Wednesday, September 7, 2011

Masyarakat Siam diminta manfaat peruntukan kerajaan negeri Kedah.

ALOR SETAR – Masyarakat Siam diminta memanfaatkan peruntukan khas Kerajaan Negeri untuk kaum itu memandangkan bilangan orang Siam yang memohon bantuan masih terlalu sedikit.

Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kedah, William Khor Eng Hin berkata, walaupun Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM250,000 untuk kebajikan masyarakat Siam, pihaknya masih tidak menerima sebarang permohonan daripada wakil masyarakat Siam untuk kegunaan kaum itu.

Menurutnya, perkara sama dapat dilihat dari aspek permohonan Skim Kafalah dan bantuan khairat kematian apabila tidak sampai 30 peratus masyarakat Siam yang mengemukakan permohonan.

“DHPP yakin masalah ini berlaku disebabkan masyarakat Siam masih terikat dengan sentimen Barisan Nasional (BN) dan bimbang untuk menyokong Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) secara terbuka”.

“Masyarakat Siam perlu sedar pemberian bantuan Kerajaan Negeri adalah untuk semua rakyat Kedah tanpa membezakan bangsa, agama dan fahaman politik. Justeru, saya mohon masyarakat Siam bersikap lebih terbuka dalam menerima bantuan Kerajaan Negeri,” katanya baru-baru ini.

Eng Hin berkata, di sebalik sentimen segelintir pemimpin Siam terhadap Kerajaan Negeri, bilangan masyarakat Siam yang mula menyokong PR secara terbuka kini semakin ramai dan ia merupakan satu perkembangan baik menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, DHPP kini merancang untuk meningkatkan lagi keberkesanan hubungan komunikasi dengan pemimpin masyarakat Siam bagi memastikan segala maklumat dan bantuan disalurkan Kerajaan Negeri dimanfaatkan sepenuhnya.

“Dalam masa terdekat, DHPP akan memanggil dua pemimpin Siam dari setiap wat untuk mengadakan dialog selain memberi penerangan terperinci berhubung segala inisiatif terkini Kerajaan Negeri untuk masyarakat Siam,” katanya.

Selain itu, Eng Hin turut mendedahkan sokongan masyarakat Cina terhadap Kerajaan Negeri pimpinan PR juga semakin meningkat setelah menyedari polisi Kerajaan Negeri yang adil terhadap masyarakat Cina.

“Pelbagai dakwaan dan tohmahan dilemparkan pihak tertentu terhadap Kerajaan Negeri. Bagaimanapun segala dakwaan itu berjaya ditepis setelah masyarakat Cina menyedari Kerajaan Negeri sedia ada lebih prihatin dengan kebajikan mereka berbanding Kerajaan Negeri terdahulu.”

“Saya yakin masyarakat Cina masih memerlukan kepimpinan Kerajaan Negeri PR untuk menerajui Kedah pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, 5.9.2011 m/s U4 (Edisi Utara)

No comments:

Post a Comment