Rata-rata percaya sukar untuk orang-orang keturunan Siam mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan. Kebanyakkan kakitangan kerajaan terdiri daripada orang-orang Melayu. Kenapakah keadaan ini berlaku? Di jabatan saya, hanya saya seorang sahaja pegawai berketurunan Siam. Adakah orang Siam tidak minat bekerja dalam sektor kerajaan? Inilah sebabnya saya menamakan blog saya "Jejaka Siam Terakhir".
Saya amat bernasib baik sebab dapat bekerja dalam sektor kerajaan. Pada mulanya saya ditemuduga oleh satu panel temuduga di Kuala Lumpur pada tahun 1994. Salah seorang panel temuduga tersebut yang saya masih ingat ialah En. Yu Am Ping yang menemuduga saya. Beliau adalah seorang pegawai keturunan Cina. Akhirnya saya berjaya dalam temuduga tersebut setelah 3 tahun saya asyik menghadiri temuduga dan gagal. Bila saya ditawarkan jawatan tersebut, saya ditempatkan di bawah beliau di Ibu pejabat, Kuala Lumpur. Saya tak pasti, adakah saya akan berjaya dalam temuduga tersebut sekiranya saya ditemuduga oleh pegawai bangsa lain.
Setelah 1 tahun saya berkhidmat, saya mengalami masalah kesihatan. Saya telah menjalani pembedahan yang agak serius. Saya telah memohon pertukaran ke negeri Kedah kerana masalah kesihatan. Sekiranya saya berada di Kuala Lumpur, saya tiada saudara mara di sana. Apabila saya jadi apa-apa ketika itu, ia amat menyukarkan saya. Tetapi malangnya permohonan saya dipandang sepi.
Saya amat kecewa dan merasa seolah-olah saya sebagai pegawai keturunan Siam tidak diambil peduli oleh pihak atasan. Selama 14 tahun, saya tidak patah semangat untuk memohon pertukaran balik berkhidmat di negeri kelahiran di kawasan penempatan masyarakat Siam saudara sebangsa dengan saya. Saya tak pernah fikir untuk mengikut jalan pintas memohon pertukaran. Saya memohon pertukaran mengikut prosedur yang ditetapkan tetapi malangnya permohonan saya tak pernah dipertimbangkan. Cuma sekadar ditukar ke Penang dan seterusnya ke Perak. Tak pernah sampai ke sasaran iaitu negeri kelahiran saya.
Pada tahun 2008, saya mengambil keputusan menalifon secara terus kepada pihak yang berkaitan untuk memohon pertukaran balik ke Kedah. Akhirnya cubaan saya berjaya walaupun saya tidak mengikut prosedur. Inilah dilema seorang pegawai keturunan Siam dalam sektor kerajaan. Seolah-olah saya tak wujud sekiranya saya tidak menalifon pihak atasan. Tak sampai 1 tahun saya berkhidmat di negeri kelahiran saya, ada juga pihak yang tidak puashati dan cuba menukar saya keluar dari Kedah. Nasib baik saya mendapat boss yang bertimbang rasa. Jika tidak, entah saya ditendang ke negeri mana selepas ini.
Dalam penilaian prestasi perkhidmatan untuk mendapat cemerlang, menegak dan melintang,, kakitangan keturunan Siam jangan harap. Saya dah bekerja selama 15 tahun dalam sektor kerajaan, tak pernah ada bayang-bayang saya akan mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang. Tetapi kalau bangsa lain, saya rasa tak sukar untuk mendapat anugerah tersebut sekiranya dah sah dalam jawatan dan menunjuk prestasi yang baik.
Macam mana pegawai keturunan Siam nak dapat cemerlang. Apabila kami membuat kerja pihak atasan tak pernah nampak. Sekiranya kami melakukan sedikit kesilapan, akan heboh satu pejabat. Saya tidak mengharapkan semua itu tetapi sekurang-kurangnya berilah sedikit pengiktirafan untuk pegawai keturunan Siam supaya tidak terasa tersisih.
Walau bagaimana pun, saya akan tetap setia kepada kerajaan yang memerintah. Harapan saya agar konsep Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri memberi keadilan kepada semua kakitangan kerajaan pelbagai kaum dalam sektor kerajaan dan juga mendapat perhatian yang samarata daripada pihak atasan.