Wat tertua di Malaysia dibangunkan semula
Wat Siam Chindaram atau lebih dikenali Wat Thanara terletak
di Kampung Senara yang merupakan salah satu wat tertua di Malaysia dan
dianggarkan berusia melebihi 200 tahun.
Wat ini dipercayai mula dibina pada awal Abad ke – 19. Ia
begitu terkenal ketika masyarakat Siam menggelar negeri ini sebagai Saiburi
walaupun tiada fakta atau bukti kukuh menunjukkan bila tarikh sebenar
pembinaannya.
Than Sen merupakan pengasas dan ketua sami pertama berasal
dari Tanah Besar China, namun selepas kematiannya, wat tersebut diambil alih
Luang Phor Samukmark, Acharn Lai dan
diikuti Acharn Phet.
Pengerusi wat terbabit, Eiyu Din Loi, 67, berkata, tujuh
tahun selepas zaman darurat, wat ini terpaksa ditinggalkan kerana keadaan
huru-hara sehingga pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk dan menyediakan
penempatan semula atas faktor keselamatan.
Menurutnya, ketika itu penduduk di kalangan masyarakat Siam
terpaksa dipindahkan ke penempatan baru di Kampung Nangka Siam, manakala
penduduk Melayu dipindahkan ke Kampung Lubuk Batu dan Kubur Panjang.
“Lebih 50 tahun wat kosong dan tidak digunakan sehingga
dipenuhi semak. Penduduk di kalangan masyarakat Siam sekitar terpaksa
menggunakan wat Siam di kawasan luar seperti di Kampung Nangka Siam dan Kampung
China.
“Pangkalan yang digunakan pada masa dahulu masih lagi
terdapat di tepi sungai dalam kawasan wat ini menyebabkan sejarah mengenai di sini
sentiasa diingati dan disebarkan kepada anak-anak muda di kawasan sekitar”,
katanya.
Hubungan masyarakat Melayu, Siam rapat
Hubungan masyarakat Siam dan Melayu di kawasan itu sangat
rapat dari dahulu sehingga kini dan turut diakui seorang penduduk, Ismail
Mahmud, 84, yang pernah merasai kehidupan pada zaman tersebut bersama-sama
masyarakat Siam.
Menurutnya, orang Melayu turut ke wat tersebut bagi
menjayakan perayaan seperti wayang kulit, dikir dan banyak lagi.
“Jumlah masyarakat Siam dan Melayu yang hadir ke wat
itu sama banyak memandangkan hubungan
ketua sami dengan penduduk Melayu di kawasan sekitar sangat baik.
“Sami juga sentiasa memberi buah-buahan kepada penduduk Melayu
di situ menyebabkan hubungan antara dua kaum itu menjadi rapat sehingga semua
orang Melayu di sini fasih berkomunikasi dalam bahasa Thai dari semua peringkat
umur sehingga kini,” katanya.
Ismail berkata, pada masa dahulu penduduk Melayu di kawasan
ini tidak fasih berbahasa Melayu sehingga terpaksa belajar di kelas dewasa yang
disediakan.
“Ketiadaan wat di Kampung Senara menyebabkan masyarakat
setempat di kawasan itu berselerak kerana tidak boleh berkumpul di satu kawasan
untuk mengadakan majlis atau perjumpaan,” katanya.
Kerja baik pulih bermula
Disebabkan wat menjadi keperluan masyarakat Siam di kawasan
itu untuk menjalankan upacara keagamaan mereka, pada 20 Julai 2003 dua sami
hadir untuk menetap di wat tersebut dan ahli jawatankuasa wat bersetuju membuat
pembukaan semula secara rasmi dengan membaiki dan membangunkan semula wat,
diketuai Prak Sanggarak Nu dan beberapa sami lain.
Eiyu berkata, kerja-kerja membaik pulih ubosoth (bangunan
agama), membina kutik (penempatan sami), dewan makan, dewan pengajian bahasa
Thai, bilik air, tembok dan pagar serta lain-lain yang dilakukan secara
berperingkat.
“Ketika pada zaman darurat, wat ini mempunyai beberapa
bangunan seperti bangunan agama, penempatan sami dan dapur, namun semua
bangunan itu roboh akibat tidak digunakan kecuali bangunan agama.
“Terdapat dua rumah kecil berdekatan ‘Ubosoth’ di mana
tempat itu dijadikan tempat menyimpan abu mayat pemimpin wat ini yang masih
kekal sehingga hari ini,” katanya.
Katanya, wat ini mencapai kemajuan secara berperingkat untuk
dibangunkan semula hasil sumbangan orang ramai dari kalangan agama Buddha
setempat dan penduduk luar dan kini wat ini sedang dalam pembinaan membina
sebuah bangunan baru yang dianggarkan bernilai RM1 juta.
Pernah jadi pusat persinggahan
Menurutnya, sejarah mengenai wat ini sentiasa diingati
penduduk setempat apabila Wat Chindaram pernah menjadi pusat persinggahan
perdagangan dan pengangkutan penduduk dari pedalaman ke pusat bandar Alor
Setar.
Katanya, wat itu dijadikan sebagai pangkalan orang ramai
yang menggunakan jalan air utama untuk membawa barang-barang perniagaan ke
bandar menyebabkan keadaan di pangkalan begitu sesak apabila seluruh penduduk
kawasan Pendang berkumpul.
“Berdekatan dengan wat ini juga terdapat beberapa kedai
runcit dan sebuah balai polis untuk penduduk setempat berurusan,” katanya.
Penduduk berada di pangkalan sambil menunjukkan jalan air yang digunakan masyarakat dahulu.
Antara bangunan yang ada di Wat Thanara suatu ketika dahulu.
Ismail Bin Mahmud, salah seorang penduduk di sekitar wat.
Sebahagian bangunan lama yang masih ada di kawasan wat.
Sumber: Berita Harian, Ahad, 11 Nov 2012