaan Sukhothai atau Ayutthaya. Kita sebenarnya yang "menumpang" menggunakan istilah tersebut. Sudah beberapa keturunan kita meninggalkan negara Siam, tetapi kita masih mahu menggunakan nama negara tersebut sebagai nama kita. Siapakah yang terkeliru dalam hal ini? Apapun saya tidak berhajat membahaskan penggunaan istilah Thai dan Siam kerana tidak mahu membuang masa.

Orang Thailand pun tidak bantah kita menggunakan istilah "Siam", akan tetapi kenapa kita pula yang melenting apabila istilah tersebut digunakan wartawan terhadap orang yang ada hak ke atasnya? Ada sesiapa yang mahu berhujah bahawa orang Thailand tiada hak ke atas istilah "Siam", dipersilakan! Dan siapakah yang memberi kuasa kepada pemimpin Siam menggunakan istilah "Siam" sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada masyarakat keturunan Thai (Khon Thai) di malaysia? Kerana apa saya tidak tahu, sekarang istilah "Thai" dan "Siam" telah mengelirukan ramai orang ekoran penggunaannya dalam sijil kelahiran yang tidak selaras.

Mengikut sejarah, bukan semua masyarakat keturunan Thai di Malaysia berasal daripada Negara Siam. Ada yang memang berasal dari Tanah Melayu. Ada yang berasal daripada keturunan Cina (dengar khabar ramai yang menyusup masuk ke dalam Siam kerana ASN/ASB). Apa yang kita mahu panggil mereka? Mahu panggil Siam, mereka bukan asal dari negara Siam. mahu panggil Melayu, mereka beragama Buddha. Mahu panggil Cina, mereka dakwa mereka Siam (meskipun namanya masih Cina). Nasib baik sejarah tiada perincian yang dapat kita kategorikan yang mana asal dari negara Siam (Siam Ori), yang mana asal di sini dan yang mana Siam celup lalu semuanya dipanggil Siam.

Sekarang Senator memperkenalkan istilah baru iaitu Siam Bumiputera. Istilah ini dapat membezakan kita daripada Siam di Thailand. Sekiranya perlu, bagi mengelakkan kekeliruan, istilah "Siam Bumiputera" boleh dijadikan nama khas dan diangkat sebagai istilah rasmi.

Kesimpulannya, kita tidak perlu merasa sakit apabila wartwan menggunakan istilah Siam dalam kes-kes yang negatif kerana istilah tersebut bukan setakat kita yang berhak, bahkan orang Thailand lebih berhak ke atasnya. istilah "Siam" ialah nama asal negara Thailand, bukannya nama moyang kita. Bangsa moyang kita ilah Thai @ Tai.

Dipetik daripada blog Komuniti Siam Baru.

Wednesday, January 16, 2013

Dilema penjawat awam minoriti Siam ditukar dan ditamatkan kontrak.

Pada 10 Disember 2012, aku mendapat surat pertukaran ke Ibu Kota berkuatkuasa pada 15 Disember 2012. Aku mohon penangguhan pertukaran sehingga 2 Januari 2013 untuk urusan keluarga sebelum aku bertugas di tempat baru. Pertukaran tersebut telah aku jangkakan sebelum ini bahawa suatu hari akan berlaku ke atas diri aku. Sebagai seorang penjawat awam keturunan minoriti Siam, kami tidak ada kuasa untuk mengelak perkara sebegini berlaku.

Sebelum pertukaran, aku telah dipulau sejak pertengahan tahun 2011 sehingga aku ditukarkan pada 2 Januari 2013. Aku tidak diberi sebarang tugas atau peranan sebagai penjawat awam. Semua aktiviti aku berkaitan masyarakat Siam juga disekat. Aku rasa tertekan sehingga aku memohon cuti tanpa gaji selama 6 bulan dari Januari 2012 hingga Jun 2012. Oleh kerana sebab-sebab tertentu aku menarik balik cuti tersebut selepas 2 bulan aku bercuti.

Sebulan sebelum ditukarkan, aku telah dipanggil untuk diberi nasihat oleh boss di peringkat negeri. Beliau menasihat aku supaya berhenti menulis sebarang artikel sensitif melalui media baru dan berhenti daripada aktif dalam persatuan. Beliau memaklumkan mendapat arahan daripada pihak atasan untuk menyediakan laporan tentang aku setiap minggu. Bila aku dengar tentang arahan daripada pihak atasan, aku dapat merasakan bahawa ada ahli politik mendesak agar aku ditukarkan. Lagi pun, aku pernah diheret ke pejabat SPRM adalah angkara mereka untuk menyingkir aku keluar daripada jalan mereka.

Antara isu-isu sensitif yang aku tulis dalam media baru kebanyakkannya melibatkan permasalahan masyarakat Siam Kedah, di mana dibangkitkan oleh pihak lain melalui media. Aku cuma mempertahankan hak-hak kaum aku sahaja apabila dikritik oleh kaum lain secara terbuka. Aku tulis atas dasar individu dan juga sebagai seorang pemimpin salah sebuah NGO kaum Siam. Tiada kaitan dengan majikan aku tapi aku dipersalahkan dari segi politik. Antara isu-isu tersebut ialah:

1. Kenyataan Majlis Fatwa Negeri Perlis mengharamkan Pesta Songkran kepada orang-orang Islam untuk meraikan bersama kerana dicemari budaya minum minuman keras semasa menyambut pesta tersebut. Tindakan tersebut telah menyekat pesta ini diraikan oleh semua kaum bagi mengeratkan perhubungan di antara satu sama lain. Di samping itu, penganjuran Pesta Songkran juga memerlukan penglibatan daripada semua pihak terutamanya pihak kerajaan bagi memeriahkan lagi pesta ini. Fatwa tersebut merupakan satu benteng perpaduan di antara kaum Siam dengan kaum Melayu. Sepatutnya Majlis Fatwa mengharamkan minuman keras bukannya Pesta Songkran.

2. Isu Bumiputera Siam yang diucapkan oleh PM pada 25 Feb 2012 di Wat Titi Akar. Dalam isu ini aku tidak membantah cuma aku kurang yakin selagi tiada bukti hitam putih daripada pihak kerajaan menyatakan kaum Siam adalah Bumiputera. Perjuangan kaum Siam sebenar adalah ingin mendapat pengiktirafan daripada kerajaan secara hitam putih tentang taraf Bumiputera bukannya laungan politik menjelang Pilihanraya Umum.

3. Isu pembinaan Wat Siam di Klian Intan, Perak yang mendapat bantahan daripada orang2 Melayu Kg. Bukit Buluh. Mereka membawa sepanduk dan mengadakan tunjuk perasaan tidak puashati terhadap pembinaan wat tersebut. Isu ini telah disiarkan melalui akhbar Sinar Harian. Aku hanya menjelaskan bahawa tanah tapak wat tersebut telah digazetkan oleh kerajaan sejak zaman British lagi. Salah ke, kami mengusahakan tanah kami sendiri?

4. Seterusnya isu Lot kediaman orang-orang Siam Baling di Charok Nau yang telah dijanjikan oleh kerajaan sejak 25 tahun dahulu. Aku salah seorang pemimpin yang memutuskan mengadakan perhimpunan aman untuk menuntut kerajaan menunaikan janji-janji mereka untuk memberi tanah lot kediaman kepada 82 orang peneroka setelah tanah usaha mereka diambil oleh kerajaan untuk projek pembangunan Pekan Baling. Aku dianggap sebagai menentang kerajaan.

5. Aku juga pernah memaparkan penderitaan seorang nenek keturunan Siam di sebuah kampung Siam di daerah Baling sehingga menjejaskan imej beberapa orang pemimpin politik sehingga memaksa mereka turun padang untuk menghulurkan bantuan. Sudah tentu aku dipersalahkan kerana mencemar imej kerajaan di media baru. Sedangkan aku tiada saluran lain untuk membantu seorang nenek yang hidup dalam keadaan daif.

6. Isu seterusnya ialah kegiatan aku dalam Pekemas yang merupakan sebuah NGO kebudayaan Siam yang bergabung dengan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK) di mana EXCO Kerajaan Negeri Kedah adalah Yang Dipertua MKNK secara automatik mengikut perlembagaan MKNK. Aku pula telah dipilih sebagai salah seorang ahli majlis MKNK dan sering mengadakan aktiviti bersama kerajaan negeri maka aku dianggap sebagai penyokong pembangkang. Sedangkan aktiviti kebudayaan adalah di luar batasan politik kepartian.

Keenam-enam isu yang aku sebutkan di atas telah digunakan oleh individu-individu yang tidak menyukai aku dari segi politik atau peribadi untuk menyingkirkan aku keluar daripada laluan kegiatan mereka di Kedah. Mereka cuba melabelkan aku sebagai penyokong tegar pihak pembangkang yang dianggap tidak wajar dilakukan oleh seorang penjawat awam kerajaan Persekutuan. Sedangkan aku cuma bersuara bagi mewakili kaum aku sendiri apabila dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu. Aku pasrah menerimanya tanpa ada peluang aku membela diri.

Setelah aku bertukar, aku dikhabarkan pula tentang seorang lagi penjawat awam keturunan Siam rakan sepejabat dengan aku telah ditamatkan kontrak mulai 6 Februari 2013. Apa-apa pun sebagai penjawat awam kaum minoriti Siam di peringkat bawahan, aku akur dan sentiasa menurut perintah. Jika umur panjang, mungkin aku akan dapat kembali bertugas di negeri kelahiran aku semula.

Tuesday, January 15, 2013

Rombongan Ke Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK) telah mengadakan rombongan ke Pekan Baru, Riau, Indonesia pada 27 – 30 Disember 2012. Rombongan tersebut terdiri daripada ahli-ahli Majlis MKNK dan kakitangan Jabatan Muzium Negeri Kedah seramai 20 orang.

Pekemas diwakili saya dan Sdr. Ban Dit a/l Wan selaku Ahli Majlis MKNK dan Setiausaha Pekemas. Setiap ahli rombongan dikenakan bayaran sebanyak RM2,000. Manakala ahli MKNK hanya dikenakan bayaran sebanyak RM500 sahaja dan selebihnya dibiayai oleh MKNK.
Para VIP yang turut serta dalam rombongan tersebut ialah YB Datuk Johari Bin Abdullah, ADUN Kupang, YB Datuk Yahaya Bin Abdullah, ADUN Jeneri dan YB Senator Nazri, Ahli Dewan Negara.

Pihak kami bertolak dari Lapangan Terbang Kepala Batas, Alor Setar pada 27 Disember 2012 jam 8.30 pagi dan bertolak dari KLIA pada jam 2.30 petang. Kami sampai di Lapangan Terbang Sultan Shariff Kassim II, Pekan Baru pada jam 3.00 petang (jam Indonesia). Kami disambut oleh Mas Joko, agen pelancongan di Pekan Baru.
Kami menginap di Hotel IBIS, Pekan Baru, Riau, Indonesia sepanjang kami berada di sana. Hari pertama kami berada di Pekan Baru, rombongan kami di bawa bersiar-siar di sekitar bandar Pekan Baru. Selepas makan malam, kami dibawa melawat Toko Media iaitu kedai buku seperti Popular Store di Malaysia.

Pada hari ke 2, kami bertolak ke Universiti Riau untuk menghadiri Seminar Kerjasama Sejarah Riau – Kedah. Kami disambut oleh pihak Universiti Riau dan para pelajar Fakulti Sejarah. Naib YDP MKNK iaitu Prof. Mohd. Isa adalah salah seorang pembentang Kertas Kerja dalam seminar tersebut. YB Datuk Johari Abdullah pula menyampaikan ucapan perasmian. Seterusnya kami dibawa melawat Muzium Riau dan melawat Masjid Ar Nur yang terbesar di Riau.
Pada 29 Disember 2012, pihak kami di bawa melawat istana lama Kesultanan Siak dan melawat makam Sultan Siak yang terakhir iaitu Sultan Shariff Kassim II. Perjalanan ke Siak dari Pekan Baru mengambil masa 3 jam, agak meletihkan. Sebelah petang kami ke Pasar Basah di Pekan Baru berhampiran pelabuhan lama di pinggir Sungai Siak.

Pada 30 Disember 2012, rombongan kami di bawa untuk membeli belah di pusat-pusat perniagaan di  Pekan Baru sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada jam 2.00 petang. Saya dan Ban Dit sampai di rumah pada jam 11.00 malam selepas berhenti makan malam di Restoran Siam Kg. Cina, Pendang, Kedah.