Masyarakat Siam dikatakan telah diiktiraf sebagai golongan bumiputera, mempunyai taraf yang sama dengan masyarakat Portugis di Melaka dan juga masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak. Bumiputera ditakrifkan sebagai kumpulan manusia atau etnik yang wujud sebelum wujudnya sesebuah wilayah. Sejarah Melayu (TM 1612) karya Tun Sri Lanang menyebut bahawa negeri Genggayu (Khlang Kleo ) dibina oleh orang Siam yang terletak di hulu Sungai Johor. Pemerintahnya, Raja Chulan dianggap sebagai raja Besar segala raja di sebelah Timur ini. Dikatakan kesemua jajahan tertakluk pada baginda. Kerajaan Siam Gangga Negara dan Klangkeo telah ditakluki oleh Raja Benua Hindi dan kerajaan di Pahang telah ditewaskan oleh Melaka dan rajanya. Maharaja Dewa Sura dijadikan tawanan. Walaupun gagal memberikan tarikh sebagai satu fakta, Tun Sri Lanang menegaskan bahawa Genggayu ialah negeri Siam asli dan kerajaan ini masih wujud semasa beliau menyiapkan buku tersebut. ( Siri Neng Buah,1998; 3)
Buku kod Undang-undang Monthrenraban 1360 menyebut satu negeri kota sebagai sebuah negeri jajahan takluk Siam dikenali dengan nama Wurawari terletak di Johor ( Siri Neng Buah; 1998: 3) . Ini adalah bukti kukuh yang mengatakan bahawa orang Siam telah lama berada di Semenanjung Tanah Melayu, menjalani kehidupan berkerajaan secara aman dan berperang dengan pihak lain dalam usaha meluaskan pengaruh. Malah sebelum pembukaan Melaka pada tahun 1400, terdapat sebuah negeri di selatan tanah air yang dinamakan Temasik dan pemerintahnya adalah seorang wakil dari kerajaan Siam yang dikenali sebagai Temagi .
Selain itu, bukti sejarah tentang kewujudan orang Siam di sini juga teah Ibrahim Hassan (2002) dalam bukunya yang menyatakan :
“Sungguhpun semenanjung ini telah dinamakan Tanah Melayu tetapi bukanlah orang-orang Melayu itu bangsal yang awal mendudukinya. Kerana orang-orang Melayu itu bangsa yang akhir sekali datang menduduki dan mendiami di dalamnya setelah didiami oleh beberapa yang lain lebih dahulu. Adapun bangsa yang lebih dahulu sekali mendiami di dalam Semenanjung Tanah Melayu, mengikut kenyataan dalam kitab-kita sejarah ialah orang-orang bangsa liar. Kemudian daripada itu diduduki oleh orang-orang Hindu yang datang dari negeri India . Setelah itu dikuasai pula oleh orang-orang Siam asli yang datang dari tanah Siam dan akhirnya baharulah kedatangan orang Melayu”. (Ibrahim Haji Syukri, 2002: 6)
Kerajaan Siam zaman Rattanakosin meluaskan pengaruhnya ke atas negeri-negeri Melayu di Utara semenanjung tanah air seperti di Patani, Kelantan, Perlis dan juga Terengganu. Malah negeri-negeri utara Semenanjung Tanah Melayu dikehendaki menghantar bunga emas setiap dua atau tiga tahun sekalI ke Bangkok sebagai tanda penghormatan dan kesetiaan kepada raja Siam . Bahkan kuasa Siam begitu jelas. Ini kerana perlantikan seseorang raja di negeri-negeri tersebut (kecuali Terengganu) harus disahkan oleh Maharaja Siam. Surat pengesahan dengan gelaran-gelaran tertentu bersama alat-alat kebesaran lain akan diberikan oleh Bangkok. Contohnya, setiap raja/sultan di Kedah bergelar Phya Ritthisongkrampakdi Sri Sultan Kedah Ratnananintarsurintha Wiwongsa, Phya Saiburi dan raja Perlis pula Phya Visedsongkram Ramwilismara Phya Perlis. Sultan Kelantan sebagai Phya Phipidphakdi Sri Sultan Phya Kalantan ( Siri Neng Buah, 1998: 5).
Keraguan masyarakat Siam Malaysia terhadap isu bumiputera masih menjadi topik hangat sehingga kini. Akibat masalah ini, masyarakat Siam seringkali menghadapi masalah terutamanya sekali ketika ingin melabur dalam Amanah Saham Bumiputera, tidak boleh membeli tanah milik orang Melayu, Sesetengah pelajar Siam yang mahu memohon biasiswa Mara juga tidak berjaya kerana mereka dikatakan bukan golongan bumiputera. Di samping itu, masyarakat Siam juga tidak dapat membeli rumah mengikut harga Bumiputera. Sesetengah masyarakat Siam juga tidak boleh menjadi pegawai kerajaan atas alasan mereka bukan Bumiputera.
Setahu beliau (Siri Neng Buah), bumiputera adalah penduduk asal yang sudah mendiami sesuatu wilayah sebelum terbentuknya sebuah negara bangsa yang berdaulat. Kesilapan fakta sejarah telah menyebabkan hanya orang Melayu sahaja yang dianggap sebagai bumiputera di Semenanjung Tanah Melayu. Malahan semenjak kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, satu istilah baru dicipta untuk mengelirukan orang ramai iaitu peribumi. Peribumi dikatakan hanya merujuk kepada golongan penduduk asal yang berasal dari Sabah dan Sarawak saja yang dijamin hak dan keistimewaan mereka dalam perlembagaan persekutuan.
Isu status bumiputera Siam merupakan agenda perjuangan utama masyarakat Siam Malaysia sejak sekian lama. Sejak belakangan ini, golongan elit Siam yang berpendidikan tinggi mula menuntut agar pihak kerajaan mengiktiraf mereka sebagai golongan bumiputera agar mereka dapat menikmati hak seperti golongan bumiputera yang lain. Masyarakat Siam di Malaysia masih lagi mundur jika dibandingkan dengan masyarakat bumiputera yang lain. Masih belum ada ahli parlimen, jutawan mahupun menteri kabinet dalam kerajaan Malaysia berbanding dengan masyarakat bumiputera yang lain seperti masyarakat Iban dan Kadazan yang mewakili kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak. Selain itu, jumlah masyarakat Siam dalam sektor kerajaan masih kurang jika dibandingkan dengan masyarakat lain.
No comments:
Post a Comment