Sebelum ini suara kaum Siam tidak didengari oleh pemimpin-pemimpin atasan. Walaupun kita menjerit dan memekik sekuat hati tapi masih tidak mampu untuk menyampaikan suara kaum Siam ke peringkat atasan. Ada beberapa masalah yang dihadapi oleh kaum Siam berpuluh-puluh tahun masih belum dapat diatasi atau mungkin langsung tiada tindakan diambil daripada para pemimpin yang diharapkan.
Pemberian jawatan Senator kepada kaum Siam pada tahun 1996 adalah satu berita yang baik sebagai satu saluran kepada kaum Siam Se Malaysia. Tetapi pemilihan calon untuk mengisi jawatan tersebut tidak begitu tepat mengikut citarasa kaum Siam itu sendiri. Pemimpin tertinggi lebih suka memilih calon yang dikenali oleh mereka bukannya calon yang dipilih oleh kaum Siam.
Saya dapat lihat semasa senario ini berlaku semasa setiap program bersama kaum Siam, Menteri Besar ketika itu sering mempromosikan seseorang untuk diangkat sebagai calon senator. Sedangkan kaum Siam mempunyai pertubuhan dan pemimpinnya sendiri. Kenapa suara melalui pertubuhan Siam diabaikan?
Ini hanya satu masalah kaum Siam, bermacam-macam lagi masalah yang wujud yang tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana pihak. Oleh itu, maka ada sekumpulan kaum Siam telah mewujudkan ruangan "Suara Masyarakat Siam Kedah" dalam Facebook untuk meluahkan segala permasalahan yang wujud dalam masyarakat Siam Kedah untuk diketahui umum.
Hanya seminggu ruangan ini berada di alam maya Facebook, maka saya telah dihubungi oleh Pegawai Khas kepada Setiausaha Kerja UMNO Negeri Kedah untuk berbincang. Maka ditetapkan tarikh pada 10 Ogos 2010 jam 2.00 petang di bangunan UMNO Alor Setar. Dalam hati, saya rasa gembira kerana suara kaum Siam mula mendapat perhatian.
Pihak kami seramai 8 orang selaku AJK Persatuan Siam Kedah menghadiri perjumpaan tersebut seperti yang ditetapkan. Permulaan sesi perjumpaan tersebut nama saya disebut dahulu, "mana Manit", dan disusuli jenaka "macam nak perang". Saya pun memperkenalkan diri tanpa rasa takut dan bukan niat saya untuk berperang dengan UMNO.
Pihak kami telah mengemukakan 20 permasalahan yang dihadapi kaum Siam yang selama ini belum selesai walaupun kita diberi jawatan senator selama 12 tahun sejak 1996 hingga 2008. Setiap orang wakil PSK berhak bersuara menerangkan satu per satu permasalahan yang dikemukakan itu yang menunjukkan bahawa ia benar2 berlaku. Ini bukan lakonan budak-budak jahat dalam Facebook seperti yang mereka anggapkan.
Oleh itu, pihak kaum Siam amat berharap semua 20 perkara itu harus diberi perhatian serius oleh UMNO terutama berkaitan masalah pemegang IC merah dan peruntukan Sekolah Bahasa Siam. Sekiranya UMNO Bahagian Tumpat, Kelantan dapat selesai masalah ini mustahil UMNO negeri Kedah tidak dapat selesaikannya. Tak dapat selesai semua 20 perkara, dapat selesai sebahagian pun dah kira bagus. Saya bagi pihak kaum Siam terlebih dahulu mengucap ribuan terima kasih kepada pihak yang sudi membantu kaum Siam.
No comments:
Post a Comment