Thursday, February 23, 2012

Masyarakat Siam Bukan Bumiputera.

Selepas Dato’ Charern Intachat dilantik sebagai Senator pertama mewakili masyarakat Siam di Parlimen maka En. Songkran Apau memberi laluan kepada beliau untuk menerajui Persatuan Thai Malaysia pada tahun 1996.


Pada tahun 1997, Dato’ Charern Intachat bersama barisan Jawatankuasanya telah mengubal semula perlembagaan Persatuan. Nama persatuan juga ditukarkan menjadi Persatuan Siam Malaysia. Topik yang menjadi pertikaian di kalangan masyarakat kita sehingga kini ialah soal pertukaran istilah ‘Thai’ kepada ‘Siam’.


Dari tahun 1997 hingga sekarang, barisan kepimpinan dalam Persatuan Siam Malaysia giat aktif berkempen agar masyarakat kita dapat menerima istilah ‘Siam’ sebagai istilah bangsa kita. Tetapi malangnya golongan muda lebih suka kepada istilah Thai kerana ia merujuk kepada nama bangsa sebenar. Manakala istilah Siam merupakan nama sesuatu tempat, di mana sekarang dikenali sebagai Thailand.



Konflik mengenai istilah Thai dan Siam belum berakhir, Senator ke 3 pula mewujudkan istilah baru iaitu istilah ‘Bumiputera Siam’. Bertambah lagi celaru dalam masyarakat kita mengenai soal penetapan identiti bangsa. Mungkin tujuan beliau baik untuk memperkenalkan masyarakat kita sebagai Bumiputera di Malaysia.


Tetapi mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, warganegara berketurunan Thai bukannya Bumiputera. Takrif Bumiputera yang diguna pakai berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 160 (2).



"Jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/Orang Asli seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya dianggap seorang bumiputera."



Oleh itu, kita tidak seharusnya menipu kaum kita sendiri tentang penetapan status bangsa. Siapakah kita untuk menetapkan bahawa bangsa kita adalah Bumiputera, sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelas termaktub bahawa kaum kita bukannya Bumiputera.


Kita hanya perlu maklumkan bahawa kita sedang berusaha agar pihak kerajaan mengiktiraf kaum kita sebagai Bumiputera dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya kita layak diberi taraf Bumiputera. Bukannya bagi masyarakat kita sedap dengar daripada laungan ahli-ahli politik semasa menjelang Pilihan Raya Umum yang menjelang tiba.



Sebenarnya kita harus menjelaskan kepada masyarakat kita tentang keadaan sebenar bahawa mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia kaum kita bukannya Bumiputera. Menasihatilah kaum kita agar dapat terima hakikat dan bersedialah bersaing dengan kaum-kaum lain seperti Cina dan India untuk memartabatkan bangsa kita di Malaysia. Sementara pemimpin hendaklah terus berusaha untuk memastikan bahawa kaum kita diberi layanan dalam pelbagai aspek pembangunan sebagaimana kaum-kaum Bumiputera yang lain.


Saya harap kaum kita dapat hidup dengan harmoni di bumi Malaysia yang aman dan makmur ini.

No comments:

Post a Comment