
Sejak Ogos 2008, saya berpindah balik ke kampung halaman. Saya telah dinaikkan pangkat dan bertukar dari Perak ke Kedah. Setelah lama merantau lebih kurang 20 tahun di negeri orang, baru sekarang saya dapat balik ke kampung sendiri.
Saya tumpang di rumah orang tua iaitu rumah di mana saya dilahirkan. Semasa berada di kampung, saya nekad tidak mahu terlibat dalam apa-apa program di kampung sendiri. Saya khuatir ada orang tidak puashati, takut saya merebut jawatan. Maklum la jawatan JKKKP dan MKK ada gaji walaupun tak perlu bekerja keras.
Semasa AGM UMNO cawangan Padang Pusing diadakan pada tahun lepas, saya hadir sebagai pemerhati. Hanya sekadar ingin mengambil tahu hal-hal dalam kampung sendiri. Ini pun ada orang tak senang duduk.

Pada 11 April 2009 lepas, Wat Thamkhiriwong telah mengadakan Pesta Songkran 2009 peringkat negeri Kedah. Pihak konsul Thailand di Pulau Pinang membiayai peruntukan sebanyak RM25,000.00 dengan persetujuan kerajaan negeri Kedah kerana khuatir akan di dakwa mencampuri hal ehwal dalam negara asing.
En. Ong Lim selaku Pengerusi MKK Kg. Padang Pusing telah dipertanggungjawabkan sebagai Projek Manager. Bagi mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat Siam Kg. Padang Pusing beliau telah melantik semua pihak tak kira fahaman politik dalam jawatankuasa penganjur. Beliau juga mengajak saya untuk membantu beliau.

Pada mulanya saya enggan masuk campur kerana beberapa sebab antaranya ialah program tersebut melibatkan kerajaan negeri Kedah yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sedangkan saya merupakan kakitangan kerajaan persekutuan. Kehadiran saya juga tidak disukai oleh puak baju kuning kerana kritikan saya terhadap puak "Alajji" yang mencemarkan agama Buddha melalui internet.
En. Ong Lim menasihat saya supaya jangan ambil kisah hal-hal begitu. Utamakan pembangunan kampung sendiri dahulu. Masyarakat kampung perlukan kita untuk membangunkan kampung halaman. Ini merupakan kampung kelahiran kita tanggungjawab kita bersama. Wat merupakan hak orang awam bukannya hak persendirian. Ketua-ketua dalam wat juga umur sebaya dengan kita sedangkan wat ini dibina sejak nenek moyang kita lagi.
Akhirnya saya mengalah dan bersetuju membantu. Saya dipertanggungjawabkan untuk mengurus persembahan kebudayaan dan juga Stage Manager. Terdapat 3 persembahan kebudayaan iaitu Menora, Tarian Tradisional Siam dan Paluan Gendang Panjang. Semua pakaian atau costium persembahan adalah milik PEKEMAS antaranya 10 set pakaian tradisional Siam, 12 set pakaian gendang panjang termasuk 1 set gendang panjang dan 5 set pakaian Menora termasuk 1 set alat musik Menora.

Semasa majlis perasmian Pesta Songkran diadakan, saya sentiasa berada di atas pentas selaku Stage manager. Saya percaya ada orang yang tak senang hati terhadap penglibatan saya dalam program tersebut. Saya akan terus memberi perkhidmatan kepada masyarakat kampung saya sendiri sekiranya perkhidmatan saya diperlukan.
Sebelum ini ada orang mengata, saya tidak diterima oleh orang-orang kampung saya sendiri. Ini merupakan satu pembohongan yang tidak berasas.
Untuk mendapat maklumat lengkap tentang Pesta Songkran, sila kunjungi website PEKEMAS. Maklumat di sini cuma luahan hati berdasarkan pengalaman saya sahaja.