Sunday, July 12, 2009

100 Hari Najib Bersama Rakyat: 1 Hari PSK Bersama Najib.

Pada 10.7.2009 malam saya bersama En. Reang a/l Huan, Pengerusi JKKKP Kg. Tok Set merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Masyarakat Siam Pendang yang juga AJK Bahagian UMNO Pendang, En. Som Mad a/l Iruang, Ketua Pemuda UMNO Kg. Tok Set dan anak saya bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam dengan menaiki kereta saya. En. Anek, Pengerusi JKKKP kg. Kalai bersama jawatankuasanya juga turut serta pergi bersama-sama kami. Sementara pemimpin PSK dari daerah Padang Terap dan Kubang Pasu mereka telah bertolak lebih awal.

PSK telah dijemput untuk menghadiri Majlis Meraikan 100 Hari Najib Bersama Rakyat di KLCC pada 11.7.2009 jam 10.00 pagi. Seramai lebih kurang 30 orang pemimpin PSK menghadiri ke majlis tersebut dengan menaiki kereta masing-masing. Pemimpin-pemimpin PSK dari Daerah Padang Terap agak bernasib baik sikit kerana mereka mendapat sponsor daripada orang kuat UMNO Bahagian Padang Terap. Mereka di beri penginapan di hotel bertaraf 5 bintang dan jamuan makan malam. Antara pemimpin PSK dari kalangan Pengerusi JKKKP ialah dari Kg. Padang, Kg. Rambai, Kg. Chang Deng, Kg. Lamdin, Kg. Kalai dan Kg. Tok Set.

Saya bersama rakan-rakan yang lain sampai di KLCC lebih kurang jam 8.30 pagi. Sebelum tu, kami berhenti di Hentian Jejantas Sungai Buluh untuk sarapan pagi, mandi dan tukar pakaian. Maklum la kami tidak mendapat tajaan mana-mana pihak macam pemimpin PSK dari daerah Padang Terap.

Suasana di kawasan KLCC pada masa itu kelihatan ramai orang mula bergerak masuk ke dewan. Saya bersama anak sulung saya pun masuk ke dewan. Susunan kerusi dalam dewan adalah sama taraf, tiada protokol. Siapa datang lewat, duduklah di atas lantai. Sebab itulah, ramai para menteri duduk atas lantai bersama kanak-kanak. Mungkin inilah dikatakan 1Malaysia, Rakyat diutamakan. Semasa majlis makan tengahari pun tak ada protocol. Para menteri pun perlu berbaris untuk mendapatkan makanan sendiri.

Seterusnya saya menghubungi Pegawai Khas Kepada PM untuk memaklumkan kehadiran kami. Saya berbincang dengan beliau bagaimana cara-cara supaya kehadiran masyarakat Siam Kedah dirasai oleh PM dan juga semua orang. Dengan kerjasama Pegawai Khas Kepada PM, akhirnya juruacara iaitu Azly dan Pang Chinn Fei mengumumkan kehadiran kami ke majlis tersebut sebelum majlis tersebut dimulakan. Semasa ucapan PM pula, YAB Perdana Menteri mengumumkan kehadiran masyarakat Siam dari Kedah sebanyak 2 buah bas ke majlis ini. Ucapan beliau disiarkan secara langsung melalui RTM. Saya rasa tak sia-sia kami datang dari jauh untuk bersama-sama meraikan hari yang bersejarah dan kehadiran kami dirasai oleh pucuk pimpinan Negara.

Semasa keluar dari dewan anak saya tunjuk kepada saya, seseorang yang dia pernah tengok kat TV iaitu YB Datuk Hishamudin, Menteri Dalam Negeri. Dia minta kebenaran saya untuk pergi mendapatkan tandatangan menteri tersebut. Dengan berbekalkan buku kecil 1Malaysia yang diedarkan, dia pergi seorang diri jumpa menteri tersebut dan minta tandatangan. Peristiwa dia minta tandatangan daripada seorang menteri kabinet merupakan kenangan manis untuknya sampai bila-bila. Saya akan pastikan dia simpan buku kecil 1Malaysia yang ditandatangan oleh YB Datuk Hishamudin sebagai kenangan peribadinya.

Dalam perjalanan pulang ke Kedah, kami berbincang dan bertekad akan cuba sedaya upaya memperkukuhkan lagi peranan PSK dalam usaha-usaha untuk membangunkan masyarakat Siam di Kedah khususnya dan di Malaysia amnya.

No comments:

Post a Comment