Sunday, April 15, 2012

Pesta Songkran tidak wajar diharamkan.

Pesta Songkran merupakan pesta sambutan tahun baru bagi masyarakat Siam. Pada tahun ini, jatuh pada 7 April 2012 bersamaan Rem 1 kham dean 5 mengikuti kalender Siam. Pada tarikh 13 April 2012 adalah tarikh yang telah diselaraskan setiap tahun masyarakat Siam akan menyambut Pesta Songkran. Lazimnya pesta ini akan disambut dalam tempoh 15 hari iaitu mulai 7 April 2012 hingga 22 April 2012.

Aktiviti pertama masyarakat Siam sempena sambutan tahun baru ialah mengadakan sembahyang kubur bagi menghormati sanak saudara yang telah meninggal dunia. Dengan mengadakan aktiviti thambun atau pemberian dana kepada sami dipercayai hasil pahala akan dapat dinikmati oleh sanak saudara yang telah mati di alam yang lain.

Aktiviti seterusnya ialah upacara Takbart atau menyediakan makanan kepada sami adalah satu tanggungjawab penganut agama Buddha untuk memelihara perkembangan agama Buddha di kalangan penganut agama Buddha. Upacara ini tiada kaitan dengan Pesta Songkran tapi masyarakat Siam sentiasa mengamalkan aktiviti ini dari semasa ke semasa sebagai tanggungjawab seorang penganut agama Buddha untuk menyediakan makanan kepada para sami. Sempena Pesta Songkran aktiviti Takbart turut diadakan.

Aktiviti seterusnya ialah Loy Phe (hanyutkan rakit) iaitu bertujuan untuk menghapuskan dosa. Masyarakat Siam akan potong kuku, rambut berserta dengan sekeping kertas yang ditulis tentang niat kita sempena Pesta Songkran dan dihanyutkan ke dalam sungai. Ada yang melepaskan burung atau ikan sebagai tanda menghapuskan dosa.

Aktiviti seterusnya ialah memandikan patung Buddha, Sami-sami dan orang-orang tua. Sebagai tanda hormat kepada mereka dengan menyucikan diri mereka dengan air bersih. Seterusnya disediakan pakaian baru untuk mereka. Golongan muda akan memohon ampun dan maaf daripada orang-orang tua di atas kesalahan yang telah dilakukan. Sekiranya aktiviti ini dilakukan secara bersama di kawasan wat maka patung Buddha dan sami juga turut dimandikan dan sebaliknya jika dilakukan di rumah masing2 maka sekadar memandikan orang tua-tua yang berada di rumah kita sahaja.

Aktiviti terakhir ialah menganjurkan aktiviti sukan, hiburan dan seterusnya pesta air. Pengunjung-pengunjung daripada bangsa-bangsa lain juga dijemput untuk serta meraikan pesta ini dengan simbahan air dan di sapu bedak wangi.

Pesta Songkran merupakan aktiviti kebudayaan Siam bukannya aktiviti keagamaan. Masyarakat Siam akan melibatkan pesta ini dengan ritual agama Buddha hanya di kalangan penganut agama Buddha sahaja. Lazimnya masyarakat Siam yang beragama Buddha tidak boleh meminggirkan institusi keagamaan seperti wat dan sami dalam semua aktiviti kebudayaan dan adat resam.

Sekiranya terdapat tetamu yang beragama lain turut serta untuk meraikan Pesta Songkran ini, masyarakat Siam akan mengetepikan ritual agama Buddha demi untuk menjaga sensitiviti kaum di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

Tindakan Majlis fatwa Negeri Perlis mengharamkan umat Islam meraikan Pesta Songkran pada Ogos tahun lepas dan disiarkan akhbar Berita Harian pada 11 April 2012 adalah amat tidak wajar. Walaupun mereka tidak menghalang masyarakat Siam menyambut Pesta Songkran tetapi fatwa tersebut merupakan benteng perpaduan di kalangan masyarakat Siam dan masyarakat Melayu di negeri tersebut. Sedikit sebanyak ia akan menjejaskan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment