Thursday, April 29, 2010

Sejarah keunikan Kampung Kalai jadi tumpuan.


KAMPUNG KALAI – Setiap kampong pasti mempunyai sejarah dan kisahnya tersendiri, namun tidak ramai anak muda masa kini berminat mengkaji sejarah nenek moyang mereka.

Salah seorang anak jati kampong, Mani a/l Si Chan, 43 berkata, dia sendiri mengambil inisiatif mengkaji asal-usul kampong melalui pelbagai sumber; sama ada pembacaan serta bertanya kepada golongan veteran di sini.

Menurutnya, Kampung Kalai telah dibuka dan diterokai orang Siam dari Kampung Padang Peliang, Pendang dengan diketuai seorang Bhikkhu (Sami) Siam bernama Luang Por Jot pada tahun 1860.

“Sepanjang pengetahuan saya, tapak asal penempatan kampong Kalai ialah sekitar dua cabang anak sungai yang mengalir ke Sungai Muda, dan pada masa itu, sungai adalah laluan utama masyarakat berulang-alik dari satu tempat ke satu tempat.”

“Kampung Kalai mendapat nama sempena kejadian cerek hanyut ketika berlaku banjir pada awal penerokaannya. Maksud cerek dalam bahasa Siam ialah Ka dan hanyut pula ialah Lai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mani berkata, Wat Kampung Kalai juga menjadi tumpuan kerana di sini bersemadi jasad bekas Ketua Bhikkhu Negeri Kedah dan Malaysia yang bernama Phra Rajdhammacharn (Chaokun Bau) 1907 – 1995.

“Beliau adalah anak watan Kampung Kalai dan merupakan individu pertama menganjurkan Pesta Loy Krathong di Kedah sejak 1970an yang menjadi acara tahunan sehingga kini".

“Walaupun majority penduduk kampong ini terdiri daripada masyarakat Siam, namun kami tetap mempunyai hubungan persahabatan yang rapat dengan kaum lain, terutamanya Melayu dan Cina,” katanya.

Menurutnya, selain Pesta Loy Krathong, terdapat acara lain turut diadakan di wat, seperti Pesta Songkran, dan melalui pelbagai pesta yang diadakan secara tidak langsung mengukuhkan lagi hubungan masyarakat di sini.

“ Selain itu, inisiatif salah seorang penduduk mengadakan satu persembahan Menora Siam sebagai tontonan kepada generasi muda telah mengembalikan nostalgia keunikan kebudayaan asli masyarakat Siam".

“Semoga lebih ramai lagi anak tempatan berminat untuk mengetahui sejarah nenek moyang mereka, dalam masa yang sama mengekalkan kebudayaan tradisi supaya tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Sumber: Sinar harian, 29 April 2010.

2 comments:

  1. ni nak bagi tau sikit..
    pada loy krathong kali ni kami nk join bola keranjang...
    setuju x?

    ReplyDelete
  2. Salam, ada sesiapa yang tahu sejarah serangan SIAM di kedah tahun musuh bisik 1820-1828?. Saya sedang mengkaji kisah ini dan ingin direkodkan?. Jika ada sila email saya no tel anda ke fairusazianismail@gmail.com untuk saya hubungi. Terima kasih

    ReplyDelete