Thursday, January 22, 2009

Perjumpaan Pemimpin Siam Seluruh Malaysia.

Persatuan Siam Kedah (PSK) dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (PEKEMAS) akan mengadakan MESYUARAT KHAS PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT SIAM MALAYSIA di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26.1.2009 jam 3.30 petang.
Semua pemimpin masyarakat Siam seluruh Malaysia dijemput hadir beramai-ramai untuk berbincang tentang langkah-langkah yang akan diambil bagi membantu keluarga mangsa kes penculikan anak gadis Siam Kg. Chong, Sik, Kedah oleh PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) Myanmar.
Maklumat terbaru, mangsa yang berumur 13 tahun 1 bulan telah dibawa masuk ke Myanmar melalui Kancanaburi, Thailand.
Bapa mangsa akan bertolak ke Bangkok pada 27.1.2009 ini untuk berbincang dengan pihak Kedutaan Malaysia di Thailand di atas perlawaan pihak kedutaan setelah dihubungi oleh keluarga mangsa. Menurut pihak kedutaan Malaysia di Thailand, mereka belum mendapat sebarang maklumat daripada pihak berkuasa di Malaysia dalam perkara ini.
Saya agak terkilan sebab YB Datuk Seri Chor Chee Heong selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri sudah berjanji semasa Sidang Media di Wisma MCA pada 17.1.2009 yang lalu akan berbincang dengan PDRM di Bukit Aman dan juga akan memohon bantuan pihak kedutaan Malaysia di Thailand dan Myanmar serta mendapat bantuan pihak Polis Interpol dan juga Wisma Putra.
Kita selaku rakyat Malaysia keturunan Siam yang dianggap minoriti di Malaysia haruslah bersatu-padu dan berganding bahu bagi menyelamatkan anak-anak Siam kita yang teraniaya.
Kita jangan harap kepada pihak berwajib untuk membantu sekiranya masyarakat kita sendiri tidak mengambil peduli. Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat Siam seluruh Malaysia supaya dapat hadir ke perjumpaan tersebut.

No comments:

Post a Comment