Thursday, March 17, 2011

Asam garam politik kampung.

Saya telah bertukar tempat bertugas dari Perak ke Alor Setar, Kedah pada 1 Ogos 2008. Di Kedah, saya tumpang selama setahun di rumah ibu bapa saya sebelum saya berpindah ke tempat tinggal saya sekarang.

Pada Mei 2010, pemimpin kampung tersebut minta bantuan saya untuk menganjurkan Konsert Amal untuk mencari dana pembinaan bangunan Sekolah Bahasa Siam. Pada 30 – 31 Mei 2010, konsert Amal berjaya dianjurkan. Pihak kami berjaya memperolehi dana lebih daripada RM12 ribu. Jumlah ini tidak termasuk pendapatan Lucky Draw dan jual barangan yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Sekolah Bahasa Siam.

Pada Jun 2010, Komuniti BESTARI masyarakat Siam telah ditubuhkan di bawah Jabatan Penerangan Malaysia. Projek pertama Komuniti BESTARI ialah penganjuran Pesta Loy Krathong 2010. Saya telah memanggil semua ketua-ketua kampung di seluruh daerah untuk berbincang selaku penyelaras Komuniti BESTARI tersebut.

Akhirnya keputusan mesyuarat memutuskan salah satu kampung dipilih untuk menganjurkan pesta ini dengan peruntukan Jabatan Penerangan Negeri Kedah sebanyak RM9 ribu. Kebetulan pula saya tinggal di kampung tersebut. Oleh itu, saya tidak boleh elak daripada tidak melibatkan diri. Tambahan pula, pemimpin di kampung tersebut mengharapkan saya membantu beliau untuk menjayakan pesta ini. Pihak majikan juga mengarahkan saya memantau penganjuran pesta ini agar menepati kehendak dan matlamat jabatan.

Akhirnya Pesta Loy Krathong 2010 berjaya diadakan pada 21 November 2010. Pihak jawatankuasa Sekolah Bahasa Siam memperoleh keuntungan lebih daripada RM5 ribu hasil jualan Krathong. Pihak Komuniti BESTARI pula mempunyai lebihan perbelanjaan sebanyak RM4 ribu. Saya rasa penganjuran pesta ini sangat adil kerana semua pihak masing-masing mendapat manafaat.

Tetapi malangnya, masih ada segelintir individu tidak berpuas hati dengan penganjuran pesta ini. Mereka cuba sedaya upaya menggagalkan program ini. Dengan kecekalan yang ada, pihak kami berjaya menganjurkannya. Sehinggalah tabung Sekolah Bahasa Siam semakin bertambah.

Ekoran daripada itulah, rumah saya sentiasa menjadi sasaran. Pada mulanya mereka membaling mercun bola sekitar jam 2 hingga 3 pagi. Sehingga anak-anak saya terkejut daripada tidur. Saya tak hiraukan perbuatan mereka. Saya anggap ia tidak menggugatkan keselamatan kami sekeluarga.

Sekitar bulan Januari, 2011, ada pihak telah membuang bangkai anjing mati di belakang rumah saya. Keadaan busuk tak terhingga. Nasib baik keluarga saya sudah pindah balik ke baling. Hanya saya dan anak sulung sahaja tinggal di rumah tersebut. Setiap pagi saya hantar anak ke sekolah dan saya ke tempat kerja. Saya jarang berada di rumah maka masalah busuk tidak menjejaskan kami.

Mereka juga menghasut orang-orang kampung seolah-olah saya ingin menjadi pemimpin di kampung mereka. Pantang ada majlis keramaian, mereka akan ambil peluang ini untuk menghasut orang-orang kampung. Tujuan mereka adalah ingin menghalau saya keluar dari kampung mereka.

Kemuncak krisis ini, pada 10 Mac 2011 ada pihak telah melempar bungkusan cat merah ke kereta dan rumah saya. Saya sedari kejadian ini semasa saya hendak ke tempat kerja pada jam 7.00 pagi lalu saya membuat laporan polis.

Pada 16 Mac 2011 lebih kurang jam 8.10 malam, saya sekeluarga sedang bersembang dengan jiran di hadapan rumah tiba-tiba ada pihak melastik dengan guli ke arah kami bertalu-talu dari dalam gelap. Sekali lagi saya membuat laporan polis.

Inilah asam garam politik kampung yang berlaku dalam masyarakat Siam. Saya tulis artikel ini berkaitan diri saya bertujuan untuk menjelaskan keadaan sebenar sebelum saya tidak berpeluang menjelaskannya. Saya tidak tuju kepada mana-mana pihak dan tidak mengaibkan mana-mana individu. Maaf dari saya jika anda tersinggung.

10 comments:

  1. Encik Manit..Tak guna awak menghabiskan masa memperjelaskan perkara yg benar sebab jika orang kalau tak suka kat kita,sebaik mana pun kita,sentiasa salah dimata mereka. Orang siam kita ni suka dgn hasat dengki,perangai macam khon khek! Sebab tulah kita masih di takuk lama walaupun dunia dah maju dan bangsa lain dah maju kedepan. Daripada menghabiskan masa untuk bersihkan nama awak lebih baik awak luangkan masa tu dgn family ,lagi berfaedah.Saya tak berniat nak hina orang siam tapi ini hakikatnya.

    ReplyDelete
  2. Itu lah yer Cik Manit... asama garam orang terkenal(khon Dang, Khon Prachachon). Ada saja yang tak kena. Saya turut simpati terhadap anda dan anak - anak anda. Lebih lagi budak budak tu. Saya juga ada anak. Kita ada masalah tak apa. Tapi bila melibatkan anak - anak. Mulalah susah hati bertambah - tambah. Mereka betul - betul tak professional(orang yang buang cat).

    ReplyDelete
  3. Saya juga simpati dgn awak.. byk bersabar aje... tapi saya nasihatkan Manit muhasabah diri dgn peristiwa yg terjadi...tak semua yg kita buat adalah betul belaka....kalau ada yg tak betul,perbetulkan segera..bak kata org tua2..kalau tiada angin masakan daun akan bergoyang...Kalau kita tak bersalah,jgnlah takut..ada pembalasan utk mereka yg salah... Harap Manit dan family tabah dgn ujian ini.TQ

    Khon khek..

    ReplyDelete
  4. Manit,tula org dah kata jng dok pandai pandai kat kg org jng dok tunjuk belagak ,manit kena faham yang kenapa kat kg sendiri pun tak boleh tinggal kat rumah mak mentua pun tak leh tinggal kalu betoi betoi manit iklas nape mak mentua tak bagi tinggal sebumbung.Kadang2 saya rasa macam Manit tak kenal diri sendiri lagi,,,,,,,orang kalu betoi pandai tak akan tulis dalam blokyang rumah kena baling dengan cat,kena lastik,kena buang bangkai anjing ,,,,maluuuuuu...

    ReplyDelete
  5. Bersabar saja Khun Manit. Laporan polis sudah dibuat, tentu mereka yang buat salah sudah berasa 'panas'. Masuk neraka tak semestinya selepas mati. Hidup pun boleh masuk juga. Chok dee!

    ReplyDelete
  6. Aku juga simpati dengan hang. Tapi dari sekarang hang harus nilai diri-sendiri. Apa yang hang buat tu bukan semuanya betul.......

    ReplyDelete
  7. Tak tau nak tulis APA..............PADAN MUKA HANG............................

    ReplyDelete
  8. Manit aku dengar kata org kg padang peliang jemput keluar mesyuarat, manit tak berani kluar betoi ka,tu lain kali nak dok kg orang pandai pandai bawa diri jangan dok tunjuk pandai sangat orang yg lebih pandai pada kita pun ada....nanti tak ada tempat nak duduk..mai mi thea suk hua non prai tinnn...

    ReplyDelete
  9. Negara kita ada Undang-undang. Undang-undang Rimba tidak mendapat tempat di hati penduduk. Setiap kampung ada penghuni dan ketuanya. Walaupun kita tinggal di mana-mana kampung pun, sekiranya kita dialu-alukan oleh Tok Ketua atau Ketua Sami di kampung berkenaan, rasanya tidak ada masalah. Saya rasa tiada undang-undang Malaysia melarang warganegaranya tinggal di mana-mana penjuru di seluruh Malaysia, jika geran tanahnya tertera nama penghuni tersebut.

    ReplyDelete
  10. Khun Anonymous 10:27PM,

    Masih ramai lagi org kampung sokong saya termasuk ketua kampung dan juga ketua sami. Bilakah anda jemput saya keluar ke mesyuarat? Siapakah tandatangan notis mesyuarat mewakili org-org kampung sekiranya Tok Ketua atau Ketua Sami tak pernah menandatangani sebarang notis mesyuarat? Saya anggap itu, perhimpunan tak sah bukannya bermesyuarat. Kebanyakkan yang hadir adalah budak-budak.

    Saya lebih suka atasi masalah secara lebih berperaturan bukannya cara undang-undang rimba. Perbincangan yang diadili oleh Ketua Polis Cawangan Khas Daerah adalah tepat. Keputusan pun telah diperolehi. Harap semua akur keputusan yang telah dibuat secara rundingan. Inilah cara mengatasi masalah yang lebih berkesan.

    ReplyDelete