Monday, January 12, 2009

Rombongan ke Khuan Niang, Songkhla, Thailand.


Rombongan ke Khuan Niang, Songkhla, Thailand pada 3.1.2009

Pada 3.1.2009 jam 6.00 pagi saya bertolak dari Kg. Thai Pegang ke Kg. Padang Peliang untuk mengambil En. Chai (Guru Menora) seterusnya saya ke Wat Padang Pusing untuk mengambil Phra Acharn Chamreang untuk ke Songkhla, Thailand. Dalam perjalanan ke Bukit Kayu Hitam saya call kepada En. Osman (anak angkat Tun Dr. Mahathir) untuk membantu urusan di sempadan semasa bawa peralatan menora masuk dari Thailand.

Sebelum sampai di pintu sempadan Malaysia - Thailand, kami singgah tukar mata wang Malaysia ke Thailand dan membeli insuran kereta saya. Bila sampai di sempadan Malaysia, kami bercadang hanya saya dan En. Chai sahaja cop border pass. Sementara Phra Acharn Samreang tak perlu sebab beliau dapat visa 3 bulan rekemen daripada Than Chau Khun Maison dan perlu dapatkan di Songkhla. Visa beliau masih tinggal 2 bulan lagi. Kami akan cakap kat pegawai Imigresen bahawa kami hantar sami sampai setakat Duty Free je tak perlu cop. Pegawai Imigresen baru tu tak percaya minta tengok passport terus dia cop keluar.

Maka visa 3 bulan pun lingkup. Kena mohon visa baru daripada kedutaan Malaysia di Songkhla dengan rekemen Than Chau Khun Maison. Sebelum itu, Phra Acharn Chamreang kena tidur di Thailand selama 2 malam baru boleh masuk balik ke Malaysia.Pening juga dibuatnya. Bila sampai kat Border Thailand hanya kami 2 orang yang cop termasuk kereta didaftar masuk ke Thailand. Phra Acharn tak cop masuk Thailand sebab beliau ada IC Thailand. Saya nampak beliau susah hati sepanjang jalan. Dari border Dannok saya terus memandu kereta ke arah Pattalung. Bila sampai dipersimpangan di Khuha, saya belok kanan menuju ke arah Pekan Khuan Niang. Saya sampai di rumah En. Tham Thongchumnum (tukang membuat gendang dan peralatan menora) sekitar jam 12.00 tengahari. Bila urusan jual beli peralatan menora selesai, kami beredar dari situ dan berhenti makan di kedai makanan di Pekan Khuan Niang sebab masa makan mesti tepat kerana khuatir terlajak masa maka sami pun takleh makan.

Seterusnya saya memandu memasuki bandar Hadyai untuk urusan Phra Acharn Chamreang. Beliau ingin membeli peralatan PA System yang digunakan di Wat Padang Pusing. Beliau pakar dalam bidang elektronik dan mempunyai set PA system sendiri. Bila sampai di salah sebuah kedai elektronik di Hadyai, kami agak terkejut apabila ada seorang pekerja wanita yang cantik di kedai tersebut datang memeluk En. Chai. Rupa-rupanya wanita yang cantik tersebut merupakan anak kepada kakak En. Chai yang tinggal di Nathawi. Bapa En. Chai dulunya kaki betina juga dan datang tinggalkan sebutir benih kat Thailand. Maka benih ini dah semakin bertambah menjadi banyak.

Selesai urusan di Hadyai, saya terus memandu dan singgah di Pekan Sadao untuk mencari barang-barang elektronik yang masih tak cukup. Setelah selesai maka kami pun bertolak ke Dannok dan En. Chai pun berhenti membeli belah barang2 yang dipesan oleh orang rumah. Setelah semua selesai kami pun cop keluar daripada Thailand ke Malaysia. Masalah tidak wujud di Thailand cuma wujud di sempadan Malaysia. Sebaik sahaja sampai kat Border Malaysia, saya nampak En. Osman dan pegawai SB sedang menunggu saya. Masalah bawa barang-barang peralatan Menora dari Thailand ke Malaysia menjadi mudah. Tetapi satu lagi masalah yang belum selesai iaitu masalah Visa Phra Acharn Chamreang. Saya pun minta bantuan Pegawai Imigresen, beliau adalah kenalan saya. Kebetulan juga beliau bekerja pada hari itu. Saya cerita kat beliau A sampai Z. Beliau pun pergi cari balik visa tadi dan batalkan cop masuk yang dilakukan staf beliau pagi tadi.

Maka kedua-dua masalah dapat diselesaikan dengan baik. Peraturan tetap peraturan tetapi sikap bertolak ansur juga perlu ada. Sebelum meneruskan perjalanan balik ke rumah, kami berhenti makan di Napoh untuk belanja makan kepada En. Osman sebagai tanda terima kasih. Saya sampai di rumah pada jam 9.00 malam setelah bawa peralatan Menora simpan di pejabat PEKEMAS di Kg. Padang Peliang. Inilah cari pasal ke 2 saya pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment