Tuesday, March 6, 2012

Wat dan masyarakat Siam tidak boleh dipisahkan.

Bila saya mengatakan wat Siam tidak wajar dijadikan medan politik, orang akan menjawab 'Wat dan masyarakat Siam tidak boleh dipisahkan'.

Memang saya setuju wat dan masyarakat Siam tidak boleh dipisahkan. Sejak dahulu lagi, masyarakat Siam akan berhimpun di dalam kawasan wat untuk menganjurkan pelbagai program selain daripada aktiviti-aktiviti keagamaan seperti aktiviti sukan, kebudayaan, seminar, taklimat, sesi ceramah dan sebagainya.

Wat adalah milik semua dan dibina hasil sumbangan tenaga dan kewangan daripada orang ramai. Selain daripada menjadi sebuah institusi keagaman maka wat juga wajar dijadikan sebagai satu pusat untuk masyarakat Siam berkumpul, berbincang dan menganjurkan sesuatu program untuk kepentingan masyarakat Siam secara keseluruhan.

Saya masih berpendapat bahawa wat tidak sesuai untuk dijadikan medan politik oleh mana-mana pihak. Sekiranya wat dijadikan medan politik maka kemungkinan besar akan berlaku perpecahan dalam masyarakat Siam yang minoriti ini. Kerana seperti kita sedia maklum dalam bidang politik terdapat 2 kumpulan iaitu kumpulan yang sokong dan kumpulan yang tidak sokong.

Pada pandangan saya, penganjuran Majlis Perasmian Sekolah Bahasa Siam di Wat Titi Akar atau Program Karnival Kasih di Wat Nanai, Kg. Tok Set boleh dianjurkan. Tetapi pihak penganjur haruslah memikirkan soal-soal sensitiviti yang melibatkan para sami supaya institusi wat tidak tercemar. Antara perkara yang harus dititikberatkan ialah dari segi protokol sami dan pantang larang sami berdasarkan peraturan-peraturan sami 227 perkara.

Sekiranya program tersebut tidak melibatkan para sami, maka ia tidak menjadi masalah cuma kita harus menjaga tingkahlaku diri sendiri agar tidak mencemarkan kawasan suci agama Buddha.

1 comment: