Thursday, September 8, 2011

Bakat En. Siri Neng Buah sebagai Tok Dalang wayang kulit Siam Kelantan.

Minat beliau terhadap bidang kesenian telah diterapkan ke dalam jiwanya sejak kecil lagi. Bapa beliau, Nai Neng Buah merupakan seorang yang berbakat besar dalam bidang kesenian. Neng Buah berkebolehan dalam mempersembahkan tarian menora, mak yong dan seterusnya menjadi dalang wayang kulit

Permainan wayang kulit Siam Kelantan merupakan persembahan patung-patung yang digerakkan oleh Tok Dalang berlatarkan layar putih dan diterangi sinar cahaya. Ia tergolong dalam kumpulan teater tradisional. Komponen penting dalam permainan wayang kulit ialah dalang, patung, kelir (kain layar putih) dan muzik. Wayang kulit dimainkan di pesta-pesta keramaian seperti perayaan diraja, temasya selepas menuai padi, acara menyembah guru, mengubati orang sakit, upacara puja semangat dan ritual yang lain.

Terdapat dua jenis bentuk wayang kulit iaitu wayang kulit yang dipuja dan tidak dipuja. Misalnya dalam wayang kulit Siam Kelantan , terdapat tiga jenis patung wayang kulit yang dipuja iaitu patung Pak Dogol, Patung Maharisi, dan Sang Kaki Darkala. Patung Pak Dogol dikatakan paling keramat kerana dipercayai, Pak Dogol adalah jelmaan Dewa Soh Alam Tunggal. Maka sebagai tanda pemujaan terhadap patung tersebut, tok dalang akan melilitkan benang mentah pada lehernya selepas upacara buka panggung. Ketiga-tiga watak ini dikatakan dapat melindungi tok dalang serta ahli kumpulan wayang kulit daripada ancaman kumpulan wayang kulit yang lain. Maka, ketiga-tiga patung ini tidak boleh dipijak, dilangkahi dan harus diletakkan di tempat yang tinggi. Kononnya, sekiranya salah satu daripada ketiga-tiga patung ini dipijak, ia akan menyebabkan seseorang itu ditimpa musibah.

Patung wayang kulit yang tidak dipuja pula terdiri daripada patung-patung wayang kulit yang telah diadaptasikan daripada watak-watak moden seperti unsur-unsur alam, kenderaan dan sebagainya yang mempengaruhi gaya persembahan wayang kulit pada masa kini akibat arus pemodenan. Beliau telah mendapat tunjuk ajar dalam persembahan wayang kulit daripada ayahnya. Semenjak mula berkhidmat sebagai pegawai kebudayaan dan belia pada tahun 1978, bakat beliau dalam bidang kesenian telah digilap. Beliau seringkali mengadakan persembahan dalam majlis kesenian dan kebudayaan yang diadakan oleh kerajaan Negeri Terengganu. Beliau berkebolehan untuk menjadi tukang karut dalam persembahan Boria.

Kejayaan terulung yang dicapai oleh beliau bermula sejak beliau mula bergiat aktif dalam persembahan kebudayaan setelah menganggotai Persatuan Kelab Sunan Wijaya Darul Naim pada tahun 2002. Persatuan ini telah didaftarkan sebagai sebuah persatuan yang menjalankan gerak kerja berdasarkan kegiatan kesenian seperti dikir Barat, wayang kulit, seni silat dan sebagainya di sekitar Kuala Lumpur . Kebanyakan ahli persatuan ini terdiri daripada warga tempatan yang berasal dari Pantai Timur dan bermastautin di Kuala Lumpur . Pada 8 hingga 9 Julai 2007 yang lalu, beliau telah mencatat sejarah sebagai orang bukan Melayu pertama dipilih untuk menjadi dalang wayang kulit peringkat Malaysia terpilih untuk
mengadakan persembahan wayang kulit di Istana Budaya .

Antara pemuzik-pemuzik yang digandingkan dalam persembahan tersebut ialah Seniman Negara, Hamzah Awang Amat, Dalang Yusof Mamat atau dikenali sebagai Pak Son Lapok serta Dalang Dollah Baju Merah dan Dalang Saari Terengganu, kebolehan beliau bertutur dalam pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan yang ada pada beliau untuk menarik minat penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang menyaksikan persembahan tersebut di Istana Budaya.

Pada 8 julai 2007 yang lalu. beliau telah mengetuai Persatuan Kelab Sunan Sriwijaya untuk mempersembahkan persembahan wayang kulit Siam Kelantan yang diadakan di Istana Budaya anjuran Persatuan Kelab Sunan Sri Wijaya. Persembahan wayang kulit Siam Kelantan yang dipersembahkan oleh beliau mengisahkan bagaimana seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Canang Klenang telah menjelma keluar daripada pusat Pak Dogol yang bernanah. Canang Klenang kemudiannya berhasrat pula untuk mengahwini Tuan Puteri Siti Dewi iaitu permaisuri Seri Rama. Permintaannya yang aneh ini telah menyebabkan beliau digantung secara songsang oleh Pak Dogol pada sebatang pokok. Bagaimanapun, Canang Klenang telah dilepaskan daripada gantungannya oleh dua ekor Bota bersaudara yang secara kebetulan dalam perjalanan menuju ke Istana Seri Rama untuk tujuan menyamun. Namun telah berlaku pula perkelahian antara Canang Klenang dan Bota-Bota berkenaan setelah beliau cuba menghalang niat mereka. Seri Rama telah memanggil Mah Babu Sanan untuk menujum dan menilik tentang siapakah di sebalik angkara yang berlaku melibatkan beliau serta ingin mengetahui siapa sebenarnya Canang Klenang.

Pada 9 Julai 2007 yang lalu, beliau telah mempersembahkan persembahan wayang kulit Siam kelantan buat kali kedua. Persembahan wayang kulit yang persembahkan oleh beliau pada malam itu mengisahkan tentang seorang raja yang terpaksa melarikan diri daripada negerinya setelah menyedari bahawa beliau akan dibunuh dan darahnya akan disimbah pada Istana Seri Rama lantaran beliau merupakan anak kelahiran yang sulung (pertama). Sememangnya, menjadi tuntutan untuk diambil darahnya bagi tujuan tersebut. Malah semua keturunannya kelak yang merupakan anak kelahiran pertama, akan menerima akibat yang sama jika diketahui oleh Seri Rama. Raja tersebut kemudiannya tinggal di sebuah negeri dan beliau dikenali sebagai Koma Sakti. Beliau juga mempunyai seorang anak yang dikenali sebagai Tuan Kecil Raja Budak. Namun telah timbul juga pertanyaan kepada Seri Rama tentang siapa sebenarnya Tuan Kecil Raja Budak kerana beliau merupakan seorang kanak-kanak yang gagah berani serta berkemampuan menewaskan Jin Aprit semasa perkelahiannya. Di samping itu, Tuan Kecil Raja Budak turut juga dapat menewaskan burung garuda yang ganas ketika cuba menyerangnya.

Dalam persembahan wayang kulit, Siri seringkali memainkan watak sebagai Dalang Tua, iaitu watak utama dalam persembahan wayang kulit. Berbeza dengan dalang-dalang wayang kulit yang lain, beliau masih mengamalkan upacara membuka panggung sebelum memulakan persembahan, Upacara buka panggung dalam persembahan wayang kulit diadakan untuk melancarkan persembahan. Sebelum memulakan persembahan wayang kulit, dalang akan memastikan setiap peralatan yang hendak digunakan sewaktu persembahan telah disediakan oleh penaja atau tuan punya majlis tersebut. Ini kerana, satu upacara akan diadakan dengan menghidangkan sajian untuk persembahan kepada semangat yang dipercayai menduduki patung wayang kulit dan juga alat-alat muzik. Setiap persembahan wayang kulit sememangnya akan dimulakan dengan sajian memuja semangat.

Antara peralatan yang digunakan untuk membuka panggung dalam persembahan Wayang kulit Siam Kelantan :
a) Air Manis
b) Telur
c) Benang Hidup
d) Sirih
e )Rokok Daun

Para penonton akan teruja melihat persembahan wayang kulit yang dipersembahkan masih mengekalkan keaslian dari segi persembahannya. Menurut beliau, upacara membuka panggung adalah untuk meminta izin dengan memanggil semangat dari roh-roh orang yang berkenaan . Keizinan ini bagi memanggil mereka supaya datang beramai-ramai menjiwai persembahan wayang kulit agar patung-patung itu nampak bersemangat dan kelihatan hidup semasa persembahan.

Upacara berjamu ini juga dilakukan bertujuan untuk memberi satu kesan yang mendalam kepada seseorang dalang ketika menghayati satu-satu watak. Jampi dan mantera dibaca awal permainan untuk membantu seseorang dalang dalam melancarkan permainan dan persembahan dalam persembahan wayang kulit Siam Kelantan, beliau seringkali menggunakan ayat-ayat suci Buddha untuk memulakan persembahan.

a) Mantera untuk memulakan persembahan:
Put tho put thang
Nak kan tang
Arahang put tho
Nak mo put tha yak
Tham mo tham mang
Nak khan tang
Arahang puttho nak mo put tha yak

b)Mantera untuk mengangkat patung wayang kulit
Sang kho sang khang
Nak kan tang
Arahang puttho
Nak mo put tha yak

c) Mantera ketika memakai tali pinggang ;
Nak mak nak ak
Na ko nak khak
Nak ak kak ang

Mantera juga untuk membantu dalang memperkuatkan daya ingatannya dalam mengeluarkan dialog di samping menumpukan segala tenaga dan pemikirannya untuk persembahan. Jampi yang dibaca oleh seseorang dalang menukar suara mengikut watak yang dimainkan,

d) Mantera untuk menukar suara
Canang-canang tak khok tik
Tit chak thammang
Maha chatit
Pho thik ya
Sak thang thammang
Nak mo thammang

Jampi ini juga bertujuan untuk mengelakkan dalang daripada sebarang kesilapan ketika mengendalikan persembahan seperti menuturkan dialog, menggerakkan tangan, melarikan patung-patung di atas kelir dan mengelakkan dalang dari mengantuk. Untuk menunjukkan kesaktian, roh-roh ini akan menjelma dengan diizinkan oleh tuhan dari kayangan. Mereka adalah makhluk-makhluk ghaib yang mendiami di kawasan kayangan dan tidak ada manusia yang dapat melihat dengan mata kasar kecuali dengan mata batin atau mata rohani. Tok dalang juga tidak dapat melihat roh-roh tersebut tetapi mereka percaya dengan semangat yang mereka lakukan tersebut. Untuk memanggil roh-roh dan semangat itu tadi, tok dalang sebagai tuan rumah mestilah menyediakan sajian untuk roh dan semangat.

No comments:

Post a Comment