Thursday, April 29, 2010

Sejarah keunikan Kampung Kalai jadi tumpuan.


KAMPUNG KALAI – Setiap kampong pasti mempunyai sejarah dan kisahnya tersendiri, namun tidak ramai anak muda masa kini berminat mengkaji sejarah nenek moyang mereka.

Salah seorang anak jati kampong, Mani a/l Si Chan, 43 berkata, dia sendiri mengambil inisiatif mengkaji asal-usul kampong melalui pelbagai sumber; sama ada pembacaan serta bertanya kepada golongan veteran di sini.

Menurutnya, Kampung Kalai telah dibuka dan diterokai orang Siam dari Kampung Padang Peliang, Pendang dengan diketuai seorang Bhikkhu (Sami) Siam bernama Luang Por Jot pada tahun 1860.

“Sepanjang pengetahuan saya, tapak asal penempatan kampong Kalai ialah sekitar dua cabang anak sungai yang mengalir ke Sungai Muda, dan pada masa itu, sungai adalah laluan utama masyarakat berulang-alik dari satu tempat ke satu tempat.”

“Kampung Kalai mendapat nama sempena kejadian cerek hanyut ketika berlaku banjir pada awal penerokaannya. Maksud cerek dalam bahasa Siam ialah Ka dan hanyut pula ialah Lai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mani berkata, Wat Kampung Kalai juga menjadi tumpuan kerana di sini bersemadi jasad bekas Ketua Bhikkhu Negeri Kedah dan Malaysia yang bernama Phra Rajdhammacharn (Chaokun Bau) 1907 – 1995.

“Beliau adalah anak watan Kampung Kalai dan merupakan individu pertama menganjurkan Pesta Loy Krathong di Kedah sejak 1970an yang menjadi acara tahunan sehingga kini".

“Walaupun majority penduduk kampong ini terdiri daripada masyarakat Siam, namun kami tetap mempunyai hubungan persahabatan yang rapat dengan kaum lain, terutamanya Melayu dan Cina,” katanya.

Menurutnya, selain Pesta Loy Krathong, terdapat acara lain turut diadakan di wat, seperti Pesta Songkran, dan melalui pelbagai pesta yang diadakan secara tidak langsung mengukuhkan lagi hubungan masyarakat di sini.

“ Selain itu, inisiatif salah seorang penduduk mengadakan satu persembahan Menora Siam sebagai tontonan kepada generasi muda telah mengembalikan nostalgia keunikan kebudayaan asli masyarakat Siam".

“Semoga lebih ramai lagi anak tempatan berminat untuk mengetahui sejarah nenek moyang mereka, dalam masa yang sama mengekalkan kebudayaan tradisi supaya tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Sumber: Sinar harian, 29 April 2010.

Wednesday, April 7, 2010

Perjuangan NGO dan PARTI politik adalah berbeza.

Persatuan adalah salah satu pergerakan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan tertentu yang dipersetujui bersama semasa awal penubuhannya. NGO digerakkan berpandu kepada hala tuju yang ditetapkan bersama.

NGO bukannya alat untuk dijadikan modal bagi mendapat sesuatu daripada mana-mana pihak. NGO bukannya sebuah parti politik yang mempunyai puak-puaknya yang tersendiri. NGO adalah salah satu badan bebas yang bermotif untuk membangunkan dan mewakili sesuatu kumpulan manusia.

Oleh itu, para pemimpin mana-mana NGO tidak seharusnya mempertaruhkan NGO atau masyarakat yang diwakilinya untuk kepentingan diri sendiri. Kita harus dapat bezakan mana parti politik dan mana NGO. Kita kena pandai main peranan yang bersesuaian dengan penglibatan kita.

Kalau berucap dipentas parti politik, kita harus guna cara politik. Kalau berucap dalam pentas NGO, kita haruslah guna cara yang lebih berhemah. Cara yang tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

PSK adalah sebuah NGO dalam masyarakat Siam negeri Kedah. PSK menghormati dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah dan juga kerajaan Persekutuan. Mana2 pemimpin PSK yang membuat kenyataan yang bertentangan dengan prinsip PSK, itu adalah pandangan peribadi seseorang. Bukannya pandangan daripada PSK.

Kita dalam PSK membuat keputusan secara kolektif bukannya secara one man show. Hala tuju perjuangan PSK ialah mewakili masyarakat Siam negeri Kedah dalam pelbagai sektor pembangunan. Sebagai penghubung antara masyarakat Siam Kedah dengan pihak kerajaan.

"Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh"

Facebook PSK:

Monday, March 29, 2010

AGM Persatuan Siam Kedah berjaya diadakan.

Mesyuarat Agung Tahunan PSK bagi kali ke 2 Tahun 2009 berjaya diadakan di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26 Mac 2010 jam 2.00 petang. Kehadiran ahli agak berkurangan berbanding dengan AGM yang lalu tetapi cukup korum. Ini kerana terdapat beberapa faktor antaranya:

1. Faktor pertama, kesesuaian tarikh mesyuarat AGM

Tarikh tersebut bersamaan dengan beberapa majlis lain yang dianjurkan oleh masyarakat kita antaranya Majlis di kubur (Cheng Beng), majlis perkahwinan dan sebagainya. Tarikh mesyuarat agung tidak dapat dielakkan sebab berdasarkan perlembagaan ia terpaksa diadakan sebelum 30 Mac setiap tahun. Maka pihak kami tidak dapat menunda lagi tarikh tersebut setelah sekali tunda iaitu dari 19 Mac kepada 26 Mac.

2. Faktor ke 2, mungkin kerana ketiadaan para VVIP merasmikan AGM tersebut.

Kebanyakkan ahli politik berminat hadir ke majlis yang dihadiri oleh VVIP sahaja. Kebanyakkan ahli-ahli PSK adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik dalam masyarakat Siam. Pihak kami tidak menjemput para VVIP untuk merasmikan AGM tersebut kerana pihak kami ingin menjaga perasaan ahli-ahli PSK yang berlainan fahaman politik. Pihak kami ingin melihat perpaduan wujud dalam masyarakat Siam Kedah tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur politik. Biarlah ahli yang hadir itu, ikhlas hadir dengan tujuan ingin bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat Siam, bukannya hadir kerana ingin menunjuk muka kepada para VVIP.

3. Faktor terakhir ialah AGM tahun ini tiada pemilihan Ahli Jawatankuasa baru PSK.

Mengikut perlembagaan PSK, pemilihan Jawatankuasa PSK akan dilakukan 2 tahun sekali. Tempoh jawatankuasa sekarang akan tamat pada tahun hadapan. Oleh itu, pemilihan tersebut hanya dapat dilakukan pada AGM akan datang. Walau bagaimana pun, AGM kali ini memilih seorang AJK baru iaitu Cikgu Gian bagi menggantikan seorang AJK yang tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut. Mengikut perlembagaan PSK fasal 8.8 sekiranya mana-mana AJK tidak hadir mesyuarat 3 kali berturut-turut tanpa sebab akan dianggap telah meletakkan jawatan.

Manakala seorang lagi AJK lantikan juga tidak hadir 3 kali berturut-turut, Pengerusi mengambil keputusan melantik En. Camrat (Pengerusi JKKKP Kg. Huma, Jitra) untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini bermakna pihak PSK telah melantik 2 orang AJK baru yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan.

Beberapa usul telah diluluskan dalam AGM tersebut antaranya berkaitan tanah, sijil pertanian orang2 Siam, masalah pelajar IPTA, kerjasama dengan institusi keagamaan dan usul penubuhan koperasi. Beberapa pindaan perlembagaan PSK diluluskan bagi memantapkan lagi PSK antaranya ialah menambahkan yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM100 bagi memudahkan ahli2 PSK yang berada jauh membayar yuran dan pindaan logo baru PSK.

Pihak PSK juga buat pertama kali memperkenalkan baju korporatnya dalam AGM tersebut bagi menampilkan imej PSK di kalangan umum. Semoga PSK menjadi saluran baru bagi mewakili masyarakat Siam Kedah.

Sunday, March 28, 2010

Tarian Tradisional Siam diciplak ala Gagasan 1Malaysia.


Saya selaku pemimpin dalam persatuan kebudayaan Siam berasa amat kecewa sekali apabila tarian Siam diciplak untuk kepentingan pihak tertentu. Banyak majlis rasmi kerajaan di negeri Kedah, saya dapati ada persembahan tarian pelbagai kaum antaranya tarian Melayu, Cina, India dan Siam.

Persembahan semua kaum amat sesuai sekali dengan konsep yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu Gagasan 1Malaysia bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia pelbagai kaum. Setiap program kerajaan yang dianjurkan haruslah melibatkan semua kaum. Semua kaum tidak diabaikan dan diberi peluang samarata. Inilah yang difahamkan tentang Gagasan 1Malaysia pada pemahaman saya.

Saya amat kecewa sekali apabila mendapat tahu perkara sebenarnya disebalik lakonan persembahan tarian pelbagai kaum. Sebenarnya hanya satu kaum sahaja memonopoli tarian tersebut. Bukannya semua kaum terlibat walaupun tarian tersebut merangkumi pelbagai kaum. Saya sokong konsep 1Malaysia tetapi tidak setuju dengan cara pelaksanaannya yang mengabaikan kaum minoriti terutamanya dalam aktiviti kebudayaan.

Pada 13 Mac lepas, saya menghadiri satu Majlis Dialog NGO-NGO kebudayaan seluruh Kedah yang dianjurkan oleh satu badan kerajaan. Saya selaku pengerusi sebuah NGO yang mewakili kebudayaan masyarakat Siam membangkit isu ini dalam majlis dialog tersebut dengan hasrat memohon jasa baik pihak kerajaan membenarkan kaum Siam sendiri membuat persembahan tarian Siam di majlis-majlis rasmi kerajaan. Supaya ketulinan dan keaslian tarian tradisional Siam dapat dipelihara. Kaum lain tidak akan memahami budaya kaum Siam melebihi kaum Siam sendiri.

Akhirnya saya dimarahi oleh pihak penganjur di hadapan pemimpin-pemimpin NGO Kebudayaan yang lain. Inilah nasib kaum minoriti yang diabaikan walaupun kerajaan tegas tidak akan meminggirkan mana-mana kaum minoriti dengan kempen Konsep 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Teguran saya kepada mana-mana badan kerajaan yang menganjurkan majlis dialog, sekiranya pihak tuan/puan belum bersedia untuk mendengar pandangan dan luahan daripada pihak lain, maka pihak tuan/puan tidak wajar menganjurkan majlis dialog. Dalam majlis dialog kita harus memberi peluang semua pihak mengemukakan pandangan untuk kita selesaikan bersama.

Pada 23 Mac 2010, saya juga telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Majlis yang dianggotai NGO-NGO kebudayaan, saya amat terkejut apabila Setiausahanya mencadangkan usul untuk dibawa ke AGM Majlis tersebut supaya kebudayaan Siam diberi peluang kepada orang-orang Siam sendiri melaksanakannya. Cadangan ini pula dipersetujui semua pemimpin-pemimpin NGO kebudayaan yang bernaung di bawahnya.

Saya amat gembira sekali, rupa-rupanya kaum minoriti seperti kaum Siam belum lagi diabaikan oleh kaum majoriti. Mungkin isu ini wujud akibat pihak tertentu sahaja yang menciplak kebudayaan kaum lain untuk kepentingan mereka.

Monday, March 8, 2010

Notis Mesyuarat Agung Tahunan PSK Bagi Tahun 2009.


Persatuan Siam Kedah (PSK) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Tahun 2009 di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah pada 26 Mac 2010 mulai jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Majlis tersebut dimulakan dengan program gathering bersama keluarga ahli-ahli PSK. Pengisian program ialah mengadakan majlis Sangghadana dan gotong-royong menyediakan makanan tengahari kepada para Sami. Diminta semua ahli PSK membawa makanan masing-masing daripada rumah. Pastikan jam 10.00 pagi, sampai ke Wat Padang Peliang.

Manakala Mesyuarat Agung Tahunan PSK Bagi Tahun 2009 akan dimulakan pada jam 2.00 petang - 5.00 petang. Semua ahli PSK dijemput hadir beramai-ramai. Sesiapa yang ingin menjadi ahli PSK juga dijemput hadir. Borang keahlian PSK akan disediakan.

Wednesday, February 24, 2010

Program PMS di Jerlun pada 20.2.2010

Program Merakyatkan Seni di Parlimen Jerlun pada 20.2.2010. Pekemas dijemput untuk acara sambutan dengan paluan gendang panjang.


Friday, February 19, 2010

Masyarakat Siam Daerah Pendang menghadapi masalah tiada air.

Sejak seminggu lalu, masyarakat Siam Titi Akar dan Padang Peliang menghadapi masalah tiada bekalan air. Paip air hanya keluar angin apabila dibuka. Air hanya datang sekejap pada waktu tengah malam hingga subuh kerana pada waktu itu orang kurang menggunakan air.

Kepada sesiapa yang rajin bangun lewat malam atau subuh, ia dapat menadah air simpan untuk digunakan keesokkan hari. Kepada sesiapa yang letih dan terpaksa tidur awal untuk bangun awal pergi menoreh getah keesokkan pagi, rasanya akan mengalami kesukaran.

Tiada air untuk mandi rasanya boleh tahan sikit tetapi tiada air untuk masak dan minum, rasanya apa akan terjadi sekiranya keadaan ini berlarutan.

Di rumah saya juga tiada air. Oleh itu, saya terpaksa bawa keluarga balik ke Kg. Pegang, Baling kebetulan hari ini cuti hujung minggu. Rumah saya di Baling tidak menghadapi masalah ini. Petang ini saya kena balik ke Padang Peliang sebab esok pagi saya perlu membawa kumpulan kebudayaan untuk membuat persembahan di Pekan Padang Sera. Saya pun buntu menghadapi masalah ini.

Sebentar tadi member wartawan menghubungi saya. Beliau tanya, 'kenapa orang Siam tidak membuat laporan masalah ini kepada pihak atasan'. Saya jawab, 'orang Siam majoritinya adalah penyokong UMNO sedangkan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat. Masalah ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bukannya kerajaan Pusat. Oleh itu, tidak guna orang Siam mengadu kepada pemimpin UMNO'.

Beliau tanya saya lagi, 'kenapa pula orang Siam tidak berani membuat kenyataan melalui akhbar dan beliau sudi untuk menyiarkan keluhan dan permasalahan orang ramai melalui akhbar'. Saya bagitau wartawan tersebut tentang keadaan orang Siam yang majoritinya orang kampung yang mempunyai perasaan takut apabila masuk surat khabar. Mereka takut macam-macam, mereka lebih suka berdiam diri dan membiarkan ketua kampung memainkan peranannya. Masalah yang timbul ialah Tok Ketua tak main peranannya sebagai Ketua Kampung, tak kiralah MKK atau JKKKP.

Saya harap Tok Ketua yang terlibat haruslah proaktif bagi menyuarakan masalah orang kampung kepada pihak atasan.