Monday, April 16, 2012
Calon Siam akan bertanding dalam PRU13.
Persoalan di sini kenapakah mereka tampil untuk bertanding dalam PRU13 sedangkan peluang untuk menang agak tipis? Mungkinkah generasi muda sekarang sudah matang dan mencuba nasib untuk membela masyarakat.
Saya lebih suka fokus kepada skop masyarakat Siam. Adakah selama ini kerajaan pinggirkan orang Siam? Adakah kerajaan melantik seorang senator di Parlimen tidak menepati kehendak masyarakat Siam? Adakah dengan kehadiran PM berjumpa dengan masyarakat Siam dan mengumumkan status Bumiputera Siam serta meluluskan sejumlah peruntukan untuk pembangunan Sekolah Bahasa Siam masih tidak memuaskan hati kaum Siam? Adakah kaum Siam masih kecewa dengan karenah birokrasi untuk mendapatkan Sijil Pertanian Org-org Siam yang tiada tanda-tanda dapat diselesaikan?
Bermacam-macam persoalan berlegar-legar di atas kepala saya, tentang kenapa dan mengapa keadaan ini berlaku. Saya dapat rasakan PRU kali ini akan menjadi medan pertempuran yang paling dahsyat yang pernah dilalui. Duit dan projek yang ditaburkan tidak boleh lagi mempengaruhi pemikiran orang muda generasi Y.
Apa pun, biarlah sistem demokrasi di Malaysia bertumbuh subur tanpa mewujudkan keadaan huru hara. Setiap pertandingan pasti ada kalah dan menang. Pihak yang kalah harus terima kekalahan dengan hati terbuka manakala pihak yang menang harus mentadbir negara secara adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia berdasarkan Perlembagaan yang telah ditetapkan.
Sunday, April 15, 2012
Pesta Songkran tidak wajar diharamkan.
Aktiviti pertama masyarakat Siam sempena sambutan tahun baru ialah mengadakan sembahyang kubur bagi menghormati sanak saudara yang telah meninggal dunia. Dengan mengadakan aktiviti thambun atau pemberian dana kepada sami dipercayai hasil pahala akan dapat dinikmati oleh sanak saudara yang telah mati di alam yang lain.
Aktiviti seterusnya ialah upacara Takbart atau menyediakan makanan kepada sami adalah satu tanggungjawab penganut agama Buddha untuk memelihara perkembangan agama Buddha di kalangan penganut agama Buddha. Upacara ini tiada kaitan dengan Pesta Songkran tapi masyarakat Siam sentiasa mengamalkan aktiviti ini dari semasa ke semasa sebagai tanggungjawab seorang penganut agama Buddha untuk menyediakan makanan kepada para sami. Sempena Pesta Songkran aktiviti Takbart turut diadakan.
Aktiviti seterusnya ialah Loy Phe (hanyutkan rakit) iaitu bertujuan untuk menghapuskan dosa. Masyarakat Siam akan potong kuku, rambut berserta dengan sekeping kertas yang ditulis tentang niat kita sempena Pesta Songkran dan dihanyutkan ke dalam sungai. Ada yang melepaskan burung atau ikan sebagai tanda menghapuskan dosa.
Aktiviti seterusnya ialah memandikan patung Buddha, Sami-sami dan orang-orang tua. Sebagai tanda hormat kepada mereka dengan menyucikan diri mereka dengan air bersih. Seterusnya disediakan pakaian baru untuk mereka. Golongan muda akan memohon ampun dan maaf daripada orang-orang tua di atas kesalahan yang telah dilakukan. Sekiranya aktiviti ini dilakukan secara bersama di kawasan wat maka patung Buddha dan sami juga turut dimandikan dan sebaliknya jika dilakukan di rumah masing2 maka sekadar memandikan orang tua-tua yang berada di rumah kita sahaja.
Aktiviti terakhir ialah menganjurkan aktiviti sukan, hiburan dan seterusnya pesta air. Pengunjung-pengunjung daripada bangsa-bangsa lain juga dijemput untuk serta meraikan pesta ini dengan simbahan air dan di sapu bedak wangi.
Pesta Songkran merupakan aktiviti kebudayaan Siam bukannya aktiviti keagamaan. Masyarakat Siam akan melibatkan pesta ini dengan ritual agama Buddha hanya di kalangan penganut agama Buddha sahaja. Lazimnya masyarakat Siam yang beragama Buddha tidak boleh meminggirkan institusi keagamaan seperti wat dan sami dalam semua aktiviti kebudayaan dan adat resam.
Sekiranya terdapat tetamu yang beragama lain turut serta untuk meraikan Pesta Songkran ini, masyarakat Siam akan mengetepikan ritual agama Buddha demi untuk menjaga sensitiviti kaum di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.
Tindakan Majlis fatwa Negeri Perlis mengharamkan umat Islam meraikan Pesta Songkran pada Ogos tahun lepas dan disiarkan akhbar Berita Harian pada 11 April 2012 adalah amat tidak wajar. Walaupun mereka tidak menghalang masyarakat Siam menyambut Pesta Songkran tetapi fatwa tersebut merupakan benteng perpaduan di kalangan masyarakat Siam dan masyarakat Melayu di negeri tersebut. Sedikit sebanyak ia akan menjejaskan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.