Thursday, September 8, 2011

Kemerdekaan memberi kesejahteraan kepada masyarakat Siam Malaysia.

En. Siri Neng Buah berpendapat 'Merdeka bukan seperti burung dilepaskan dari sangkar, tetapi seperti seorang hamba dimerdekakan oleh tuannya, yang bererti hamba itu tidak lagi menjadi abdi, tidak diperlakukan sesuka hati oleh tuannya. Dia mempunyai hak untuk hidup,’ ujar beliau "Kita tidak ada negara lain, inilah negara kita ”. Oleh itu, setiap masyarakat Siam di negara ini perlu menjaga dan jangan punahkannya, dan jangan rosakkan terutama perpaduan antara kaum dan agama. Katanya, kerana kemerdekaanlah nasib masyarakat Siam di Malaysia telah banyak berubah malah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan masyarakat minoriti lain seperti masyarakat Karen dan masyarakat Moro Filipina. Sehingga kini, kedua-dua masyarakat ini masih dinafikan hak kewarganegaraan mereka meskipun Myanmar dan Filipina mencapai kemerdekaan lebih awal daripada Malaysia. Tetapi, masyarakat Siam di Malaysia telah diberikan kewarganegaraan sebaik saja dilahirkan di sini. Apa yang dilihat oleh beliau ialah masyarakat Siam pada hari ini telah membangunkan diri mereka dalam berbagai aspek. Misalnya dalam bidang pekerjaan.

Jika dulu, graduan lulusan universiti sekadar menjadi guru dan pegawai kerajaan berpangkat rendah, namun anak-anak muda Siam kini sudah menjadi doktor, jurutera, dan sebagainya. Apa yang membanggakan masyarakat Siam adalah apabila melihat mereka mula membentuk dan menganggotai persatuan politik misalnya Persatuan Belia Siam Malaysia dan Persatuan Siam Malaysia untuk menyuarakan kebajikan dan menuntut pihak kerajaan supaya memberikan taraf bumiputera sepenuhnya untuk masa depan masyarakat Siam Malaysia.

Dari dulu, masyarakat Siam tinggal di kawasan pedalaman dan kampung, hanya bergiat diri dalam bidang pertanian tetapi pada masa kini, mereka mula melibatkan diri dalam bidang yang lebih mencabar dan kompleks, bukan sahaja dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya tetapi dalam arena politik. Misalnya, perlantikan Senator Datuk Charen Intachat sebagai senator masyarakat Siam yang telah merintis ke arah kemajuan masyarakat Siam dalam bidang sosial dan ekonomi. Dalam bidang pendidikan, sudah ada masyarakat Siam yang menjadi profesor. Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr Proom Promwichit merupakan orang Siam pertama dilantik menjadi profesor. Anak kelahiran negeri Perlis Indera Kayangan ini kini merupakan seorang profesor dalam bidang kimia di UKM.

Meskipun lahir 4 tahun sebelum kemerdekaan beliau amat menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara sepanjang 50 tahun ini. Kalau tidak kerana kemerdekaan, bangsa Siam di Malaysia sudah tentu tidak dapat mendapat warganegara Malaysia. Mungkin status kewarganegaraan mereka masih diragui. Tetapi, selepas kemerdekaan, pihak kerajaan Tanah Melayu telah melonggarkan syarat kewarganegaraan untuk mewujudkan keharmonian dan persefahaman dalam kalangan penduduk di Tanah Melayu ketika itu. Generasi Siam dahulu tidak memilih untuk menjadi warganegara Thailand kerana mereka mendakwa, mereka sudah lama menetap di sini. Malah, jika ditinjau dari sudut sejarah, negeri Kedah dalam bahasa Siam dikenali sebagai Saiburi. Beliau berpendapat sekiranya Raja Chulalongkorn tidak menyerahkan negeri-negeri Melayu Utara kepada British, Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu menjadi sebahagian daripada Thailand pada hari ini.

Dalam usaha untuk membantu masyarakat Siam Malaysia, En. Siri Neng Buah ingin mewujudkan pusat ilmu dan pusat memberi maklumat serta pertolongan kepada masyarakat Siam dalam sumber kewangan dan ilmu. Untuk menambahkan ilmu pengetahuan mengenai masyarakat Siam Malaysia, beliau akan mengumpul semua penulisan dan menerbit buku mengenai kebudayaan dan asal-usul masyarakat Siam berdasarkan penyelidikan dan fakta sejarah daripada sumber tempatan dan Thailand.

Selain itu, pusat ini juga sebagai sumber keagamaan untuk membantu kejahilan anak-anak muda tentang keagamaan sendiri yang sudah leka dengan duniawi daripada pathibat dhamma ( falsafah Buddha) yang sebenarnya. Setelah adanya pusat ini, sudah tentu beliau akan dapat membuat roadshow atau kempen kepada semua masyarakat Siam seluruh Malaysia dan objektif yang jelas serta sumber kewangan yang boleh diperolehi.

Selepas bersara, kemungkinan beliau berhasrat untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Paling penting, kemajuan masyarakat Siam dan pendidikan anak-anak Siam yang bakal memajukan bangsa Siam pada masa akan datang. Sekiranya terpilih untuk menjadi pemimpin tertinggi masyarakat Siam di Malaysia, beliau akan memberi peluang semua anak-anak Siam yang layak menerima duit Yayasan Orang-orang Siam Malaysia tanpa mengira pangkat, nama atau keturunan. Dalam bidang pembangunan masyarakat Siam Malaysia, beliau akan berusaha mendapat projek atau pembangunan yang berguna kepada masyarakat tanpa mengira tempat Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu atau mana-mana.

Selain itu, beliau juga bercadang untuk menubuhkan yayasan untuk anak-anak Siam dan tabung RuamThai yang bukan hanya meminta daripada institusi keagamaan tetapi sumber tersebut perlu dicari melalui projek yang membina kepada masyarakat Siam. Antaranya, idea menyewa bangunan atau rumah flat untuk anak-anak Siam yang belajar di bandar utama, bagi memudahkan mereka mendiami tanpa menyewa rumah seperti berlaku sekarang, di mana, anak-anak Siam terpaksa menyewa rumah dengan kadar yang tinggi. Bagi beliau tidak perlu peringkat antarabangsa, peringkat negeri atau kampung sudah mencukupi bagi membina taraf hidup masyarakat Siam. Beliau juga turut menggesa golongan yang berpendidikan dalam kalangan masyarakat Siam turut membantu masyarakat mereka sendiri untuk memajukan masyarakat Siam di Malaysia. Golongan inilah yang akan mencorakkan masa depan masyarakat Siam Malaysia.

No comments:

Post a Comment