Wednesday, May 26, 2010

Pelajar Siam Malaysia dipinggir..

BERJAYA DALAM DUKA... (Dari kiri) Syalit Keowmani Eh Sau, Phisnukh Uttraphan Pim, Elicesa Lalitta Ea Chuan, Maleewan Perashot, Sukeht Thavil dan Vicsofee Sukahut Som mendengar penerangan daripada Boon Som Inong (kanan) mengenai kegagalan mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam SPM di Wat Siam Telok Wan Jah, Alor Setar, baru-baru ini.

Dengarlah luahan Vicsofee: "Berdosakah saya sebagai Siam Malaysia?"

BEKAS almarhum Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman ialah seorang berketurunan Siam.

Masyarakat Siam di Malaysia dianggarkan kira-kira 60,000 orang. Kehidupan mereka tertumpu di beberapa negeri utara, iaitu negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand - tanah asal mereka.

Kira-kira 2,000 (bancian 2008) berada di Perak, 6,000 (2008) di Perlis, 30,000 (2007) berada di Kedah dan 13,000 (2008) berada di Kelantan. Menurut ensiklopedia Wikipedia, secara politiknya masyarakat Siam Malaysia dikenali dengan status bumiputera, iaitu status yang sama dengan Melayu, Kadazan-Dusun, Iban dan masyarakat Portugis Melaka.

Mereka juga adalah ahli UMNO dan boleh membuat simpanan dalam saham amanah, ASB dan ASN.

Menurut ensiklopedia itu lagi, kebanyakan masyarakat itu mengamalkan cara hidup Melayu. Ini dibuktikan dalam masyarakat Siam Kelantan. Tiada siapa yang boleh meneka Melayu atau Siam jika mereka bercakap Melayu.

Kitaran masyarakat mereka sedang berkembang, dari segi intelektual dan taraf hidup. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan yang amat menyokong kerajaan BN dan penyokong kuat UMNO. Mereka boleh menjadi penentu pada sesuatu pilihan raya dalam kawasan yang kosentrasi besar masyarakat itu.

Namun apa yang saya temui mengenai masyarakat ini baru-baru ini amat mengejutkan. Apakah mereka ini tercicir? Apakah mereka ini tidak dipedulikan? Apakah anak-anak mereka yang cerdik dan pandai disisihkan?

Persoalan ini bermain di fikiran saya. Boon Som a/l Inong, rakan saya yang juga bekas wartawan agensi berita asing dan bekas setiausaha akhbar dua Menteri Besar Kedah dan menteri Kabinet, seorang aktivis masyarakat Siam, membawa saya menyelami masyarakat beliau itu.

Sayu saya melihat wajah-wajah anak- anak Siam yang cerdik pandai ini tercicir. Mereka ini adalah aset dan modal insan yang berharga bagi masyarakat itu, khasnya dan negara amnya.

Kanak-kanak ini yang amat bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia, belajar dalam sistem pendidikan negara. Di mana mereka ini sekarang selepas peperiksaan SPM baru-baru ini? Di masa kanak-kanak sebaya mereka bergembira dapat menjejaki ke pusat pengajian tinggi atau ke pusat- pusat matrikulasi, ke mana kanak-kanak Siam ini berada?

Sila lihat senario ini. Ia berlaku dalam negara kita ini dan dalam masyakat kita ini.
1. Vicsofee Sukahut a/p Som 921216-02-5300, SPM 2009 ( 8A 1B), SMK Bandar Baru Darul Aman - tercicir.
2. Sukeht a/p Thavil 920831- 02-5412, SPM 2009 (10A), MRSM Kubang Pasu - tercicir.
3. Maneewan a/p Perashot 920212- 02-5712, SPM 2009 (9A1B), Sekolah Menengah Sains Mohd. Jiwa, Sungai Petani - tercicir.
4. Elicesa Lalitta a/p Ea Chuan 921005-03-5146, SPM2009 (6A2B3C) SMK Tumpat, Kelantan - tercicir.
5. Syalit Keowmani a/l Eh Sau 920210-02-5727, SPM2009 (7a, 2b) SM Sains Pokok Sena, Kedah - tercicir.

Turut tercicir dan gagal mendapat sebarang tempat ialah:
Phisnukh Uttraphan a/l Pim, 900904-03-5146 memperoleh keputusan 11A SPM 2007, antara pelajar paling cemerlang Maktab Sultan Ismail Kota Bharu.

Menurut bapa Phisnukh, Pim, 57, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Siam Kelantan, kegagalan itu telah menyebabkan anaknya hilang semangat untuk belajar. Beliau terpaksa pindahkan anaknya ke sekolah lain ke Tingkatan 6, kerana Phisnukh malu untuk menghadapi rakan sekolahnya.

Pim dari Kampung Terbak Kelantan berkata, pada pemerhatian beliau tiada seorang pun masyarakat Siam Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang Peperiksaan SPM 2009 berjaya ke pusat-pusat matrikulasi atau ke IPTA.

''Kami masyarakat keturunan Siam, yang rata-rata ahli UMNO dan layak melabur dalam ASB dan dianggap bumiputera memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan persepsi negatif tentang dasar meritrokrasi dan 1Malaysia.

''Ini kerana pelajar dan ibu bapa masyarakat Siam mengetahui bahawa rakan pelajar bumiputera setingkatan dengan mereka yang mendapat keputusan kurang daripada 5A mendapat pelbagai tawaran sama ada ke program matrikulasi, IPTA atau program Asasi Sains.

''Sebagai kaum yang memiliki taraf ekonomi dan taraf pendidikan yang masih rendah (rata-rata terdiri daripada petani dan penoreh getah) saya memohon pihak kerajaan mempertimbangkan atau memberi kelonggaran bagi pelajar keturunan Siam untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam institusi kerajaan.

Dengar suara Perashot a/l Pom, 54, pula. ''Saya amat kecewa kerana anak saya Maleewan mendapat kelulusan 9A gagal ke kursus matrikulasi dan IPTA.

''Saya tidak mampu lagi menghantar anak saya ke IPTS memandangkan pendapatan saya agak rendah dan menanggung seorang lagi kakaknya yang masih belajar di tahun kedua IPTS," kata juruteknik dari Air Hitam, Kedah ini.

Walaupun anaknya gagal. Perashot masih menaruh harapan. ''Pihak berwajib tolong semak sama ada mereka terlepas pandang. Harap masalah anak saya mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia untuk masa depan adik-adiknya kemudian.

''Anak saya belajar bersungguh- sungguh harap kerajaan tidak mensia-siakan harapannya dan cita-cita untuk menjadi seorang doktor," katanya.
Dengar pula suara Vicsofee Sukahut a/p Som, 18, dari Kampung Huma, Jalan Wang Tepus, Jitra, Kedah. Beliau mendapat 8A1B.

''Saya tidak tahu apa yang perlu saya sebutkan lagi, semuanya gagal, terserah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia mempertimbangkan permohonan saya.

''Bukan irihati dan berhasrat dengki kepada sesiapa tetapi rakan saya yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang daripada saya hampir semuanya mendapat tempat di matrikulasi dan IPTA.

''Kadang-kadang saya tertanya apakah dosa saya dilahirkan sebagai rakyat berketurunan Siam di Malaysia. Kami sentiasa mendokong dasar kerajaan, penyokong setia kerajaan BN tetapi dalam pendidikan kami dipinggirkan malah boleh dianggap dianaktirikan.

''Saya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan dan menggubalkan kembali dasar pengambilan masyarakat Siam di matrikulasi dan IPTA. Kecemerlangan sepatutnya dihadiahkan imbuhan bukannya kekecewaan," kata bekas pelajar SMK Bandar Baru Darul Aman, Jitra ini.

Saya tergamam mendengar kata- kata gadis manis Vicsofee ini.

Saya juga tiada daya untuk membantunya dan rakan-rakan senasibnya yang cemerlang itu. Kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan - Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan IPTA yang bersimpati untuk menyelamatkan potensi kanak-kanak itu.


Rencana ini ditulis oleh Zaini Hassan - http://bit.ly/cuit-zaini e-mail: zaini.hassan@utusan.com.my

Sumber: Utusan Malaysia, 26 Mei 2010.

Sunday, May 16, 2010

Konsert kebudayaan (AMAL) dari Thailand di Wat Padang Peliang.

Pihak Jawatankuasa Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah akan menganjurkan Konsert Kebudayaan (Amal) dari Thailand iaitu kumpulan Pong Lang sa Onn pada 30 - 31 Mei 2010. Harap datang beramai-ramai. Tujuannya untuk mencari modal untuk membina Sekolah Bahasa Thai Wat Padang Peliang.

Thursday, May 13, 2010

Majlis Penyerahan Kunci di Kg. Huma, Jitra.

Saya selaku Setiausaha Persatuan Siam Kedah (PSK) telah dijemput oleh YB Datuk Saad Bin Hj. Man, ADUN Jitra ke Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT di Kg. Huma, Jitra, Kedah pada 9 Mei 2010 jam 10.00 pagi. Turut serta dalam majlis tersebut ialah En. Camrat, Pengerusi JKKKP Kg. Huma merangkap AJK PSK.

En. Camrat adalah orang yang berusaha mendapatkan rumah PPRT ini untuk Nai Duk atau Lim Ah May yang hidup sebatang kara, tiada adik beradik dan tiada keluarga. Juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Saya bergambar kenangan bersama En. Camrat, Pengerusi JKKKP Kg. Huma, Jitra merangkap Ahli Jawatankuasa PSK.
YB Datuk Saad Bin Hj. Man, ADUN Jitra menyampaikan kunci rumah PPRT kepada Nai Duk.
Nai Duk menerima cenderahati daripada YB Datuk Saad Man.
Tiga orang pelajar Siam ditemani bapa masing2 berjumpa dengan YB Datuk Saad Man untuk berbincang berkaitan keputusan peperiksaan SPM amat bagus (semua A) tapi tidak mendapat tempat di IPTA.

En. Camrat, Pengerusi JKKKP Kg. Huma berbincang sesuatu tentang pembangunan Kg. Huma dengan YB Datuk Saad Man dan diperhatikan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu.

Tuesday, May 4, 2010

PSK tidak terlibat dalam demontrasi NGO-NGO membantah ADUN PAS menghina Sultan.


Sinar Harian (30 April 2010), Metro (1 Mei 2010) dan TV1 (2 Mei 2010) telah menyiarkan satu artikel/berita berkaitan demonstrasi oleh Persatuan Kerabat Diraja Kedah berkaitan soalan DUN Kubang Rotan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 26 April menyentuh tentang bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri Kedah. Mereka mendakwa mendapat sokongan beberapa NGO termasuk Persatuan Siam Kedah (PSK).

Selepas artikel tu disiarkan saya telah menerima beberapa panggilan daripada beberapa pemimpin-pemimpin masyarakat Siam. Mereka melahirkan perasaan tidak puashati PSK terlibat dalam demonstrasi tersebut. Saya akui ada seorang ahli PSK hadir dalam perhimpunan tersebut dan membuat kenyataan. Saya selaku Setiausaha PSK tidak tahu menahu tentang perkara ini. Pihak Jawatankuasa PSK tidak pernah membuat keputusan untuk menyertai perhimpunan tersebut. Ini adalah tindakan dan pandangan peribadi individu tersebut.

Secara peribadi saya juga tidak bersetuju jika ada mana-mana pemimpin politik menghina KDYMM Tuanku Sultan Kedah. Tetapi dalam perkara ini, PSK tidak terlibat dalam pergolakan politik yang berlaku antara PAS dan BN.

PSK adalah sebuah NGO yang mewakili masyarakat Siam seluruh negeri Kedah. Ahli-ahli PSK terdiri daripada ahli-ahli UMNO dan juga Kelab Penyokong PAS. PSK juga bertindak sebagai satu organisasi bagi menyatupadukan masyarakat Siam yang mempunyai fahaman politik yang berbeza. Oleh itu, PSK tidak harus menyebelahi mana-mana pihak dalam pergolakan politik di negeri ini. PSK tidak sesekali menyokong satu pihak dan di masa yang sama menyinggung perasaan pihak yang satu lagi. Walau bagaimana pun PSK boleh bekerjasama dengan semua pihak demi untuk pembangunan kita bersama.

Pihak kami juga perlu berurusan dengan pihak kerajaan negeri bagi menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam Kedah terutamanya berkaitan masalah tanah, masalah penganjuran program keagamaan dan kebudayaan. Pihak kami juga perlu bantuan daripada pihak kerajaan Persekutuan dalam pembangunan masyarakat Siam. Oleh itu, PSK perlu berkerjasama dengan semua pihak termasuk pihak kerajaan negeri dan juga pihak kerajaan Persekutuan.

Saya harap semua pihak tidak beranggapan salah terhadap pendirian PSK.

Dari,
Manit a/l See Nam
Setiausaha PSK

Thursday, April 29, 2010

Sejarah keunikan Kampung Kalai jadi tumpuan.


KAMPUNG KALAI – Setiap kampong pasti mempunyai sejarah dan kisahnya tersendiri, namun tidak ramai anak muda masa kini berminat mengkaji sejarah nenek moyang mereka.

Salah seorang anak jati kampong, Mani a/l Si Chan, 43 berkata, dia sendiri mengambil inisiatif mengkaji asal-usul kampong melalui pelbagai sumber; sama ada pembacaan serta bertanya kepada golongan veteran di sini.

Menurutnya, Kampung Kalai telah dibuka dan diterokai orang Siam dari Kampung Padang Peliang, Pendang dengan diketuai seorang Bhikkhu (Sami) Siam bernama Luang Por Jot pada tahun 1860.

“Sepanjang pengetahuan saya, tapak asal penempatan kampong Kalai ialah sekitar dua cabang anak sungai yang mengalir ke Sungai Muda, dan pada masa itu, sungai adalah laluan utama masyarakat berulang-alik dari satu tempat ke satu tempat.”

“Kampung Kalai mendapat nama sempena kejadian cerek hanyut ketika berlaku banjir pada awal penerokaannya. Maksud cerek dalam bahasa Siam ialah Ka dan hanyut pula ialah Lai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mani berkata, Wat Kampung Kalai juga menjadi tumpuan kerana di sini bersemadi jasad bekas Ketua Bhikkhu Negeri Kedah dan Malaysia yang bernama Phra Rajdhammacharn (Chaokun Bau) 1907 – 1995.

“Beliau adalah anak watan Kampung Kalai dan merupakan individu pertama menganjurkan Pesta Loy Krathong di Kedah sejak 1970an yang menjadi acara tahunan sehingga kini".

“Walaupun majority penduduk kampong ini terdiri daripada masyarakat Siam, namun kami tetap mempunyai hubungan persahabatan yang rapat dengan kaum lain, terutamanya Melayu dan Cina,” katanya.

Menurutnya, selain Pesta Loy Krathong, terdapat acara lain turut diadakan di wat, seperti Pesta Songkran, dan melalui pelbagai pesta yang diadakan secara tidak langsung mengukuhkan lagi hubungan masyarakat di sini.

“ Selain itu, inisiatif salah seorang penduduk mengadakan satu persembahan Menora Siam sebagai tontonan kepada generasi muda telah mengembalikan nostalgia keunikan kebudayaan asli masyarakat Siam".

“Semoga lebih ramai lagi anak tempatan berminat untuk mengetahui sejarah nenek moyang mereka, dalam masa yang sama mengekalkan kebudayaan tradisi supaya tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Sumber: Sinar harian, 29 April 2010.

Wednesday, April 7, 2010

Perjuangan NGO dan PARTI politik adalah berbeza.

Persatuan adalah salah satu pergerakan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan tertentu yang dipersetujui bersama semasa awal penubuhannya. NGO digerakkan berpandu kepada hala tuju yang ditetapkan bersama.

NGO bukannya alat untuk dijadikan modal bagi mendapat sesuatu daripada mana-mana pihak. NGO bukannya sebuah parti politik yang mempunyai puak-puaknya yang tersendiri. NGO adalah salah satu badan bebas yang bermotif untuk membangunkan dan mewakili sesuatu kumpulan manusia.

Oleh itu, para pemimpin mana-mana NGO tidak seharusnya mempertaruhkan NGO atau masyarakat yang diwakilinya untuk kepentingan diri sendiri. Kita harus dapat bezakan mana parti politik dan mana NGO. Kita kena pandai main peranan yang bersesuaian dengan penglibatan kita.

Kalau berucap dipentas parti politik, kita harus guna cara politik. Kalau berucap dalam pentas NGO, kita haruslah guna cara yang lebih berhemah. Cara yang tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

PSK adalah sebuah NGO dalam masyarakat Siam negeri Kedah. PSK menghormati dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah dan juga kerajaan Persekutuan. Mana2 pemimpin PSK yang membuat kenyataan yang bertentangan dengan prinsip PSK, itu adalah pandangan peribadi seseorang. Bukannya pandangan daripada PSK.

Kita dalam PSK membuat keputusan secara kolektif bukannya secara one man show. Hala tuju perjuangan PSK ialah mewakili masyarakat Siam negeri Kedah dalam pelbagai sektor pembangunan. Sebagai penghubung antara masyarakat Siam Kedah dengan pihak kerajaan.

"Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh"

Facebook PSK:

Monday, March 29, 2010

AGM Persatuan Siam Kedah berjaya diadakan.

Mesyuarat Agung Tahunan PSK bagi kali ke 2 Tahun 2009 berjaya diadakan di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26 Mac 2010 jam 2.00 petang. Kehadiran ahli agak berkurangan berbanding dengan AGM yang lalu tetapi cukup korum. Ini kerana terdapat beberapa faktor antaranya:

1. Faktor pertama, kesesuaian tarikh mesyuarat AGM

Tarikh tersebut bersamaan dengan beberapa majlis lain yang dianjurkan oleh masyarakat kita antaranya Majlis di kubur (Cheng Beng), majlis perkahwinan dan sebagainya. Tarikh mesyuarat agung tidak dapat dielakkan sebab berdasarkan perlembagaan ia terpaksa diadakan sebelum 30 Mac setiap tahun. Maka pihak kami tidak dapat menunda lagi tarikh tersebut setelah sekali tunda iaitu dari 19 Mac kepada 26 Mac.

2. Faktor ke 2, mungkin kerana ketiadaan para VVIP merasmikan AGM tersebut.

Kebanyakkan ahli politik berminat hadir ke majlis yang dihadiri oleh VVIP sahaja. Kebanyakkan ahli-ahli PSK adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik dalam masyarakat Siam. Pihak kami tidak menjemput para VVIP untuk merasmikan AGM tersebut kerana pihak kami ingin menjaga perasaan ahli-ahli PSK yang berlainan fahaman politik. Pihak kami ingin melihat perpaduan wujud dalam masyarakat Siam Kedah tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur politik. Biarlah ahli yang hadir itu, ikhlas hadir dengan tujuan ingin bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat Siam, bukannya hadir kerana ingin menunjuk muka kepada para VVIP.

3. Faktor terakhir ialah AGM tahun ini tiada pemilihan Ahli Jawatankuasa baru PSK.

Mengikut perlembagaan PSK, pemilihan Jawatankuasa PSK akan dilakukan 2 tahun sekali. Tempoh jawatankuasa sekarang akan tamat pada tahun hadapan. Oleh itu, pemilihan tersebut hanya dapat dilakukan pada AGM akan datang. Walau bagaimana pun, AGM kali ini memilih seorang AJK baru iaitu Cikgu Gian bagi menggantikan seorang AJK yang tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut. Mengikut perlembagaan PSK fasal 8.8 sekiranya mana-mana AJK tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut tanpa sebab akan dianggap telah meletakkan jawatan.

Manakala seorang lagi AJK lantikan juga tidak hadir 3 kali berturut-turut, Pengerusi mengambil keputusan melantik En. Camrat (Pengerusi JKKKP Kg. Huma, Jitra) untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini bermakna pihak PSK telah melantik 2 orang AJK baru yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan.

Beberapa usul telah diluluskan dalam AGM tersebut antaranya berkaitan tanah, sijil pertanian orang2 Siam, masalah pelajar IPTA, kerjasama dengan institusi keagamaan dan usul penubuhan koperasi. Beberapa pindaan perlembagaan PSK diluluskan bagi memantapkan lagi PSK antaranya ialah menambahkan yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM100 bagi memudahkan ahli2 PSK yang berada jauh membayar yuran dan pindaan logo baru PSK.

Pihak PSK juga buat pertama kali memperkenalkan baju korporatnya dalam AGM tersebut bagi menampilkan imej PSK di kalangan umum. Semoga PSK menjadi saluran baru bagi mewakili masyarakat Siam Kedah.