Monday, February 9, 2009

Pintu Sempadan Kota Putra Malaysia - Thailand.

Bergambar kenangan di tepi Gate Malaysia - Thailand. Di belakang saya adalah negara Thailand.

Hari ini, saya bersama-sama rombongan JKPKP Negeri Kedah telah melawat ke pintu sempadan Malaysia - Thailand di Kampung Durian Burung, Padang Terap, Kedah yang dikenali sebagai Kota Putra. Pembangunan Bandar Sempadan Kota Putra berkonsepkan agro-pelancongan dan pertanian berskala besar dan komersial, di samping mewujudkan bandar sempadan kedua di negeri Kedah.

Projek Kota Putra telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kedah pada 21 November 1998. Projek ini adalah sebahagian Pelan Struktur Daerah Padang terap 2002 - 2012 yang dijangka akan memacu pembangunan daerah Padang Terap.

Kota Putra telah diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1 Mei 2003 sebagai Pos Kawalan Imigresen dan Pintu Masuk yang dibenarkan bagi maksud kemasukan ke Malaysia. Projek ini telah diterima sebagai satu projek 'Joint Development Strategy' Malaysia - Thailand pada ogos 2004.

Saya difahamkan di sebelah Thailand sudah siap iaitu di Ban Pra Korb. Di sana adalah satu kawasan penempatan lebih kurang 3,000 orang penduduk. Semua prasarana sudah ada termasuk pondok polis dan klinik. Mereka hanya keluar modal tak besar, cuma letak 2 kontena di kedua-dua belah jalan untuk cop passport atau pass sempadan.

Kos projek Pintu Sempadan Kota Putra ini ialah RM95.3 juta. Dijangka Mac ini diserahkan kepada pihak kerajaan. Jika tiada aral melintang maka ia dijangka dibuka pada Mei 2009.





No comments:

Post a Comment