Thursday, January 19, 2012

Kekalkan kerajaan PAS Kedah atau tukar selepas PRU13.

Baru-baru ini aku telah ditanya oleh salah seorang pemimpin UMNO negeri tentang pendirian masyarakat Siam terhadap kerajaan PAS negeri Kedah. Biasalah orang politik, bila dekat PRU mereka mula nak berjumpa dan tanya khabar para pengundi di peringkat bawahan. Mereka sanggup datang berjumpa walaupun aku bukannya orang-orang besar dan berpangkat.

Aku pun layanlah kehadiran mereka dengan baik semasa kami bertemu. Walaupun tujuan kehadiran mereka untuk bertemu dengan aku tidak sukar diramalkan. Aku pun menjawablah persoalan yang dikemukakan dengan sopan dan terus terang tanpa berselindung seperti kebanyakkan ahli politik.

Aku menjawab, masyarakat Siam Kedah tidak kisah siapa memerintah kerajaan negeri Kedah asalkan tidak mengganggu gugat kehidupan masyarakat Siam di negeri ini. Aku tahu, pemimpin tersebut ingin mendengar agar aku menjawab masyarakat Siam inginkan kerajaan Kedah diambil alih oleh BN selepas PRU13 nanti. Aku dapat rasakan mungkin pemimpin tersebut agak sedikit kecewa dengan jawapan aku itu.

Itulah kebenarannya dari segi pengamatan aku dalam masyarakat Siam yang merupakan bangsa aku sendiri. Aku boleh cakap ikut kehendak pemimpin tersebut tapi apa gunanya. Lebih baik aku berterus terang agar mereka juga dapat tahu apa perasaan masyarakat Siam terhadap UMNO sejak lebih 50 tahun mereka memerintah.

Beliau tanya lagi, kenapa aku berpandangan begitu. Aku terus berbicara mengatakan sebelum ini masyarakat Siam cukup setia kepada UMNO. Orang Siam tidak suka kepada PAS kerana parti tersebut merupakan parti berlandaskan ajaran Islam sedangkan orang Siam adalah beragama Buddha. Suka atau tidak suka, orang Siam tetap mengundi UMNO. Kalau mereka tak mahu mengundi UMNO mereka tak akan mengundi PAS cuma tak mau keluar mengundi sahaja. Itulah pendirian orang Siam sebelum ini terhadap politik.

Orang Siam tidak sokong PAS juga kerana khuatir tidak boleh makan babi, minum beer dan tidak boleh anjur program di wat-wat yang bercanggah dengan ajaran Islam. Setelah PAS berjaya memerintah kerajaan negeri Kedah selepas PRU12, maka kekhuatiran yang dirasai oleh masyarakat Siam meleset sama sekali.

Kerajaan PAS Kedah tidak menaruh dendam kepada masyarakat Siam sedangkan mereka juga sedar bahawa kemenangan PAS di Kedah langsung tidak mendapat sokongan daripada pengundi Siam dalam PRU12. Malah kerajaan PAS giat aktif mendekati masyarakat Siam sehingga berjaya melantik Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) di setiap perkampungan Siam. Kehidupan masyarakat Siam juga tidak diganggu gugat oleh kerajaan PAS Kedah malah mereka membantu masyarakat Siam dalam penganjuran beberapa aktiviti kebudayaan, keagamaan dan sukan yang dianjurkan di wat-wat Siam seluruh Kedah.

Itulah aku katakan peluang BN dalam PRU13 ini 50 - 50. Hanya ketelusan dan kegigihan pemimpin UMNO turun padang sahaja mungkin dapat mengambil hati pengundi untuk merampas semula kerajaan negeri Kedah dalam PRU13 nanti. Aku merupakan pengundi atas pagar, pihak mana yang membantu masyarakat Siam selama ini pihak itulah yang aku sokong. Kesetiaan membuta tuli tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada masyarakat Siam yang minoriti ini.

1 comment:

  1. Saya setuju bahawa kesetiaan membuta tuli hanya merugikan orang Siam.

    ReplyDelete