PENDANG – “kami bimbang keselamatan ibu”, itulah luahan hati anak-anak dan suami kepada Kiang Din Nin, 53, dari kampung Wat Padang Peliang dekat sini, yang dikatakan tidak pulang ke rumah sejak 26 Oktober lalu.
Kiang Din Nin tidak pulang ke
rumah selepas keluar kira-kira jam 8 pagi untuk menjemput penduduk kampung
menghadiri majlis upacara sembahyang nenek moyang yang dijangka akan diadakan
pada 9 November nanti.
Suaminya, Prom Iban, 58, berkata,
dia terkejut apabila isterinya tidak pulang selepas keluar menaiki motosikal
seorang diri dengan memakai seluar bersama kemeja T berwarna ungu.
“Ketika dia (isteri) keluar, saya
berada di kebun dan anak bongsu memberitahu ibu tidak pulang lagi selepas
memberitahu ingin pergi menjemput tetamu sekitar kampung ini untuk menghadiri
majlis itu nanti.
“Saya hairan isteri tidak pulang
sudah beberapa hari memandangkan tidak berlaku apa-apa pergaduhan antara saya
atau anak namun sikap isteri berubah kerana dikatakan runcing memikirkan persediaan
majlis terbabit sehingga tidak dapat tidur beberapa hari sebelum dilaporkan
hilang”, katanya kepada Sinar Harian.
Prom berkata, dia dan
anak-anaknya bimbang keselamatan isterinya yang ada menghadapi masalah mental
namun penyakit itu tidak serius dan akan menyerang kadangkala sahaja.
Anaknya, Inai Prom, 29, berkata,
dia dan penduduk kampung berusaha mencari ibunya di merata kawasan termasuk
sekitar namun tidak berjaya.
Katanya, dia bimbang ibunya masih
tidak pulang kerana majlis yang akan diadakan itu semakin hampir tetapi
persiapan belum disediakan lagi.
Inai berkata, setiap hari mereka
sekeluarga termasuk saudara mara berusaha mencari ibu sehingga buntu dan turut
merujuk perkara ini kepada cara tradisional namun tidak berjaya.
Menurutnya, dia turut membuat
laporan di Balai Polis Sungai Tiang.
Justeru, orang ramai yang
mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 019-3073221, 013-3896593 atau
019-5080556
Sumber: Sinar Harian
30 Okt 2012