Thursday, September 22, 2011

Siri 2: Pengalaman menubuh PBSM.

Pada 16 Jun 1996, saya bertukar dari Jabatan Penerangan Malaysia, Kuala Lumpur ke Pejabat Penerangan Daerah Timur laut, Pulau Pinang. Hampir setahun saya mohon pertukaran ke Kedah tapi tidak dapat. Oleh kerana, tiada kekosongan di Kedah maka saya terima pertukaran saya ke Pulau Pinang atas pertolongan En. Malik Siran, Penolong Setiausaha Bahagian Perjawatan dan Tatatertib di Kementerian Penerangan Malaysia.

Pada peringkat awalnya, saya berasa kekok dalam menjalankan tugas harian di tempat baru kerana tugas baru amat berbeza dengan tugas-tugas pejabat yang saya lakukan di Kuala Lumpur sebelum ini. Tugas-tugas di tempat baru lebih kepada kerja-kerja luar pejabat seperti melaksanakan program bersama-sama masyarakat setempat.

Saya terpaksa membuat kajian dan mengenali setiap pemimpin masyarakat di kawasan tersebut agar dapat membantu saya menjalankan tugas harian. Inilah tugas yang paling mencabar bagi saya, maklum la kehidupan orang-orang bandar jauh berbeza berbanding kehidupan orang-orang kampung. Kebanyakkan rumah-rumah di bandar ada pagar/tembok tambahan pula pada waktu siang tiada orang di rumah. Kemesraan orang-orang bandar menyambut tetamu yang datang ke rumah amat berbeza berbanding orang-orang kampung. Masing2 berada dalam dunia sendiri dan jarang bercampur gaul dengan jiran di sekeliling.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuat kajian masyarakat Siam yang tinggal di Pulau Pinang. Saya telah berjumpa dengan Nai Reang Khunphithak, Setiausaha Agung PSM yang bertapak di Pulau Pinang untuk mendapatkan senarai nama ahli PSM. Dari maklumat tersebut, saya hubungi satu persatu orang-orang Siam yang tinggal di Pulau Pinang samada melalui telefon atau pergi sendiri ke rumah mereka.

Pada 1 Ogos 1996, saya telah menganjurkan satu program bagi mengumpul semua masyarakat Siam Pulau Pinang iaitu “Program Malam Mesra Masyarakat Siam Penang” di Dewan Pustaka Warisan Seni, Pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang di mana En. Siri Neng Buah adalah pengarah di situ. Beliau memberi kebenaran menggunakan dewan tersebut dengan percuma. Turut hadir ke majlis tersebut ialah YB Senator Datuk Charern Intachat, Ahli Dewan Negara merangkap Presiden PSM, Datuk Siw Chun a/p Eam, Setiausaha Agung PSM, En. Ang Thean Hoe, Penolong Pengarah Penerangan Negeri Pulau Pinang dan ramai lagi sekitar 120 orang.

Ekoran daripada itu, saya bercadang untuk menubuhkan sebuah persatuan bagi memudahkan saya berkhidmat kepada masyarakat Siam di Pulau Pinang. Saya telah berbincang dengan beberapa orang rakan sepejabat terutamanya En. Mehat Hanafiah (sekarang Pegawai JASA) yang banyak membantu saya. Saya telah menghubungi beberapa orang pemimpin masyarakat Siam untuk mendapat pandangan. Antaranya ialah Datuk Siw Chun a/p Eam, Setiausaha Agung PSM, En. Pin a/l Endin Klap, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Siam Perlis, En. Edin Chok, Pengerusi Siam Kedah/Perlis dan saya juga pergi berjumpa dengan Datuk Charern Intachat di rumah beliau untuk mendapat pandangan tentang niat saya ingin menubuhkan Persatuan Belia Siam Malaysia (PBSM).

Ada yang membantah dan ada yang menyokong dengan cadangan saya. Sementara Datuk Charern Intachat, beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau tidak membantah dan juga tidak menyokong penubuhan PBSM. Beliau ingin melihat masyarakat Siam seluruh Malaysia bersatu di bawah satu bumbung melalui PSM. Menurut beliau, masyarakat Siam adalah kaum minoriti di Malaysia dan harus bersatu di bawah satu bumbung selaku satu jentera yang besar. Beliau juga telah memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Penyelaras Masyarakat Siam Malaysia (MPMSM) meminta agar semua persatuan Siam kecil-kecil di seluruh Malaysia dibubarkan dan bernaung di bawah satu payung dalam PSM. Persatuan Masyarakat Siam Kedah/Perlis di bawah kepimpinan En. Edin Chok terpaksa dibubarkan ketika itu bagi menghormati keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Siam seluruh Malaysia melalui MPMSM.

Akhirnya saya berasa serba salah samada ingin meneruskan penubuhan PBSM atau tidak. Sebelum membuat keputusan, saya telah berbincang dengan En. Siri Neng Buah, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang. Beliau merupakan orang Siam anak kelahiran Kg. Pak Kiang, Besut, Terengganu. Beliau menyarankan agar saya meneruskan niat untuk menubuhkan PBSM. Beliau memaklumkan bahawa melalui persatuan belia kita ada banyak peluang untuk membantu masyarakat berdasarkan pengalaman beliau. Sebelum ini beliau adalah bekas Pegawai Belia dan Sukan sebelum Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dipisahkan.

Akhirnya Mesyuarat Agung Penaja PBSM diadakan di Wat Pin-Bang Onn, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang pada 18 Mei 1997. En. Siri Neng Buah mempengerusikan mesyuarat tersebut. Turut hadir ialah En. Songkram Apau, Timbalan Presiden PSM ketika itu dan lebih kurang 30 orang lagi rakan-rakan yang hadir. Akhirnya PBSM berjaya didaftarkan dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 20 Mei 1999.

Kenapa penubuhan PBSM mengambil masa 2 tahun baru mendapat kelulusan ROS akan saya ceritakan dalam siri ke 3..

Ditulis oleh Manit Sripradit pada 22.9.2011

No comments:

Post a Comment