Monday, July 26, 2010

Ee Re Wan (Barn Maison) tenat kena simbah asid.

PENDANG - Seorang lelaki disyaki menyimbah asid ke badan seorang suri rumah kerana cemburu dengan tindakan wanita itu pulang ke rumahnya di Kg. Paya Mak Inson di sini bersama seorang lelaki lain semalam.

Ee Re Wan Abau, 42, cedera terkena simbahan asid ketika sedang berbual dengan anak perempuannya. Anak bongsunya, seorang lelaki, juga cedera di kaki, pergelangan tangan dan kening, akibat percikan asid itu.

Toi Lee Ah Kai, 29, saudara mereka yang tinggal kira-kira 50 meter daripada rumah mangsa, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari.Katanya, dia terkejut melihat anak bongsu Re Wan meluru masuk rumahnya, sambil menjerit dan menangis. "Lelaki yang pulang bersama ibunya itu berada dalam kereta ketika itu", katanya kepada Sinar Harian.

Ah Kai berkata, dia cuba merawat remaja yang cedera itu dengan melumurkan lumpur dan pisang ke tempat yang terkena asid.Menurutnya, kejadian itu berlaku hanya beberapa minit selepas dia melihat wanita berkenaan bersama seorang lelaki menaiki kereta Kancil dekat rumahnya."Wanita itu tutup muka. Saya sangka dia malu kepada saya kerana pulang bersama lelaki itu. Kira-kira lima minit kemudian anaknya pula berlari sambil menjerit dan menangis menuju ke rumah saya," katanya.

Katanya, dia difahamkan lelaki itu membawa mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Lembu, namun memandangkan keadaan mangsa teruk, pihak klinik menghubungi ambulans daripada Klinik Kesihatan Pendang dan membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Ah Kai berkata, suami wanita itu mengalami lumpuh sebelah badan sejak hampir lima tahun lalu. Dia boleh berjalan perlahan-lahan dan keperluan keluarga ditanggung wanita itu."Mangsa sudah hampir tiga tahun tidak tinggal bersama suami. Dia pulang dua kali setiap bulan untuk menjenguk anak-anak dan memberi wang belanja," katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke rumah mangsa mendapati rumah itu kosong dan suami mangsa, difahamkan telah dibawa abangnya ke tempat yang tidak diketahui. Pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis daerah Pendang sehingga kini belum menerima laporan mengenai perkara ini.

Sumber: Sinar Harian, 26 Julai 2010.

____________________________________________________________________

ALOR SETAR - Seorang jiran suri rumah, Ee Re Wan Abau, yang cedera disimbah asid menceritakan bagaimana dia melihat mangsa berumur 42 tahun itu meluru keluar rumah sambil menangis dan meminta tolong selepas kejadian itu di Pendang, semalam.

Menurut jiran yang mahu dikenali sebagai Tang, 26, dia lihat badan wanita itu kemerah-merahan akibat kesan simbahan asid."Selepas itu, kawan Re Wan membawanya ke Klinik Kesihatan Pendang, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah".

"Saya tidak tahu apa yang berlaku di dalam rumah itu sehingga menyebabkan dia jadi macam tu," katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Anak mangsa, Ai Boon Sin Bun Lop, 21, dan Anuth Sorn, 14, berkata mereka pun tidak tahu bagaimana kecederaan itu berlaku.Menurut Anuth Sorn, ketika kejadian, dia dan abangnya berada di rumah datuk mereka, tidak jauh dari situ."Sebelum dibawa ke hospital, saya lihat kecederaan di muka, kaki, perut dan belakang emak saya," katanya.

Mangsa kini ditempatkan di unit kebakaran hospital tersebut dan sehingga laporan ini ditulis, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pihak keluarga mangsa.

Difahamkan, suami mangsa, Bun Lop a/l Lod, 50, lumpuh sebelah badan. Mangsa juga mempunyai anak perempuan, Wiranuth, 18.

Sumber: Sinar Harian, 26 Julai 2010

No comments:

Post a Comment