Wednesday, October 10, 2012

Bekas tentera rayu bantuan kos bedah tulang belakang


Wartawan Sinar Harian
5 Oktober 2012
Bekas tentera rayu bantuan kos bedah tulang belakang
Ishak Mat (kiri) melawat Som Chai yang terlantar sakit.

BALING - Seorang bekas tentera memerlukan sekurang-kurangnya RM12,000 untuk menampung kos pembedahan tulang belakangnya yang rosak sejak enam bulan lalu.

Som Chai Iprot, 46, dari Kampung Sirako Mukim Pulai hanya terlantar apabila tidak mampu melakukan sebarang pergerakan disebabkan masalah tulang belakangnya itu.

Menurutnya, doktor mengesahkan terdapat beberapa bahagian tulang belakangnya rosak dan dan perlu dirawat menggunakan kaedah pembedahan.

“Pembedahan itu melibatkan kos ribuan ringgit. Saya tidak mampu mencari wang sebanyak itu. Wang pencen saya hanya untuk keperluan harian dan kos ubatan,” katanya ketika menerima lawatan Penyelaras Dun Kupang, Ishak Mat.

Som Shai yang tidak mempunyai anak itu kini dibantu oleh abangnya, Soong Pong, 47, bagi  menguruskan kehidupannya.

Menurutnya, dia hanya bergantung kepada abangnya untuk menguruskan kehidupan termasuk membersihkan diri.

“Sekiranya saya ingin ke tandas, abang yang akan pimpin saya. Saya tidak selesa menggunakan lampin, jadi saya terpaksa kuatkan semangat dengan bantuan abang untuk uruskan hidup,” katanya.

Som Chai yang pernah bertugas di Kem Tentera Pengkalan Hulu bertugas selama 21 tahun dalam bidang ketenteraan sebelum berhadapan masalah itu.

“Saya tidak pernah terjatuh, masalah ini datang secara tiba-tiba. Pada awalnya, badan saya berasa lemah sehinggalah tidak mampu melakukan pergerakan berat,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak mendaftarkan namanya dalam persatuan bekas perajurit kerana tidak mendapat maklumat lengkap mengenai persatuan itu.

“Saya tidak tahu dengan siapa saya perlu jumpa. Saya tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai persatuan itu di sini,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank abangnya, Soong Pong Iprot  iaitu 102046003671 atau hubunginya ditalian 019-5666411.

No comments:

Post a Comment