Tuesday, January 15, 2013

Rombongan Ke Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK) telah mengadakan rombongan ke Pekan Baru, Riau, Indonesia pada 27 – 30 Disember 2012. Rombongan tersebut terdiri daripada ahli-ahli Majlis MKNK dan kakitangan Jabatan Muzium Negeri Kedah seramai 20 orang.

Pekemas diwakili saya dan Sdr. Ban Dit a/l Wan selaku Ahli Majlis MKNK dan Setiausaha Pekemas. Setiap ahli rombongan dikenakan bayaran sebanyak RM2,000. Manakala ahli MKNK hanya dikenakan bayaran sebanyak RM500 sahaja dan selebihnya dibiayai oleh MKNK.
Para VIP yang turut serta dalam rombongan tersebut ialah YB Datuk Johari Bin Abdullah, ADUN Kupang, YB Datuk Yahaya Bin Abdullah, ADUN Jeneri dan YB Senator Nazri, Ahli Dewan Negara.

Pihak kami bertolak dari Lapangan Terbang Kepala Batas, Alor Setar pada 27 Disember 2012 jam 8.30 pagi dan bertolak dari KLIA pada jam 2.30 petang. Kami sampai di Lapangan Terbang Sultan Shariff Kassim II, Pekan Baru pada jam 3.00 petang (jam Indonesia). Kami disambut oleh Mas Joko, agen pelancongan di Pekan Baru.
Kami menginap di Hotel IBIS, Pekan Baru, Riau, Indonesia sepanjang kami berada di sana. Hari pertama kami berada di Pekan Baru, rombongan kami di bawa bersiar-siar di sekitar bandar Pekan Baru. Selepas makan malam, kami dibawa melawat Toko Media iaitu kedai buku seperti Popular Store di Malaysia.

Pada hari ke 2, kami bertolak ke Universiti Riau untuk menghadiri Seminar Kerjasama Sejarah Riau – Kedah. Kami disambut oleh pihak Universiti Riau dan para pelajar Fakulti Sejarah. Naib YDP MKNK iaitu Prof. Mohd. Isa adalah salah seorang pembentang Kertas Kerja dalam seminar tersebut. YB Datuk Johari Abdullah pula menyampaikan ucapan perasmian. Seterusnya kami dibawa melawat Muzium Riau dan melawat Masjid Ar Nur yang terbesar di Riau.
Pada 29 Disember 2012, pihak kami di bawa melawat istana lama Kesultanan Siak dan melawat makam Sultan Siak yang terakhir iaitu Sultan Shariff Kassim II. Perjalanan ke Siak dari Pekan Baru mengambil masa 3 jam, agak meletihkan. Sebelah petang kami ke Pasar Basah di Pekan Baru berhampiran pelabuhan lama di pinggir Sungai Siak.

Pada 30 Disember 2012, rombongan kami di bawa untuk membeli belah di pusat-pusat perniagaan di  Pekan Baru sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada jam 2.00 petang. Saya dan Ban Dit sampai di rumah pada jam 11.00 malam selepas berhenti makan malam di Restoran Siam Kg. Cina, Pendang, Kedah.

No comments:

Post a Comment