Wednesday, January 16, 2013

Dilema penjawat awam minoriti Siam ditukar dan ditamatkan kontrak.

Pada 10 Disember 2012, aku mendapat surat pertukaran ke Ibu Kota berkuatkuasa pada 15 Disember 2012. Aku mohon penangguhan pertukaran sehingga 2 Januari 2013 untuk urusan keluarga sebelum aku bertugas di tempat baru. Pertukaran tersebut telah aku jangkakan sebelum ini bahawa suatu hari akan berlaku ke atas diri aku. Sebagai seorang penjawat awam keturunan minoriti Siam, kami tidak ada kuasa untuk mengelak perkara sebegini berlaku.

Sebelum pertukaran, aku telah dipulau sejak pertengahan tahun 2011 sehingga aku ditukarkan pada 2 Januari 2013. Aku tidak diberi sebarang tugas atau peranan sebagai penjawat awam. Semua aktiviti aku berkaitan masyarakat Siam juga disekat. Aku rasa tertekan sehingga aku memohon cuti tanpa gaji selama 6 bulan dari Januari 2012 hingga Jun 2012. Oleh kerana sebab-sebab tertentu aku menarik balik cuti tersebut selepas 2 bulan aku bercuti.

Sebulan sebelum ditukarkan, aku telah dipanggil untuk diberi nasihat oleh boss di peringkat negeri. Beliau menasihat aku supaya berhenti menulis sebarang artikel sensitif melalui media baru dan berhenti daripada aktif dalam persatuan. Beliau memaklumkan mendapat arahan daripada pihak atasan untuk menyediakan laporan tentang aku setiap minggu. Bila aku dengar tentang arahan daripada pihak atasan, aku dapat merasakan bahawa ada ahli politik mendesak agar aku ditukarkan. Lagi pun, aku pernah diheret ke pejabat SPRM adalah angkara mereka untuk menyingkir aku keluar daripada jalan mereka.

Antara isu-isu sensitif yang aku tulis dalam media baru kebanyakkannya melibatkan permasalahan masyarakat Siam Kedah, di mana dibangkitkan oleh pihak lain melalui media. Aku cuma mempertahankan hak-hak kaum aku sahaja apabila dikritik oleh kaum lain secara terbuka. Aku tulis atas dasar individu dan juga sebagai seorang pemimpin salah sebuah NGO kaum Siam. Tiada kaitan dengan majikan aku tapi aku dipersalahkan dari segi politik. Antara isu-isu tersebut ialah:

1. Kenyataan Majlis Fatwa Negeri Perlis mengharamkan Pesta Songkran kepada orang-orang Islam untuk meraikan bersama kerana dicemari budaya minum minuman keras semasa menyambut pesta tersebut. Tindakan tersebut telah menyekat pesta ini diraikan oleh semua kaum bagi mengeratkan perhubungan di antara satu sama lain. Di samping itu, penganjuran Pesta Songkran juga memerlukan penglibatan daripada semua pihak terutamanya pihak kerajaan bagi memeriahkan lagi pesta ini. Fatwa tersebut merupakan satu benteng perpaduan di antara kaum Siam dengan kaum Melayu. Sepatutnya Majlis Fatwa mengharamkan minuman keras bukannya Pesta Songkran.

2. Isu Bumiputera Siam yang diucapkan oleh PM pada 25 Feb 2012 di Wat Titi Akar. Dalam isu ini aku tidak membantah cuma aku kurang yakin selagi tiada bukti hitam putih daripada pihak kerajaan menyatakan kaum Siam adalah Bumiputera. Perjuangan kaum Siam sebenar adalah ingin mendapat pengiktirafan daripada kerajaan secara hitam putih tentang taraf Bumiputera bukannya laungan politik menjelang Pilihanraya Umum.

3. Isu pembinaan Wat Siam di Klian Intan, Perak yang mendapat bantahan daripada orang2 Melayu Kg. Bukit Buluh. Mereka membawa sepanduk dan mengadakan tunjuk perasaan tidak puashati terhadap pembinaan wat tersebut. Isu ini telah disiarkan melalui akhbar Sinar Harian. Aku hanya menjelaskan bahawa tanah tapak wat tersebut telah digazetkan oleh kerajaan sejak zaman British lagi. Salah ke, kami mengusahakan tanah kami sendiri?

4. Seterusnya isu Lot kediaman orang-orang Siam Baling di Charok Nau yang telah dijanjikan oleh kerajaan sejak 25 tahun dahulu. Aku salah seorang pemimpin yang memutuskan mengadakan perhimpunan aman untuk menuntut kerajaan menunaikan janji-janji mereka untuk memberi tanah lot kediaman kepada 82 orang peneroka setelah tanah usaha mereka diambil oleh kerajaan untuk projek pembangunan Pekan Baling. Aku dianggap sebagai menentang kerajaan.

5. Aku juga pernah memaparkan penderitaan seorang nenek keturunan Siam di sebuah kampung Siam di daerah Baling sehingga menjejaskan imej beberapa orang pemimpin politik sehingga memaksa mereka turun padang untuk menghulurkan bantuan. Sudah tentu aku dipersalahkan kerana mencemar imej kerajaan di media baru. Sedangkan aku tiada saluran lain untuk membantu seorang nenek yang hidup dalam keadaan daif.

6. Isu seterusnya ialah kegiatan aku dalam Pekemas yang merupakan sebuah NGO kebudayaan Siam yang bergabung dengan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK) di mana EXCO Kerajaan Negeri Kedah adalah Yang Dipertua MKNK secara automatik mengikut perlembagaan MKNK. Aku pula telah dipilih sebagai salah seorang ahli majlis MKNK dan sering mengadakan aktiviti bersama kerajaan negeri maka aku dianggap sebagai penyokong pembangkang. Sedangkan aktiviti kebudayaan adalah di luar batasan politik kepartian.

Keenam-enam isu yang aku sebutkan di atas telah digunakan oleh individu-individu yang tidak menyukai aku dari segi politik atau peribadi untuk menyingkirkan aku keluar daripada laluan kegiatan mereka di Kedah. Mereka cuba melabelkan aku sebagai penyokong tegar pihak pembangkang yang dianggap tidak wajar dilakukan oleh seorang penjawat awam kerajaan Persekutuan. Sedangkan aku cuma bersuara bagi mewakili kaum aku sendiri apabila dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu. Aku pasrah menerimanya tanpa ada peluang aku membela diri.

Setelah aku bertukar, aku dikhabarkan pula tentang seorang lagi penjawat awam keturunan Siam rakan sepejabat dengan aku telah ditamatkan kontrak mulai 6 Februari 2013. Apa-apa pun sebagai penjawat awam kaum minoriti Siam di peringkat bawahan, aku akur dan sentiasa menurut perintah. Jika umur panjang, mungkin aku akan dapat kembali bertugas di negeri kelahiran aku semula.

No comments:

Post a Comment