Monday, June 8, 2009

Seminar Ruamthai ke 17


Naka, 7 Jun 2009: Saya bersama-sama Sdr. Pricha melawat adik-adik Ruamthai menganjurkan Seminar Motivasi dan Pembangunan Pelajar Thai di Wat Thepchumnum, Kg. Naka, Padang Terap, Kedah.

Saya difahamkan Sdr. Tang selaku Bendahari PSK merangkap Ahli Jawatankuasa Pemuda BN Negeri Kedah mewakili masyarakat Siam telah menyumbang makan dan minum sepanjang program tersebut diadakan.

Syabas dan tahniah saya ucapkan.


Majlis Jamuan Teh Sempena Sambutan Hari Keputeraan Agong Peringkat Negeri Kedah.

Alor Setar, 6 Jun 2009: Saya membawa kumpulan gendang panjang dan tarian tradisional Siam Pekemas beserta 2 orang penyanyi dari Kampung Tok Set untuk membuat persembahan di Majlis Jamuan Teh Sempena Sambutan Hari Keputeraan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mantaloon, kediaman MB Kedah. Turut hadir ialah Raja Muda Kedah.

Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah.

Jitra, 5 Jun 2009: Saya membawa kumpulan kebudayaan Pekemas untuk mengadakan persembahan seni tarian kebudayaan Siam di Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah. Turut hadir ialah Tunku Suraya (anak sultan Kedah) dan YB Menteri Belia dan Sukan.

Thursday, June 4, 2009

Iklan jawatan kosong.

Saya telah dihubungi kawan saya dari Songkhla pagi tadi. Dia menceritakan tentang kawannya pemimpin tentera Thailand akan bertugas di Pejabat Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur selama 3 tahun mulai bulan depan. Pemimpin tentera tersebut memerlukan seorang pemandu rakyat Malaysia berketurunan Siam.

Gaji RM1000 sebulan, makan dan tempat penginapan disediakan. Kawan-kawan yang berada di KL atau di mana saja yang berminat, sila maklumkan kepada saya (019-5697868) secepat mungkin. Pihak Thailand ingin jawapan minggu depan.

Tuesday, June 2, 2009

Lawatan Ke Studio BKNK


ALOR SETAR, 27 Mei 2009: Saya selaku Pengerusi PEKEMAS telah melawat studio latihan tarian di Wisma Darul Aman, Bahagian Kebudayaan Negeri Kedah. Pihak BKNK akan bekerjasama dengan PEKEMAS dalam mempromosikan kebudayaan negeri Kedah termasuk Tarian Menora.

Ini merupakan perkembangan yang positif bagi mengetengahkan kebudayaan kita di peringkat negeri, kebangsaan dan seterusnya antarabangsa melalui kerjasama BKNK dan PEKEMAS. Sementara pejabat kebudayaan, mereka dah biasa bekerjasama dengan pihak PSM.

Cha Barn atau pembersihan rumah daripada roh jahat.


KG. BEGIA, 28 Mei 2009: Saya pergi ke rumah adik saya di Kg. Begia, Sik, Kedah di majlis pemujaan kepada tok keramat atau penunggu (pihak yang kita tak nampak) di kawasan rumah kediamannya. Orang Siam kata "Cha Barn" atau bersihkan rumah daripada roh jahat atau menjamu Dewa atau Tok Keramat yang menjaga rumah kita.

Setiap rumah orang Siam akan diadakan pemujaan ini sekiranya ingin hidup bahagia. Walaupun tak kerap sekurang-kurangnya sekali selepas kita menduduki rumah tersebut. Bomoh Ruai dari Kampung Kura, Sik melakukan proses pemujaan ini. Beliau juga merupakan bomoh untuk upacara kematian orang-orang Siam.

Tayai Saksit Titi Akar


Titi Akar, 21 Mei 2009: Saya membawa emak saya ke rumah adik-beradiknya di Kg. Titi Akar di mana diadakan persembahan TAYAI SAKSIT. Tok Chi Nuan adalah song Tayai Saksit. Beliau merupakan emak saudara kepada mak saya iaitu adik kepada Tok Wan.

Setiap tahun Tayai Saksit akan diadakan di kalangan keluarga kami di Kg. Titi Akar. Emak saya tak pernah tertinggal untuk pergi ke majlis tersebut. Persembahan Tayai Saksit ini dilakukan di dalam rumah dan diadakan secara bergilir-gilir di rumah saudara mara kami yang merupakan ahli keturunan yang sama.

Bila tiada orang yang ingin menjadi tuan rumah maka Tayai Saksit ini akan diadakan di rumah song sendiri iaitu di rumah Tok Chi Nuan. Antara pantang larangnya ialah jangan jamu makanan daripada daging dan juga minuman keras sepanjang program Tayai Saksit diadakan. Hanya dijamu dengan masakan sayur-sayuran seperti gulai Khilek, gulai rebung, sayur goreng, ulam-ulaman, ikan kering dll kepada tetamu yang hadir. Tayai saksit pula dijamu dengan kuih LA macam mi kering dengan air kosong. Program ini bermula dari petang hingga ke esok pagi, kebiasaannya diadakan pada hari Khamis dalam bulan 6 (mengikut kalender Siam).


Anak Istimewa.

Ini merupakan anak saya yang paling istimewa. Namanya Chatri Sripradit berumur 5 tahun, anak ke 2 daripada 3 orang anak. Pada 7 - 8 Mei 2009, dia dimasukkan ke Wad 5B, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kerana demam panas. Hanya saya seorang yang boleh temankan dia di wad tersebut. Memang dia cukup rapat dengan saya berbanding emaknya.

Anak saya tak boleh bercakap walaupun dah berumur 5 tahun. Mungkin disebabkan tarik (sawan) semasa berumur 2 tahun. Bila demam panas, dia akan tarik. Sebab itu, bila dia demam saya akan terus bawa dia ke hospital.

Doktor telah memberi surat permohonan Kad OKU kepada anak saya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Walaupun dia tidak sempurna, saya lebih beri perhatian kepadanya berbanding abang dan adiknya.