Karikatur yang disifatkan sebagai suatu penghinaan itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat Siam, yang merupakan penduduk minoriti di Kedah.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada 4.30 petang semalam, mengecam tindakan itu.
Ahli Majlis Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Cha Run a/l Em berkata, pihaknya beranggapan karikatur tersebut boleh menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, dan tidak mahu perkara itu berulang pada masa hadapan.
“Saya mohon pihak akhbar berkenaan mohon maaf secara terbuka pada muka surat hadapan dengan segera. Permohonan maaf yang dibuat semalam, dilihat tidak memadai serta tidak menunjukkan keikhlasan dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Ketua PKR Cabang Jerlun, Nordin Ahmad mahu siasatan dibuat berdasarkan kepada Kanun Keseksaan Akta 574, Seksyen 298, yang jelas menyebut sebarang perkataan dengan sengaja yang berniat melukai agama seseorang adalah menjadi kesalahan.
“Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi cukup sekadar peringatan supaya jangan mempersendakan agama lain. Tindakan terbabit jelas melanggar sentimen kebebasan agama dalam perkembangan negara,” katanya.
Pengerusi JKKKP Kampung Kubang Chenok, Nuam a/l Din Tong, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang didiami penduduk pelbagai kaum.
“Setiap penganut agama lain harus peka dengan sensitiviti agama lain, sikap saling menghormati sangat penting untuk kekalkan keamanan. Saya harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Semua pihak perlu lebih peka dengan amalan dan budaya masyarakat lain’” katanya.
Chit Choi, 45, turut kesal dengan penyiaran karikatur itu yang boleh menjejaskan semangat muhibah sedia ada.
“Bukan sahaja mempersenda patung Buddha, sebaliknya musibah yang berlaku di negara jiran dijadikan bahan gurauan. Perkara ini memang tidak wajar terutamanya negara kita berjiran dengan Thailand. Dibimbangi boleh jejas hubungan dua hala antara negara”’ katanya.
Sumber: Sinar Harian pada 13.11.2011
Orang siam tidak seharusnya berfikiran sempit dan terikut-ikut dengan cara agama lain.
ReplyDelete