Tuesday, March 13, 2012

Aku Bumiputera Atau Najib Razak Yang Bersandiwara?

Posted on by Prasert E.C.

Di hadapan ribuan masyarakat Siam, di bumi Kedah, tanah kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang pertama, berdarah Siam, Tunku Abdul Rahman Putra, Datuk Seri Najib Razak, memperakukan bahawa kaum Siam ialah Bumiputera. Oleh itu, kaum Siam akan terus dibela seperti kaum Bumiputera lain. Beliau berkata kerajaan memberi jaminan akan memastikan masyarakat Siam mendapat apa saja kemudahan seperti diperuntukkan kepada golongan Bumiputera dan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pengumuman Perdana ini dilakukan di Karnival Kasih Perdana Menteri Bersama Masyarakat Siam di Kampung Tok Set, Kedah.

Pengakuan Najib ini mencetuskan pelbagai reaksi. Bagi orang Siam yang optimis dengan usaha YB Senator Boon Som, menyambutnya dengan gembira, melompat-lomp Bagi mereka yang tidak sealiran dengan Boon Som menyambutnya dengan sinis kerana ini bukan kali pertama Siam dikatakan Bumiputera oleh orang besar negara.

Beberapa rakan Facebook Perdana Menteri, terutama yang bukan Melayu berasa kurang senang. Mereka seperti cemburu. Mereka mendakwa adakah kerana kedatangan mereka sedikit lambat daripada orang Siam lantas tidak layak menerima taraf Bumiputera?

Mereka datang lambat atau cepat tidak timbul Ini bukan persoalannya. Persoalannya ialah kaum Siam bukan pendatang. Saya tidak gemar menggunakan istilah pendatang kepada mana-mana kaum. Jauh sekali melabelkan sesiapa sebagai pendatang. Semua orang ialah pendatang – dari alam ghaib datang ke dunia, kemudian akan kembali ke alam ghaib lagi. Namun, apabila soal kedatangan dikaitkan dengan kaum Siam, saya tidak boleh berdiam diri. Saya perlu memberi penjelasan kepada mereka yang kurang jels. Orang kurang jelas umpama tinggal di gua gelap.

Kaum Siam ialah golongan peneroka. Mereka meneroka bersama kaum Melayu – menebas dan menebang hutan belantara untuk membina kehidupan. Pergi ke perkampungan orang Siam dan perhatikan rumah, sawah, pokok dan sungai sama dengan masyarakat Melayu. Budaya dan adat resam pun tidak jauh berbeza. Perbezaan yang ketara cuma agama. Sekiranya benteng agama diruntuhkan, sukar untuk membezakan orang Siam daripada orang Melayu. Malahan, terdapat pakar budaya mengatakan bahawa orang Siam serumpun dengan orang Melayu. Berdasarkan persamaan ini, jika orang Siam pendatang, Melayu pun pendatang.

Namun, hakikatnya Melayu itu bukan pendatang. Melayu itu peneroka. Peneroka ialah pembuka tanah. Orang pertama atau generasi pertama yang membuka tanah hutan belantara.

Orang bilang berlaku penghijrahan di Asia Tenggara termasuk bumi yang dinamakan Malaysia ini. Dahulu bumi ini termasuk di dalam bumi bertuah yang digelar Suvanabhumi, atau bumi syurga. Pokoknya, ramai Melayu berasal dari Indonesia. Siam berasal dari Negara Siam. Ini tidak dinafikan. Menurut tokoh budaya, penghijrahan yang berlaku di dalam Nusantara tidak dianggap sebagai pendatang. Nusantara sebahagian daripada Suvanabhumi? Maka, Siam, biarpun ada yang berasal daripada Negara Siam (Thailand sekarang) bukan pendatang.

Najib berkata pengisytiharan bahawa kaum Siam adalah golongan Bumiputera telah dibuat sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra lagi. Betulkah begitu? Jika betul, bersyukurlah kerana kaum Siam telah diterima sebagai Bumiputera sejak kemerdekaan lagi. Persoalannya, kenapa kaum Siam tidak pernah menikmati “keistimewaan” sebagai Bumiputera? Atau Tunku cuma mengisytiharkan kaum Siam Bumiputera yang tidak layak menikmati hak-hak Bumiputera? Saya kurang pasti adakah pada zaman Tunku, orang Siam pernah menikmati hak-hak tersebut.

Jika kaum Siam telah lama diisytiharkan sebagai Bumiputera, kenapa baru sekarang persoalan ini timbul? Kenapa Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, ayahanda Datuk Seri Najib tidak pernah menyebut perkara ini? Beliau tidak tahu? Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, ayahanda Datuk Seri Hishammudin, Menteri Dalam Negeri juga tidak pernah menyentuh perihal Siam Bumiputera? Atau kedua-dua Perdana Menteri itu terlupa atau terlepas pandang kaum minoriti Siam?

Cuma pada zaman Tun Mahathir Mohamad, kaum Siam dilayan lebih dekat dengan Bumiputera. Mungkin Tun orang Kedah. Beliau pernah bergaul dengan Siam Kedah. ASB dibukan kepada orang Siam. Senator juga diberi kepada orang Siam. banyak lagi kemudahan lain yang dinikmati orang Siam pada zaman Tun Mahathir. Dan pada zaman ini jugalah ramai anak-anak Siam masuk IPTA. Orang kata Tun buka pintu universiti seluar-luasnya kepada anak-anak Siam kerana beliau sedar hanya pendidikan tinggi mampu mengeluarkan masyarakat minoriti Siam daripada belenggu kemiskinan.

Pada era Tun Abdullah Badawi, masyarakat Siam seperti hilang daripada pandangan. Mungkin kerana PRU 2004 memberi kemenangan besar kepada Umno-BN. Mungkin juga kerana beliau terlalu sibuk dengan Islam Hadhari. Atau sibuk dengan Khairy Jamaluddin yang gemar menghunus keris.

Najib Razak membawa harapan baru. RM200 ribu diberi kepada Siam kelantan. RM500 ribu dijanjikan kepada Siam Kedah.

Peliknya – ini yang bikin saya garu kepala lutut – jikalau Najib Razak tahu bahawa kaum Siam diisytiharkan Bumiputera sejak zaman Tuanku lagi, kenapa baru beberahari ini sahaja beliau membuka mulut? Sebelum ini beliau pernah bersama masyarakat Siam Kelantan tetapi tidak menyebut hal ini. Adakah kerana desakan kuat masyarakat Siam memaksa beliau membuka mulut? Beliau berkata permintaan masyarakat Siam untuk menjelaskan kedudukan mereka sebagai Bumiputera, bukanlah tuntutan yang tidak munasabah.

Dan yang lebih pelik lagi, sewaktu beliau jadi Menteri Pendidikan, sahabat saya pernah berjumpa beliau minta kelonggaran pelajar Siam masuk IPTA (termasuk UITM). Beliau berkata Siam bukan Bumiputera. Tiada dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Siam ialah Bumiputera. Sahabat saya itu beritahu saya bahawa Siam mungkin menghadapi zaman kelam jika Najib Razak jadi Perdana Menteri kerana anak kelahiran Pahang itu “tidak kenal” orang Siam. Mujurlah sangkaan itu tidak benar.

Setelah jadi Perdana Menteri, Najib Razak menjadi seperti orang hilang ingatan yang teringat kembali bahawa Tuanku Abdul Rahman pernah membuat pengisytiharan Siam ialah Bumiputera. Bila dan di mana tidak perlu dipersoalkan. Mungkin sebab itu jugalah beliau lantik sahabat saya itu ke jawatan Senator. Satu kejutan yang sukar diterima terutama calon-calon Senator lain. Pemimpin wanita segera telefon Nazri Aziz membuat bantahan kerana merajuk. Serba salah Nazri Aziz dibuatnya.

Perubahan Najib Razak – daripada Siam bukan Bumiputera sewaktu jadi Menteri Pendidikan kepada Siam Bumiputera selepas jadi Perdana Menteri umpama Misteri Nusantara di TV3. Anda percaya Misteri Nusantara itu benar?

Mari kita sorok sedikit politik Umno-BN selepas Tsunami 2008. BN sedar bahawa masyarakat di Semenanjung Malaysia telah menolak mereka. BN mengekalkan kuasa kerana Sabah dan Sarawak. Jika diambil kira jumlah pengundi, Pakatan Rakyat jauh lebih ramai. Namun, jumlah pengundi di kawasan yang di menangi PR sangat ramai, sedangkan pengundi di kawasan yang dimenangi BN sedikit. Kerajaan akan memecahkan kawasan majoriti penyokong BN kepada beberapa kawasan yang lebih kecil. Jadi, kawsaan Parlimen yang menyokong kerajaan semakin bertambah. Sedangkan kawasan pro pembangkang kekal sama; tidak dipecah-pecahkan biarpun jumlah pengundi ramai. Ini dasar “pecah dan perintah” BN yang diwarisi British.

Kerana majoriti pengundi Semenanjung Malaysia menolak BN, maka Bn terpaksa mencari jalan untuk menarik balik sokongan supaya kuasa kekal di tangan mereka. Najib pernah berkata BN akan pertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir. Betapa pentingnya Putrajaya kepada BN. Oleh sebab itulah pelbagai cara digunakan untuk menarik sokongan rakyat – halal dan tidak halal. Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan Siam dijanjikan peruntukan. Walaupun tidak semua ditunaikan, sekurang-kurangnya mampu mendiamkan rakyat seketika.

Orang Siam sekarang lebih bijak. Mereka belum berpuas hati dengan peruntukan semata-mata. Mereka mahu masa depan lebih terjamin. Di bawah Senator baru, Siam diangkat namanya kepada Bumiputera Siam bersama beberapa permintaan yang masuk akal. BN merasakan permintaan tersebut harus ditunaikan sebelum PRU-13 kerana undi orang Siam menjadi penentu beberapa kawasan Parlimen/DUN di Kedah. Maka Najib pun mengisytiharkan Siam ialah Bumiputera sebagaimana yang dkehendaki masyarakat Siam. Sebelum ini ada Menteri membuat pengakuan yang sama tetapi orang Siam belum berpuas hati. Mereka mahu mendengar daripada mulut Perdana Menteri sendiri.

Maka tidak hairanlah sekiranya ada pihak mendakwa Perdana Menteri “bermain politik” dengan masyarakat Siam. Dalam politik, pemimpin tidak boleh menolak kehendak rakyat tanpa sebab yang munasabah. Buruk padahnya. Mengaku Siam Bumiputera tidak rugi apa-apa kepada BN. Siam tidak ramai. Peruntukan yang digunakan untuk “mengurus” pendatang asing tanpa izin jauh lebih banyak daripada menguruskan hak-hak Bumiputera masyarakat Siam.

Namun, sekadar pengisytiharan. Pelaksanaannya belum tahu. Jabatan kerajaan tidak akan melayan Siam sebagai Bumiputera selagi tiada arahan daripada Ketua Setiausaha Negara. Jadi, PM mesti mengarahkan KSN keluarkan pekeliling kepada semua jabatan kerajaan. Sudikah PM melakukannya? Jikalau tidak sudi, maka orang Siam akan menganggap PM sama seperti Menteri lain yang bersandiwara.

Copy daripada laman http://satumalaysia.wordpress.com/

Tuesday, March 6, 2012

Wat dan masyarakat Siam tidak boleh dipisahkan.

Bila saya mengatakan wat Siam tidak wajar dijadikan medan politik, orang akan menjawab 'Wat dan masyarakat Siam tidak boleh dipisahkan'.

Memang saya setuju wat dan masyarakat Siam tidak boleh dipisahkan. Sejak dahulu lagi, masyarakat Siam akan berhimpun di dalam kawasan wat untuk menganjurkan pelbagai program selain daripada aktiviti-aktiviti keagamaan seperti aktiviti sukan, kebudayaan, seminar, taklimat, sesi ceramah dan sebagainya.

Wat adalah milik semua dan dibina hasil sumbangan tenaga dan kewangan daripada orang ramai. Selain daripada menjadi sebuah institusi keagaman maka wat juga wajar dijadikan sebagai satu pusat untuk masyarakat Siam berkumpul, berbincang dan menganjurkan sesuatu program untuk kepentingan masyarakat Siam secara keseluruhan.

Saya masih berpendapat bahawa wat tidak sesuai untuk dijadikan medan politik oleh mana-mana pihak. Sekiranya wat dijadikan medan politik maka kemungkinan besar akan berlaku perpecahan dalam masyarakat Siam yang minoriti ini. Kerana seperti kita sedia maklum dalam bidang politik terdapat 2 kumpulan iaitu kumpulan yang sokong dan kumpulan yang tidak sokong.

Pada pandangan saya, penganjuran Majlis Perasmian Sekolah Bahasa Siam di Wat Titi Akar atau Program Karnival Kasih di Wat Nanai, Kg. Tok Set boleh dianjurkan. Tetapi pihak penganjur haruslah memikirkan soal-soal sensitiviti yang melibatkan para sami supaya institusi wat tidak tercemar. Antara perkara yang harus dititikberatkan ialah dari segi protokol sami dan pantang larang sami berdasarkan peraturan-peraturan sami 227 perkara.

Sekiranya program tersebut tidak melibatkan para sami, maka ia tidak menjadi masalah cuma kita harus menjaga tingkahlaku diri sendiri agar tidak mencemarkan kawasan suci agama Buddha.

Kunjungan Perdana Menteri.

Pada 25 Februari 2012, YAB Datuk Seri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak telah mengadakan kunjungan ke daerah pendang untuk bertemu dengan masyarakat Siam Kedah. Beliau telah menyempurnakan majlis Perasmian Sekolah Bahasa Siam di Wat Titi Akar dan majlis Perasmian Program Karnival Kasih di Wat Nanai, Kg. Tok Set.

YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 kepada Sekolah Bahasa Siam Wat Titi Akar, mengumumkan peruntukan sebanyak RM9,000.00 setiap sekolah bahasa Siam di 48 buah wat seluruh negeri Kedah dan beliau juga mengumumkan peruntukan untuk membina bangunan ubosot di Wat Nanai, Kg. Tok Set tetapi jumlahnya tidak dimaklumkan.

Peruntukan sebanyak RM9,000.00 untuk setiap wat sebanyak 48 wat diberi terus oleh YAB Perdana Menteri kepada ketua-ketua Sami pada hari tersebut dalam bentuk cek.

YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan bahawa masyarakat Siam Malaysia merupakan kaum Bumiputera dan boleh menikmati semua kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti mana diperolehi oleh kaum Bumiputera Melayu.

Terima kasih, YAB Dato' Seri kerana prihatin kepada masyarakat Siam di Malaysia.