Monday, December 22, 2008

Pesta Songkran


Perkataan "Songkran" adalah dari bahasa sankrit yang membawa maksud peralihan atau hijrah dalam bahasa Arab. Hari Songkran merupakan hari peralihan tahun atau tahun baru mengikut kalender lama Siam. Kebiasaannya hari Songkran disambut pada 13 April bersamaan khen 1 kham dean 5 (mengikuti kelender lama Siam) setiap tahun. Pesta sambutan hari Songkran ini dirai begitu meriah sekali oleh masyarakat Siam di seluruh dunia. Sementara di Malaysia, pesta ini disambut di kawasan penempatan Masyarakat Siam iaitu di bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti di negeri Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.


Pesta Songkran pernah diiktiraf oleh kerajaan negeri sebagai salah satu kebudayaan Malaysia dan boleh dijadikan daya tarikan pelancong ke Malaysia. Pesta ini juga pernah dicatatkan dalam kalender perlancongan di negeri Perlis, Perak dan Pulau Pinang sempena "Tahun Melawat" negeri masing-masing. Pesta Songkran memang menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh semua masyarakat Siam malah sambutan besar-besaran acara ini sudah menjadi kemestian. Perayaan pesta Songkran sudah diamalkan oleh masyarakat Siam secara turun temurun.

Secara tradisi, pesta Songkran disambut dengan golongan muda termasuk kanak-kanak memohon maaf serta meminta restu terutama ibubapa, guru dan sami. Sebagai lambang kemaafan, golongan tua akan dimandikan dengan menyiram air bersih dan wangi-wangian di atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Bagaimanapun, golongan muda perlu meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuat demikian. Sewaktu dimandikan, golongan tua akan mendoakan kebahagiaan terhadap generasi muda atau anak serta cucu mereka. Selepas itu, golongan tua akan dikenakan pakaian baru dan bersih.

Bagaimanapun, tradisi ini tidak diamalkan sekarang hanya memadai meminta maaf serta menyiram air ke tapak tangan dan kaki orang tua, terutama sami. Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai "Pesta Air". Lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari ini untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok.

Untuk memeriahkan lagi pesta Songkran, pelbagai acara disusun termasuk pertandingan Ratu Songkran, pertandingan bola sepak, pertandingan seni budaya, gerai jualan serta pertunjukkan kebudayaan dengan kemuncak acara ialah perarakan Ratu Songkran. Ratu Songkran terdiri daripada 12 orang anak gadis bersamaan dengan 12 nama binatang yang dijadikan nama tahun mengikut kalender lama Siam. Contohnya tahun 2000 adalah tahun "Naga". Sesiapa yang menang dalam pertandingan tersebut akan digelar "Ratu Songkran" dan diarak mengelilingi kampung oleh orang ramai dengan kereta berhias.

No comments:

Post a Comment