Thursday, February 23, 2012

Masyarakat Siam Bukan Bumiputera.

Selepas Dato’ Charern Intachat dilantik sebagai Senator pertama mewakili masyarakat Siam di Parlimen maka En. Songkran Apau memberi laluan kepada beliau untuk menerajui Persatuan Thai Malaysia pada tahun 1996.


Pada tahun 1997, Dato’ Charern Intachat bersama barisan Jawatankuasanya telah mengubal semula perlembagaan Persatuan. Nama persatuan juga ditukarkan menjadi Persatuan Siam Malaysia. Topik yang menjadi pertikaian di kalangan masyarakat kita sehingga kini ialah soal pertukaran istilah ‘Thai’ kepada ‘Siam’.


Dari tahun 1997 hingga sekarang, barisan kepimpinan dalam Persatuan Siam Malaysia giat aktif berkempen agar masyarakat kita dapat menerima istilah ‘Siam’ sebagai istilah bangsa kita. Tetapi malangnya golongan muda lebih suka kepada istilah Thai kerana ia merujuk kepada nama bangsa sebenar. Manakala istilah Siam merupakan nama sesuatu tempat, di mana sekarang dikenali sebagai Thailand.



Konflik mengenai istilah Thai dan Siam belum berakhir, Senator ke 3 pula mewujudkan istilah baru iaitu istilah ‘Bumiputera Siam’. Bertambah lagi celaru dalam masyarakat kita mengenai soal penetapan identiti bangsa. Mungkin tujuan beliau baik untuk memperkenalkan masyarakat kita sebagai Bumiputera di Malaysia.


Tetapi mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, warganegara berketurunan Thai bukannya Bumiputera. Takrif Bumiputera yang diguna pakai berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 160 (2).



"Jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/Orang Asli seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan; maka anaknya dianggap seorang bumiputera."



Oleh itu, kita tidak seharusnya menipu kaum kita sendiri tentang penetapan status bangsa. Siapakah kita untuk menetapkan bahawa bangsa kita adalah Bumiputera, sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelas termaktub bahawa kaum kita bukannya Bumiputera.


Kita hanya perlu maklumkan bahawa kita sedang berusaha agar pihak kerajaan mengiktiraf kaum kita sebagai Bumiputera dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya kita layak diberi taraf Bumiputera. Bukannya bagi masyarakat kita sedap dengar daripada laungan ahli-ahli politik semasa menjelang Pilihan Raya Umum yang menjelang tiba.



Sebenarnya kita harus menjelaskan kepada masyarakat kita tentang keadaan sebenar bahawa mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia kaum kita bukannya Bumiputera. Menasihatilah kaum kita agar dapat terima hakikat dan bersedialah bersaing dengan kaum-kaum lain seperti Cina dan India untuk memartabatkan bangsa kita di Malaysia. Sementara pemimpin hendaklah terus berusaha untuk memastikan bahawa kaum kita diberi layanan dalam pelbagai aspek pembangunan sebagaimana kaum-kaum Bumiputera yang lain.


Saya harap kaum kita dapat hidup dengan harmoni di bumi Malaysia yang aman dan makmur ini.

Wednesday, February 15, 2012

JPN sudi masuk kampung bantu orang Siam.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menganjurkan kempen MyDaftar dan membuka kaunter bergerak bagi membantu mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat Siam.

Tarikh: 18.2.2012 (Sabtu)

Masa: 8.30 pagi - 4.30 ptg

Tempat: Sekolah Bahasa Siam Kg. Cina Mk Padang Kerbau, Pendang, Kedah.

Untuk urusan;
1. Daftar Kad Pengenalan Lewat,
2. Daftar sijil kelahiran/kematian lewat,
3. Daftar permohonan kewarganegara,
4. Menjawab pertanyaan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Siam dgn JPN.

Datanglah beramai-ramai, menjelang PRU13 semuanya nampak mudah dan jangan lepaskan peluang ini.

Friday, February 10, 2012

YOSM adalah milik awam bukannya indivdu.



Yayasan Orang-orang Siam Malaysia (YOSM) ditubuhkan pada 31.12.1997.


Tujuan penubuhan Yayasan Orang-orang Siam Malaysia ialah:-


(a) Bahawa suatu syarikat bernama YAYASAN ORANG-ORANG SIAM MALAYSIA (kemudian daripada ini disebut sebagai "YAYASAN" tersebut) hendak ditubuhkan sebagai suatu syarikat berhad bagi menganjurkan tujuan-tujuan khairat atau berguna yang dinyatakan dalam tatawujud Persatuan "YAYASAN" tersebut.


(b) Bahawa "YAYASAN" tersebut bercadang hendaklah menggunakan semua keuntungannya dan lain-lain pendapatan untuk menganjurkan tujuan-tujuan khairat dan berguna yang tersebut itu.


(c) Bahawa "YAYASAN" tersebut adalah dilarang oleh Perlembagaannya dari membayar apa-apa dividen kepada ahl-ahlinya.


Maklumat YAYASAN:

1. Nama: YAYASAN ORANG-ORANG SIAM MALAYSIA
2. No. Pendaftaran: 456075-A
3. Tarikh Pendaftaran: 31.12.1997
4. Taraf: AWAM
5. Jenis: BERHAD DENGAN JAMINAN
6. Alamat: No. 1559, Tingkat 3, Jalan Kota, 05710 Alor Setar, Kedah.


BARISAN PENGARAH-PENGARAH SEMASA PENUBUHAN:

1. Datuk Charern Intachat dilantik sebagai Pengarah pada 31.12.1997
2. En. San Yap a/l Din Ei Yat dlantik sebagai Pengarah pada 31.12.1997
3. En. Sungkram @ Songkeram a/l Apau dilantik sebagai Pengarah pada 31.12.1997
4. Ven. Phrathep Mongkholayan dilantik sebagai Pengarah pada 24 Ogos 1999
5. En. Cha Met a/l Cha Sa dilantik sebagai Pengarah pada 24 Ogos 1999
6. En. Boon Sang Dhammakul dilantik sebagai Pengarah pada 24 Ogos 1999
7. En. Eh Sai a/l Chau Ring dilantik sebagai Pengarah pada 24 Ogos 1999
8. Datuk Sawai @ Boon Chock dilantik sebagai Pengarah pada 24 Ogos 1999
9. En. Sow Wing a/l Nai Lew dilantik sebagai Pengarah pada 24 Ogos 1999
10. En. Omar Bin Othman dilantik sebagai Setiausaha pada 31.12.1997

Buat masa sekarang tiada siapa tahu siapakah barisan pengarah YAYASAN yang sedang menguruskan YAYASAN yang diketuai oleh bekas Presiden Persatuan.

MODAL AWAL PENUBUHAN YAYASAN ADALAH KUTIPAN DARIPADA WAT-WAT SIAM SELURUH MALAYSIA SEBANYAK RM150,000.00.

PIHAK KERAJAAN MELALUI KEMENTERIAN USAHAWAN TELAH MEMBERI 100 PERMIT LORI DAN 20 PERMIT KONTENA UNTUK MENJANA PENDAPATAN YAYASAN SETIAP BULAN.

Sunday, February 5, 2012

Pengundi Siam setia tapi dipinggir.

Semua pihak pasti akui bila saya katakan pengundi-pengundi Siam cukup setia kepada Barisan Nasional (BN) sejak lebih 50 tahun dahulu. Sebagai bukti, setiap Daerah Mengundi atau Lokaliti yang mempunyai pengundi-pengundi Siam pasti BN akan menang semasa pilihanraya.

Ada beberapa ahli politik mengatakan pengundi-pengundi Siam merupakan simpanan tetap kepada BN. Beberapa kawasan DUN yang mempunyai ramai pengundi-pengundi Siam juga mempunyai harapan yang tinggi untuk menang setiap pilihanraya dan dianggap sebagai kubu kuat BN.

Bukti seterusnya yang jelas menunjukkan pengundi-pengundi Siam setia kepada BN selama ini ialah setiap perkampungan Siam mesti ada cawangan parti UMNO. Sebanyak 43 buah kampung Siam di Kedah bermakna terdapat 43 cawangan UMNO yang diterajui oleh orang-orang Siam d Kedah.

Orang-orang Siam tidak pernah terfikir untuk menyertai parti lain walaupun terdapat seorang EXCO Kerajaan Negeri yang menerajui Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Siam Kedah semasa pentadbiran kerajaan BN dahulu cuba untuk menubuhkan parti GERAKAN di setiap perkampungan Siam. Usaha tersebut tidak diterima oleh orang-orang Siam kerana orang-orang siam cukup setia dan terhutang budi kepada YTM Tengku Abdul Rahman Putra Al Haj kerana beliau sentiasa menjaga kebajikan orang-orang Siam semasa hayat beliau.

Cuma selepas PRU12, ekoran masalah dalaman UMNO maka terdapat beberapa pemmpin-pemimpin Siam tidak puashati dengan karenah pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan. Maka sebagai balas dendam mereka bertindak mensabotaj parti dengan membuka laluan untuk parti PAS bertapak di perkampungan Siam.

Walau bagaimana pun, sekiranya UMNO kuat dan dapat mengatasi masalah dalamannya maka pengundi-pengundi Siam tidak akan lari walaupun BN kalah di Kedah pada PRU12. Hanya segelintir sahaja yang terdiri daripada bekas pemimpin Siam UMNO yang kecewa bertindak mensabotajkan parti.

Tetapi malangnya kesetiaan yang diberikan oleh masyarakat Siam selama ini tidak dibalas dengan sewajarnya. Saya tidak tuju keluhan ini kepada pusat khdmat ADUN BN sebab setiap ketua-ketua kampung Siam akan dibawa berbincang untuk pembangunan kampung.

Saya hanya tuju kekeluhan ini kepada khidmat yang diberi oleh kerajaan melalui jabatan-jabatan kerajaan persekutuan. Jarang sangat mereka memikirkan tentang kebajikan dan pembangunan masyarakat Siam yang dianggap minoriti dan dianggap tidak memberi sebarang kesan kepada prestasi BN dalam PRU. Kerajaan dan dasar kerajaan amat bagus tapi kumpulan pelaksana di peringkat bawahan sahaja yang mencetuskan masalah dan bertindak mementingkan kaum sendiri sahaja.

Kebanyakkan program yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan kerajaan persekutuan ditujukan kepada kaum dominan sahaja. Saya tahu kebanyakkan kakitangan kerajaan persekutuan didominasi oleh satu kaum majoriti sahaja. Itu semua kami tidak kisah, asalkan mereka juga harus memikirkan juga hal-hal kebajikan kaum minoriti yang lain yang juga cukup setia kepada kerajaan selama ini. Jangan sampai peruntukan yang dikhaskan oleh pusat untuk program orang-orang Siam juga ingin dikebas mereka.

Saya bukan bersikap perkauman tapi ingin merayu dengan harapan mendapat sedikit belas kasihan daripada pihak kerajaan Pusat agar melihat, mendengar dan mempertimbangkan keluhan masyarakat Siam Kedah yang minoriti ini.

Wednesday, February 1, 2012

Sesuaikah wat Siam dijadikan tempat berpolitik?

Bila menjelang Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU13), pelbagai pihak politik yang ingin bertanding akan giat aktif turun padang untuk berkempen dengan menganjurkan pelbagai program walaupun tempoh matang penggal pentadbiran kerajaan ini masih jauh iaitu sebelum Mac 2013.

Dalam masyarakat Siam di Malaysia, lazimnya semua program keramaian seperti ini akan dianjurkan di kawasan Wat Siam. Ini kerana Wat Siam merupakan kawasan rumah ibadat penganut agama Buddha khasnya untuk orang Siam dan juga sebagai pusat orang2 Siam berkumpul apabila terdapat sesuatu perkara yang akan dibincang dan diusahakan bersama.

Sejak kebelakangan ini, ahli-ahli politik kerap turun padang bagi mengambil hati para pengundi sebagai persiapan PRU13 yang akan tiba pada bila-bila masa dalam waktu terdekat. Kawasan yang menjadi tumpuan penganjuran program ialah di kawasan wat Siam kerana mudah untuk mengumpul masyarakat Siam dalam jumlah yang besar.

Pihak Pakatan Rakyat antaranya Mat Sabu dan Lim Guan Eng telah mengadakan Ceramah Perdana di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 17 Nov 2011. Sementara PM pula dijangka akan mengadakan program bersama masyarakat Siam di Wat Nanai dan Wat Titi Akar pada 25 Feb 2012.

Kedua-dua tempat pelaksanaan program tersebut merupakan kawasan wat Siam. Sebelum ini, pelbagai pihak kutuk hebat terhadap pemimpin PR kerana menggunakan kawasan wat Siam untuk penganjuran program politik. Adakah kita juga wajar kutuk pihak yang menganjurkan program PM bersama masyarakat Siam di Wat Siam Kg Tok Set dan Wat Siam Kg. Titi Akar pada 25 Feb ini?

Bagi pandangan peribadi saya, kawasan wat Siam tidak sesuai dijadikan medan politik oleh mana-mana pihak. Saya harap pihak kerajaan dapat membina sebuah kompleks besar di luar kawasan wat Siam khas untuk masyarakat Siam mengadakan program sebagai mengenang jasa kesetiaan pengundi-pengundi Siam terhadap UMNO sejak lebih 50 tahun dahulu.

Thursday, January 19, 2012

Kekalkan kerajaan PAS Kedah atau tukar selepas PRU13.

Baru-baru ini aku telah ditanya oleh salah seorang pemimpin UMNO negeri tentang pendirian masyarakat Siam terhadap kerajaan PAS negeri Kedah. Biasalah orang politik, bila dekat PRU mereka mula nak berjumpa dan tanya khabar para pengundi di peringkat bawahan. Mereka sanggup datang berjumpa walaupun aku bukannya orang-orang besar dan berpangkat.

Aku pun layanlah kehadiran mereka dengan baik semasa kami bertemu. Walaupun tujuan kehadiran mereka untuk bertemu dengan aku tidak sukar diramalkan. Aku pun menjawablah persoalan yang dikemukakan dengan sopan dan terus terang tanpa berselindung seperti kebanyakkan ahli politik.

Aku menjawab, masyarakat Siam Kedah tidak kisah siapa memerintah kerajaan negeri Kedah asalkan tidak mengganggu gugat kehidupan masyarakat Siam di negeri ini. Aku tahu, pemimpin tersebut ingin mendengar agar aku menjawab masyarakat Siam inginkan kerajaan Kedah diambil alih oleh BN selepas PRU13 nanti. Aku dapat rasakan mungkin pemimpin tersebut agak sedikit kecewa dengan jawapan aku itu.

Itulah kebenarannya dari segi pengamatan aku dalam masyarakat Siam yang merupakan bangsa aku sendiri. Aku boleh cakap ikut kehendak pemimpin tersebut tapi apa gunanya. Lebih baik aku berterus terang agar mereka juga dapat tahu apa perasaan masyarakat Siam terhadap UMNO sejak lebih 50 tahun mereka memerintah.

Beliau tanya lagi, kenapa aku berpandangan begitu. Aku terus berbicara mengatakan sebelum ini masyarakat Siam cukup setia kepada UMNO. Orang Siam tidak suka kepada PAS kerana parti tersebut merupakan parti berlandaskan ajaran Islam sedangkan orang Siam adalah beragama Buddha. Suka atau tidak suka, orang Siam tetap mengundi UMNO. Kalau mereka tak mahu mengundi UMNO mereka tak akan mengundi PAS cuma tak mau keluar mengundi sahaja. Itulah pendirian orang Siam sebelum ini terhadap politik.

Orang Siam tidak sokong PAS juga kerana khuatir tidak boleh makan babi, minum beer dan tidak boleh anjur program di wat-wat yang bercanggah dengan ajaran Islam. Setelah PAS berjaya memerintah kerajaan negeri Kedah selepas PRU12, maka kekhuatiran yang dirasai oleh masyarakat Siam meleset sama sekali.

Kerajaan PAS Kedah tidak menaruh dendam kepada masyarakat Siam sedangkan mereka juga sedar bahawa kemenangan PAS di Kedah langsung tidak mendapat sokongan daripada pengundi Siam dalam PRU12. Malah kerajaan PAS giat aktif mendekati masyarakat Siam sehingga berjaya melantik Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) di setiap perkampungan Siam. Kehidupan masyarakat Siam juga tidak diganggu gugat oleh kerajaan PAS Kedah malah mereka membantu masyarakat Siam dalam penganjuran beberapa aktiviti kebudayaan, keagamaan dan sukan yang dianjurkan di wat-wat Siam seluruh Kedah.

Itulah aku katakan peluang BN dalam PRU13 ini 50 - 50. Hanya ketelusan dan kegigihan pemimpin UMNO turun padang sahaja mungkin dapat mengambil hati pengundi untuk merampas semula kerajaan negeri Kedah dalam PRU13 nanti. Aku merupakan pengundi atas pagar, pihak mana yang membantu masyarakat Siam selama ini pihak itulah yang aku sokong. Kesetiaan membuta tuli tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada masyarakat Siam yang minoriti ini.

Sunday, November 13, 2011

Masyarakat Siam kesal karikatur persenda Buddha.

JITRA – Masyarakat Siam di negeri ini melahirkan rasa kecewa dengan penyiaran karikatur patung Buddha yang menggambarkan suasana banjir di Thailand, dalam ruangan global sebuah akhbar kelmarin.



Karikatur yang disifatkan sebagai suatu penghinaan itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat Siam, yang merupakan penduduk minoriti di Kedah.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada 4.30 petang semalam, mengecam tindakan itu.

Ahli Majlis Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Cha Run a/l Em berkata, pihaknya beranggapan karikatur tersebut boleh menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, dan tidak mahu perkara itu berulang pada masa hadapan.

“Saya mohon pihak akhbar berkenaan mohon maaf secara terbuka pada muka surat hadapan dengan segera. Permohonan maaf yang dibuat semalam, dilihat tidak memadai serta tidak menunjukkan keikhlasan dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Ketua PKR Cabang Jerlun, Nordin Ahmad mahu siasatan dibuat berdasarkan kepada Kanun Keseksaan Akta 574, Seksyen 298, yang jelas menyebut sebarang perkataan dengan sengaja yang berniat melukai agama seseorang adalah menjadi kesalahan.

“Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi cukup sekadar peringatan supaya jangan mempersendakan agama lain. Tindakan terbabit jelas melanggar sentimen kebebasan agama dalam perkembangan negara,” katanya.

Pengerusi JKKKP Kampung Kubang Chenok, Nuam a/l Din Tong, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang didiami penduduk pelbagai kaum.

“Setiap penganut agama lain harus peka dengan sensitiviti agama lain, sikap saling menghormati sangat penting untuk kekalkan keamanan. Saya harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Semua pihak perlu lebih peka dengan amalan dan budaya masyarakat lain’” katanya.

Chit Choi, 45, turut kesal dengan penyiaran karikatur itu yang boleh menjejaskan semangat muhibah sedia ada.

“Bukan sahaja mempersenda patung Buddha, sebaliknya musibah yang berlaku di negara jiran dijadikan bahan gurauan. Perkara ini memang tidak wajar terutamanya negara kita berjiran dengan Thailand. Dibimbangi boleh jejas hubungan dua hala antara negara”’ katanya.


Sumber: Sinar Harian pada 13.11.2011