Tuesday, October 4, 2011

Siri 3: Bukan senang nak tubuh PBSM.

Setelah kita mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Persatuan Belia Siam Malaysia (PBSM) melalui Mesyuarat Agung Penaja PBSM di Wat Pin Bang-Onn, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang pada 18 Mei 1997, saya telah dipilih sebagai Setiausaha Penaja dan dipertanggungjawabkan untuk melakukan proses-proses pendaftaran PBSM dengan pejabat pendaftaran pertubuhan.

Sebagai permulaan, saya ke pejabat Pendaftaran Pertubuhan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan juga mendapatkan beberapa dokumen untuk proses pendaftaran. Saya berbincang dengan En. Siri Neng Buah selaku penasihat untuk merangka satu perlembagaan PBSM dan juga melakar sebuah logo PBSM.

Setelah semua dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran PBSM telah siap dan telah ditandatangani oleh saya selaku Setiausaha Penaja bersama Pengerusi Penaja iaitu En. Boonlea Aroonratana, saya menghantar dokumen tersebut ke pejabat pendaftaran pertubuhan menerusi Pengarah Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.

Lebih kurang 6 bulan saya menunggu, tetapi keputusan berkaitan status pendaftaran PBSM masih belum saya perolehi. Saya berasa tak sedap hati dan saya mengambil keputusan pergi ke pejabat belia dan sukan negeri Pulau Pinang untuk mendapat maklumat lanjut tentang penubuhan PBSM yang telah kami kemukakan sebelum ini.

Saya amat terkejut apabila dimaklumkan oleh En. Sulaiman Bin Abdullah, Pegawai Belia bahawa dokumen permohonan pendaftaran PBSM belum dimajukan ke pejabat pendaftaran pertubuhan kerana mendapat bantahan daripada salah seorang ahli Jawatankuasa Penaja PBSM itu sendiri. Saya ingin mendapat penjelasan lanjut, siapakah orang yang membuat bantahan. En. Sulaiman enggan memberitahu siapakah orang yang datang berjumpa beliau dan membantah pendaftaran PBSM.

En. Sulaiman mencadangkan agar saya mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Penaja bagi mengatasi masalah ini dan beliau akan hadir sebagai wakil Jabatan Belia dan Sukan.

Dalam mesyuarat khas jawatankuasa Penaja yang telah diadakan di bilik mesyuarat Kompleks Warisan Seni, Pulau Pinang, En. Sulaiman telah menjelaskan kedudukan sebenar kenapa pendaftaran PBSM dibekukan oleh Jabatan Belia dan Sukan selama 6 bulan. Beliau memaklumkan bahawa terdapat salah seorang di kalangan Jawatankuasa Penaja berjumpa beliau dan meluahkan perasaan tidak setuju dengan pendaftaran PBSM.

En. Boonlea Aroonratana selaku Pengerusi Penaja PBSM menjelaskan bahawa beliau telah pergi berjumpa dengan En. Sulaiman di pejabat untuk bertanya tentang perkembangan pendaftaran PBSM bukannya membantah pendaftaran PBSM. Beliau menyatakan bahawa En. Sulaiman salah faham terhadap beliau. Mesyuarat tersebut telah membuat keputusan untuk meneruskan pendaftaran PBSM dengan sebulat suara dan disaksikan oleh En. Sulaiman selaku wakil Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.

Saya faham, En. Boonlea Aroonratana bukannya berniat untuk membatalkan pendaftaran PBSM. Beliau sekadar ini mendapat penjelasan tentang perkembangan pendaftaran PBSM. Beliau juga pernah tanya saya berkali-kali sebelum ini, cuma silap saya kerana tidak memaklumkan secara terperinci kepada beliau sebab saya sendiri pun tidak tahu dan baru belajar cara2 untuk menubuh persatuan. Saya cuba elak untuk menjawab apabila ditanya oleh beliau sehingga menimbul perasaan tidak puashati beliau terhadap saya.

Beliau menganggap perlantikan beliau sebagai Pengerusi Penaja seperti diperalatakan dan hanya sebagai boneka. Sedangkan pemilihan beliau sebagai Pengerusi Penaja adalah satu penghormatan kepada beliau sebagai anak watan Pulau Pinang sebab penubuhan PBSM bermula di negeri Pulau Pinang.

Akhirnya pada 20 Mac 1999, PBSM berjaya didaftarkan sebagai sebuah NGO peringkat kebangsaan.

No comments:

Post a Comment