Mohon media guna istilah Siam secara tepat
SUNGAI PETANI 17 Jan 2013. - Masyarakat Siam di negara ini memohon kerjasama media agar menggunakan istilah keturunan itu secara lebih tepat dalam laporan berita terutamanya membabitkan kes-kes jenayah.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong berkata, sejak akhir-akhir ini pihak media cenderung mengaitkan masyarakat Siam sebagai penjenayah ataupun pelacur sedangkan pelaku dalam kes berkenaan sebenarnya ialah warganegara Thailand.
Katanya, penggunaan istilah secara tidak tepat itu secara langsung menjatuhkan imej dan menyinggung perasaan lebih 80,000 orang keturunan Siam di negara ini.
"Saya telah menerima banyak aduan dan bantahan daripada anggota masyarakat Siam berhubung penggunaan istilah Siam dalam laporan berita.
"Seringkali apabila ada rakyat Thailand ditahan, media massa gemar menggunakan istilah negatif seperti 'Pelacur Siam ditahan', 'Penari tiang Siam dicekup' dan sebagainya.
Artikel Penuh: Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130118/dn_21/Mohon-media-guna-istilah-Siam-secara-tepat#ixzz2IJFpiJfr
© Utusan Melayu (M) Bhd *******************************************************************************************
Sebelum saya pergi ke isu di atas, terlebih dahulu saya ingin tekankan sekali lagi bahawa "Thai" ialah nama bangsa dan "Siam" ialah nama negara. Negara Thailand dahulu dikenali sebagai Negara Siam @ Sayam. Majoriti penduduknya ialah kaum Thai @ Tai yang dikatakan berasal dari Pergunungan Attai, China. Kaum-kaum lain juga ada sebagai kaum minoriti, misalnya Kemboja, Laos, Mon, Cina, Melayu dan sebagainya.
Oleh sebab kaum Thai majoriti, pada tahun 1939, P. Phibunsongkhram tukar nama Negara Siam kepada Negara Thai (Thailand). Beliau seorang ahli revolusi yang berjiwa Thai. Maka ciri-ciri Thai diangkat dan diterapkan ke dalam negara-bangsa Thailand. Maka penduduk Thailand yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan sendirinya dikenali bangsa Thai (rujuk: wikipedia Thailand)
Maka dapat kita simpulkan bahawa istilah "Siam" merujuk kepada nama negara dan penduduk di Negara Siam. Istilah "Thai" merujuk kepada kaum Thai dan penduduk di Negara Thai (Thailand). Walaupun Negara Siam telah ditukar nama kepada Negara Thai, tetapi istilah "Siam" atau "Siamese" masih digunakan di Negara Thai, misalnya Siam Paragon, Siam Center Hotel, Siam Square, Museum of Siam, Siam Amulet dan lain-lain.
Bagi orang Melayu di Malaysia, mereka juga masih memanggil Siam terhadap Negara Thai. Aku nak pergi Siam (Aku nak pergi Thailand), beras Siam (kenapa bukan beras Thailand?), pakaian Siam (pakaian dari Thailand), perempuan Siam (perempuan Thailand) dan sebagainya. Adakah penggunaan ini salah? Jawapannya tidak, istilah "Siam" memang hak milik Thailand kerana itu adalah nama negara mereka sebelum ditukar kepada Thailand.
Manakala kita, masyarakat keturunan Thai di Malaysia memanggil Siam terhadap diri kita dalam bahasa Melayu sebagai "Siam" kerana kita datang ke Tanah Melayu sewaktu Thailand masih bernama Negara Siam (Sukhothai atau Ayuthaya). maksudnya kita datang dari Negara Siam sebab itulah kita panggil diri kita "Siam" atau "Siamese". Kita bercakap Thai, kita panggil diri kita khon Thai (Orang Thai). Apabila bercakap Melayu, kita panggil diri kita Siam. Apabila speaking, kita sebut Siamese. Sedangkan nama bangsa kita ialah Thai @ Tai. Ini jangan kita lupa.
Seperti yang dijelaskan di atas, "Siam" ialah nama lama negara Thailand. Sekarang kita tinggal di Malaysia, jadi warganegara dan diterima kerajaan BN sebagai Bumiputera. Kita tiada apa-apa hubungan politik lagi dengan Thailand. Oleh itu, sewajarnya kita juga sudah tiada kena mengena lagi dengan "Siam" kerana itu ialah nama negara yang dikaitkan dengan asal-usul kita. Nama sesuatu kaum lazimnya dikaitkan dengan nama negara iaitu negara-bangsa.
Kita rakyat Malaysia sepatutnya menggunakan nama "bangsa Malaysia" sebagaimana yang digunakan di negara-negara lain di dunia. Namun, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum masih tegar dengan semangat "perkaumannya" lantas nama kaum masih dikekalkan. Kita sepatutnya menggunakan nama "Thai Malaysia" kerana Thai ialah keturunan kaum kita dan Malaysia ialah negara tanah tumpah darah kita. Kita boleh panggil diri kita orang Siam kerana kita dikatakan datang dari Negara Siam. Seperti orang Cina dan India masih mengekalkan nama (negara) asal mereka.
Dan orang Thailand juga boleh panggil diri mereka Siam kerana Siam nama asal Thailand.
Oleh itu, wartawan tidak salah apabila panggil "perempuan Siam" bagi merujuk kepada perempuan Thailand. Orang yang keliru ialah kita. Kita bukan pemegang patent terhadap istilah "Siam". Maknanya istilah "Siam" bukan hak kita sahaja, tetapi hak orang Thailand juga. Bahkan orang Thailand lebih berhakke atas istilah "Siam" berbanding dengan kita yang tiada apa-apa kaitan politik lagi dengan negara Siam. (Negara Siam ketika itu ialah Sukhothai, Ayutthaya dan Thonburi yang sekarang ini sudah tiada kerana diambil alih oleh kerajaan Bangkok yang kemudian menukar nama kepada Thailand).
"Mohon media guna istilah Siam secara tepat" (Tajuk berita hari ini)
Saya bukan orang sejarah mahupun orang bahasa. Namun, saya rasa wartawan sudah menggunakan istilah Siam dengan tepat kerana "Siam" ialah nama negara Thailand pada zaman Kerajaan Sukhothai atau Ayutthaya. Kita sebenarnya yang "menumpang" menggunakan istilah tersebut. Sudah beberapa keturunan kita meninggalkan negara Siam, tetapi kita masih mahu menggunakan nama negara tersebut sebagai nama kita. Siapakah yang terkeliru dalam hal ini? Apapun saya tidak berhajat membahaskan penggunaan istilah Thai dan Siam kerana tidak mahu membuang masa.
Orang Thailand pun tidak bantah kita menggunakan istilah "Siam", akan tetapi kenapa kita pula yang melenting apabila istilah tersebut digunakan wartawan terhadap orang yang ada hak ke atasnya? Ada sesiapa yang mahu berhujah bahawa orang Thailand tiada hak ke atas istilah "Siam", dipersilakan! Dan siapakah yang memberi kuasa kepada pemimpin Siam menggunakan istilah "Siam" sebagai istilah rasmi bagi merujuk kepada masyarakat keturunan Thai (Khon Thai) di malaysia? Kerana apa saya tidak tahu, sekarang istilah "Thai" dan "Siam" telah mengelirukan ramai orang ekoran penggunaannya dalam sijil kelahiran yang tidak selaras.
Mengikut sejarah, bukan semua masyarakat keturunan Thai di Malaysia berasal daripada Negara Siam. Ada yang memang berasal dari Tanah Melayu. Ada yang berasal daripada keturunan Cina (dengar khabar ramai yang menyusup masuk ke dalam Siam kerana ASN/ASB). Apa yang kita mahu panggil mereka? Mahu panggil Siam, mereka bukan asal dari negara Siam. mahu panggil Melayu, mereka beragama Buddha. Mahu panggil Cina, mereka dakwa mereka Siam (meskipun namanya masih Cina). Nasib baik sejarah tiada perincian yang dapat kita kategorikan yang mana asal dari negara Siam (Siam Ori), yang mana asal di sini dan yang mana Siam celup lalu semuanya dipanggil Siam.
Sekarang Senator memperkenalkan istilah baru iaitu Siam Bumiputera. Istilah ini dapat membezakan kita daripada Siam di Thailand. Sekiranya perlu, bagi mengelakkan kekeliruan, istilah "Siam Bumiputera" boleh dijadikan nama khas dan diangkat sebagai istilah rasmi.
Kesimpulannya, kita tidak perlu merasa sakit apabila wartwan menggunakan istilah Siam dalam kes-kes yang negatif kerana istilah tersebut bukan setakat kita yang berhak, bahkan orang Thailand lebih berhak ke atasnya. istilah "Siam" ialah nama asal negara Thailand, bukannya nama moyang kita. Bangsa moyang kita ilah Thai @ Tai.
Dipetik daripada blog Komuniti Siam Baru.
No comments:
Post a Comment