Sunday, November 13, 2011

Masyarakat Siam kesal karikatur persenda Buddha.

JITRA – Masyarakat Siam di negeri ini melahirkan rasa kecewa dengan penyiaran karikatur patung Buddha yang menggambarkan suasana banjir di Thailand, dalam ruangan global sebuah akhbar kelmarin.



Karikatur yang disifatkan sebagai suatu penghinaan itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat Siam, yang merupakan penduduk minoriti di Kedah.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada 4.30 petang semalam, mengecam tindakan itu.

Ahli Majlis Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Cha Run a/l Em berkata, pihaknya beranggapan karikatur tersebut boleh menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, dan tidak mahu perkara itu berulang pada masa hadapan.

“Saya mohon pihak akhbar berkenaan mohon maaf secara terbuka pada muka surat hadapan dengan segera. Permohonan maaf yang dibuat semalam, dilihat tidak memadai serta tidak menunjukkan keikhlasan dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Ketua PKR Cabang Jerlun, Nordin Ahmad mahu siasatan dibuat berdasarkan kepada Kanun Keseksaan Akta 574, Seksyen 298, yang jelas menyebut sebarang perkataan dengan sengaja yang berniat melukai agama seseorang adalah menjadi kesalahan.

“Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi cukup sekadar peringatan supaya jangan mempersendakan agama lain. Tindakan terbabit jelas melanggar sentimen kebebasan agama dalam perkembangan negara,” katanya.

Pengerusi JKKKP Kampung Kubang Chenok, Nuam a/l Din Tong, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang didiami penduduk pelbagai kaum.

“Setiap penganut agama lain harus peka dengan sensitiviti agama lain, sikap saling menghormati sangat penting untuk kekalkan keamanan. Saya harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Semua pihak perlu lebih peka dengan amalan dan budaya masyarakat lain’” katanya.

Chit Choi, 45, turut kesal dengan penyiaran karikatur itu yang boleh menjejaskan semangat muhibah sedia ada.

“Bukan sahaja mempersenda patung Buddha, sebaliknya musibah yang berlaku di negara jiran dijadikan bahan gurauan. Perkara ini memang tidak wajar terutamanya negara kita berjiran dengan Thailand. Dibimbangi boleh jejas hubungan dua hala antara negara”’ katanya.


Sumber: Sinar Harian pada 13.11.2011

Thursday, October 27, 2011

Kekeliruan istilah Siam dan Thai di Malaysia.

สยาม (อักษรละติน: Siam) (สันสกฤต: श्याम) เป็นชื่อเรียกของประเทศไทยในสมัยโบราณ แต่มิใช่ชื่อที่คนไทยใช้เรียกตนเอง สยามเป็นชื่ออย่างเป็นทางการของไทยรัชสมัยพระบาทสมเด็จพระจอมเกล้าเจ้าอยู่หัวเป็นต้นมา[1] แต่ได้มีการเปลี่ยนชื่อมาเป็น "ไทย" เมื่อวันที่ 24 มิถุนายน พ.ศ. 2482 ในอดีตพระมหากษัตริย์ไทยทรงใช้ชื่อ สยาม ในการทำสนธิสัญญากับต่างชาติเป็นเวลาหลายศตวรรษ อันเนื่องมาจากอาณาจักรสยามนี้ประกอบด้วยคนหลายชาติพันธุ์ อาทิ ไท ลาว มอญ ญวน เขมร แขก จีน ฝรั่ง และมลายู พระมหากษัตริย์ไทยจึงเรียกดินแดนแห่งนี้ว่า ประเทศสยาม เพื่อความเป็นอันหนึ่งอันเดียวกันของประชาชน[2] อีกทั้ง ชื่อ สยาม นั้น ก็ยังคงเป็นที่รู้จักกันอย่างแพร่หลายในวงการวิชาการของต่างประเทศอีกด้วย -

ตามหลักฐานของลาลูแบร์นั้น คนในประเทศไทยได้เรียกเผ่าพันธุ์ของตนเองว่า ไทย ตั้งแต่สมัยอาณาจักรอยุธยาแล้ว โดยได้บันทึกไว้ว่าชาวสยามเรียกตนว่า ไทย (Tàï) แปลว่า อิสระ อันเป็นความหมายตามศัพท์ในภาษาของพวกเขาอยู่ในปัจจุบัน [...] คำว่า สยาม กับ ไทย เป็นสองคำที่มีความแตกต่างกัน แต่หมายถึงพลเมืองของประเทศเดียวกัน[11]

Sumber dari Wikipedia.

Siam merupakan nama negara sebelum ditukarkan kepada Thailand pada 24 Jun 1939 semasa zaman pemerintahan General Phibun Songkhram yang cuba membangkitkan semangat Nasionalisme. Siam bukannya merujuk kepada sesuatu bangsa malah tidak ada bangsa Siam di muka bumi ini. Thai bermaksud kebebasan merupakan nama bangsa sebelum kewujudan negara Siam lagi. Orang Thai tidak pernah memanggil diri mereka sebagai bangsa Siam. Hanya bangsa asing sahaja memanggil orang Thai sebagai bangsa Siam termasuk di Malaysia.

Pada asalnya orang Thai juga tidak memanggil negara mereka sebagai negara Siam, tetapi memanggil berdasarkan pusat pentadbiran seperti Sukhothai, Ayuthaya, Nakhorn Srithammarat, Larn Na, Pisanulork dan sebagainya. Istilah "Siam" adalah istilah yang digunakan bangsa asing untuk memanggil negara di bawah naungan Ayuttha dan mula diguna secara rasmi pada zaman Raja Rama ke-4 akibat pengaruh kuasa Perancis yang cuba masuk campur pentadbiran Rattanakosin. Raja Rama ke-4 mengistiharkan penggunaan nama negara Siam untuk menyatu-padukan semua bangsa di bawah jajahan takluk baginda. Namun, nama bangsa utama di negara Siam ialah Thai di samping Cina, Melayu, Yuan, Morn, Lao dan lain-lain lagi.

Dalam konteks Malaysia, istilah siam digunapakai untuk membezakan antara Orang Thai yang berada di Malaysia secara turun temurun (rakyat asal Malaysia) dengan pendatang dari Thailand. Alasan yang diberikan ialah bahawa Orang Siam merupakan orang Thai yang berada di negara ini sejak zaman Thailand dikenali sebagai negara Siam dan ahli politik Malaysia yang tertentu menyokong penggunaan istilah tersebut. Oleh itu, demi kepentingan dari segi hak kerakyatan, maka pelbagai pihak menyokong penggunaan istilah Siam untuk mewakili bangsa Thai yang merupakan rakyat asal di Malaysia.

Bagi saya pemimpin-pemimpin Siam (Thai) di Malaysia khususnya di Kedah telah membuat keputusan tanpa mengkaji secara mendalam terlebih dahulu tentang sensitiviti penggunaan istilah ini. Masih ramai lagi orang Thai tidak sanggup menggadaikan asal-usul bangsa mereka untuk kepentingan politik sempit. Pada pandangan saya, penggunaan istilah Thai tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada kaum kita di Malaysia. Cuma penyebaran pandangan yang tidak tepat oleh pemimpin kita sahaja seolah-olah penggunaan istilah Thai akan mendatangkan masalah terutamanya pemilikan tanah di negeri Kedah.

Orang Thai di Malaysia terutamanya golongan veteran, kebanyakannya kurang berpendidikan tetapi mereka kaya dari segi pemilikan tanah pertanian. Bila ditakutkan dengan pandangan-pandangan yang tidak tepat oleh pemimpin kita dengan mengatakan jika pilih istilah Thai akan bermasalah dari segi pemilikan tanah di negeri Kedah dan juga tidak berpeluang membeli saham ASB, maka ramai orang Thai berasa bimbang dan terus sokong saranan pemimpin menggunakan istilah bangsa yang salah dan meminggirkan istilah yang tepat. Para pemimpin kita menggunakan kedudukan sebagai Ahli Dewan Negara sejak senator pertama hingga ke 3 untuk memohon kerajaan terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara menukarkan istilah bangsa Thai kepada bangsa Siam.

Kekeliruan ini akan berpanjangan kerana masih ramai lagi orang Thai di Malaysia terutamanya golongan muda tidak sanggup menggadaikan asal-usul mereka demi untuk kepentingan politik sempit. Saya tidak berniat untuk memalukan atau ingin menjatuhkan mana-mana pemimpin kita. Saya hanya ingin menerangkan tentang kebenaran mengenai kekeliruan tentang asal usul atau tentang istilah Siam dan Thai. Bukannya sekarang tetapi dah lebih 10 tahun saya menyuarakan tentang isu ini selepas pemimpin kita membuat keputusan memilih istilah Siam dan meminggirkan istilah Thai.

Hakikat sebenar dan disokong fakta yang jelas, penggunaan istilah Siam untuk mewakili nama bangsa adalah tidak tepat berdasarkan faktor penggunaan seharian, sejarah dan penerimaan orang Siam (Thai) itu sendiri. Namun begitu, kedua-dua istilah ini boleh digunapakai di Malaysia bagi merujuk kepada bangsa Thai warganegara Malaysia. Sehingga hari ini, masyarakat Thai di Malaysia masih menggelarkan diri sendiri sebagai bangsa 'Thai' dan orang asing mengenali kita sebagai bangsa 'Siam'. Maka kita tidak boleh pilih hanya salah satu istilah sahaja dan membuang istilah yang satu lagi. Sekiranya kita hanya memilih istilah Siam untuk kepentingan politik sahaja maka kita akan kehilangan asal usul bangsa kita di Malaysia. Kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat Thai Malaysia mengenai istilah bangsa yang tepat akan sentiasa berterusan sekiranya pemimpin kita masih angkuh dengan keputusan mereka.

Anda bolehlah rujuk di Muzium Negeri Perlis, Muzium Negeri Kedah, Museum Of Thai Origins (Bangkok), National Museum Of Thailand dan Wikipedia, untuk mendapat maklumat lengkap.

Tuesday, October 4, 2011

Siri 3: Bukan senang nak tubuh PBSM.

Setelah kita mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Persatuan Belia Siam Malaysia (PBSM) melalui Mesyuarat Agung Penaja PBSM di Wat Pin Bang-Onn, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang pada 18 Mei 1997, saya telah dipilih sebagai Setiausaha Penaja dan dipertanggungjawabkan untuk melakukan proses-proses pendaftaran PBSM dengan pejabat pendaftaran pertubuhan.

Sebagai permulaan, saya ke pejabat Pendaftaran Pertubuhan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan juga mendapatkan beberapa dokumen untuk proses pendaftaran. Saya berbincang dengan En. Siri Neng Buah selaku penasihat untuk merangka satu perlembagaan PBSM dan juga melakar sebuah logo PBSM.

Setelah semua dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran PBSM telah siap dan telah ditandatangani oleh saya selaku Setiausaha Penaja bersama Pengerusi Penaja iaitu En. Boonlea Aroonratana, saya menghantar dokumen tersebut ke pejabat pendaftaran pertubuhan menerusi Pengarah Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.

Lebih kurang 6 bulan saya menunggu, tetapi keputusan berkaitan status pendaftaran PBSM masih belum saya perolehi. Saya berasa tak sedap hati dan saya mengambil keputusan pergi ke pejabat belia dan sukan negeri Pulau Pinang untuk mendapat maklumat lanjut tentang penubuhan PBSM yang telah kami kemukakan sebelum ini.

Saya amat terkejut apabila dimaklumkan oleh En. Sulaiman Bin Abdullah, Pegawai Belia bahawa dokumen permohonan pendaftaran PBSM belum dimajukan ke pejabat pendaftaran pertubuhan kerana mendapat bantahan daripada salah seorang ahli Jawatankuasa Penaja PBSM itu sendiri. Saya ingin mendapat penjelasan lanjut, siapakah orang yang membuat bantahan. En. Sulaiman enggan memberitahu siapakah orang yang datang berjumpa beliau dan membantah pendaftaran PBSM.

En. Sulaiman mencadangkan agar saya mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Penaja bagi mengatasi masalah ini dan beliau akan hadir sebagai wakil Jabatan Belia dan Sukan.

Dalam mesyuarat khas jawatankuasa Penaja yang telah diadakan di bilik mesyuarat Kompleks Warisan Seni, Pulau Pinang, En. Sulaiman telah menjelaskan kedudukan sebenar kenapa pendaftaran PBSM dibekukan oleh Jabatan Belia dan Sukan selama 6 bulan. Beliau memaklumkan bahawa terdapat salah seorang di kalangan Jawatankuasa Penaja berjumpa beliau dan meluahkan perasaan tidak setuju dengan pendaftaran PBSM.

En. Boonlea Aroonratana selaku Pengerusi Penaja PBSM menjelaskan bahawa beliau telah pergi berjumpa dengan En. Sulaiman di pejabat untuk bertanya tentang perkembangan pendaftaran PBSM bukannya membantah pendaftaran PBSM. Beliau menyatakan bahawa En. Sulaiman salah faham terhadap beliau. Mesyuarat tersebut telah membuat keputusan untuk meneruskan pendaftaran PBSM dengan sebulat suara dan disaksikan oleh En. Sulaiman selaku wakil Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.

Saya faham, En. Boonlea Aroonratana bukannya berniat untuk membatalkan pendaftaran PBSM. Beliau sekadar ini mendapat penjelasan tentang perkembangan pendaftaran PBSM. Beliau juga pernah tanya saya berkali-kali sebelum ini, cuma silap saya kerana tidak memaklumkan secara terperinci kepada beliau sebab saya sendiri pun tidak tahu dan baru belajar cara2 untuk menubuh persatuan. Saya cuba elak untuk menjawab apabila ditanya oleh beliau sehingga menimbul perasaan tidak puashati beliau terhadap saya.

Beliau menganggap perlantikan beliau sebagai Pengerusi Penaja seperti diperalatakan dan hanya sebagai boneka. Sedangkan pemilihan beliau sebagai Pengerusi Penaja adalah satu penghormatan kepada beliau sebagai anak watan Pulau Pinang sebab penubuhan PBSM bermula di negeri Pulau Pinang.

Akhirnya pada 20 Mac 1999, PBSM berjaya didaftarkan sebagai sebuah NGO peringkat kebangsaan.

Thursday, September 22, 2011

Siri 2: Pengalaman menubuh PBSM.

Pada 16 Jun 1996, saya bertukar dari Jabatan Penerangan Malaysia, Kuala Lumpur ke Pejabat Penerangan Daerah Timur laut, Pulau Pinang. Hampir setahun saya mohon pertukaran ke Kedah tapi tidak dapat. Oleh kerana, tiada kekosongan di Kedah maka saya terima pertukaran saya ke Pulau Pinang atas pertolongan En. Malik Siran, Penolong Setiausaha Bahagian Perjawatan dan Tatatertib di Kementerian Penerangan Malaysia.

Pada peringkat awalnya, saya berasa kekok dalam menjalankan tugas harian di tempat baru kerana tugas baru amat berbeza dengan tugas-tugas pejabat yang saya lakukan di Kuala Lumpur sebelum ini. Tugas-tugas di tempat baru lebih kepada kerja-kerja luar pejabat seperti melaksanakan program bersama-sama masyarakat setempat.

Saya terpaksa membuat kajian dan mengenali setiap pemimpin masyarakat di kawasan tersebut agar dapat membantu saya menjalankan tugas harian. Inilah tugas yang paling mencabar bagi saya, maklum la kehidupan orang-orang bandar jauh berbeza berbanding kehidupan orang-orang kampung. Kebanyakkan rumah-rumah di bandar ada pagar/tembok tambahan pula pada waktu siang tiada orang di rumah. Kemesraan orang-orang bandar menyambut tetamu yang datang ke rumah amat berbeza berbanding orang-orang kampung. Masing2 berada dalam dunia sendiri dan jarang bercampur gaul dengan jiran di sekeliling.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuat kajian masyarakat Siam yang tinggal di Pulau Pinang. Saya telah berjumpa dengan Nai Reang Khunphithak, Setiausaha Agung PSM yang bertapak di Pulau Pinang untuk mendapatkan senarai nama ahli PSM. Dari maklumat tersebut, saya hubungi satu persatu orang-orang Siam yang tinggal di Pulau Pinang samada melalui telefon atau pergi sendiri ke rumah mereka.

Pada 1 Ogos 1996, saya telah menganjurkan satu program bagi mengumpul semua masyarakat Siam Pulau Pinang iaitu “Program Malam Mesra Masyarakat Siam Penang” di Dewan Pustaka Warisan Seni, Pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang di mana En. Siri Neng Buah adalah pengarah di situ. Beliau memberi kebenaran menggunakan dewan tersebut dengan percuma. Turut hadir ke majlis tersebut ialah YB Senator Datuk Charern Intachat, Ahli Dewan Negara merangkap Presiden PSM, Datuk Siw Chun a/p Eam, Setiausaha Agung PSM, En. Ang Thean Hoe, Penolong Pengarah Penerangan Negeri Pulau Pinang dan ramai lagi sekitar 120 orang.

Ekoran daripada itu, saya bercadang untuk menubuhkan sebuah persatuan bagi memudahkan saya berkhidmat kepada masyarakat Siam di Pulau Pinang. Saya telah berbincang dengan beberapa orang rakan sepejabat terutamanya En. Mehat Hanafiah (sekarang Pegawai JASA) yang banyak membantu saya. Saya telah menghubungi beberapa orang pemimpin masyarakat Siam untuk mendapat pandangan. Antaranya ialah Datuk Siw Chun a/p Eam, Setiausaha Agung PSM, En. Pin a/l Endin Klap, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Siam Perlis, En. Edin Chok, Pengerusi Siam Kedah/Perlis dan saya juga pergi berjumpa dengan Datuk Charern Intachat di rumah beliau untuk mendapat pandangan tentang niat saya ingin menubuhkan Persatuan Belia Siam Malaysia (PBSM).

Ada yang membantah dan ada yang menyokong dengan cadangan saya. Sementara Datuk Charern Intachat, beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau tidak membantah dan juga tidak menyokong penubuhan PBSM. Beliau ingin melihat masyarakat Siam seluruh Malaysia bersatu di bawah satu bumbung melalui PSM. Menurut beliau, masyarakat Siam adalah kaum minoriti di Malaysia dan harus bersatu di bawah satu bumbung selaku satu jentera yang besar. Beliau juga telah memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Penyelaras Masyarakat Siam Malaysia (MPMSM) meminta agar semua persatuan Siam kecil-kecil di seluruh Malaysia dibubarkan dan bernaung di bawah satu payung dalam PSM. Persatuan Masyarakat Siam Kedah/Perlis di bawah kepimpinan En. Edin Chok terpaksa dibubarkan ketika itu bagi menghormati keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Siam seluruh Malaysia melalui MPMSM.

Akhirnya saya berasa serba salah samada ingin meneruskan penubuhan PBSM atau tidak. Sebelum membuat keputusan, saya telah berbincang dengan En. Siri Neng Buah, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang. Beliau merupakan orang Siam anak kelahiran Kg. Pak Kiang, Besut, Terengganu. Beliau menyarankan agar saya meneruskan niat untuk menubuhkan PBSM. Beliau memaklumkan bahawa melalui persatuan belia kita ada banyak peluang untuk membantu masyarakat berdasarkan pengalaman beliau. Sebelum ini beliau adalah bekas Pegawai Belia dan Sukan sebelum Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dipisahkan.

Akhirnya Mesyuarat Agung Penaja PBSM diadakan di Wat Pin-Bang Onn, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang pada 18 Mei 1997. En. Siri Neng Buah mempengerusikan mesyuarat tersebut. Turut hadir ialah En. Songkram Apau, Timbalan Presiden PSM ketika itu dan lebih kurang 30 orang lagi rakan-rakan yang hadir. Akhirnya PBSM berjaya didaftarkan dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 20 Mei 1999.

Kenapa penubuhan PBSM mengambil masa 2 tahun baru mendapat kelulusan ROS akan saya ceritakan dalam siri ke 3..

Ditulis oleh Manit Sripradit pada 22.9.2011

Wednesday, September 14, 2011

Siri 1: Pengalaman Kerjaya Dalam Sektor Awam.

Pada 15 Disember 1993, saya telah melaporkan diri di Penjara Taiping sebagai Pegawai Penjara KX12. Saya terkejut apabila terlihat seorang pegawai yang saya kenali dan sekampung dengan saya semasa saya lapor diri iaitu Tuan Ong Chiang, Penolong Penguasa Penjara (sekarang Pengarah di Perak). Beliau jugalah yang melatih saya tentang subjek undang-undang penjara dan juga latihan kawad selama 2 minggu di Penjara Taiping sebelum dibenarkan bertugas dalam Penjara Taiping.

Sebelum ini bermacam-macam cerita saya dengar mengenai suasana di dalam penjara. Pertama kali masuk kawasan Penjara Taiping, perasaan takut dan perasaan ingin tahu bercampur-aduk. Akhirnya saya dapat juga merasai dan mengamati sendiri suasana di dalam penjara. Kawan2 yang sama2 bertugas dengan saya menganggap saya anak saudara Tuan Ong yang dimaklumkan oleh Tuan Ong Chiang sendiri kepada mereka. Mereka menghormati saya sama seperti menghormati Tuan Ong.

Saya menginap di berek bujang depan penjara. Apabila ada masa lapang saya akan pergi melepak di Wat Phothiyaram, Taiping. Pada ketika itu Phrakhru Thammabal Phem jadi Ketua Sami.

Pada 14 Julai 1994, saya telah diarah untuk menjalani latihan asas sebagai pegawai penjara di Pusat Latihan Penjara (Pulapel), Jalan Assam Kumbang, Taiping selama 3 bulan. Pengalaman dalam Pulapel, saya pernah lari keluar dari Pulapel dan tidur di Wat Taiping. Saya dapat ditangkap dan didenda dengan kawad basah oleh kem komanden. Cukup letih dan seksa sekali, sukar utk saya ceritakan.

Pengalaman yang amat bermakna bagi saya ialah saya berpeluang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 1994 mewakili Jabatan Penjara Malaysia di dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1994. Pada 14 September 1994, selepas tamat latihan saya ditempatkan di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Sebelum saya berhenti bekerja sebagai Pegawai Penjara KX12, saya berpeluang melawat Penjara Sungai Buluh yang baru dibina dan dilengkapi peralatan yang canggih.

Pada 24 Julai 1995, saya melaporkan diri sebagai Pembantu Penerangan di ibupejabat, Jabatan Penerangan Malaysia di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. Saya ditempatkan di Cawangan Perancangan dan Strategik, Bahagian Perkhidmatan Luar, Sivik dan Masyarakat (PLSM). Pengarah ketika itu ialah En. Yu Am Ping dan pegawai cawangan ialah Puan Mahani Yusoff. Saya telah menjalani latihan asas di IKIP, Pahang selama 2 minggu dibawah seliaan oleh Tuan Hj. Ibrahim Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Latihan (sekarang Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia).

Pada 16 Jun 1996, saya bertukar ke Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang dan ditempatkan di Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut. Pada 16 Mei 2005 saya ditukarkan ke Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu, Perak. Pada 1 Ogos 2008, saya dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Jabatan Penerangan Negeri Kedah di Cawangan GSPI sehingga sekarang.

Thursday, September 8, 2011

Masyarakat Siam sudah 'berhijrah'.

En. Siri Neng Buah berpendapat anak-anak Siam sekarang memang banyak peluang mendapat pendidikan dengan mudah, tetapi amat sayang sekali, masih ada anak-anak kampung leka dengan duniawi tanpa mengejar kemajuan atau ilmu pengetahuan yang senang dimiliki tanpa guna wang yang banyak.

Peluang pendidikan yang luas pada masa kini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda Siam untuk memartabatkan bangsa mereka. Generasi muda Siam seharusnya sedar bahawa hanya pendidikan sajalah yang mampu mengubah nasib kita. Pendidikan akan menjadikan seseorang itu dihormati oleh nusa dan bangsa. Pada masa yang akan datang, masyarakat Siam akan mencapai kemajuan setaraf dengan masyarakat minoriti lain seperti masyarakat Portugis, masyarakat bumiputera di Sabah dan bumiputera di Sarawak .

Apa pun beliau meminta semua masyarakat Siam bekerjasama dan buat apa-apa pun dengan niat yang baik dan ikhlas. Orang yang digelar tua janganlah pandang serong dengan anak-anak muda, kurang sedikit sifat ego dan berbaik-baik dengan mereka. Anak-anak sekarang perlu prihatin daripada orang-orang tua.

Masyarakat Siam pada hari ini telah buktikan keupayaan mereka, dari segi merit, sudah ramai masyarakat Siam yang hebat dan bagus. Mereka berjaya sejak sekian lama cuma tidak
diberi pengiktirafan saja. Apa pun , beliau gembira kerana masyarakat Siam pada masa kini sudah menerima banyak pengiktirafan daripada media cetak dan elektronik. Yang terbaru ialah perlantikan Dato’ Sawai sebagai Profesor Anjung di Universiti Utara Malaysia.

Kemerdekaan memberi kesejahteraan kepada masyarakat Siam Malaysia.

En. Siri Neng Buah berpendapat 'Merdeka bukan seperti burung dilepaskan dari sangkar, tetapi seperti seorang hamba dimerdekakan oleh tuannya, yang bererti hamba itu tidak lagi menjadi abdi, tidak diperlakukan sesuka hati oleh tuannya. Dia mempunyai hak untuk hidup,’ ujar beliau "Kita tidak ada negara lain, inilah negara kita ”. Oleh itu, setiap masyarakat Siam di negara ini perlu menjaga dan jangan punahkannya, dan jangan rosakkan terutama perpaduan antara kaum dan agama. Katanya, kerana kemerdekaanlah nasib masyarakat Siam di Malaysia telah banyak berubah malah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan masyarakat minoriti lain seperti masyarakat Karen dan masyarakat Moro Filipina. Sehingga kini, kedua-dua masyarakat ini masih dinafikan hak kewarganegaraan mereka meskipun Myanmar dan Filipina mencapai kemerdekaan lebih awal daripada Malaysia. Tetapi, masyarakat Siam di Malaysia telah diberikan kewarganegaraan sebaik saja dilahirkan di sini. Apa yang dilihat oleh beliau ialah masyarakat Siam pada hari ini telah membangunkan diri mereka dalam berbagai aspek. Misalnya dalam bidang pekerjaan.

Jika dulu, graduan lulusan universiti sekadar menjadi guru dan pegawai kerajaan berpangkat rendah, namun anak-anak muda Siam kini sudah menjadi doktor, jurutera, dan sebagainya. Apa yang membanggakan masyarakat Siam adalah apabila melihat mereka mula membentuk dan menganggotai persatuan politik misalnya Persatuan Belia Siam Malaysia dan Persatuan Siam Malaysia untuk menyuarakan kebajikan dan menuntut pihak kerajaan supaya memberikan taraf bumiputera sepenuhnya untuk masa depan masyarakat Siam Malaysia.

Dari dulu, masyarakat Siam tinggal di kawasan pedalaman dan kampung, hanya bergiat diri dalam bidang pertanian tetapi pada masa kini, mereka mula melibatkan diri dalam bidang yang lebih mencabar dan kompleks, bukan sahaja dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya tetapi dalam arena politik. Misalnya, perlantikan Senator Datuk Charen Intachat sebagai senator masyarakat Siam yang telah merintis ke arah kemajuan masyarakat Siam dalam bidang sosial dan ekonomi. Dalam bidang pendidikan, sudah ada masyarakat Siam yang menjadi profesor. Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr Proom Promwichit merupakan orang Siam pertama dilantik menjadi profesor. Anak kelahiran negeri Perlis Indera Kayangan ini kini merupakan seorang profesor dalam bidang kimia di UKM.

Meskipun lahir 4 tahun sebelum kemerdekaan beliau amat menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara sepanjang 50 tahun ini. Kalau tidak kerana kemerdekaan, bangsa Siam di Malaysia sudah tentu tidak dapat mendapat warganegara Malaysia. Mungkin status kewarganegaraan mereka masih diragui. Tetapi, selepas kemerdekaan, pihak kerajaan Tanah Melayu telah melonggarkan syarat kewarganegaraan untuk mewujudkan keharmonian dan persefahaman dalam kalangan penduduk di Tanah Melayu ketika itu. Generasi Siam dahulu tidak memilih untuk menjadi warganegara Thailand kerana mereka mendakwa, mereka sudah lama menetap di sini. Malah, jika ditinjau dari sudut sejarah, negeri Kedah dalam bahasa Siam dikenali sebagai Saiburi. Beliau berpendapat sekiranya Raja Chulalongkorn tidak menyerahkan negeri-negeri Melayu Utara kepada British, Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu menjadi sebahagian daripada Thailand pada hari ini.

Dalam usaha untuk membantu masyarakat Siam Malaysia, En. Siri Neng Buah ingin mewujudkan pusat ilmu dan pusat memberi maklumat serta pertolongan kepada masyarakat Siam dalam sumber kewangan dan ilmu. Untuk menambahkan ilmu pengetahuan mengenai masyarakat Siam Malaysia, beliau akan mengumpul semua penulisan dan menerbit buku mengenai kebudayaan dan asal-usul masyarakat Siam berdasarkan penyelidikan dan fakta sejarah daripada sumber tempatan dan Thailand.

Selain itu, pusat ini juga sebagai sumber keagamaan untuk membantu kejahilan anak-anak muda tentang keagamaan sendiri yang sudah leka dengan duniawi daripada pathibat dhamma ( falsafah Buddha) yang sebenarnya. Setelah adanya pusat ini, sudah tentu beliau akan dapat membuat roadshow atau kempen kepada semua masyarakat Siam seluruh Malaysia dan objektif yang jelas serta sumber kewangan yang boleh diperolehi.

Selepas bersara, kemungkinan beliau berhasrat untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Paling penting, kemajuan masyarakat Siam dan pendidikan anak-anak Siam yang bakal memajukan bangsa Siam pada masa akan datang. Sekiranya terpilih untuk menjadi pemimpin tertinggi masyarakat Siam di Malaysia, beliau akan memberi peluang semua anak-anak Siam yang layak menerima duit Yayasan Orang-orang Siam Malaysia tanpa mengira pangkat, nama atau keturunan. Dalam bidang pembangunan masyarakat Siam Malaysia, beliau akan berusaha mendapat projek atau pembangunan yang berguna kepada masyarakat tanpa mengira tempat Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu atau mana-mana.

Selain itu, beliau juga bercadang untuk menubuhkan yayasan untuk anak-anak Siam dan tabung RuamThai yang bukan hanya meminta daripada institusi keagamaan tetapi sumber tersebut perlu dicari melalui projek yang membina kepada masyarakat Siam. Antaranya, idea menyewa bangunan atau rumah flat untuk anak-anak Siam yang belajar di bandar utama, bagi memudahkan mereka mendiami tanpa menyewa rumah seperti berlaku sekarang, di mana, anak-anak Siam terpaksa menyewa rumah dengan kadar yang tinggi. Bagi beliau tidak perlu peringkat antarabangsa, peringkat negeri atau kampung sudah mencukupi bagi membina taraf hidup masyarakat Siam. Beliau juga turut menggesa golongan yang berpendidikan dalam kalangan masyarakat Siam turut membantu masyarakat mereka sendiri untuk memajukan masyarakat Siam di Malaysia. Golongan inilah yang akan mencorakkan masa depan masyarakat Siam Malaysia.

Sijil Pertanian Siam satu bentuk diskriminasi.

Sijil Pertanian Siam yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Kedah dan Perlis sejak dahulu lagi sebagai syarat untuk membenarkan seseorang yang berbangsa Siam layak untuk memohon Tanah Simpanan Melayu. Sijil Pertanian Siam hanya diberikan kepada golongan petani Siam sahaja. Orang Siam yang bekerja dengan sektor kerajaan pula tidak dibenarkan memohon sijil tersebut .

Walau bagaimanapun, Sijil Pertanian Siam telah dibubarkan oleh kerajaan negeri Perlis atas usaha Senator Siew Chun. Kini, hanya pihak kerajaan negeri Kedah yang masih memperkenalkan sijil tersebut kepada golongan petani Siam yang ingin memohon Tanah Rizab Melayu. Hampir 95 peratus masyarakat Siam yang menetap di negeri Kedah, Perlis, Perak, Kelantan, dan Terengganu adalah golongan petani. Akibat pengenalan Sijil Pertanian Siam, masyarakat Siam di negeri Kedah terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang lama untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak kerajaan negeri Kedah untuk meluluskan status permohonan mereka. Selain itu, bayaran yang dikenakan pula agak tinggi iaitu sebanyak RM30 ringgit pada setiap kali permohonan dan RM50 pula dikenakan semasa mengambil Sijil Pertanian Siam.

En. Siri Neng Buah menyifatkan bahawa pengenalan Sijil Pertanian Siam adalah tidak wajar kerana semakin hari jumlah tanah yang dimiliki oleh masyarakat Siam setempat telah berkurangan kerana sering dijadikan tapak projek pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan negeri. Misalnya, projek pembinaan Universiti Teknologi Mara cawangan Kuala Nerang dan projek pembinaan lebuh raya di daerah Sik melibatkan pengambilalihan tanah tersebut oleh kerajaan negeri daripada masyarakat Siam setempat. Tambahan pula, masyarakat Siam di negeri-negeri tersebut sering kali menghadapi masalah sekiranya tanah yang dimiliki orang Siam dijual kepada orang Melayu tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah apabila orang Melayu hendak jual tanah itu kembali kepada orang Siam.

Masyarakat Siam yang berada di luar bandar amat bergantung kepada sektor pertanian untuk mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan seharian dan menyekolahkan anak-anak mereka. Peningkatan taraf hidup mendorong mereka untuk mengusahakan lebih banyak aktiviti pertanian untuk meneruskan hidup. Ini kerana, jika dibandingkan dengan masyarakat minoriti lain di Malaysia, jumlah kakitangan berbangsa Siam masih kurang berbanding dengan masyarakat minoriti lain. Namun pada masa kini, semakin ramai kerana masyarakat Siam pada masa kini sudah ada penghijrahan dari segi mental dan taraf hidup.

Ujar beliau, larangan pihak kerajaan negeri mengecualikan masyarakat Siam setempat daripada memohon Sijil Pertanian Siam adalah tidak wajar. Hal yang demikian kerana, tanah merupakan aset terpenting pada masa kini. Peningkatan taraf hidup menuntut rakyat untuk mencari pendapatan sampingan untuk memenuhi keperluan hidup. Tambahan pula, kebanyakan kakitangan kerajaan yang berbangsa Siam yang membentuk mobiliti masyarakat Siam pada masa kini kebanyakan merupakan anak golongan petani. Siapakah yang akan mewarisi tanah pusaka sebuah keluarga Siam itu sekiranya kesemua anak–anak petani Siam pada hari ini menjadi kakitangan kerajaan dan swasta pada masa akan datang?

Siam adalah Bumiputera

Masyarakat Siam dikatakan telah diiktiraf sebagai golongan bumiputera, mempunyai taraf yang sama dengan masyarakat Portugis di Melaka dan juga masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak. Bumiputera ditakrifkan sebagai kumpulan manusia atau etnik yang wujud sebelum wujudnya sesebuah wilayah. Sejarah Melayu (TM 1612) karya Tun Sri Lanang menyebut bahawa negeri Genggayu (Khlang Kleo ) dibina oleh orang Siam yang terletak di hulu Sungai Johor. Pemerintahnya, Raja Chulan dianggap sebagai raja Besar segala raja di sebelah Timur ini. Dikatakan kesemua jajahan tertakluk pada baginda. Kerajaan Siam Gangga Negara dan Klangkeo telah ditakluki oleh Raja Benua Hindi dan kerajaan di Pahang telah ditewaskan oleh Melaka dan rajanya. Maharaja Dewa Sura dijadikan tawanan. Walaupun gagal memberikan tarikh sebagai satu fakta, Tun Sri Lanang menegaskan bahawa Genggayu ialah negeri Siam asli dan kerajaan ini masih wujud semasa beliau menyiapkan buku tersebut. ( Siri Neng Buah,1998; 3)

Buku kod Undang-undang Monthrenraban 1360 menyebut satu negeri kota sebagai sebuah negeri jajahan takluk Siam dikenali dengan nama Wurawari terletak di Johor ( Siri Neng Buah; 1998: 3) . Ini adalah bukti kukuh yang mengatakan bahawa orang Siam telah lama berada di Semenanjung Tanah Melayu, menjalani kehidupan berkerajaan secara aman dan berperang dengan pihak lain dalam usaha meluaskan pengaruh. Malah sebelum pembukaan Melaka pada tahun 1400, terdapat sebuah negeri di selatan tanah air yang dinamakan Temasik dan pemerintahnya adalah seorang wakil dari kerajaan Siam yang dikenali sebagai Temagi .

Selain itu, bukti sejarah tentang kewujudan orang Siam di sini juga teah Ibrahim Hassan (2002) dalam bukunya yang menyatakan :
“Sungguhpun semenanjung ini telah dinamakan Tanah Melayu tetapi bukanlah orang-orang Melayu itu bangsal yang awal mendudukinya. Kerana orang-orang Melayu itu bangsa yang akhir sekali datang menduduki dan mendiami di dalamnya setelah didiami oleh beberapa yang lain lebih dahulu. Adapun bangsa yang lebih dahulu sekali mendiami di dalam Semenanjung Tanah Melayu, mengikut kenyataan dalam kitab-kita sejarah ialah orang-orang bangsa liar. Kemudian daripada itu diduduki oleh orang-orang Hindu yang datang dari negeri India . Setelah itu dikuasai pula oleh orang-orang Siam asli yang datang dari tanah Siam dan akhirnya baharulah kedatangan orang Melayu”. (Ibrahim Haji Syukri, 2002: 6)

Kerajaan Siam zaman Rattanakosin meluaskan pengaruhnya ke atas negeri-negeri Melayu di Utara semenanjung tanah air seperti di Patani, Kelantan, Perlis dan juga Terengganu. Malah negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu dikehendaki menghantar bunga emas setiap dua atau tiga tahun sekalI ke Bangkok sebagai tanda penghormatan dan kesetiaan kepada raja Siam . Bahkan kuasa Siam begitu jelas. Ini kerana perlantikan seseorang raja di negeri-negeri tersebut (kecuali Terengganu) harus disahkan oleh Maharaja Siam. Surat pengesahan dengan gelaran-gelaran tertentu bersama alat-alat kebesaran lain akan diberikan oleh Bangkok. Contohnya, setiap raja/sultan di Kedah bergelar Phya Ritthisongkrampakdi Sri Sultan Kedah Ratnananintarsurintha Wiwongsa, Phya Saiburi dan raja Perlis pula Phya Visedsongkram Ramwilismara Phya Perlis. Sultan Kelantan sebagai Phya Phipidphakdi Sri Sultan Phya Kalantan ( Siri Neng Buah, 1998: 5).

Keraguan masyarakat Siam Malaysia terhadap isu bumiputera masih menjadi topik hangat sehingga kini. Akibat masalah ini, masyarakat Siam seringkali menghadapi masalah terutamanya sekali ketika ingin melabur dalam Amanah Saham Bumiputera, tidak boleh membeli tanah milik orang Melayu, Sesetengah pelajar Siam yang mahu memohon biasiswa Mara juga tidak berjaya kerana mereka dikatakan bukan golongan bumiputera. Di samping itu, masyarakat Siam juga tidak dapat membeli rumah mengikut harga Bumiputera. Sesetengah masyarakat Siam juga tidak boleh menjadi pegawai kerajaan atas alasan mereka bukan Bumiputera.

Setahu beliau (Siri Neng Buah), bumiputera adalah penduduk asal yang sudah mendiami sesuatu wilayah sebelum terbentuknya sebuah negara bangsa yang berdaulat. Kesilapan fakta sejarah telah menyebabkan hanya orang Melayu sahaja yang dianggap sebagai bumiputera di Semenanjung Tanah Melayu. Malahan semenjak kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, satu istilah baru dicipta untuk mengelirukan orang ramai iaitu peribumi. Peribumi dikatakan hanya merujuk kepada golongan penduduk asal yang berasal dari Sabah dan Sarawak saja yang dijamin hak dan keistimewaan mereka dalam perlembagaan persekutuan.

Isu status bumiputera Siam merupakan agenda perjuangan utama masyarakat Siam Malaysia sejak sekian lama. Sejak belakangan ini, golongan elit Siam yang berpendidikan tinggi mula menuntut agar pihak kerajaan mengiktiraf mereka sebagai golongan bumiputera agar mereka dapat menikmati hak seperti golongan bumiputera yang lain. Masyarakat Siam di Malaysia masih lagi mundur jika dibandingkan dengan masyarakat bumiputera yang lain. Masih belum ada ahli parlimen, jutawan mahupun menteri kabinet dalam kerajaan Malaysia berbanding dengan masyarakat bumiputera yang lain seperti masyarakat Iban dan Kadazan yang mewakili kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak. Selain itu, jumlah masyarakat Siam dalam sektor kerajaan masih kurang jika dibandingkan dengan masyarakat lain.

Istilah Siam melambangkan status warganegara Malaysia.

Orang Siam adalah warganegara Malaysia. Dari segi pemikiran, orang Siam di Malaysia sangat menghormati Raja Bumipol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit, Selain itu, masyarakat Siam di Malaysia juga sering menonton siaran rancangan dari Thailand dan seringkali mengikuti perubahan politik di Thailand. Ini bukanlah bermakna mereka tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Menurut Puan Siti Asiah Kancana Abdullah, istilah Thai telah digunapakai buat pertama kalinya semasa zaman pemerintahan raja Chulalongkorn. Pada tahun 1874, baginda telah menghapuskan amalan hamba abdi dan buruh paksa. Segala bentuk tenaga buruh hendaklah dibayar. Istilah hai kwarm phen thai (pemberian kebebasan) merujuk kepada peristiwa memerdekakan golongan hamba abdi dan buruh paksa untuk menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa.

Kemasukan beramai-ramai orang Cina dan penyerahan wilayah Patani kepada Siam telah mewujudkan kepelbagaian bangsa di Thailand. Sebelum ini, terdapat hanya satu bangsa saja iaitu Tai yang merujuk kepada orang Siam. Nasionalis-nasionalis seperti Luang Phibun Songgram telah merasakan bahawa banyak adat tradisi Thai akibat kemasukan kuasa-kuasa Barat. Maka dengan itu, pada tahun 1938, beliau telah melancarkan satu gerakan yang dikenali sebagai dasar ratthaniyom yang bertujuan untuk mewujudkan satu identiti saja. Maka, dasar ini telah mewajibkan orang –orang cina dan juga masyarakat melayu Patani menerima kebudayaan Siam sebagai kebudayaan Kebangsaan Thailand. Mereka dikehendaki bertutur dalam bahasa Thai dan menggunakan nama Siam sebagai lambang identiti bangsa Thai. Dasar ini juga telah menyebabkan ramai orang Kristian Siam menganut kembali agama Buddha. Pada bulan Jun 1939, nama Sayam telah ditukarkan kepada nama Thailand yang bermaksud ‘ tanah yang merdeka’.

Faktor penempatan masyarakat Siam yang berdekatan dengan Thailand seringkali menimbulkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak yang tidak menyedari bahawa masyarakat Siam juga merupakan warganegara Malaysia. Masyarakat Siam juga sering ke Thailand untuk menghadiri upacara keagamaan dan melancong. Tetapi, hal ini tidak bermakna orang-orang Siam di Malaysia tidak menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada Malaysia. Tetapi di sanalah bermulanya induk agama dan budaya Siam. Bagi masyarakat Siam yang beragama Theravada Buddha, raja dianggap sebagai Raja dikenali sebagai “Chakkraphat” atau “Chakravartin”. Orang Melayu, menganggap raja-raja Melayu sebagai ketua agama dan adat istiadat orang Melayu. Orang Siam juga menganggap raja sebagai ketua adat istiadat dan ketua agama Buddha. Raja merupakan seorang individu yang dikaitkan dengan mempunyai kuasa sakti.

Kekeliruan timbul kerana faktor politik yang memisahkan bumi bertuah kepada dua negara iaitu Malaysia dan Thailand . Oleh sebab masyarakat Siam Malaysia kebanyakannya tinggal di utara dan pantai Timur Semenanjung Malaysia berjiran dengan Thailand sedikit sebanyak budaya masyarakat ini dipengaruhi oleh kebudayaan masyarakat Thailand umpamanya, pengaruh budaya, bahasa dan agama dari sana. Pengaruh inilah yang membuatkan orang-orang Siam dikatakan pendatang dari Thailand

Malahan cara hidup masyarakat Siam di Malaysia juga sama dengan kebudayaan masyarakat Siam di Thailand. Misalnya kepentingan orang Siam biasanya dipegang oleh Naiban (Ketua Kampung) dan pegawai Luar Siam, yang berperanan sebagai orang tengah kepada masyarakat Siam . Naiban (Ketua Kampung) bertanggungjawab mengetengahkan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam kepada pihak yang bertanggungjawab. Di samping itu, amalan agama yang sama dengan masyarakat Thai di Thailand juga turut diamalkan oleh masyarakat Siam di sini. Antara amalan agama yang sangat jelas ialah mewajibkan golongan lelaki yang berumur 21 tahun ke atas menjadi sami Buddha. Kemasukan diri seseorang dalam kehidupan sebagai seorang sami menandakan seseorang sami itu menjalankan kehidupan yang baru, menggunakan bahasa yang berbesar hati. Dalam kehadiran orang biasa, sami akan duduk di tempat yang disediakan oleh mereka. Apabila rakyat biasa hendak meminta nasihat atau memberi benda kepada sami, mereka perlu tunduk dengan tapak tangan dirapatkan. Ini kerana mengikut falsafah agama Buddha, lelaki dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan negara, bangsa dan agama Maka, dalam ajaran Theravada Buddha, golongan lelaki. Diwajibkan untuk menjadi sami sekurang-kurangnya 7 hari dalam seumur hidup. Semasa menjadi sami inilah ajaran-ajaran Buddha betul-betul diamalkan. Manakala golongan wanita pula dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal rumah tangga seperti menjaga suami, anak-anak dan rumah.

Masyarakat Siam masih lagi berpegang kuat kepada fahaman animisme terutama percayakan hantu-hantu yang mengganggu kehidupan mereka. Oleh itu bomoh memainkan peranan penting di dalam kehidupan mereka. Unsur-unsur animisme itu diamalkan bersama-sama dengan amalan agama Buddha yang kuat dipegang oleh orang Siam.

Menurut bekas pensyarah bahasa Thai di Fakulti Bahasa dan Lingustik, Universiti Malaya, Siti Asiah Kancana Abdullah, istilah Siam merujuk kepada penyatuan. Sebelum ini, sejarah Thai telah bermula dengan penubuhan kerajaan Sukhothai, Lopburi, Ayutthaya, Thonburi dan juga Rattanakosin ( Bangkok ). Pengaruh kebudayaan daripada kerajaan–kerajaan ini kemudiannya disatukan dalam dasar kebangsaan negara ini ketika pengasasan dinasti Chakri. Sebelum 11 Mei 1949 , Thailand dikenali sebagai Sayam. Melalui dasar nasionalisme kebudayaan dan imperialistik yang dikenali sebagai dasar Rattaniyom, nasionalis-nasionalis mula menitikberatkan kemegahan bangsa Thai dalam tahun 1930-an. Dalam bulan Jun tahun 1939, nama ” Siam ” telah ditukarkan kepada Thailand yang bemaksud negara yang bebas. Ini kerana, Siam adalah satu-satunya negara di Asia yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana pihak semasa pihak imperialis Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Britian, Peranchis dan lain-lain lagi. Melalui dasar ini nasionalis-nasionalis mula menitikberatkan kemegahan bangsa dan kebudayaan Thai dalam tahun 1939. Nama Siam telah ditukarkan kepada negara Thai. Pendidikan dan penggunaan bahasa Thai digalakkan.

Menurut Siri Neng Buah, penggunaan istilah Siam akan dapat membezakan antara orang Siam di Malaysia dan Thailand . Menurut beliau, sekiranya istilah Siam digunakan, ia akan merujuk kepada orang Siam yang menetap di Kedah, Perlis, Perak dan Terengganu. Sekiranya Thai , ia akan merujuk kepada Thai Chiang Mai, Thai Songhkla, yang jelas sekali melambangkan .identiti masyarakat dari Thailand . Kepentingan dan hak-hak orang Siam termaktub dalam perlembagaan negeri Kedah, Perlis, Kelantan, Perak dan Terengganu. Kesemua undang-undang tersebut menggunakan istilah ‘Siam ’ dalam mencatat segala hak dan perlindungan bagi orang Siam dalam perlembagaan negeri. Selain itu, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, juga turut menggunakan perkataan ‘Siam’ di mana kod undang-undang tersebut memperuntukkan bahawa pihak kerajaan negeri harus melantik seorang penghulu dari kalangan masyarakat Siam setempat bagi mewakili masyarakat Siam di kawasan Pengkalan Hulu bagi mewakili masyarakat Siam di negeri Perak. Malahan di negeri Kedah dan Perlis terdapat sejenis dokumen yang dikenali sebagai Sijil Pertanian Siam yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri tersebut sebagai syarat untuk membolehkan masyarakat Siam di kedua-dua negeri tersebut memohon tanah yang diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Masyarakat Siam menghadapi masalah akibat penggunaan perkataan "Thais" termasuk untuk mendaftar persekolahan anak, memohon pelbagai lesen serta tidak layak melabur dalam Amanah Saham Bumiputera. Hanya kerana sijil kelahiran mempunyai perkataan 'Thais', mereka dilayan dan dianggap sama seperti rakyat dari Thailand dan secara langsung status warganegara mereka akan diragui. Malahan kadang-kala, ketika masyarakat Siam membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik tanah pun, permohonan mereka ditolak kerana pihak kerajaan negeri beranggapan bahawa mereka adalah warganegara Thailand .

Latar belakang persatuan politik masyarakat Siam Malaysia sebelum tahun 2000.

25 tahun lalu, parti politik pertama masyarakat Siam telah ditubuhkan secara tidak rasmi dikenali sebagai Persatuan Thai Malaysia. Persatuan ini beribu pejabat di Pejabat Konsul Besar Thai Pulau Pinang. Keahliannya terdiri daripada masyarakat Siam Malaysia yang kebanyakannya bekerja di Pulau Pinang terutamanya pegawai–pegawai kerajaan seperti guru, kerani dan sebahagiannya terdiri daripada mahasiswa universiti.

Pucuk pimpinan Persatuan Thai Malaysia telah diambil alih oleh Encik Songram Apau menggantikan Mendiang Suk Buranakkon. Perlembagaan persatuan ini telah menetapkan bahawa keahlian Persatuan Thai Malaysia adalah untuk seluruh masyarakat Siam Malaysia. Namun, seperti yang diketahui, orang Siam di Malaysia kebanyakannya tertumpu di negeri –negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu di Kedah, Perlis, Perak dan dan sebahagian kecil masyarakat Siam yang lainnya menetap di Kelantan dan Terengganu. Faktor geografi menyukarkan masyarakat Siam di Malaysia untuk menganggotai persatuan ini. Ini menyebabkan segala aktiviti persatuan ini hanya tertumpu di kawasan utara Semenanjung sahaja.

Detik 4 Januari 1996 merupakan detik paling bersejarah bagi masyarakat Siam di seluruh Malaysia. Buat pertama kali dalam tempoh 39 tahun selepas kemerdekaan, pihak kerajaan Malaysia di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional telah melantik seorang wakil daripada masyarakat Siam untuk mewakili masyarakat minoriti di Dewan Negara. Perlantikan wakil masyarakat Siam di Dewan Negara merupakan satu penghargaan daripada pihak kerajaan terhadap sokongan padu yang dicurahkan oleh masyarakat Siam di seluruh Malaysia atas sokongan dan komitmen mereka terhadap kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional.

Lawatan Rasmi bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad bersama masyarakat Siam di Wat Visutpradiththaram, Kampung Titi Akar dianggap detik paling bersejarah kerana ini merupakan kali pertama seorang pemimpin negara mengadakan pertemuan langsung dengan masyarakat Siam Malaysia. Perwakilan masyarakat Siam bagi mewakili masyarakat Siam telah dilantik untuk mewakili masyarakat Siam dari negeri masing-masing. Dalam peristiwa tersebut, Siri dilantik untuk menjadi wakil bagi masyarakat Siam Terengganu. Dalam peristiwa tersebut juga, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan perlantikan bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah, Encik Charen Intachat sebagai senator pertama Masyarakat Siam.

Sehubungan itu, beliau dan rakan-rakan yang lain yang telah dilantik untuk mewakili masyarakat Siam bagi negeri masing–masing telah bermesyuarat dan memutuskan untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Penyelaras Masyarakat Siam Malaysia untuk menubuhkan sebuah persatuan untuk mewakili masyarakat minoriti ini. Cadangan itu telah disuarakan kepada Perdana Menteri. Idea tersebut akhirnya telah dipersetujui oleh Perdana Menteri. Akhirnya, Jawatankuasa Tindakan Masyarakat Siam yang dipengerusikan oleh Encik Charen Intachat telah ditubuhkan, Jawatankuasa tersebut telah memutuskan agar persatuan-persatuan Siam peringkat negeri dibubarkan dan digantikan dengan Persatuan Siam Malaysia. Siri telah diberi tugas untuk menyiapkan proposal kertas kerja beliau yang bertajuk ‘Kanakkhammakan Phae Jokhjong Khon Thai Malaysia’ (Jawatankuasa Penyelaras Perhubungan Masyarakat Siam Malaysia) untuk dibentangkan di Parlimen. Hasil pembentangan kertas kerja tersebut telah diperkenankan oleh Kabinet. Pada Tahun 2000, Persatuan Siam Malaysia telah ditubuhkan dengan perlantikan Yang Berhormat Senator Dato’ Charen Intachat sebagai presiden pertama.

Sekitar tahun 1960-an, terdapat Persatuan Siam Kedah yang dipengerusikan oleh Mendiang Yan Intachat. Keahlian persatuan ini terdiri daripada golongan petani dan juga sebilangan kecil masyarakat Siam yang menjadi kakitangan kerajaan dari Kedah dan Perlis. Persatuan ini bergiat aktif dalam kegiatan–kegiatan politik di Kedah. Mendiang Yan Intachat telah membantu Tun Dr Mahathir berkempen sehingga beliau memenangi pilihanraya Parlimen Kota Setar pada tahun 1964. Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO Dalam pilihanraya 1969, Encik Yan telah membantu Tun Dr Mahathir berkempen sehingga beliau dilantik semula menjadi ahli parlimen dan diterima semula sebagai ahli UMNO. Sebagai membalas jasa Mendiang Yan Intachat, beliau telah melantik anak Mendiang Yan Intachat, Encik Charen Intachat sebagi Senator Siam pertama dalam tempoh 39 tahun selepas kemerdekaan. .

Terdapat persatuan Siam Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Encik I Chong dan timbalannya, Puan Siew Chun Eam (bekas senator masyarakat Siam Malaysia), Terdapat juga persatuan Siam Kelantan /Terengganu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Namun, adalah baik sekiranya sebuah persatuan ditubuhkan di peringkat kebangsaan bagi mewakili kepentingan masyarakat Siam di seluruh Malaysia. Persatuan Siam Malaysia adalah untuk semua masyarakat Siam Malaysia.

Matlamat jangka panjang persatuan ini adalah untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan generasi muda Siam dalam pelbagai bidang. Malahan, jumlah pelajar Siam yang dapat memasuki menara gading masih rendah jika dibandingkan dengan golongan bumiputera yang lain.

Melalui persatuan, dana-dana pengajian diwujudkan untuk membantu anak-anak Siam yang cemerlang dalam bidang akademik melanjutkan pelajaran dalam dan luar negeri. Dengan adanya pendidikan, martabat bangsa Siam akan dapat dipertingkatkan. Dengan ini, lebih ramai golongan profesional Siam akan dapat dilahirkan terutamanya dalam bidang undang-undang, perubatan dan lain-lain lagi agar masyarakat minoriti ini mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan golongan minoriti yang lain.

Latar belakang masyarakat Siam Malaysia.

Masyarakat Siam Malaysia kebanyakannya menetap di kawasan utara Semenanjung Malaysia iaitu di Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan sebahagian kecilnya di negeri Terengganu. Masyarakat Siam dianggarkan berjumlah 60,000 (Bernama, 16 Disember 2008) masih belum mempunyai sebuah parti politik. Sebahagian besar daripada jumlah masyarakat Siam Kedah menetap di kedah iaitu berjumlah 30,000 orang (The Star, 25 April 2008) ,13000 orang di Kelantan ( Harakah, 4 Mei 2008), 6000 di Perlis dan 2000( Utusan Malaysia, 2 Disember 2008) di Perak.

Hampir kesemua Masyarakat Siam Malaysia menganuti ajaran agama Buddha, sama seperti masyarakat Thai di Thailand. Tempat beribadat mereka dikenali sebagai wat. Kebiasaannya, wat akan dijadikan tempat untuk masyarakat Siam bersembahyang ketika wan phrak (hari suci dalam agama Buddha). Di samping itu, masyarakat Siam di Malaysia akan mengunjungi wat ketika diadakan upacara buat phrak (masuk sami), pesta Songkran (tahun baru Siam) dan sebagainya lagi. Institusi wat juga berperanan sebagai institusi pendidikan agama Buddha yang menawarkan pendidikan dalam bahasa Ibunda masyarakat Siam, iaitu phasa Thai (Bahasa Thai) bermula dari peringkat anuban (pra-sekolah), pho 1- 3 ( peringkat tahun 1 hingga 3), peringkat ketiga dikenali sebagai nak tham tri, peringkat keempat dikenali sebagai nak tham tho dan peringkat kelima dikenali sebagai nak tham eak. Setelah seseorang anak siam berjaya lulus dalam peperiksaan bahasa Thai, mereka akan dianugerahkan dengan Sijil Dhammaseksa sebagai tanda bahawa seseorang Siam telah mendalami ajaran Buddha sepenuhnya.

Faktor penempatan masyarakat Siam di Malaysia di kawasan pedalaman dikatakan menjadi faktor utama yang menyebabkan mereka terpinggir dari arus permodenan berbanding dengan masyarakat Portugis di Melaka. Berbeza dengan masyarakat Siam Malaysia, masyarakat Portugis menetap di kawasan bandar iaitu di kawasan Ujong Pasir, di Melaka. Meskipun jumlah masyarakat Portugis di Malaysia lebih sedikit berbanding masyarakat Siam, penempatan mereka yang terletak di kawasan bandar mendedahkan mereka kepada sistem pendidikan, dan perniagaan. Melalui penglibatan mereka dalam bidang pendidikan dan perniagaan, masyarakat ini berpeluang untuk mencapai kesejahteraan hidup yang lebih baik daripada masyarakat Siam Malaysia yang menetap di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia. Dalam bidang perniagaan, Datuk Tony Fernandas merupakan tokoh korporat masyarakat Portugis yang terkenla di seluruh Malaysia. Malah dalam bidang perkhidmatan sekalipun, jumlah masyarakat Portugis yang bergelar golongan profesional adalah lebih ramai berbanding dengan masyarakat Siam Malaysia.

Bagaimanapun, masyarakat Siam di Malaysia pada hari ini telah mengalami penghijrahan dari segi pemikiran. Mereka sudah mula memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka, dan melibatkan diri dalam bidang perkhidmatan dan perniagaan. Dalam bidang sosial, sudah ada masyarakat Siam yang telah dilantik menjadi senator, profesor, dan banyak lagi. Kebanyakan mereka adalah berasal dari keluarga Siam yang menetap di kawasan luar bandar. Namun, beliau berpendapat, pendidikanlah yang telah membawa perubahan kepada masyarakat Siam pada hari ini.

Selama ini, masyarakat Siam terkenal sebagai penyokong setia kepada pucuk pimpinan kerajaan yang diterajui oleh Kerajaan Barisan Nasional. Sebagai membalas kesetiaan masyarakat Siam terhadap kerajaan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohammad menjelaskan bahawa seorang perwakilan bagi mewakili masyarakat minoriti Siam akan dilantik untuk membolehkan segala kebajikan masyarakat minoriti ini terjamin.

Bagi mengotakan janji tersebut, beliau telah mengumumkan perlantikan bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah, Charen Intachat ( kini Dato’ Charen) sebagai Senator masyarakat Siam pertama selepas 33 tahun penubuhan negara Malaysia. Pengumuman tersebut telah diumumkan semasa beliau mengadakan perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin dan masyarakat Siam dari seluruh Malaysia di Wat Visutthipradittharam, Kampung Titi Akar pada 4 Januari 1996. Perlantikan Charen Intachat sebagai senator pertama masyarakat Siam Malaysia merupakan satu penghormatan yang tidak ternilai harganya kerana perjuangan mereka selama ini untuk meminta agar pihak kerajaan melantik seorang wakil bagi mewakili masyarakat Siam di seluruh Malaysia telah tercapai.

Pencetus Idea Penganjuran Citrawarna Malaysia.

Citrawarna Malaysia merupakan salah satu persembahan steert performance yang mula diperkenalkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1999. Ia bertujuan untuk menyerlahkan kekayaan warisan budaya negara melalui muzik, dan nyanyian.

Pesta Citrawarna yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan yang dianjurkan pada tahun 1999 merupakan idea beliau dan beberapa orang pegawai yang bertugas di jabatan kebudayaan dari seluruh negara. Ketika itu, beliau bertugas sebagai pegawai kebudayaan Pulau Pinang. Idea tersebut timbul berikutan hasrat pihak Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan yang ingin menjadikan industri pelancongan sebagai industri utama yang menjana peningkatan sektor ekonomi negara berikutan kemelesetan ekonomi yang melanda rantau Asia Tenggara sekitar tahun 1997. Pihak kementerian juga bercadang untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Seni Budaya seperti Bandaraya San Paolo di Brazil, Bandaraya Madrid di Sepanyol dan Bandaraya
Tokyo di Jepun yang seringkali kali dikenali di serata dunia kerana keunikan budayanya. Beliau berpendapat, Malaysia berpotensi untuk menjadi pusat pelancongan tumpuan pelancong-pelancong dari luar negara kerana selama ini Malaysia dikenali di persada dunia kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Malahan jika dibandingkan dengan negara–negara lain di dunia, Malaysia dikatakan unik kerana rakyatnya meraikan pelbagai kaum menyambut pelbagai jenis perayaan. Di sesetengah negara seperti Brazil, pesta budaya las parasi merupakan acara tahunan yang telah diwartakan sebagai acara tahunan dalam negara mereka. Cadangan ini kemudiannya telah disuarakan kepada Datuk Seri Syeikh Kadir Fadzil. Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan telah memutuskan untuk melantik pegawai-pegawai sebagai pemerhati ke luar negara pada musim seni budaya untuk meninjau proses penganjuran dan perlaksanaan pesta budaya tersebut. Ada pegawai kebudayaan yang dilantik menjadi pemerhati pesta budaya Las padihal di Mexico, pesta budaya La Tomatina di Sepanyol dan pesta Hanami di Jepun. Visual perarakan tersebut kemudiannya ditayangkan kepada pegawai-pegawai dari kementerian untuk dibuat soal selidik agar bersesuaian dengan amalan dan budaya masyarakat Malaysia. Maka dengan itu, Datuk Seri Syeikh Kadir Fadzir telah mempersetujui idea tersebut.

Maka dalam mesyuarat jawatankuasa induk bersama wakil-wakil pegawai kebudayaan dari setiap negeri. Pegawai-pegawai kebudayaan telah ditugaskan untuk mempersembahkan kebudayaan dari negeri masing –masing untuk dipersembahkan kepada para pelancong menjelang Bulan Mei 1999. Masyarakat di Borneo juga turut dijemput untuk mempamerkan kebudayaan mereka seperti Tarian Ngajat dan Tarian Sumazau yang telah menjadi daya penarik utama sektor pelancongan di Kepulauan Borneo.

Penganjuran Pesta Citrawarna Malaysia telah berjaya menggamit kedatangan pelancong ke Malaysia sepanjang tempoh 1999 sehingga kini. Berikutan kejayaan itu, beliau telah dianugerahkan Anugerah Khidmat Cemerlang daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sempena Hari Keputeraan Baginda., Beliau juga telah meminta kebenaran daripada Datuk Syeikh Kadir Fadzil untuk memasukkan kebudayaan masyarakat Siam dalam pesta Citra warna tersebut agar masyarakat Malaysia global dapat mengetahui bahawa masyarakat Siam juga merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia . Setelah mendapat
persetujuan daripada pihak kementerian, beliau telah memaklumkan kepada Dato’ Charen mengenai cadangan tersebut. Lanjutan daripada idea tersebut, Dato’ Charen telah mengadakan mesyuarat dengan semua masyarakat Siam di seluruh Malaysia .

Melalui mesyuarat tersebut, pegawai-pegawai kebudayaan Siam dilantik di setiap daerah di negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak untuk melatih dan membimbing masyarakat Siam dalam persembahan budaya seperti tarian menora, tarian ramvong, dan sebagainya. Dalam penampilan kali petama masyarakat Siam dalam pesta Citrawarana, masyarakat Siam telah mempamerkan adat meminang Siam yang telah diwarisi sejak sekian lama. Selain itu, masyarakat Siam juga turut mempersembahkan tarian budaya mereka dengan diiringi lagu Khan Mark Ma laew oleh Jungjut Chiaw Chan Chai , seorang penyanyi Thailand .

Kemuncak persembahan masyarakat Siam Malaysia adalah pada tahun 2001 di mana masyarakat Siam Malaysia telah mempersembahkan perayaan Loy Krathong. Dalam persembahan tersebut, beliau telah memberikan suara latar sepanjang persembahan tersebut kepada para penonton yang kebanyakannya terdiri daripada pelancong asing mengenai asal usul dan kepentingan tarian menora kepada masyarakat Siam Malaysia. Persatuan Siam Malaysia telah mengundang seorang penyanyi khas dari Thailand . Kristy Jensen untuk menyanyikan lagu ‘’ Loy Krathong”. Persembahan yang ditunjukkan oleh masyarakat Siam Malaysia telah mendapat mendapat pujian daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan juga Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Seri Syeikh Kadir Fadzil. Semenjak itu, masyarakat Malaysia mula mengenali orang Siam.

Malahan dalam setiap persembahan kebudayaan, masyarakat Siam sering kali dijemput untuk mengadakan persembahan di peringkat nasional mahupun negeri. Tarian budaya masyarakat Siam yang paling mendapat tempat adalah tarian menora. Ini kerana, tarian tersebut mempamerkan nilai estetika yang tinggi dari segi persembahan, pakaian dan juga sejarah di sebalik pengasasan tarian tersebut. Malahan, jika dibandingkan dengan tarian budaya masyarakat Siam yang lain, tarian menora merupakan tarian yang paling sukar dikuasai kerana ketinggian nilai seninya.

Bakat En. Siri Neng Buah sebagai Tok Dalang wayang kulit Siam Kelantan.

Minat beliau terhadap bidang kesenian telah diterapkan ke dalam jiwanya sejak kecil lagi. Bapa beliau, Nai Neng Buah merupakan seorang yang berbakat besar dalam bidang kesenian. Neng Buah berkebolehan dalam mempersembahkan tarian menora, mak yong dan seterusnya menjadi dalang wayang kulit

Permainan wayang kulit Siam Kelantan merupakan persembahan patung-patung yang digerakkan oleh Tok Dalang berlatarkan layar putih dan diterangi sinar cahaya. Ia tergolong dalam kumpulan teater tradisional. Komponen penting dalam permainan wayang kulit ialah dalang, patung, kelir (kain layar putih) dan muzik. Wayang kulit dimainkan di pesta-pesta keramaian seperti perayaan diraja, temasya selepas menuai padi, acara menyembah guru, mengubati orang sakit, upacara puja semangat dan ritual yang lain.

Terdapat dua jenis bentuk wayang kulit iaitu wayang kulit yang dipuja dan tidak dipuja. Misalnya dalam wayang kulit Siam Kelantan , terdapat tiga jenis patung wayang kulit yang dipuja iaitu patung Pak Dogol, Patung Maharisi, dan Sang Kaki Darkala. Patung Pak Dogol dikatakan paling keramat kerana dipercayai, Pak Dogol adalah jelmaan Dewa Soh Alam Tunggal. Maka sebagai tanda pemujaan terhadap patung tersebut, tok dalang akan melilitkan benang mentah pada lehernya selepas upacara buka panggung. Ketiga-tiga watak ini dikatakan dapat melindungi tok dalang serta ahli kumpulan wayang kulit daripada ancaman kumpulan wayang kulit yang lain. Maka, ketiga-tiga patung ini tidak boleh dipijak, dilangkahi dan harus diletakkan di tempat yang tinggi. Kononnya, sekiranya salah satu daripada ketiga-tiga patung ini dipijak, ia akan menyebabkan seseorang itu ditimpa musibah.

Patung wayang kulit yang tidak dipuja pula terdiri daripada patung-patung wayang kulit yang telah diadaptasikan daripada watak-watak moden seperti unsur-unsur alam, kenderaan dan sebagainya yang mempengaruhi gaya persembahan wayang kulit pada masa kini akibat arus pemodenan. Beliau telah mendapat tunjuk ajar dalam persembahan wayang kulit daripada ayahnya. Semenjak mula berkhidmat sebagai pegawai kebudayaan dan belia pada tahun 1978, bakat beliau dalam bidang kesenian telah digilap. Beliau seringkali mengadakan persembahan dalam majlis kesenian dan kebudayaan yang diadakan oleh kerajaan Negeri Terengganu. Beliau berkebolehan untuk menjadi tukang karut dalam persembahan Boria.

Kejayaan terulung yang dicapai oleh beliau bermula sejak beliau mula bergiat aktif dalam persembahan kebudayaan setelah menganggotai Persatuan Kelab Sunan Wijaya Darul Naim pada tahun 2002. Persatuan ini telah didaftarkan sebagai sebuah persatuan yang menjalankan gerak kerja berdasarkan kegiatan kesenian seperti dikir Barat, wayang kulit, seni silat dan sebagainya di sekitar Kuala Lumpur . Kebanyakan ahli persatuan ini terdiri daripada warga tempatan yang berasal dari Pantai Timur dan bermastautin di Kuala Lumpur . Pada 8 hingga 9 Julai 2007 yang lalu, beliau telah mencatat sejarah sebagai orang bukan Melayu pertama dipilih untuk menjadi dalang wayang kulit peringkat Malaysia terpilih untuk
mengadakan persembahan wayang kulit di Istana Budaya .

Antara pemuzik-pemuzik yang digandingkan dalam persembahan tersebut ialah Seniman Negara, Hamzah Awang Amat, Dalang Yusof Mamat atau dikenali sebagai Pak Son Lapok serta Dalang Dollah Baju Merah dan Dalang Saari Terengganu, kebolehan beliau bertutur dalam pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan yang ada pada beliau untuk menarik minat penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang menyaksikan persembahan tersebut di Istana Budaya.

Pada 8 julai 2007 yang lalu. beliau telah mengetuai Persatuan Kelab Sunan Sriwijaya untuk mempersembahkan persembahan wayang kulit Siam Kelantan yang diadakan di Istana Budaya anjuran Persatuan Kelab Sunan Sri Wijaya. Persembahan wayang kulit Siam Kelantan yang dipersembahkan oleh beliau mengisahkan bagaimana seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Canang Klenang telah menjelma keluar daripada pusat Pak Dogol yang bernanah. Canang Klenang kemudiannya berhasrat pula untuk mengahwini Tuan Puteri Siti Dewi iaitu permaisuri Seri Rama. Permintaannya yang aneh ini telah menyebabkan beliau digantung secara songsang oleh Pak Dogol pada sebatang pokok. Bagaimanapun, Canang Klenang telah dilepaskan daripada gantungannya oleh dua ekor Bota bersaudara yang secara kebetulan dalam perjalanan menuju ke Istana Seri Rama untuk tujuan menyamun. Namun telah berlaku pula perkelahian antara Canang Klenang dan Bota-Bota berkenaan setelah beliau cuba menghalang niat mereka. Seri Rama telah memanggil Mah Babu Sanan untuk menujum dan menilik tentang siapakah di sebalik angkara yang berlaku melibatkan beliau serta ingin mengetahui siapa sebenarnya Canang Klenang.

Pada 9 Julai 2007 yang lalu, beliau telah mempersembahkan persembahan wayang kulit Siam kelantan buat kali kedua. Persembahan wayang kulit yang persembahkan oleh beliau pada malam itu mengisahkan tentang seorang raja yang terpaksa melarikan diri daripada negerinya setelah menyedari bahawa beliau akan dibunuh dan darahnya akan disimbah pada Istana Seri Rama lantaran beliau merupakan anak kelahiran yang sulung (pertama). Sememangnya, menjadi tuntutan untuk diambil darahnya bagi tujuan tersebut. Malah semua keturunannya kelak yang merupakan anak kelahiran pertama, akan menerima akibat yang sama jika diketahui oleh Seri Rama. Raja tersebut kemudiannya tinggal di sebuah negeri dan beliau dikenali sebagai Koma Sakti. Beliau juga mempunyai seorang anak yang dikenali sebagai Tuan Kecil Raja Budak. Namun telah timbul juga pertanyaan kepada Seri Rama tentang siapa sebenarnya Tuan Kecil Raja Budak kerana beliau merupakan seorang kanak-kanak yang gagah berani serta berkemampuan menewaskan Jin Aprit semasa perkelahiannya. Di samping itu, Tuan Kecil Raja Budak turut juga dapat menewaskan burung garuda yang ganas ketika cuba menyerangnya.

Dalam persembahan wayang kulit, Siri seringkali memainkan watak sebagai Dalang Tua, iaitu watak utama dalam persembahan wayang kulit. Berbeza dengan dalang-dalang wayang kulit yang lain, beliau masih mengamalkan upacara membuka panggung sebelum memulakan persembahan, Upacara buka panggung dalam persembahan wayang kulit diadakan untuk melancarkan persembahan. Sebelum memulakan persembahan wayang kulit, dalang akan memastikan setiap peralatan yang hendak digunakan sewaktu persembahan telah disediakan oleh penaja atau tuan punya majlis tersebut. Ini kerana, satu upacara akan diadakan dengan menghidangkan sajian untuk persembahan kepada semangat yang dipercayai menduduki patung wayang kulit dan juga alat-alat muzik. Setiap persembahan wayang kulit sememangnya akan dimulakan dengan sajian memuja semangat.

Antara peralatan yang digunakan untuk membuka panggung dalam persembahan Wayang kulit Siam Kelantan :
a) Air Manis
b) Telur
c) Benang Hidup
d) Sirih
e )Rokok Daun

Para penonton akan teruja melihat persembahan wayang kulit yang dipersembahkan masih mengekalkan keaslian dari segi persembahannya. Menurut beliau, upacara membuka panggung adalah untuk meminta izin dengan memanggil semangat dari roh-roh orang yang berkenaan . Keizinan ini bagi memanggil mereka supaya datang beramai-ramai menjiwai persembahan wayang kulit agar patung-patung itu nampak bersemangat dan kelihatan hidup semasa persembahan.

Upacara berjamu ini juga dilakukan bertujuan untuk memberi satu kesan yang mendalam kepada seseorang dalang ketika menghayati satu-satu watak. Jampi dan mantera dibaca awal permainan untuk membantu seseorang dalang dalam melancarkan permainan dan persembahan dalam persembahan wayang kulit Siam Kelantan, beliau seringkali menggunakan ayat-ayat suci Buddha untuk memulakan persembahan.

a) Mantera untuk memulakan persembahan:
Put tho put thang
Nak kan tang
Arahang put tho
Nak mo put tha yak
Tham mo tham mang
Nak khan tang
Arahang puttho nak mo put tha yak

b)Mantera untuk mengangkat patung wayang kulit
Sang kho sang khang
Nak kan tang
Arahang puttho
Nak mo put tha yak

c) Mantera ketika memakai tali pinggang ;
Nak mak nak ak
Na ko nak khak
Nak ak kak ang

Mantera juga untuk membantu dalang memperkuatkan daya ingatannya dalam mengeluarkan dialog di samping menumpukan segala tenaga dan pemikirannya untuk persembahan. Jampi yang dibaca oleh seseorang dalang menukar suara mengikut watak yang dimainkan,

d) Mantera untuk menukar suara
Canang-canang tak khok tik
Tit chak thammang
Maha chatit
Pho thik ya
Sak thang thammang
Nak mo thammang

Jampi ini juga bertujuan untuk mengelakkan dalang daripada sebarang kesilapan ketika mengendalikan persembahan seperti menuturkan dialog, menggerakkan tangan, melarikan patung-patung di atas kelir dan mengelakkan dalang dari mengantuk. Untuk menunjukkan kesaktian, roh-roh ini akan menjelma dengan diizinkan oleh tuhan dari kayangan. Mereka adalah makhluk-makhluk ghaib yang mendiami di kawasan kayangan dan tidak ada manusia yang dapat melihat dengan mata kasar kecuali dengan mata batin atau mata rohani. Tok dalang juga tidak dapat melihat roh-roh tersebut tetapi mereka percaya dengan semangat yang mereka lakukan tersebut. Untuk memanggil roh-roh dan semangat itu tadi, tok dalang sebagai tuan rumah mestilah menyediakan sajian untuk roh dan semangat.

Pendapat En. Siri Neng Buah mengenai warisan seni budaya.

Menurut Siri, warisan merupakan sesuatu yang diperturunkan daripada generasi terdahulu iaitu tinggalan nenek moyang atau tinggalan alam semulajadi yang perlu dipelihara. Justeru, pada tahun 2007, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah mewartakan 173 butiran warisan negara diangkat dan diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan.

Walaupun kepesatan pembangunan negara berlaku dengan pantas, namun pemuliharaan dan pemeliharaan khazanah lama negara perlu dilestarikan supaya ia dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Tanggungjawab ini perlu digalas bersama dalam mendidik anak-anak supaya mereka menghargai dan mencintai warisan dan khazanah negara mereka sendiri serta menanam rasa bangsa pada harta yang mereka miliki.

Setiap individu dalam masyarakat juga haruslah sedar akan tanggungjawab mereka dalam pemuliharaan warisan. Penglibatan beliau dalam usaha memartabatkan warisan kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan telah diberi pengiktirafan di peringkat negara dan antarabangsa.

Wednesday, September 7, 2011

Masyarakat Siam diminta manfaat peruntukan kerajaan negeri Kedah.

ALOR SETAR – Masyarakat Siam diminta memanfaatkan peruntukan khas Kerajaan Negeri untuk kaum itu memandangkan bilangan orang Siam yang memohon bantuan masih terlalu sedikit.

Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kedah, William Khor Eng Hin berkata, walaupun Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM250,000 untuk kebajikan masyarakat Siam, pihaknya masih tidak menerima sebarang permohonan daripada wakil masyarakat Siam untuk kegunaan kaum itu.

Menurutnya, perkara sama dapat dilihat dari aspek permohonan Skim Kafalah dan bantuan khairat kematian apabila tidak sampai 30 peratus masyarakat Siam yang mengemukakan permohonan.

“DHPP yakin masalah ini berlaku disebabkan masyarakat Siam masih terikat dengan sentimen Barisan Nasional (BN) dan bimbang untuk menyokong Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) secara terbuka”.

“Masyarakat Siam perlu sedar pemberian bantuan Kerajaan Negeri adalah untuk semua rakyat Kedah tanpa membezakan bangsa, agama dan fahaman politik. Justeru, saya mohon masyarakat Siam bersikap lebih terbuka dalam menerima bantuan Kerajaan Negeri,” katanya baru-baru ini.

Eng Hin berkata, di sebalik sentimen segelintir pemimpin Siam terhadap Kerajaan Negeri, bilangan masyarakat Siam yang mula menyokong PR secara terbuka kini semakin ramai dan ia merupakan satu perkembangan baik menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, DHPP kini merancang untuk meningkatkan lagi keberkesanan hubungan komunikasi dengan pemimpin masyarakat Siam bagi memastikan segala maklumat dan bantuan disalurkan Kerajaan Negeri dimanfaatkan sepenuhnya.

“Dalam masa terdekat, DHPP akan memanggil dua pemimpin Siam dari setiap wat untuk mengadakan dialog selain memberi penerangan terperinci berhubung segala inisiatif terkini Kerajaan Negeri untuk masyarakat Siam,” katanya.

Selain itu, Eng Hin turut mendedahkan sokongan masyarakat Cina terhadap Kerajaan Negeri pimpinan PR juga semakin meningkat setelah menyedari polisi Kerajaan Negeri yang adil terhadap masyarakat Cina.

“Pelbagai dakwaan dan tohmahan dilemparkan pihak tertentu terhadap Kerajaan Negeri. Bagaimanapun segala dakwaan itu berjaya ditepis setelah masyarakat Cina menyedari Kerajaan Negeri sedia ada lebih prihatin dengan kebajikan mereka berbanding Kerajaan Negeri terdahulu.”

“Saya yakin masyarakat Cina masih memerlukan kepimpinan Kerajaan Negeri PR untuk menerajui Kedah pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, 5.9.2011 m/s U4 (Edisi Utara)

Thursday, April 21, 2011

Rintihan orang Siam terhadap permohonan Sijil Siam.

Rata-rata orang Siam selalu bercakap mengenai “Sijil Siam” dan permasalahannya. Tetapi berapa orangkah yang tahu tentang sijil tersebut dan apa masalahnya? Sijil yang orang Siam selalu sebut sijil Siam sebenarnya “Sijil Pertanian Orang-orang Siam”.

Kegunaan sijil Siam adalah untuk memohon tanah rizab Melayu yang diterokai oleh orang-orang Siam. Mengikut kanun tanah di negeri Kedah, orang-orang Siam boleh memiliki tanah rizab Melayu seperti orang-orang Melayu di negeri Kedah. Untuk memiliki tanah rizab Melayu, orang Siam terlebih dahulu perlu memohon sijil Siam bagi membuktikan bahawa mereka memang orang Siam yang layak memiliki tanah rizab Melayu.

Pada masa dahulu, sijil Siam tidak mendatangkan masalah kepada orang-orang Siam. Kerana kebanyakan orang-orang Siam adalah petani dan hidup berkelompok di kampung-kampung. Di daerah Pendang saja ada 11 kelompok iaitu 11 buah kampung. Perkahwinan orang-orang Siam pula adalah di antara orang-orang Siam sendiri dalam kelompok tersebut.

Apabila negara semakin maju maka orang Siam pun turut mengikut arus kemajuan. Maka lahirlah orang-orang Siam berpelajaran tinggi ekoran perkembangan dari sektor pendidikan. Ramailah orang Siam menjawat jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta. Ada yang berhijrah ke kota untuk bekerja dalam sektor perkilangan.

Penghijrahan orang Siam dari kelompok kecil ke dunia luar menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara orang Siam dengan orang Cina dan India. Maka bermulalah masalah Sijil Siam yang diperkatakan orang-orang Siam sehingga hari ini.

Masalah sijil Siam bukannya disebabkan bayaran sebanyak RM50 seperti jawapan YAB Menteri Besar Kedah di Dewan Undangan Negeri semasa menjawab soalan YB Suraya Yaacob, ADUN Sg Tiang. YAB Menteri Besar menjawab, ada pemimpin Siam berjumpa beliau dan memaklumkan bahawa orang-orang tidak mampu bayar RM50 utk mendapatkan sijil Siam.

Sebenarnya permohonan sijil Siam mempunyai masalah lain yang lebih rumit. Antaranya ialah:

Pertama: Permohonan Sijil Siam sangat rumit dan memakan masa yang panjang. Keadaan ini sangat merimaskan orang-orang Siam dan akhirnya orang Siam terlepas peluang memiliki tanah rizab Melayu yang diterokainya.

Kedua: Satu sijil Siam hanya boleh digunakan sekali untuk memohon sebidang tanah rizab Melayu. Sekiranya orang-orang Siam mengusahakan tanah lebih dari satu bidang maka sijil Siam juga harus dipohon mengikut jumlah bidang tanah yang diterokai. Keadaan ini menyukarkan orang-orang Siam untuk memiliki tanah.

Ketiga: Sijil Siam hanya boleh dipohon oleh orang-orang Siam warganegara Malaysia yang mengusahakan tanah tersebut, pendek kata.. seorang petani. Masalahnya sekarang ialah bukan semua orang-orang Siam adalah petani. Ada Jurutera, pegawai kerajaan dan swasta, pekerja kilang, pemandu lori, peniaga kecil dan sebagainya. Mereka ini tidak layak memohon sijil tersebut sekiranya syarat pekerjaan sebagai petani ditetapkan.

Keempat: Sijil Siam juga tidak boleh dimohon oleh orang-orang Siam yang berkahwin dengan orang Cina dan orang India. Sebab orang Cina dan India tidak layak memiliki tanah rizab Melayu. Apabila pemilik tanah tersebut meninggal dunia maka pasangannya akan memiliki harta sepencarian dan bercanggah dengan kanun tanah negeri Kedah.

Kelima: Kerana sijil Siam menyebabkan anak-anak yang telah berjaya dalam bidang lain selain daripada bidang pertanian sukar untuk memohon sijil Siam dan sukar untuk memiliki tanah rizab Melayu hasil penerokaan orang tuanya yang belum memiliki geran.

Semoga kerajaan negeri Kedah mengkaji semula syarat permohonan Sijil Siam agar tidak menganiaya orang-orang Siam Kedah. Beri juga kelonggaran untuk orang-orang Siam membeli tanah daripada orang-orang Melayu sekiranya mereka layak memiliki tanah rizab Melayu seperti terkandung dalam kanun tanah negeri Kedah.

Thursday, March 17, 2011

Asam garam politik kampung.

Saya telah bertukar tempat bertugas dari Perak ke Alor Setar, Kedah pada 1 Ogos 2008. Di Kedah, saya tumpang selama setahun di rumah ibu bapa saya sebelum saya berpindah ke tempat tinggal saya sekarang.

Pada Mei 2010, pemimpin kampung tersebut minta bantuan saya untuk menganjurkan Konsert Amal untuk mencari dana pembinaan bangunan Sekolah Bahasa Siam. Pada 30 – 31 Mei 2010, konsert Amal berjaya dianjurkan. Pihak kami berjaya memperolehi dana lebih daripada RM12 ribu. Jumlah ini tidak termasuk pendapatan Lucky Draw dan jual barangan yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Sekolah Bahasa Siam.

Pada Jun 2010, Komuniti BESTARI masyarakat Siam telah ditubuhkan di bawah Jabatan Penerangan Malaysia. Projek pertama Komuniti BESTARI ialah penganjuran Pesta Loy Krathong 2010. Saya telah memanggil semua ketua-ketua kampung di seluruh daerah untuk berbincang selaku penyelaras Komuniti BESTARI tersebut.

Akhirnya keputusan mesyuarat memutuskan salah satu kampung dipilih untuk menganjurkan pesta ini dengan peruntukan Jabatan Penerangan Negeri Kedah sebanyak RM9 ribu. Kebetulan pula saya tinggal di kampung tersebut. Oleh itu, saya tidak boleh elak daripada tidak melibatkan diri. Tambahan pula, pemimpin di kampung tersebut mengharapkan saya membantu beliau untuk menjayakan pesta ini. Pihak majikan juga mengarahkan saya memantau penganjuran pesta ini agar menepati kehendak dan matlamat jabatan.

Akhirnya Pesta Loy Krathong 2010 berjaya diadakan pada 21 November 2010. Pihak jawatankuasa Sekolah Bahasa Siam memperoleh keuntungan lebih daripada RM5 ribu hasil jualan Krathong. Pihak Komuniti BESTARI pula mempunyai lebihan perbelanjaan sebanyak RM4 ribu. Saya rasa penganjuran pesta ini sangat adil kerana semua pihak masing-masing mendapat manafaat.

Tetapi malangnya, masih ada segelintir individu tidak berpuas hati dengan penganjuran pesta ini. Mereka cuba sedaya upaya menggagalkan program ini. Dengan kecekalan yang ada, pihak kami berjaya menganjurkannya. Sehinggalah tabung Sekolah Bahasa Siam semakin bertambah.

Ekoran daripada itulah, rumah saya sentiasa menjadi sasaran. Pada mulanya mereka membaling mercun bola sekitar jam 2 hingga 3 pagi. Sehingga anak-anak saya terkejut daripada tidur. Saya tak hiraukan perbuatan mereka. Saya anggap ia tidak menggugatkan keselamatan kami sekeluarga.

Sekitar bulan Januari, 2011, ada pihak telah membuang bangkai anjing mati di belakang rumah saya. Keadaan busuk tak terhingga. Nasib baik keluarga saya sudah pindah balik ke baling. Hanya saya dan anak sulung sahaja tinggal di rumah tersebut. Setiap pagi saya hantar anak ke sekolah dan saya ke tempat kerja. Saya jarang berada di rumah maka masalah busuk tidak menjejaskan kami.

Mereka juga menghasut orang-orang kampung seolah-olah saya ingin menjadi pemimpin di kampung mereka. Pantang ada majlis keramaian, mereka akan ambil peluang ini untuk menghasut orang-orang kampung. Tujuan mereka adalah ingin menghalau saya keluar dari kampung mereka.

Kemuncak krisis ini, pada 10 Mac 2011 ada pihak telah melempar bungkusan cat merah ke kereta dan rumah saya. Saya sedari kejadian ini semasa saya hendak ke tempat kerja pada jam 7.00 pagi lalu saya membuat laporan polis.

Pada 16 Mac 2011 lebih kurang jam 8.10 malam, saya sekeluarga sedang bersembang dengan jiran di hadapan rumah tiba-tiba ada pihak melastik dengan guli ke arah kami bertalu-talu dari dalam gelap. Sekali lagi saya membuat laporan polis.

Inilah asam garam politik kampung yang berlaku dalam masyarakat Siam. Saya tulis artikel ini berkaitan diri saya bertujuan untuk menjelaskan keadaan sebenar sebelum saya tidak berpeluang menjelaskannya. Saya tidak tuju kepada mana-mana pihak dan tidak mengaibkan mana-mana individu. Maaf dari saya jika anda tersinggung.

Sunday, March 13, 2011

Painted warning signs..

On March 10, 2011, the house and my car has thrown red paint. I realized when I want to work at 7.00 am.

I think such actions should not be quite seem like the actions of gangsters. If you have any problems we can come to talk.

To my knowledge, this problem exists since my hosts Charity Concert, Pong Lang Sa Oon to find the school construction fund, and then hosts the Loy Krathong festival on 21 November 2010.

There are those who are not satisfied as if I want to lead the village people while I was coming from Kg. Padang Pusing.

I believe this incident is an act of bad boys are incited by certain parties with the aim for me out of their villages.

I hope the authorities to take immediate action on reports that I have to. Gangsterism practice to not spread among the youth of Siam.

Wednesday, March 2, 2011

Barisan Kepimpinan baru PSM.

1. Presiden: Siri Bin Neng Buah, Pengarah Bahagian Warisan Tak Ketara dari caw. Terengganu

2. Timbalan Presiden : Chalar a/l Indin Prom, Guru dari caw Pdg Terap

3. Setiausaha Agung: Osot a/l Prajun, Pramugara Singapura dari caw. Tasek

4. Penolong Setiausaha Agung: Cik Vilai Phromsuwan, kerani dari Caw. Penang

5. Bendahari Agung: Pramoot a/l Puan, Public Bank dari caw Perlis

6. AJK PUSAT:

i. Visal a/l Ai Reang, Pegawai Bomba dari caw Tasek

ii. Chalem Intachat, Peniaga dari caw. Kubang Pasu

iii. Ngiam a/p Eh Kuan, Peniaga dari caw. Kelantan

iv. Osot a/l Prajun – Tasek (dilantik sebagai SUA)

v. Hock Key a/l Din Tek, Pengerusi JKKKP dari caw. Kg. Cina, Pendang

vi. Nam a/l Din Tong, Pengerusi JKKKP dari Caw. Dangpleng

vii. Vinai a/l Pet Kiaw, Guru dari caw. Sik

viii. Chalom a/l Endin Chian, Setiausaha JKKKP Pdg Jelutong dari caw. Perlis

ix. Enep – Guru Sekolah Bahasa Siam Wat Titi Akar dari caw. Pendang


Enam orang lagi AJK Pusat dilantik oleh Presiden PSM termasuk seorang menggantikan tempat En. Osot Prajun yang dilantik sebagai Setiausaha Agung. Harap semua cawangan ada wakil dalam barisan Jawatankuasa. Saya juga cadangkan supaya Pengerusi PSK dan YB Senator dipertimbangkan untuk dilantik sebagai AJK Pusat oleh Presiden PSM.

Tahniah diucapkan kepada semua yang dipilih dan dilantik bagi memikul tanggungjawab membangunkan masyarakat Siam di Malaysia.

Tuesday, March 1, 2011

Majlis Makan Malam Bersama TPM.

Pada 24.2.2011, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam bersama masyarakat Siam Malaysia di Hotel Sentosa, Alor Setar, Kedah sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan PSM Kali ke 10.

Lebih kurang 1,000 orang hadir ke majlis tersebut. YAB Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Orang-orang Siam Malaysia (YOSM) untuk tabung pendidikan. Beliau juga telah menyampaikan cek berjumlah RM50,000 serta merta sebagai pendahuluan.

Saya tidak dapat hadir kerana tiada jemputan. YB Senator Boon Som Inong juga tidak mendapat jemputan tetapi beliau hadir bagi menghormati kunjungan TPM dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat Siam. Walaupun beliau tahu bahawa beliau tidak akan dilayan sebagai seorang Senator bagi mewakili masyarakat Siam di Parlimen oleh pihak penganjur. Nama beliau langsung tidak disebut dalam ucapan. Lebih-lebih lagi saya, seorang yang amat kerdil berbanding Senator.

Bila saya mendapat khabar begitu, saya rasa tawar hati untuk menghadiri Mesyuarat Perwakilan Tahunan pada keesokan hari. Saya merupakan perwakilan daripada Baling dan saya memangku jawatan Setiausaha Cawangan setelah Cik Kancana selaku Setiausaha Cawangan meninggal dunia baru-baru ini.

Saya amat berpuashati apabila mendengar khabar berita mengenai perubahan dalam barisan kepimpinan Persatuan. Inilah masanya untuk kita bersatu kembali dan mencorak langkah ke arah kemajuan bersama. Agenda peribadi diketepikan dan agenda bersama harus dipertingkatakan demi agama dan bangsa. Tapi sayangnya, YOSM masih berada dalam cengkaman pemimpin terdahulu. Maka tidak banyak Persatuan dapat membantu masyarakat tanpa sumber kewangan.

Akhir sekali, saya masih mengharapkan Presiden baru dapat mencari idea untuk mengatasi segala kesulitan yang wujud ke arah kejayaan untuk membangunkan masyarakat Siam Malaysia.

Sunday, February 27, 2011

Senator Siam dari pandangan Mummy Rokiah

Friday, February 25, 2011

Senator pun nak projek?

Kaum Siam tidak dipinggir, kata Tan Seri Muhyiddin Yassin walaupun jumlah mereka dalam Negara ini hanya seramai 60,000 orang.Beliau berucap semasa majlis perasmian Mesyauarat Perwakilan Tahunan Ke 10 Persatuan Siam Malaysia di Alor Setar semalam. Dalam pada ini beliau juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Orang Siam Malaysia.

Mungkin MR ingin menambah, sebagai bukti pengiktirafan ini Kerajaan juga turut melantik seorang Senator bagi mewakili masyarakat Siam.Tetapi maklumat yang MR dapat semasa bersama Tan Seri semalam, Senator ini pun sibuk juga mencari projek-projek sendiri kerana tempoh terlalu singkat 2 tahun sahaja. Jadi kenalah kampoi selagi jawatan masih panas.



Petikan di atas adalah pandangan daripada Mummy Rokiah blogger terkenal di sebelah utara terhadap perlantikan YB Senator Boon Som Inong mewakili masyarakat Siam Malaysia di Parlimen.

Friday, February 11, 2011

Kancana dan P'Kee dalam kenangan

Cik Kanchana Tan Kran, Setiausaha PSM cawangan Baling telah meninggal dunia pagi tadi di Hospital Selayang kerana masalah imuniti dalam badan. Beliau seorang yang baik dan aktif berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau lahir pada 21.3.1960 dan meninggal dunia pada 11.2.2011 jam 4.30 pagi di Hospital Selayang, Kuala Lumpur. Mayat beliau akan disempurnakan di Wat Phrasrimahapho, Kg. Simpang Empat, Baling, Kedah. pembakaran mayatnya akan dilakukan pada 14.2.2011 jam 1.30 ptg di Baling.

Saya sekeluarga mendoakan agar Cik Kancana pai su sukkhatik.

Pada 11.3.2011, P'Kee (baju hitam) isteri kepada P'Nop, Penasihat Persatuan Siam Kedah telah meninggal dunia kerana penyakit asma. Mayat beliau disempurnakan pada 15.3.2011, genap sebulan kematian kawan karibnya iaitu Cik Kancana. (edit pd 17 Mac)

Tuesday, January 25, 2011

Pening kepala dengan karenah masyarakat.

Dah lama saya tak tulis dalam blog ini. Hari ini teringin nak tulis. Saya ingin tulis tentang karenah masyarakat yang saya alami. Bila kita hidup dalam masyarakat kita pasti akan menghadapinya. Apa-apa kebaikan yang kita curahkan keburukanlah yang mereka nampak sekiranya masyarakat dah mula benci kepada kita. Kebaikan kita diketepikan utk diumumkan semasa kita mati kelak.

Melalui persatuan, rasanya semua masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat telah kita kemukakan kepada pihak atasan samada pihak kerajaan negeri dan juga pihak kerajaan persekutuan. Tapi masyarakat masih belum puashati kerana kesannya masih belum terasa. Pemimpin pula yang dipersalahkan.

Ada yang mengambil jalan secara bersendirian meluahkan permasalahan mereka kepada umum melalui pelbagai media massa dan media elektronik. Seolah-olah pihak persatuan tidak menjalankan tanggungjawab dan mereka dilihat sebagai wakil masyarakat yang pro-aktif dan peka kepada perkembangan semasa.

Apabila semuanya terlondeh dan mendapat perhatian pelbagai pihak maka pihak berkenaan tujukan persoalan ini kepada pemimpin dalam persatuan yang mewakili masyarakat tersebut. Suka atau tidak maka pihak persatuan harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberi maklumat yang mereka perlukan.

Bila pihak tertentu yang tidak puashati maka pemimpinlah menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan tempat maki hamun. Terima sajalah apa boleh buat, kita dah jadi pemimpin kena terima kesan sebagai seorang pemimpin. Pemimpin yang betul-betul makan duit atau songlap duit lagi bagus. Bila orang kampung maki pun mereka dah dapat habuan. Kita yang bekerja sukarela ditambah pula duit poket sendiri kena keluar. Akhirnya maki hamunlah yang dapat, tambahan pula dengan dakwaan makan duit masyarakat. Inilah yang kurang enak didengari.

Sehingga hal-hal peribadi kita dijual di merata-rata tempat. Maruah kita dipijak tenggelam ke dalam tanah, kalau boleh. Tiada kebaikan langsung dalam diri seorang pemimpin. Pemimpin beli hartanah dituduh menggunakan duit masyarakat. Selaku pemimpin yang mempunyai kerjaya, tidak mampukah dia membeli hartanah. Mereka ingat semua pemimpin tak ada duit. Mereka anggap semua duit yang ada dalam poket pemimpin adalah duit masyarakat.

Pening sungguh dengan karenah masyarakat Siam. Ada seorang member pernah tegur saya.. jangan terlampau tumpu kepada persatuan. Dalam persatuan hanya kesalahan dan penghinaan yang kita dapat walaupun kita banyak berkorban untuk mereka. Masyarakat tak akan nampak. Lebih baik kita tumpu kepada diri sendiri daripada aktif dalam persatuan.

Pada pandangan saya, selagi kita hidup kita tak boleh lari daripada masalah. Selagi kita menjadi pemimpin, kita tak boleh lari daripada menjadi fokus kepada masyarakat. Oleh itu, perjuangan harus diteruskan walaupun pening dengan karenah masyarakat.