Sunday, March 1, 2009

Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam telah dirasmikan dgn jayanya.

Kelmarin, Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam, d/a Kampung Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah telah dirasmikan dengan jayanya.

Seramai lebih kurang 100 orang pemimpin masyarakat Siam dan penduduk setempat hadir ke majlis tersebut. Majlis tersebut dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong menyediakan makanan untuk 150 orang tetamu. Antara menunya ialah Kheng Khilek, Mhu masak kicap, sayur kobis, ikan goreng, namchup phaknok (ulam) dan tapai sebagai pencuci mulut. Ada juga orang kampung membawa makanan sendiri dari rumah.

Pada jam 10.30 pagi, para sami memulakan upacara Charen Phraphutthamont (Suat Mont) diketuai Ven. Phra Visutthasillakhun, Timbalan Ketua Sami Kedah/Perlis, Ven. Phrakhru Suwanthammaphitak, Ketua Sami Daerah Sik, Ven. Phrakhru Dhammabal Phem, Pemangku Ketua Sami Wat Suwannaram bersama 5 orang lagi sami wat Suwannaram dan Wat Visutthipradittharam.

Seterusnya ucapan saya selaku Pengerusi PEKEMAS, ucapan Mr. Thap, wakil Pusat Kebudayaan ASEAN, ucapan En. Siri Neng Buah, Pengarah Bahagian Warisan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan ucapan terakhir En. Osman Jamil, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.

Wakil Yayasan Phrawichianmoly, Songkhla, Thailand menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan kepada Pusat Kebudayaan Masyarakat Siam. Akhir sekali En. Siri Neng Buah mewakili Jabatan Warisan Malaysia menyampaikan pakaian Menora kepada En. Chai selaku Ketua Menora PEKEMAS sebagai simbolik penyerahan peralatan Menora yang disumbangkan oleh pihak kerajaan kepada PEKEMAS. En. Siri Neng Buah juga memaklumkan bahawa Menora telah diwartakan oleh Kerajaan Malaysia sebagai warisan negara pada 13 November 2008.

Majlis selesai pada jam 1.00 petang setelah para tetamu menikmati jamuan makan tengahari ala kampung. Saya bagi pihak PEKEMAS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis perasmian tersebut.

1 comment:

  1. Boleh turunkan gambar-gambar majlis tersebut kat blog saudara..TM.

    ReplyDelete