Sunday, February 5, 2012

Pengundi Siam setia tapi dipinggir.

Semua pihak pasti akui bila saya katakan pengundi-pengundi Siam cukup setia kepada Barisan Nasional (BN) sejak lebih 50 tahun dahulu. Sebagai bukti, setiap Daerah Mengundi atau Lokaliti yang mempunyai pengundi-pengundi Siam pasti BN akan menang semasa pilihanraya.

Ada beberapa ahli politik mengatakan pengundi-pengundi Siam merupakan simpanan tetap kepada BN. Beberapa kawasan DUN yang mempunyai ramai pengundi-pengundi Siam juga mempunyai harapan yang tinggi untuk menang setiap pilihanraya dan dianggap sebagai kubu kuat BN.

Bukti seterusnya yang jelas menunjukkan pengundi-pengundi Siam setia kepada BN selama ini ialah setiap perkampungan Siam mesti ada cawangan parti UMNO. Sebanyak 43 buah kampung Siam di Kedah bermakna terdapat 43 cawangan UMNO yang diterajui oleh orang-orang Siam d Kedah.

Orang-orang Siam tidak pernah terfikir untuk menyertai parti lain walaupun terdapat seorang EXCO Kerajaan Negeri yang menerajui Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Kedah semasa pentadbiran kerajaan BN dahulu cuba untuk menubuhkan parti GERAKAN di setiap perkampungan Siam. Usaha tersebut tidak diterima oleh orang-orang Siam kerana orang-orang siam cukup setia dan terhutang budi kepada YTM Tengku Abdul Rahman Putra Al Haj kerana beliau sentiasa menjaga kebajikan orang-orang Siam semasa hayat beliau.

Cuma selepas PRU12, ekoran masalah dalaman UMNO maka terdapat beberapa pemmpin-pemimpin Siam tidak puashati dengan karenah pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan. Maka sebagai balas dendam mereka bertindak mensabotaj parti dengan membuka laluan untuk parti PAS bertapak di perkampungan Siam.

Walau bagaimana pun, sekiranya UMNO kuat dan dapat mengatasi masalah dalamannya maka pengundi-pengundi Siam tidak akan lari walaupun BN kalah di Kedah pada PRU12. Hanya segelintir sahaja yang terdiri daripada bekas pemimpin Siam UMNO yang kecewa bertindak mensabotajkan parti.

Tetapi malangnya kesetiaan yang diberikan oleh masyarakat Siam selama ini tidak dibalas dengan sewajarnya. Saya tidak tuju keluhan ini kepada pusat khdmat ADUN BN sebab setiap ketua-ketua kampung Siam akan dibawa berbincang untuk pembangunan kampung.

Saya hanya tuju kekeluhan ini kepada khidmat yang diberi oleh kerajaan melalui jabatan-jabatan kerajaan persekutuan. Jarang sangat mereka memikirkan tentang kebajikan dan pembangunan masyarakat Siam yang dianggap minoriti dan dianggap tidak memberi sebarang kesan kepada prestasi BN dalam PRU. Kerajaan dan dasar kerajaan amat bagus tapi kumpulan pelaksana di peringkat bawahan sahaja yang mencetuskan masalah dan bertindak mementingkan kaum sendiri sahaja.

Kebanyakkan program yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan kerajaan persekutuan ditujukan kepada kaum dominan sahaja. Saya tahu kebanyakkan kakitangan kerajaan persekutuan didominasi oleh satu kaum majoriti sahaja. Itu semua kami tidak kisah, asalkan mereka juga harus memikirkan juga hal-hal kebajikan kaum minoriti yang lain yang juga cukup setia kepada kerajaan selama ini. Jangan sampai peruntukan yang dikhaskan oleh pusat untuk program orang-orang Siam juga ingin dikebas mereka.

Saya bukan bersikap perkauman tapi ingin merayu dengan harapan mendapat sedikit belas kasihan daripada pihak kerajaan Pusat agar melihat, mendengar dan mempertimbangkan keluhan masyarakat Siam Kedah yang minoriti ini.

No comments:

Post a Comment