Tuesday, October 30, 2012

Ibu hilang selepas jemput tetamu upacara keagamaan




PENDANG – “kami bimbang keselamatan ibu”, itulah luahan hati anak-anak dan suami kepada Kiang Din Nin, 53, dari kampung Wat Padang Peliang dekat sini, yang dikatakan tidak pulang ke rumah sejak 26 Oktober lalu.

Kiang Din Nin tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 8 pagi untuk menjemput penduduk kampung menghadiri majlis upacara sembahyang nenek moyang yang dijangka akan diadakan pada 9 November nanti.

Suaminya, Prom Iban, 58, berkata, dia terkejut apabila isterinya tidak pulang selepas keluar menaiki motosikal seorang diri dengan memakai seluar bersama kemeja T berwarna ungu.

“Ketika dia (isteri) keluar, saya berada di kebun dan anak bongsu memberitahu ibu tidak pulang lagi selepas memberitahu ingin pergi menjemput tetamu sekitar kampung ini untuk menghadiri majlis itu nanti.

“Saya hairan isteri tidak pulang sudah beberapa hari memandangkan tidak berlaku apa-apa pergaduhan antara saya atau anak namun sikap isteri berubah kerana dikatakan runcing memikirkan persediaan majlis terbabit sehingga tidak dapat tidur beberapa hari sebelum dilaporkan hilang”, katanya kepada Sinar Harian.

Prom berkata, dia dan anak-anaknya bimbang keselamatan isterinya yang ada menghadapi masalah mental namun penyakit itu tidak serius dan akan menyerang kadangkala sahaja.

Anaknya, Inai Prom, 29, berkata, dia dan penduduk kampung berusaha mencari ibunya di merata kawasan termasuk sekitar namun tidak berjaya.

Katanya, dia bimbang ibunya masih tidak pulang kerana majlis yang akan diadakan itu semakin hampir tetapi persiapan belum disediakan lagi.

Inai berkata, setiap hari mereka sekeluarga termasuk saudara mara berusaha mencari ibu sehingga buntu dan turut merujuk perkara ini kepada cara tradisional namun tidak berjaya.

Menurutnya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Tiang.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi di talian 019-3073221, 013-3896593 atau 019-5080556

Sumber: Sinar Harian 30 Okt 2012

No comments:

Post a Comment